Kisah Seekor Kucing Bernama Dewey

deweycover

Tajuk Buku: Dewey
Penulis: Vicki Myron dan Bret Witter
Penerbit: Grand Central Publishing, New York, 2008.

Anda pernah menyayangi kucing, arnab, hamster, ikan, burung dan sebagainya? Kalau pernah, anda tentu tahu betapa mudah hati anda tersentuh oleh segala gelagat haiwan ini. Bagaimana kalau haiwan ini tiba-tiba menjelma dalam hidup anda pada satu pagi yang dingin?

Demikian kisah seekor anak kucing berwarna oren, yang tiba-tiba menjelma dalam pelongsor buku sebuah perpustakaan pekan Spencer di barat laut Iowa, Amerika Syarikat. Anak kucing comot ini telah dibuang oleh tuannya; kurus, kelaparan dan kotor. Vicki Myron, yang bertugas di perpustakaan itu berasa hiba melihatnya dan membersihkannya. Vicki meminta izin pihak berkenaan untuk memelihara dan menanggung perbelanjaan anak kucing itu di perpustakaan kerana Vicki menghabiskan banyak masa di perpustakaan sebagai pegawai dan kemudian pengarah pustakawan di Spencer.

Lantas bermulalah kehidupan seekor anak kucing di perpustakaan tersebut. Kerana anak kucing itu ditemui dalam pelongsor buku, lantas ia dinamakan ‘Dewey’ bersempena sistem Dewey bagi buku-buku di perpustakaan. Dan kerana perpustakaan di pekan Spencer itu mahu menyemarakkan minat penghuninya agar gemar membaca dan meminjam buku, nama Dewey telah ditambah menjadi ‘Dewey Readmore Books’.

Dewey bukan sekadar kucing jalanan yang menginap di sebuah perpustakaan yang terpencil. Ia menjadi semacam ‘duta’ bagi pelbagai lapisan pengunjung perpustakaan itu. Dewey akan bersama kanak-kanak dalam program bercerita mereka, bersama orang-orang tua yang datang ke perpustakaan untuk membaca akhbar dan majalah, malah ia bersama sesiapa sahaja yang memerlukannya. Pekan yang sepi itu menjadi ‘hidup’ dengan pelbagai kegiatan baharu kerana adanya seekor kucing yang bijak dan manja.

Membaca buku ini anda akan tersentuh dengan gelagat Dewey; ia pandai mengambil hati dan memberi simpati kepada sesiapa yang memerlukan ‘pertolongan’nya; terutama mereka yang sedang sakit atau menderita. Dengan manjanya Dewey duduk mendengar cerita bersama kanak-kanak, menyentuh atau mengulit kaki pengunjung perpustakaan yang meminta perhatiannya, minta diriba bila ada yang memerlukan sentuhannya atau minta didukung bila ia tahu anda memerlukannya untuk menenangkan keresahan di hati, sebagaimana dialami Vicki dalam beberapa masalah kesihatan dan kehidupan yang dialaminya. Malah cerita Dewey ini juga adalah cerita penulisnya, Vicki Myron, yang mengalami pelbagai cabaran hidup tetapi tidak pernah berputus asa atau hilang kepercayaannya kepada kehidupan, malah masih boleh bersikap positif, mengharunginya segalanya, sebagaimana Dewey.

Buku ini bukan karya sastera besar tetapi ia besar dalam sentuhan kasih yang unik. Makhluk sekecil seekor kucing ini bagaikan ‘sentuhan ajaib’ yang memulihkan bukan hanya Vicki, sebuah perpustakaan, sebuah pekan, malah menjangkau ke beberapa daerah di luar pekan Spencer.

Kalau anda masih belum percaya makhluk kecil seperti seekor kucing boleh menyentuh kehidupan manusia atau kurang yakin bahawa keindahan kehidupan itu Allah tunjukkan dalam pelbagai cara – bacalah buku Dewey ini. Saya pasti anda akan temui pelbagai cerita dan iktibar membaca buku ini dan besar kemungkinan air mata anda akan turut menitis membaca buku Dewey.

Ditulis: 11 November 2009
Bedok, Singapura
Tersiar: Berita Harian, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s