Archive | May 2015

Catatan Ringkas 29 Mei 2015

Hari ini genap 42 tahun pemergian seniman yang kita sayangi dan hormati, P. Ramlee. Banyak jasa yang telah beliau sumbangkan untuk dunia seni dan pembangunan masyarakat kita – baik di Singapura, Malaysia, Brunei mahupun Indonesia.

Sumbangan Allahyarham memang besar tetapi beliau tidak keseorangan dalam mewarnai dunia seni kita. Bersamanya ada sebilangan besar ahli seni kita yang berbakat – baik sebagai pelakon, pelawak, pengarah, penyanyi, penulis skrip, penggubah lagu, pencipta seni kata lagu, pemuzik, jurugambar, mencipta tarian, pereka hias, penyunting filem, penerbit dan sebagainya. Meneliti hasil seni mereka kita dapati besarnya bakat mereka walaupun peralatan mereka pada zaman itu tidak secanggihnya. Dan sampai kini sebilangan dialog, lagu dan lakonan mereka tetap menjadi ingatan dan kenangan bersama (collective memory) kita.

Namun, saya selalu terfikirkan, apakah benar kita menghargai seniman kita, terutama seniman veteran kita? Memberi pelbagai anugerah setelah pemergian seseorang itu mungkin ada baiknya tetapi tentulah lebih baik jika kita benar-benar memberi penghargaan semasa mereka masih lagi hidup dan meneruskan penghargaan yang berlainan setelah mereka tiada.

Saya berasa sedih mengetahui bahawa sebilangan seniman veteran kita terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan yang tiada kena mengena dengan dunia seni mereka setelah studio-studio filem di Singapura ditutup dan dunia filem Melayu belum berkembang maju di Malaysia pada suatu masa. Banyak cara boleh kita manfaatkan kepakaran seniman veteran kita tetapi dalam banyak hal, kita selalu bagaikan terlambat.

Seorang Jamil Sulong, Aziz Sattar, S. Samsuddin, Mustapha Maarof, Kassim Masdor, Normadiah, Aziz Jaafar, Saadiah, Ahmad Daud, Nordin Ahmad, Latifah Omar, Omar Rojik, Ahmad Nesfu dan ramai lagi begitu banyak boleh dimanfaatkan kreativiti mereka dan dibuat pelbagai dokumentasi mengenai mereka. Tetapi sebilangannya tidak kita buat begini. Dan sejarah dan sumbangan para seniman ini bak angin berlalu – kadangkala boleh hilang bersama masa, disalahgunakan atau diingat sekadar mengisi waktu senggang. Memang telah ada juga usaha untuk memanfaatkan kebolehan seniman veteran  kita, membantu mereka atau membuat dokumentasi mengenai mereka tetapi usaha-usaha ini masih boleh dipertingkatkan lagi, sebelum semua seniman veteran kita tiada lagi bersama kita di alam yang sementara ini.

Hari ini kita terkenangkan P. Ramlee kerana 42 tahun yang lalu, kita begitu terperanjat mendengar berita pemergiannya. Dalam kita menghargai sumbangan Allahyarham, hargailah juga para seniman veteran kita yang sama menyumbang kepada persada seni kita. Walau apapun kelemahan atau kekurangan mereka, telah mereka memberi sumbangan kepada kanvas seni kita dan turut memperkayakan kehidupan kita. Jalur pembangunan sesebuah masyarakat tergambar juga dalam filem-filem dan lagu-lagu masyarakat tersebut.

Semoga akan ada lebih banyak usaha untuk lebih menghargai para seniman veteran kita, baik yang masih bersama kita mahupun yang telah berpulang ke rahmatullah. Dan semoga Allah melimpahi keberkatan kepada mereka yang masih hidup dan mencucuri rahmat kepada para seniman veteran kita yang telah tiada.

Al-Fatihah untuk seniman yang kita sayangi, P. Ramlee, dan juga Saloma serta semua seniman kita yang telah berpulang ke rahmatullah.

Ditulis: 29 Mei 2015
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Sudah Cukupkah Kita Hargai Jasa ‘Gagak Di Rimba’?

P Ramlee 1P. Ramlee 2P. Ramlee 4Jalan Ampas PicP. Ramlee 3

Prakata

Siapakah dapat melupakan seorang insan seni seperti beliau? Tiap kali kita menonton kembali filem-filemnya atau mendengar lagu-lagu nyanyiannya bersendiri atau bersama Saloma, kita teringat zaman silam kita. Lagu dan filemnya bagaikan ‘kenangan bersama’ (collective memory) kita sebagai anggota masyarakat pada satu zaman yang diindahkan kenangan.

‘Mengenali ‘ P. Ramlee

Saya ‘mengenali’ P. Ramlee kali pertamanya pada tahun 1959, pada usia saya 3 tahun lebih, melalui filemnya Pendekar Bujang Lapuk (1959) dan Nujum Pak Belalang (1959) dan diikuti oleh filem-filemnya yang lain yang ditayangkan di Panggung Queen, di daerah Geylang, Singapura. Kebetulan ketika itu saya tinggal bersama keluarga nenek saya di Sims Avenue (di antara Lorong 35 dan lorong 37, Geylang) dan Panggung Queen pula terletak berdekatan Lorong 40. Bagi kanak-kanak zaman itu, lagu-lagu dan adegan-adegan tertentu filemnya menjadi semacam ‘anthem’ kami dan sering ‘ditayangkan semula’ semasa bermain di waktu petang. Saya teringat betapa gemarnya saya menyanyi lagu ‘Pok Pok Bujang Lapuk’ (daripada filem Pendekar Bujang Lapuk) dan lagu ‘Ketipang Payung’ (daripada filem Nujum Pak Belalang). Gemarnya saya akan lagu ‘Ketipang Payung’ (dinyanyikan sambil menari) menjadi semacam ‘deraan’ – setiap kali nenek menyuruh saya menghantar atau mengambil sesuatu ke/dari rumah ibu saya di Kampong Wak Tanjong, saya ‘dipaksa’ menyanyi lagu tersebut oleh abang-abang saya. ‘Deraan’ ini semakin ‘menyeksa’ kerana kebetulan berdekatan rumah ibu saya terdapat sungai kecil yang banyak ditumbuhi daun lalang yang berbunga. Saya tertarik melihat bunga lalang yang berliuk-lentuk tetapi hanya ‘dibenarkan’ mengambil bunga-bunga lalang itu setelah menyanyi (dan menari) lagu ‘Ketipang Payung’ di hadapan abang-abang saya!

Bagaimanakah melupakan kisah melakonkan adegan ‘Apek dan Marjinah’, jadi ‘penyamun’, beraksi ‘reput tulang’ seperti Ali Baba (Aziz Sattar) atau turut memangkah tandas (macam Zorro) setelah menonton filem Ali Baba Bujang Lapuk (1961)? Dan yang remaja pada zaman itu mungkin terkenang bagaimana Sudin menghubungi Zaiton tanpa telefon bimbit atau alat kelui melainkan botol-botol dan cuba melakukan perkara yang sama dengan ‘matair atau mambang’ pilihan kalbu?

Sedikit Latar Hidup P.Ramlee

P. Ramlee atau nama sebenar beliau, Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh, lahir pada 22 Mac 1929 di Pulau Pinang. Terdidik di Penang Free School sehingga Darjah 7, minat seninya diasuh oleh Cikgu Kamaruddin, Sekolah Tentera Laut Jepun (semasa zaman Jepun), Osman Ahmad, Yusuf B dan lain-lain. Memenangi beberapa pertandingan suara di Pulau Pinang, dendangan lagu ‘Azizah’ ciptaannya di Pesta Pertanian Ria, di Bukit Mertajam, pada 1948, telah menarik perhatian B.S. Rajhans, pengarah filem Shaw Brothers ketika itu. P.Ramlee ditawarkan bekerja sebagai penyanyi latar bagi filem-filem Melayu Shaw Brothers (Malay Films Productions/MFP). Beliau bertolak dari Pulau Pinang ke Singapura pada 8 Ogos 1948. Dari tarikh tersebut, beliau menceburi pelbagai seluk beluk perfileman – sebagai penyanyi, pelawak, pelakon, memegang watak jahat, wira, pencipta lagu dan pengarah filem. Filem pertama lakonannya berjudul Cinta (1948) dan yang terakhir Laksamana Do Re Mi (1972). Beliau berlakon dalam 62 buah filem, 33 daripadanya adalah arahan beliau sendiri, yang bermula dengan arahan pertamanya Penarik Beca (1955). Filem terakhirnya dengan MFP ialah Tiga Abdul (1964), selepas itu beliau berpindah ke Studio Merdeka, Hulu Kelang, Selangor. Beberapa filem arahan, lakonan mahupun nyanyiannya telah mendapat anugerah. Dianggarkan sebanyak 250 lagu, di dalam dan luar filem adalah ciptaan beliau, bermula dengan lagu ‘Azizah’ (1948) dan berakhir dengan ‘Air Mata Di Kuala Lumpur’ (1973).

Semasa zaman ‘Pop Yeh-Yeh’ lagu-lagunya seolah-olah diketepikan, malah pernah juga beliau diejek di atas pentas. Bahkan filem-filem terakhirnya dari Studio Merdeka tidak memantulkan kreativitinya yang sebenar sebagaimana pada zaman Jalan Ampas dahulu; terlalu banyak kendala yang seakan menjerutkan keanjalan daya kreatifnya.

Membaca majalah-majalah dan buku-buku mengenai beliau misalnya P. Ramlee Kisah Hidup Seniman Agung oleh Abdullah Hussin, P.Ramlee Seniman Agung oleh ABI, Kaca Permata oleh Jamil Sulong, Dari Keris Film Ke Studio Merdeka oleh Hamzah Hussin, Senandung Seniman Agung oleh Zakiah Hanum ataupun Main Filem karya Anuar Nor Arai, kita mengenali seorang P.Ramlee yang amat berbakat, rendah diri, menyayangi manusia tetapi dibelenggui juga oleh masalah peribadi dan kesangsian terhadap sumbangan seninya. Dan beliau, seperti lagunya dalam filem Hang Tuah: berkorban apa saja; tidak pernah menjadi kaya kerana penglibatan seninya. Seperti pujangga-pujangga lama kita, P.Ramlee telah banyak memperkayakan khazanah seni kita dan menampilkan bahawa seni Melayu itu bukan sesuatu yang statik, tetapi dinamik, boleh meresap dan menjana berbagai pengaruh dan aliran. Dan seperti ramai pujangga tak bernama kita, sumbangannya semakin kita lihat nilainya apabila tahun demi tahun era gemilangnya semakin jauh meninggalkan kita. Tapi apakah kita yang telah benar-benar menghargai ‘Gagak Di Rimba’ ini atau terlalu terperanjat dan terharu apabila pada usia 44 tahun, beliau secara tiba-tiba, pada 29 Mei 1973, meninggalkan kita?

P. Ramlee Dan Penghargaan

Sejauh ini beberapa perkara telah dilakukan untuk menghargai sumbangan beliau dalam dunia seni kita. Filem-filemnya ditayangkan semula dan lagu-lagunya, terutama keluaran EMI selalu dicetak semula. Terdapat juga ‘Kelab-kelab P.Ramlee’ dan pita/cakera padat karaoke yang memuatkan lagu-lagunya. Beberapa buku, termasuk buku dua jilid gambar-gambar filemnya diterbitkan oleh Persatuan Harvard Malaysia dan ada juga beberapa kajian ilmiah mengenai sumbangannya dalam dunia perfileman kita. Kerajaan Malaysia telah memberi pangkat ‘Tan Sri’ kepadanya setelah kematian beliau dan tiap tahun pada 29 Mei, EMI mengeluarkan iklan yang besar memperingati tarikh meninggalnya [*sebelum syarikat EMI dahulu ditutup]. Selain ini terdapat pihak televisyen Malaysia yang mengadakan ‘Malam Memperingati P.Ramlee’ dan lain-lain dan baru-baru ini dokumentari mengenai ‘Jalan Ampas Dalam Kenangan’ juga menyoroti penglibatan seni P. Ramlee. Kita menghargai usaha-usaha penghargaan ini, tapi cukupkah setakat ini penghargaan kita kepada seorang ikon bagi budaya dan seni kita yang menjangkaui seluruh Nusantara?

Mungkin ada beberapa perkara lain yang boleh juga kita fikirkan melalui usahasama budaya dari Singapura, Malaysia, Brunei dan Indonesia atau dikejapkan lagi melalui Sekretariat Melayu Antarabangsa (SMA) untuk lebih mengekalkan penghargaan kita kepada sumbangan beliau. Di antaranya:

1. Terbitkan beberapa lagi dokumentari bertaraf profesional mengenai dunia muzik, filem dan nyanyian beliau sebagai bahan dokumentasi.

2. Semua filem lakonan dan arahan beliau dibuat ‘remastering’ dan dikumpulkan sebagai bahan kajian, rujukan dan juga jualan.

3. Semua lagu nyanyian dan ciptaan beliau dikumpulkan; dari 1948 sehingga 1973. Kini terdapat banyak cetak rompak album-album beliau terutama lagu-lagu terdahulu yang hanya menguntungkan pihak pengedar yang mungkin tidak tahu menahu tentang kesenian Melayu.

4. Sebagaimana The Beatles dan Elvis diajar di sekolah-sekolah muzik dan universiti di beberapa tempat di dunia Barat, lagu dan filemnya seharusnya dikaji di peringkat yang lebih tinggi di Nusantara, untuk melihat sumbangannya dalam bidang ciptaan lagu, bahasa, skrip filem, arahan perfileman dan lakonan. Tujuannya bukan untuk ‘puji memuji’ tetapi menilai sumbangan beliau yang sebenar dan menjadikan penglibatan seni beliau sebagai ukuran rujuk (benchmark) bagi sebahagian dunia seni kita.

5. Royalti lagu-lagunya yang dikatakan berjumlah lebih sejuta belum lagi dibahagikan kepada waris-warisnya [* telah dibahagikan kini], ini seharusnya diselesaikan oleh pihak tertentu untuk memudahkah perkiraan masa depan. Selain ini, royalti-royalti lain yang seharusnya beliau terima boleh disalurkan untuk warisnya dan juga untuk menubuhkan ‘Dana P.Ramlee’. Wang dana ini boleh dibahagi kepada dua saluran utama:

a. Buatkan amal jariah misalnya dalam bentuk masjid, madrasah dan lain-lainnya serta membacakan tahlil (setiap tahun) atas nama beliau dan Saloma agar pahala yang beliau dan Saloma terima berkekalan hingga ke akhir zaman.

b. Adakan biasiswa seni: muzik, lakonan, perfileman, nyanyian atas nama beliau agar anak-anak muda kita yang berbakat dapat dengan lebih mudah mempelajari seni muzik, misalnya, di Berkelee, Amerika Syarikat, dan meneruskan warisan yang diobori P.Ramlee agar dunia seni kita yang digemerlapankan oleh beliau akan dimercukan ke puncak yang lebih tinggi lagi, insya-Allah.

Penutup

Dalam peradaban manusia, kanvas seni kita masih ‘remaja’ berbanding dengan beberapa peradaban yang ternyata lebih tua. Namun sesekali, dalam kanvas seni dan kehidupan ini kita bertemu ‘bianglala’ – demikian indah walaupun sementara berada dalam ufuk peradaban kita. P.Ramlee adalah salah seorang ‘bianglala’ kita; batu prisma yang mengajar kita dengan seninya betapa indah dan kayanya warna-warni kehidupan kita. Dan seharusnyalah sumbangan beliau kita hargai dengan pelbagai cara yang saksama, kerana seperti dipuisikan penyair A.Samad Said:

Hanya nanti semakin jauh ke depan, lebih
terserlah khazanah yang diwariskan, lalu
ketiadaannya dirasakan kehadirannya
kehadirannya dirasakan kehilangannya
kehilangannya dirasakan kerugiannya.

Kita terlalu terhutang kepadanya.

Ditulis : 15 – 16 Oktober 1997
Bedok, Singapura
Tersiar: Berita Harian (Singapura) pada 23 Oktober 1997
Tajuk Asal: Kita, P. Ramlee Dan Masa Depan
Tulisan: Rasiah Halil.

*Sebahagian yang disarankan untuk warisan P. Ramlee ini telah pun menjadi kenyataan (29 Mei 2015), namun masih banyak yang boleh terus diusahakan. Terdapat banyak tulisan dan dokumentasi mengenai Allahyarham dan seniman sezaman dengan beliau yang boleh dibaca dan ditontoni kini. Sila rujuk juga sajak-sajak saya ‘Jalan Ampas’ dan ‘Mengenangmu’ mengenai seniman Jalan Ampas dan Cathay-Keris serta khususnya P. Ramlee.

Profil Tokoh Sastera Dan Kritik Filem: Hamzah Hussin

Hamzah Hussin 1Hamzah Hussin 2

Pengenalan

Tiada sesiapa yang dapat mengkaji perkembangan kesusasteraan Melayu baharu, terutamanya, zaman Angkatan Sasterawan ’50 (ASAS 50 ), tanpa menemui nama beliau. Hamzah, atau nama sebenarnya, Abdul Majid bin Hussin, dilahirkan pasa 27 Julai 1927, di Singapura. Hidup beliau beranjau: daripada menjadi wartawan di Royal Press, Harmy dan Melayu Raya Press, sehinggalah menjadi pegawai perhubungan/penulis skrip di Cathay Keris, kemudian menjadi pengurus besar Sari Filem (perusahaan filem seniwati Sarimah), pengurus syarikatnya sendiri, Citra Filem, dan kini beliau menjadi konsultan filem di Finas, Hulu Kelang, Selangor.

Terdapat beberapa buah latihan ilmiah dan tesis ditulis mengenai beliau – bukan sahaja mengenai sumbangannya dalam bidang sastera, tetapi juga bidang perfileman. Menjadi Karyawan Tamu Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1993, Pak Hamzah, atau lebih mesra dipanggil ‘Bak’ (singkatan bagi ‘Bapak’), telah menyiapkan memoirnya, Dari Keris Film Ke Studio Merdeka baru-baru ini. ‘Buku ini hati saya’, demikian tulis Pak Hamzah dalam buku yang diberikan kepada saya baru-baru ini di pejabatnya di Finas. Membacanya dan menelusuri karya-karyanya yang lain membuat saya lebih mengenali siapakah seniman Singapura ini, yang pada usia hampir 70 tahun, masih tajam pemikiran dan pandangan hidupnya.

Latar Hidup Hamzah Hussin Dan Penceburan Seninya

Bak terdidik di sekolah Arab/Agama dan Inggeris di Singapura. Anak kedua dalam 13 orang adik-beradik, beliau melalui kehidupan yang sukar dan terpaksa menjaja kuih untuk membantu keluarga. Ayahnya mempunyai sebuah kedai buku, ‘Union Book Store’, menjadi penjual buku dan juga penerbit. Misalnya, sebuah karya dari Riau, berjudul Hikayat Sharifatul Akhtar diterbitkan oleh ayah beliau. Dan ayahnya juga menulis syair. Bak membantu ayahnya menjaga kedai di waktu malam. Dikelilingi buku dan minatnya yang mendalam membuat Bak begitu luas pembacaannya, bukan hanya buku-buku Melayu tetapi juga buku-buku Inggeris. Dan beliau juga terkenal alim dan luas pembacaannya mengenai Islam. Latar sedemikian banyak membantu Bak menjadi penulis yang baik.

Karya pertama Bak, sebuah cerpen, berjudul ‘Pembunuhan Dalam Sebuah Studio’ terbit dalam Majalah Filem pada 1946. Terbitnya karya ini mendorong beliau untuk terus terlibat dalam dunia seni. Cikgu Harun Aminurrashid, tuan punya Majalah Hiburan, kemudian memberi Bak kesempatan menulis kritik filem dari Hollywood dan juga tempatan. Bidang baharu ini menjadikan beliau lebih peka terhadap pembikinan dan kesan filem, bidang seni yang popular ketika itu.

Bak menulis cerpen, sajak, esei, kritik filem, novel dan skrip filem. Di antara karya-karyanya yang telah dibukukan termasuklah: Sengketa (antologi cerpen bersama isterinya, H.Hanim) dan novel-novel: Rumah Kosong, Rumah Itu Dunia Aku, Samseng, Di Mana Terbitnya Si Matahari, Pemburu Kembali Ke Rumahnya, Tarikh Berlari Liar dan Hujan Air Mata. Esei-eseinya banyak terdapat, tetapi sejauh ini belum dibukukan secara persendirian. Karya-karya Bak diterbitkan dalam Majalah Hiburan, Fashion, Mastika, Mutiara, Kisah, Belia, Utusan Zaman, Bintang dan lain-lain.

Membaca karya-karyanya kita akan temui suatu kelainan: keinginan beliau untuk mementingkan teknik, bukan sekadar mesej sahaja. Kadangkala membaca novelnya memberi gambaran imbasan filem, kerana cara kupasannya demikian. Namun, beliau tidak pernah mengkesampingkan isu-isu masyarakat; ia sekadar diolah dengan lebih berseni dan bukan propaganda hambar. Dalam novelnya Rumah Itu Dunia Aku, misalnya, Bak membidas pandangan ‘berkasta’ beberapa kelompok masyarakat Melayu-Islam di Singapura; yang tidak membenarkan ahli-ahlinya, terutama wanita, berkahwin dengan kelompok lain, kerana ‘rendah martabat’nya. Masalah ini memang beliau maklumi secara peribadi dan juga menjadi masalah besar di kalangan masyarakat Melayu-Islam di Singapura pada tahun-tahun 40-an dan 50-an dahulu. Dan dalam novelnya, Rumah Kosong pula, Pak Hamzah mengupas konflik dalaman watak-wataknya, suatu teknik yang jarang kita temui pada zaman 50-an itu, dan beliau juga mencatatkan unsur psikologi dan seksualiti manusia, tanpa gambaran lucah, dengan berkesan. Gejala-gejala yang beliau garap bukan baharu, tetapi teknik penceritaan dan unsur-unsur yang membina novel-novelnya menimbulkan kelainan.

Bak adalah seorang pengasas ASAS 50, malah pernah menjadi Ketua Satunya. Polemik ‘seni untuk seni’ yang ditunjangi beliau dan ‘seni untuk masyarakat’ yang didokongi Asraf, membuat beliau keluar dari ASAS 50. Bak beranggapan, seni itu tidak boleh dihambari propaganda, dan pada zaman itu, beliau terlihat banyak pengaruh komunisme dalam karya-karya yang bertunjangkan ‘seni untuk masyarakat’. Beliau takuti, seandainya semua yang silam dibuang, sebagaimana tegasan beberapa penulis ketika itu, yang akan turut dibuang ialah agama Islam. Dan dengan ‘seni untuk seni’ pula tidak bererti seseorang seniman itu tidak mempunyai mesej atau mahu membantu kemanusiaan sejagat. Polemik tersebut berlarutan begitu lama pada tahun 50-an itu, dan akhirnya Bak menubuhkan Angkatan Persuratan Melayu Baru pada April 1954. Pertubuhan ini tidak bertahan lama. Dan setelah berakhirnya polemik ini, beliau sukar mendapat tempat di media massa, kerana rata-ratanya ia dikuasai oleh orang-orang tertentu.

Bak menceburi bidang berfileman sebagai pegawai perhubungan Cathay Keris dan penulis skrip pada 1953. Di antara filem-filem yang skripnya beliau tulis termasuklah: Mahsuri, Patung Cendana, Ikan Emas, Tun Fatimah, Keranda Berdarah, Gurindam Jiwa, Rumah Itu Dunia Aku (dipadankan daripada novel beliau yang berjudul sama) dan lain-lain. Sepanjang pelibatannya dengan Cathay Keris dari 1953 sehingga 1971, Bak telah melahirkan 20 skrip filem dan membantu banyak yang lain. Apakah keistimewaan dunia filem ini? Menurut Bak, ia adalah suatu kesinambungan bagi bidang sastera. Dalam filem juga ada sasteranya dan menggambar serta membincangkan masalah manusia, cuma tekniknya sahaja yang berbeza. Dan kesannya bukan pula sedikit.

Buku Memoir Hamzah Hussin: Dari Keris Film Ke Studio Merdeka

Buku setebal 127 halaman dan diterbitkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1997 ini mengandungi 24 bab. Ia menyusur-galurkan perkembangan filem Melayu dari tahun-tahun 30-an sehinggalah 90-an, dan disertai oleh beberapa pandangan Bak mengenai perusahaan filem Melayu.

Filem-filem Nelayan dan Laila Majnun, terbit pada tahun 30-an, dianggap sebagai filem-filem terawal kita. Pada zaman itu, para pelakon terdiri daripada orang-orang Bangsawan seperti Yem, Tina, Habsah, Dara, Hj Gong, Adi Teruna, Juriah, Mustajab, Puteh Lawak, Aman Belon dan lain-lain. Masyarakat pula tidaklah memandang tinggi terhadap orang-orang yang melibatkan diri dalam dunia perfileman ketika itu. Bak mencatatkan persaingan di antara Shaw Brothers dan Cathay, dan orang-orang yang menggerakkan gergasi-gergasi filem ketika itu. Misalnya, Ho Ah Loke menubuhkan ‘Rimau Film Production’ pada 1947, untuk menyaingi Shaw Brothers, tetapi ini tidak dapat bertahan lama. Tahun 1953, Ho Ah Loke menubuhkan Keris Film dan tahun 1954, bersama Loke Wan Tho sebagai rakan kongsi, beliau menubuhkan pula Cathay Keris, yang kompleks studionya terletak di East Coast Road, Singapura. Saingan ini menyebabkan Shaw Brothers, yang kompleks studionya terletak di Jalan Ampas, Singapura, menukar nama kepada ‘Malay Film Productions’.

Bak mencatatkan penelitian Ho Ah Loke – bahawa terdapat ‘filem kosong’, filem yang kaya dengan seni tetapi tidak menguntungkan dan ‘filem berisi’, filem yang kurang keseniannya tetapi mendatangkan pulangan yang lumayan. Dan penelitian Bak juga menunjukkan, karya filem yang baik, mesti juga boleh menambat penonton-penonton bukan Melayu. Contoh yang baik ialah filem Pontianak (1957) lakonan Maria Menado. Filem ini dialihbahasa kepada bahasa Kantonis dan juga dijual di Amerika. Ia tayangkan selama 2 bulan di Panggung Cathay (masa itu filem-filem Melayu jarang mendapat tayangan lama di panggung-panggung besar) dan 3 bulan di Panggung Taj, di Geylang Serai dan meluas ditayangkan di Malaya, Sarawak dan Brunei.

Bak juga mencatatkan bahawa filem-filem P. Ramlee terutamany, siri Bujang Lapuknya mendapat sambutan ramai. Malah, kebolehan P. Ramlee sebagai pengarah, dimulai dengan filem Penarik Beca (1955), membuka peluang bagi pengarah-pengarah Melayu diketengahkan dalam dunia perfileman kita, yang rata-ratanya dimonopoli oleh pengarah-pengarah dari India dan sedikitnya dari Filipina. Dalam filem-filem arahan pengarah Melayu, misalnya Penarik Beca (1955 – P. Ramlee), Batu Belah Batu Bertangkup (1959 – Jamil Sulong), Hang Jebat (1961 – Hussin Haniff), Sri Mersing (1961 – Salleh Ghani) dan lain-lain, rata-rata mendapat sambutan, sebahagiannya kerana mercupnya semangat nasionalisme ketika itu.

Memoir Bak juga merakamkan perkembangan dunia perfileman Melayu di Merdeka Studio pada 1958, tertubuhnya PERFIMA pada 1971, keluarnya P. Ramlee dan H.M.Shah dari PERFIMA dan menubuhkan Rumpun Melayu pada 1973, dan akhirnya, tertubuhnya FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional) pada 1981 dan beberapa perkembangan semasa. Satu yang jelas, semasa membaca memoir Bak ialah keinginan beliau agar usaha perfileman ini dapat dibuat dengan lebih bersungguh-sngguh dan mendapat bantuan beberapa pihak, kerana dunia perfileman ini menjanjikan sesuatu yang bererti kepada khalayak ramai, sama seperti seni sastera dapat mengesankan kehidupan.

Kesimpulan
Pertemuan saya dengan Bak banyak membuka minda saya mengenai dunia sastera dan perfileman kita. Beliau adalah salah seorang ‘khazanah’ kita; warga Singapura yang berkongsi ilmu dengan sesiapa sahaja di Finas.

Seperti menemui sasterawan-sasterawan veteran kita yang lain, misalnya Pak Muhd Ariff, Pak Masuri, Pak Ghani Hamid, Pak Aliman dan membaca mengenai penulis-penulis lama kita yang telah berpulang, misalnya, Cikgu Harun Aminurrashid, Pak Mahmud Ahmad, A.H.Edrus, Jah Lelawati, Noor S. I., Pak Suradi Parjo, H. Hanim dan lain-lain, saya terfikirkan sejauh manakah kita telah mendokumentasikan karya-karya mereka ini dan memanfaatkan kelebihan pengalaman dan ilmu yang mereka miliki. Mungkin sudah tiba masanya usaha bersungguh-sungguh ke arah ini kita mulakan, sebelum mereka hilang daripada pandangan atau yang telah pergi, pudar terus dalam lipatan sejarah seni dan sastera kita. Sebagaimana kata Bak dalam seni kata lagu ciptaannya dari skrip filem tulisannya Gurindam Jiwa:

Tuai padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Intai kami antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan

……………………………………..

Batang selasih permainan budak
Daun selasih dimakan kuda
Bercerai kasih talak tiada
Seribu tahun kembali jua

Dan kita mungkin tidak punya masa seribu tahun untuk mengingati segala sumbangan dan jasa mereka…

Ditulis : 14-15 Mac 1997
Taman Pantai Indah, Pantai Dalam, KL, Malaysia
Tersiar: Berita Minggu (Singapura), pada 6 April 1997
Tajuk Asal: Tokoh Sastera Dan Kritik Filem Hamzah Hussin
Tulisan: Rasiah Halil.

Catatan Kecil Mei 2015

Ada tulisan yang ingin saya selesaikan mengenai Allahyarhamah Biduanita Sharifah Aini, masih lagi tertunda kerana kesihatan yang tidak sebaiknya dan juga kerana beberapa hal yang turut menyerabuti fikiran dan perasaan saya.

Bila tragedi menimpa, kita kadangkala begitu gamam. Dalam sebulan dua ini kita menyaksikan Nepal digegarkan gempa bumi sebanyak dua kali. Banyak negara yang membantu dan ia menimbulkan keperihatinan dunia. Di Singapura, selain pemerintah, badan-badan kebajikan, masjid-masjid serta pelbagai rumah ibadat dan orang perseorangan turut membantu. Yang turut mengharukan ialah kutipan derma daripada para pelajar, termasuk para pelajar dan bekas pelajar salah sebuah sekolah saya, Sekolah Menengah Bartley. Sejak dahulu lagi, di Sekolah Bartley memang terdapat pelajar dari Nepal kerana kem askar-askar Gurkha dan keluarga mereka terletak tidak jauh dari sekolah tersebut. Tetapi ia mengharukan saya bukan hanya ia berkaitan dengan sebuah sekolah lama – kita terharu menyaksikan penderitaan rakyat dan pengunjung Nepal dan turut terharu memaklumi bantuan sesama insan yang dihulurkan untuk rakyat dan negara tersebut. Harapan kita semoga Nepal dan rakyatnya akan pulih semangat mereka untuk membangunkan negara mereka sebaiknya.

Namun air mata kita belum pun selesai diseka, kita menyaksikan pula kisah orang-orang Rohingya dan Bangladesh yang terumbang-ambing di laut/lautan terbuka. Dan kita membaca juga mengenai kubur-kubur yang tohor, yang dijumpai di Thailand, yang diisi mayat-mayat orang Rohingya. Kita tahu ada dalang yang mengambil kesempatan daripada tragedi yang menimpa orang-orang Rohingya ini dan hal ini seharusnya diselesaikan daripada akar umbinya. Isu penyeludup manusia itu penting tetapi terlebih penting ialah bagaimana mereka yang telah lama menginap di sesebuah negara tiba-tiba diperlakukan bagaikan haiwan buruan di negara tersebut. Apakah manusia sanggup bergadai nyawa di lautan terbuka kalau keadaan hidup mereka di negara tempat mereka menginap, saksama melayan mereka? Bagaimana kumpulan-kumpulan tertentu boleh mengaku mereka ‘orang baik-baik’ tapi pada masa yang sama, melakukan pelbagai kejahatan terhadap kelompok yang tidak seagama dengan mereka? Dan buat beberapa ketika yang amat lama, seorang wanita yang diberi Hadiah Nobel bagi Kedamaian, wanita yang saya baca karya-karyanya, hormati dan ikuti perjuangannya, tidak pun bersuara bila orang-orang Rohingya dizalimi, sehinggalah baru-baru ini. Bukan kerana orang-orang Rohingya itu orang-orang Islam, lantas kita harus lantang bersuara mengenai bencana yang menimpa mereka. Kita bersuara kerana mereka adalah insan seperti kita, walaupun seandainya mereka tidak seagama dengan kita. Kemanusiaan kita yang harus mendera dan menggugat kita untuk cuba membantu bila bencana sebegini berlaku. Benar, ada banyak perkara yang harus diselesaikan dengan baik oleh Thailand, Malaysia dan Indonesia bagi menerima orang-orang Rohingya ini kerana setiap negara ini tidak boleh sekadar membuka pintu mereka tanpa menyelesaikan kekalutan ini daripada akar umbinya. Tetapi kita sebagai negara-negara berjiran dan di dalam ASEAN tidak boleh berlepas tangan – kerana nyawa ribuan orang akan terus terumbang-ambing dalam kapal-kapal di laut dan lautan. Akankah hati nurani kita terus tenang jika kita tidak melakukan sesuatu atau terus menerus menyalahkan sejarah dan penjajah yang membawa sebilangan orang-orang Rohingya ini bermastautin di daerah-daerah tertentu? Nurani kita akan terus menangis jika sebilangan kita hanya berpeluk tubuh sebagaimana kita menangis menyaksikan pelbagai tragedi perang, pengganasan, kebencian yang tidak terbendung dan pelbagai anasir tegar yang memecah-belahkan masyarakat dunia kini.

Biarlah kita belajar untuk menjadi lebih ihsan dan prihatin terhadap mereka yang ditimpa pelbagai bencana kerana, bak dinyanyikan Ramli Sarip, ‘yang ada hanyalah kehidupan’. Semoga Allah memudahkan kita membantu dan meringankan masalah dan beban sesama kita, makhluk-Nya, walaupun betapa berbeza bangsa, agama atau negara kita. Amin.

Ditulis: 20 Mei 2015

Tulisan: Rasiah Halil.

Tiga Puisi: Setinggan, Senyap Dan Halimunan

Setinggan

Mereka duduk di luar
bagai menghuni rumah terindah
kanak-kanak tak berbaju
rambut berdebu
bermain dengan anjing tempang
bahagia dalam penderitaan.

Seorang ibu yang menyusu
terpinggir di kaki lima
& sekawan wanita mencari kutu
menjual kuih
dengan wajah diteriki 38 darjah
& Madras resah.

Ribuan manusia di mana-mana
& kanak-kanak bagai buruh paksa
didera kehidupan
dihimpiti kereta lembu, bajaj,
bas sesak, teksi zaman 50-an,
sampah bertimbunan
makanan dijual di tepi jalan
& manusia bertali-arus
kadangkala tanpa kasut
bagai air yang terkeluar empangan.

Setinggan adalah Madras
tidak seindah filem-filem Hindi, Tamil,
lagunya kemiskinan
plotnya penderitaan
& temanya pengabaian.

Ditulis: 1 Jun 1995
Madras, India
Tulisan: Rasiah Halil.

Senyap
(Rwanda 10 Tahun)

Mereka yang kini bersorak
pasal demokrasi
hak asasi
perubahan-perubahan strategik
hanya membisu
tika Rwanda meraung
rakyatnya dikelar, disiat,
kemanusiaannya dicincang lumat
& nuraninya dikubur dalam 2,400 jam
seolah sejarah tidak pernah mengajar
sekadar jeda, tapi berulang.

Siapakah yang mendengar jeritanmu
bagai teriakan si cacat, si bisu,
kerana kau ditakdirkan miskin
tanpa minyak atau kedudukan penting
atau boleh dijadikan bidak
dalam percaturan Si Kuat
lantas kau dibiarkan
meraung dalam sepi
dibaham petaka dahsyat ini.

Siapakah yang kini benar-benar berani
mendongak, tanpa disalut pengabaian ini
di tengah Tutsi, Hutu, atau siapa pun mangsa
& bersuara dengan nurani peka:
bahawa telah kita cuba menghalang
bahawa telah kita cuba menghulur bantuan
kecuali segelintir
insan yang tiadakan lupa erti kemanusiaan.

Ditulis: 7 April 2004
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Halimunan

Dia halimunan pada musim-musim berkala
musafir yang semakin ditiadakan wadinya
padang pasir gersang, luas,
angin berdebu, mentari ganas,
& menjelma fatamorgana di mana-mana
melonglaikan perjalanannya.

Dia orang luar di tengah kota
halimunan di segala semesta
tetapi tidak pada sisi-Nya.

Ditulis: 28 Februari 2008
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Buku Menggapai Ridho Allah Oleh Habib Umar Hafidz

Menggapai Ridho Allah

FAHAMI ERTI AKHLAK

Buku: Menggapai Ridho Allah Dengan Sebuah Kajian Akhlak Praktis
Penulis: Habib Umar Hafidz (Nama penuh: Al-Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz)
Penerbit: Jakarta: Nurani Publishing, 2009.

Habib Umar Hafidz, seorang hafiz Quran, telah menimba pelbagai ilmu agama misalnya ilmu fiqh, usul fiqh, teologi, tasawuf, sejarah dan tata bahasa Arab. Dilahirkan di Tarim, Hadramaut, pada 1963, keluarganya terdiri daripada para ulama. Habib Umar telah menulis lebih daripada 12 buku, empat diwan syair selain ceramah-ceramahnya yang dirakamkan dalam bentuk kaset, CD dan VCD. Beliau merupakan pendiri perguruan di Tarim bernama Dar al-Mustafa. Buku ini telah diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh anak muridnya, Hamid Jakfar Al-Qadri.

Yang dipentingkan dalam buku ini ialah akhlak; bagaimana menghayati dan mengamalkan ciri-ciri akhlak ini dalam diri seseorang Muslim. Buku ini terbahagi kepada 30 pelajaran; di antaranya mengenai erti akhlak, makna sabar, santun, toleransi, silaturrahim, jujur, kasih sayang, berbakti kepada orang tua, baik kepada tetangga, membela yang teraniaya, menepati janji, tawaduk, menjaga kehormatan, mendidik anak, menyampaikan amanah dan sebagainya.

Akhlak, menurut Habib Umar, adalah beberapa sifat dan perangai yang memberi gambaran batin yang bersifat maknawi dan rohani kepada manusia. Akhlak (akhlaq), jamaknya, khuluq, kalau dihubungkan dengan manusia, kata khuluq lawan kata dari khalq (ciptaan, bentuk). Jasmani yang disusun rapi disebut husnul khalq iaitu gambaran lahiriah yang baik. Gambaran batin manusia yang baik, di sebut husnul khuluq (akhlak yang baik). Gambaran batin inilah yang dilihat Allah dan dengan gambaran itu pula manusia dibangkitkan di hari kiamat (halaman 7).

Sabar itu banyak cabangnya, menurut Habib Umar, dan sifat ini amat dianjurkan oleh Islam. Kita harus sabar dalam menjalankan ibadat dan meninggalkan maksiat, dan ini bukanlah perkara mudah. Berkaitandengan ini, Habib Umar menyentuh hal kesantunan dan marah; bagaimana kita harus berlaku santun antara sesamanya. Nabi saw mengingatkan bahawa ‘orang yang kuat adalah orang yang menguasai dirinya di saat marah’ (Riwayat Bukhari dan Muslim,halaman 36). Baginda saw misalnya memaafkan orang apabila kesalahan itu menyentuh hak peribadinya tetapi ia berbeza apabila ia menyentuh hak-hak Allah.

Marah, menurut Habib Umar, haruslah bertempat, berpandukan garis yang telah ditetapkan Islam. Beberapa topik yang disentuh Habib Umar amat relevan untuk kita fikirkan. Sejauh manakah kita menjalani hidup ini dengan menitikberatkan hal-hal tunjangan dan kemaslahatan umum?Apakah kita jujur dan amanah menjalankan tugas atau menjalani kehidupan harian? Benarkah kita menghargai orang tua kita? Bagaimana pula perhubungan kita dengan jiran tetangga? Benarkah kita tawaduk atau sebenarnya riyak dan takbur tapi pandai berselindung? Sebahagian daripada pelbagai perkara yang menyerabuti fikiran kita akan lebih jelas setelah membaca buku tulisan Habib Umar ini. Tanpa akhlak yang baik, segala amalan kita sia-sia belaka. Terlalu sibuk mengindahkan jasad dan wajah kita tanpa didampingi akhlak- akhlak mulia, tidak akan membuahkan apa-apa, sebagaimana sebuah syair Arab abad ke-16 yang dinukil oleh Habib Umar (hal. 10):

‘Barang siapa yang hanya menyibukkan diri di dalam memberi makanan jasadnya
tanpa memikirkan makanan ruhnya, maka mintalah balasannya kepada ulat dan cacing
-cacing yang akan memakannya.’

Semoga kita sama-sama menggapai reda Allah dengan mengamalkan beberapa akhlak mulia
yang dijelaskan Habib Umar Hafidz melalui bukunya ini.

Ditulis: 21 Januari 2010
Tersiar: Berita Harian, Singapura pada 28 Januari 2010
Tulisan: Rasiah Halil.

Seniman, Tragedi Dan Kemanusiaan

Mukadimah

Bencana alam yang tiba-tiba menjelma dan melenyapkan nyawa ribuan manusia dan menghancurkan kehidupan jutaan yang lain pada 26 Disember 2004 yang lalu, amat menyayat hati, baik bagi orang awam mahupun seniman. Tragedi yang menimpa Asia ini akan mengambil masa yang lama untuk memulihkan kehidupan mereka yang selamat. Dan berpuluh tahun selepas tragedi ini, akan ada seniman yang merujuk kepada bencana ini dan menggambarkan kesannya dalam cerita, drama, puisi, lukisan, filem dan lain-lainnya. Nietzsche pernah berkata: apa-apa yang tidak membunuh anda, akan membuat anda lebih kuat. Namun Susan Sontag, penulis Amerika yang baru meninggal dunia Disember lalu (2004), pernah menambah kata-kata Nietzsche itu dengan berkata: apa-apa yang tidak membunuh anda akan meninggalkan parutnya. Dan parut daripada apa pun tragedi sering menempiaskan kesannya dalam karya para seniman.
Karya-karya Berlatarkan Tragedi Dan Kemanusiaan – A. Samad Said

Jika kita meneliti karya-karya A. Samad Said  kita dapati salah satu jalur tema penulisannya ialah mengenai tragedi terutamanya tragedi perang dan kesannya kepada manusia. Ada juga novel penulis-penulis lain yang menggambarkan dengan baik perang dan kesannya misalnya novel Nyawa Di Hujung Pedang karya Ahmad Murad Nasaruddin dan Balik Dari Medan Perjuangan tulisan Ahmad Lutfi. Tetapi ternyata novel-novel A. Samad Said seperti Salina, Sungai Mengalir Lesu, Di Hadapan Pulau atau drama Lantai T. Pinkie dan juga banyak lagi karyanya yang lain menggambarkan perang dan kesannya. Mengapa A. Samad Said seolah-olah asyik berulang kepada tema yang sama, sehinggakan kini, misalnya apabila kita membaca novel Di Hadapan Pulau ditulis pula dalam bentuk drama monolog dan disiarkan dalam Dewan Sastera bulan November dan Disember 2004? Karya-karya A. Samad Said memang selalunya baik dan kita sering diperkayakan oleh kedalaman penulisan beliau, baik dari segi isi kandungan cerita mahupun teknik penulisannya. Banyak tema telah disentuh beliau dalam karya-karyanya tetapi tema perang seolah-olah lebih menonjol kerana inilah ‘parut’ yang mengesani zaman kanak-kanak dan pembesarannya. Dan meneliti zaman ini yang juga dicelarukan oleh pelbagai jenis peperangan, baik yang nyata ataupun sebaliknya, kita terasa betapa benarnya mesej perdamaian yang beliau gambarkan melalui kesan kehancuran perang. Mungkin tragedi peperangan telah lama mendak dalam kehidupan dan minda bawah sedarnya, lantas timbul rasa kemanusiaan yang mendalam dalam melakarkan watak-wataknya, terutama mereka yang telah dihancuri peperangan tadi; walaupun watak-wataknya tidak seratus peratus ‘baik’. Kerana beliau telah merasai lumpurnya tragedi perang, A. Samad Said juga dapat melihat indahnya kiambang kehidupan. Buruknya tragedi peperangan telah membolehkan beliau melihat kebaikan dalam diri manusia, walaupun ada watak-watak dalam karyanya yang memang jahat. Kebolehannya menyerapi kebaikan manusia, walaupun dalam keadaan yang serba kekurangan, dan melangkaui sempadan bangsa dan agama yang tidak dibuat-buat, walaupun beliau lebih banyak mengete-ngahkan watak-watak daripada masyarakat Melayu, menjadikan beliau penulis yang lebih manusiawi. Selain perwatakannya, mungkin tragedi perang yang telah memungkinkan beliau menjadi penulis sedemikian.
Karya-karya Pramoedya Dengan Latar Yang Sama

Tragedi juga telah mengesani karya-karya Pramoedya Ananta Toer. Dari zaman revolusi Indonesia sehinggalah zaman Orde Baru, beliau terlibat dan menyaksikan sendiri negaranya dibahangi api revolusi menentang Belanda dan juga pertempuran-pertempuran yang muncul selepas itu. Dari tragedi perang kepada kehuruharaan dalam pembinaan sebuah negara merdeka; dari era demokrasi terpimpin Sukarno sehinggalah era Orde Baru Suharto, berkali Pramoedya meringkuk di penjara kerana penglibatan politik dan pandangan-pandangannya. Dan tragedi-tragedi ini, baik dialami oleh negaranya, mahupun apa yang dialami secara peribadi, mengilhami karya-karyanya sejak mula misalnya Bukan Pasar Malam, Cerita Dari Blora, Cerita Dari Jakarta, Korupsi, Perburuan, Keluarga Gerilya, tetralogi Bumi Manusia, Gadis Pantai dan Nyanyian Sunyi Seorang Bisu. Dan walaupun pelbagai tragedi dialami ataupun disaksikannya, karya-karya Pramoedya tetap memberi semacam kesegaran mengenai keutuhan semangat manusia untuk meneruskan kehidupan. Tragedi-tragedi itu menjadikan penulisannya lebih bernafas kemanusiaan, bukan sekadar hitam putihnya kehidupan yang kejang. Dan keburukan itu boleh dilakukan oleh kedua-dua pihak yang berbalah, bukan sekadar pihak yang disokong watak ‘aku’ dalam karya Pramoedya. Beliau dapat menyisihkan dirinya dalam merakamkan tragedi dan peristiwa tertentu, walaupun amat terlibat dalam karya tersebut, dan penyisihan ini membolehkan beliau memberi gambaran yang lebih manusiawi. Protagonis Minke dalam tetralogi Bumi Manusia misalnya, belajar untuk membangunkan diri dan masyarakatnya dan berani menentang penjajah Belanda, namun dia juga tahu bukan semua orang Belanda berwatak penjajah. Yang ditentang Minke (dan secara tidak langsung, Pramoedya) ialah penjajahan, tetapi yang dapat diterima ialah manusia dan kemanusiaannya, walaupun orang tersebut, sebagaimana sebilangan guru Minke, adalah orang Belanda. Demikian juga ketika kita membaca pengalaman Pramoedya di Pulau Buru dalam karyanya Nyanyian Sunyi Seorang Bisu. Kita terharu membaca tragedi yang menimpa dirinya, tetapi penulisannya tidak memancing simpati kita secara murahan; kita tersentuh kerana apa yang beliau gambarkan tidak disensasikan atau dibuat sekadar hitam putih. Yang terserlah ialah kekuatan dalaman penulisnya dan rasa kemanusiaannya, walaupun dirinya dirundung malang. Mungkin Pramoedya menyetujui pandangan Mahatma Gandhi bahawa: ‘mereka boleh mematahkan tulang belulangku, tetapi mereka tidak boleh mematahkan semangatku’.
Tragedi Dan Kesannya

Munculnya Pelbagai Aliran Tertentu

Kadangkala berlakunya tragedi boleh melahirkan sesuatu yang agak berlainan pula. Salah satu aliran seni yang muncul selepas Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua ialah aliran absurdisme. Aliran ini dipengaruhi oleh aliran-aliran dadaisme (aliran yang melihat keburukan manusia dan penghuninya) dan surrealisme (di luar yang nyata atau real). Meledaknya kedua-dua perang dunia tadi semakin mencatatkan betapa kacau bilau dan bercelaru (lantas absurd) manusia dan kemanusiaan ini. Aliran absurdisme ini ditunjangi oleh falsafah eksistensialisme yang menganggap manusia ‘terbuang’ ke dunia dan segala usahanya sia-sia belaka dan walaupun manusia tadi boleh mengatasi halangan-halangan yang dihadapinya, usahanya boleh pada bila-bila masa, menghampakannya kerana tiada apa pun yang mantap dalam kehidupan ini. Perang, terutamanya Perang Dunia Kedua, yang telah membunuh jutaan jiwa manusia, menjadikan sebilangan seniman menganut aliran absurdisme ini. Kemanusiaan telah hancur di tangan mereka yang kononnya lebih bermoral dan beretika dengan meledaknya bom atom di Hiroshima dan Nagasaki, selain pembunuhan jutaan manusia di merata dunia; bagaimana mungkin dunia yang lebih bermoral diwujudkan oleh orang-orang yang kononnya beradab ini? Lantas, penganut aliran ini lebih mementingkan kewujudan, kebebasan, dan keputusan peribadi manusia itu sendiri daripada unsur-unsur moral, sosial, politik dan sebagainya yang dilembagakan, kerana ini akan menghakis pilihan manusia tadi. Falsafah eksistensialisme ini diasaskan oleh Soren Kierkegaard dan Friederich Nietzsche, diteruskan oleh Martin Heidegger dan dipopularkan oleh Jean-Paul Sartre. Dalam kesusasteraan, tulisan-tulisan Franz Kafka, Jean-Paul Sartre, Albert Camus, Simone de Beauvoir, Samuel Beckett dan Eugene Ionesco misalnya ada menggambarkan falsafah ini.

Bagaimana pula karya-karya seniman Jepun setelah meledaknya bom atom di Hiroshima dan Nagasaki? Pasti ramai merakamkan kesan kehancuran bom tadi sebagaimana seniman-seniman Vietnam juga merakamkan kesan Perang Vietnam dan agent orange dan napalm ke atas mereka. Demikian juga telah kita membaca dan menonton buku dan filem mengenai kesan Perang Vietnam bagi askar-askar dan masyarakat Amerika. Tragedi dunia yang dipentaskan di Afghanistan, Bhopal, Bosnia, Rwanda, Tiananmen Square, Iraq, New York, Beslan, Kashmir, Darfur, Selatan Thailand, Aceh, Sri Lanka, Timur Tengah, Bam, Kobe dan lain-lain pasti menggemakan nurani kita, kerana kepada golongan mana pun kita berpihak, hati kita tetap tersentuh oleh kehancuran manusia itu di tangan sesama manusia atau bencana alam. Apakah tragedi itu membuhulkan niat manusia untuk menjadikan kehidupan ini dan dirinya lebih baik atau menjadi pendendam, hanya manusia tersebut dapat menjawab.

Usman Awang Dan Erti Kemanusiaan

Usman Awang pernah berkata bahawa air mata seorang ibu Melayu atau Tionghoa adalah  sama kerana ia tetap menggambarkan kesedihan, keharuan dan mungkin juga kegembiraan ibu tadi. Ia tidak berbeza kerana ibu-ibu tadi berlainan bangsa atau menetap di negara yang berlainan. Demi-kian juga dalam puisinya ‘Kemanusiaan’, yang merakamkan kematian John F. Kennedy pada November 1963. Usman Awang menyatakan bahawa jika kita menangisi kematian orang ternama seperti Kennedy dan tidak pula menangisi kematian mereka yang tidak terkenal, kemanusiaan kita ‘tidak wujud di mahkota kebenaran’.

Dan tidak pula kurang kemanusiaan kita jika kita menggambarkan keburukan-keburukan yang dilakukan oleh manusia atau karya kita tertumpu pada satu bangsa manusia sahaja. Bezanya, jika unsur kemanusiaan itu menyirati karya seorang seniman, dalam segala gambaran keburukan itu, unsur kemanusiaannya tetap terserlah dalam karyanya. Dan ia tidak pula diserlahkan sekadar menampilkan watak-watak berlainan bangsa misalnya, dalam senario yang terlalu dibuat-buat, tanpa pertautan kemanusiaan yang sebenar. Contoh baik perkaitan kemanusiaan yang tidak dibuat-buat ialah watak-watak seperti Hilmy, Salina, Nahidah, Kurupaya Samy, Mak Jah, Bulat, Sunarto dan lain-lain dalam novel Salina. Dan adanya unsur kemanusiaan yang menyirati karya kita juga tidak bermakna kita melihat dunia ini dari kaca mata seorang Polyanna, watak dalam novel Leo Tolstoy yang berjudul sama. Polyanna melihat manusia serba baik dan seolah-olah menyorok kepalanya ke bumi, bagaikan burung kasuari, terhadap keburukan manusia. Kerana Polyanna tidak melihat keburukan itu, lantas keburukan tersebut tidak wujud. Pandangan sebegini adalah gambaran sebuah Utopia, bukan gambaran manusia di bumi nyata. Perwatakan manusia adalah pembauran watak-watak malaikat dan haiwan, dan seniman yang bernafas kemanusiaan dapat mengkedepankan watak-watak sebegini tanpa menghilangkan atau mengurangkan rasa kemanusiaan kita. Dan rasa serta suara kemanusiaan inilah yang akan membolehkan manusia, baik seniman atau yang lainnya melayari bahtera kehidupan dengan lebih sejahtera.

Dengan menanjapkan unsur kemanusiaan ini, seorang seniman itu tidak akan menggadaikan nuraninya, apa pun yang dipancingkan untuknya. Dia akan tetap bersuara, bukan hanya untuk merakamkan kematian seorang Kennedy, tetapi juga mengenai seorang ‘Pak Utih’, ‘Penjual Pisang Di Kaki Lima’, ‘Penjual Air Batu’ kerana suara kemanusiaannya akan selalu digemakan untuk mereka yang kecil, kerdil, dan terpinggir dan mungkin tiada lowongan untuk menyatakan resah risau dan dan ria gembira mereka.

Penutup

Kemanusiaan kitalah yang terus tersentuh menyaksikan kesan daripada bencana alam atau persengketaan manusia. Dan dengan segala kekurangan dan keterbatasan kita sebagai manusia, kita harus berani menyuarakan suara kemanusiaan bila kita temui perkara-perkara yang mencengkam manusia dan kehidupan. Kerana hanya dengan suara-suara kemanusiaan berserta inti kepedulian yang tebal, dapat kita layari bahtera kehidupan dalam kapal yang bernama planet Bumi ini. Tanpanya, ramai yang akan terus terpinggir dicengkam bencana alam dan sengketa berterusan sebagaimana dipuisikan oleh penyair Russia, Rasul Gamzatov (tersiar dalam Jurnal Jejak Kembara, Jilid 1, Bilangan 3, Disember 1979/80, terjemahan saya):

Dunia Kita Adalah Sebuah Kapal
(Our World’s A Ship)

Dunia kita adalah sebuah kapal. Angin
ribut yang tiba-tiba meniup
mengacau-bilaukan kerapian kapal kita yang
kerdil dan kecil
tetapi di bahagian bawah kapal, perempuan-
perempuan memeluk-meluk anak-anak mereka
dan yang pandai berenang hanya segelintir cuma.

Demikianlah, jika penumpang-penumpang
dicerai-beraikan oleh kebencian
dan pertengkaran-pertengkaran kelasi
membahayakan nyawa dan badan,
apakah yang bakal menimpa kapal ini, apalah nasib
bagi mereka yang lemah dan kerdil serta
tak pandai berenang?

Ditulis: 3 – 5 Januari 2005
Tersiar: Ruangan Tun Fatimah, Berita Minggu (Singapura) dengan tajuk-tajuk berlainan.
Tulisan: Rasiah Halil.