Profil Tokoh Sastera Dan Kritik Filem: Hamzah Hussin

Hamzah Hussin 1Hamzah Hussin 2

Pengenalan

Tiada sesiapa yang dapat mengkaji perkembangan kesusasteraan Melayu baharu, terutamanya, zaman Angkatan Sasterawan ’50 (ASAS 50 ), tanpa menemui nama beliau. Hamzah, atau nama sebenarnya, Abdul Majid bin Hussin, dilahirkan pasa 27 Julai 1927, di Singapura. Hidup beliau beranjau: daripada menjadi wartawan di Royal Press, Harmy dan Melayu Raya Press, sehinggalah menjadi pegawai perhubungan/penulis skrip di Cathay Keris, kemudian menjadi pengurus besar Sari Filem (perusahaan filem seniwati Sarimah), pengurus syarikatnya sendiri, Citra Filem, dan kini beliau menjadi konsultan filem di Finas, Hulu Kelang, Selangor.

Terdapat beberapa buah latihan ilmiah dan tesis ditulis mengenai beliau – bukan sahaja mengenai sumbangannya dalam bidang sastera, tetapi juga bidang perfileman. Menjadi Karyawan Tamu Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1993, Pak Hamzah, atau lebih mesra dipanggil ‘Bak’ (singkatan bagi ‘Bapak’), telah menyiapkan memoirnya, Dari Keris Film Ke Studio Merdeka baru-baru ini. ‘Buku ini hati saya’, demikian tulis Pak Hamzah dalam buku yang diberikan kepada saya baru-baru ini di pejabatnya di Finas. Membacanya dan menelusuri karya-karyanya yang lain membuat saya lebih mengenali siapakah seniman Singapura ini, yang pada usia hampir 70 tahun, masih tajam pemikiran dan pandangan hidupnya.

Latar Hidup Hamzah Hussin Dan Penceburan Seninya

Bak terdidik di sekolah Arab/Agama dan Inggeris di Singapura. Anak kedua dalam 13 orang adik-beradik, beliau melalui kehidupan yang sukar dan terpaksa menjaja kuih untuk membantu keluarga. Ayahnya mempunyai sebuah kedai buku, ‘Union Book Store’, menjadi penjual buku dan juga penerbit. Misalnya, sebuah karya dari Riau, berjudul Hikayat Sharifatul Akhtar diterbitkan oleh ayah beliau. Dan ayahnya juga menulis syair. Bak membantu ayahnya menjaga kedai di waktu malam. Dikelilingi buku dan minatnya yang mendalam membuat Bak begitu luas pembacaannya, bukan hanya buku-buku Melayu tetapi juga buku-buku Inggeris. Dan beliau juga terkenal alim dan luas pembacaannya mengenai Islam. Latar sedemikian banyak membantu Bak menjadi penulis yang baik.

Karya pertama Bak, sebuah cerpen, berjudul ‘Pembunuhan Dalam Sebuah Studio’ terbit dalam Majalah Filem pada 1946. Terbitnya karya ini mendorong beliau untuk terus terlibat dalam dunia seni. Cikgu Harun Aminurrashid, tuan punya Majalah Hiburan, kemudian memberi Bak kesempatan menulis kritik filem dari Hollywood dan juga tempatan. Bidang baharu ini menjadikan beliau lebih peka terhadap pembikinan dan kesan filem, bidang seni yang popular ketika itu.

Bak menulis cerpen, sajak, esei, kritik filem, novel dan skrip filem. Di antara karya-karyanya yang telah dibukukan termasuklah: Sengketa (antologi cerpen bersama isterinya, H.Hanim) dan novel-novel: Rumah Kosong, Rumah Itu Dunia Aku, Samseng, Di Mana Terbitnya Si Matahari, Pemburu Kembali Ke Rumahnya, Tarikh Berlari Liar dan Hujan Air Mata. Esei-eseinya banyak terdapat, tetapi sejauh ini belum dibukukan secara persendirian. Karya-karya Bak diterbitkan dalam Majalah Hiburan, Fashion, Mastika, Mutiara, Kisah, Belia, Utusan Zaman, Bintang dan lain-lain.

Membaca karya-karyanya kita akan temui suatu kelainan: keinginan beliau untuk mementingkan teknik, bukan sekadar mesej sahaja. Kadangkala membaca novelnya memberi gambaran imbasan filem, kerana cara kupasannya demikian. Namun, beliau tidak pernah mengkesampingkan isu-isu masyarakat; ia sekadar diolah dengan lebih berseni dan bukan propaganda hambar. Dalam novelnya Rumah Itu Dunia Aku, misalnya, Bak membidas pandangan ‘berkasta’ beberapa kelompok masyarakat Melayu-Islam di Singapura; yang tidak membenarkan ahli-ahlinya, terutama wanita, berkahwin dengan kelompok lain, kerana ‘rendah martabat’nya. Masalah ini memang beliau maklumi secara peribadi dan juga menjadi masalah besar di kalangan masyarakat Melayu-Islam di Singapura pada tahun-tahun 40-an dan 50-an dahulu. Dan dalam novelnya, Rumah Kosong pula, Pak Hamzah mengupas konflik dalaman watak-wataknya, suatu teknik yang jarang kita temui pada zaman 50-an itu, dan beliau juga mencatatkan unsur psikologi dan seksualiti manusia, tanpa gambaran lucah, dengan berkesan. Gejala-gejala yang beliau garap bukan baharu, tetapi teknik penceritaan dan unsur-unsur yang membina novel-novelnya menimbulkan kelainan.

Bak adalah seorang pengasas ASAS 50, malah pernah menjadi Ketua Satunya. Polemik ‘seni untuk seni’ yang ditunjangi beliau dan ‘seni untuk masyarakat’ yang didokongi Asraf, membuat beliau keluar dari ASAS 50. Bak beranggapan, seni itu tidak boleh dihambari propaganda, dan pada zaman itu, beliau terlihat banyak pengaruh komunisme dalam karya-karya yang bertunjangkan ‘seni untuk masyarakat’. Beliau takuti, seandainya semua yang silam dibuang, sebagaimana tegasan beberapa penulis ketika itu, yang akan turut dibuang ialah agama Islam. Dan dengan ‘seni untuk seni’ pula tidak bererti seseorang seniman itu tidak mempunyai mesej atau mahu membantu kemanusiaan sejagat. Polemik tersebut berlarutan begitu lama pada tahun 50-an itu, dan akhirnya Bak menubuhkan Angkatan Persuratan Melayu Baru pada April 1954. Pertubuhan ini tidak bertahan lama. Dan setelah berakhirnya polemik ini, beliau sukar mendapat tempat di media massa, kerana rata-ratanya ia dikuasai oleh orang-orang tertentu.

Bak menceburi bidang berfileman sebagai pegawai perhubungan Cathay Keris dan penulis skrip pada 1953. Di antara filem-filem yang skripnya beliau tulis termasuklah: Mahsuri, Patung Cendana, Ikan Emas, Tun Fatimah, Keranda Berdarah, Gurindam Jiwa, Rumah Itu Dunia Aku (dipadankan daripada novel beliau yang berjudul sama) dan lain-lain. Sepanjang pelibatannya dengan Cathay Keris dari 1953 sehingga 1971, Bak telah melahirkan 20 skrip filem dan membantu banyak yang lain. Apakah keistimewaan dunia filem ini? Menurut Bak, ia adalah suatu kesinambungan bagi bidang sastera. Dalam filem juga ada sasteranya dan menggambar serta membincangkan masalah manusia, cuma tekniknya sahaja yang berbeza. Dan kesannya bukan pula sedikit.

Buku Memoir Hamzah Hussin: Dari Keris Film Ke Studio Merdeka

Buku setebal 127 halaman dan diterbitkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1997 ini mengandungi 24 bab. Ia menyusur-galurkan perkembangan filem Melayu dari tahun-tahun 30-an sehinggalah 90-an, dan disertai oleh beberapa pandangan Bak mengenai perusahaan filem Melayu.

Filem-filem Nelayan dan Laila Majnun, terbit pada tahun 30-an, dianggap sebagai filem-filem terawal kita. Pada zaman itu, para pelakon terdiri daripada orang-orang Bangsawan seperti Yem, Tina, Habsah, Dara, Hj Gong, Adi Teruna, Juriah, Mustajab, Puteh Lawak, Aman Belon dan lain-lain. Masyarakat pula tidaklah memandang tinggi terhadap orang-orang yang melibatkan diri dalam dunia perfileman ketika itu. Bak mencatatkan persaingan di antara Shaw Brothers dan Cathay, dan orang-orang yang menggerakkan gergasi-gergasi filem ketika itu. Misalnya, Ho Ah Loke menubuhkan ‘Rimau Film Production’ pada 1947, untuk menyaingi Shaw Brothers, tetapi ini tidak dapat bertahan lama. Tahun 1953, Ho Ah Loke menubuhkan Keris Film dan tahun 1954, bersama Loke Wan Tho sebagai rakan kongsi, beliau menubuhkan pula Cathay Keris, yang kompleks studionya terletak di East Coast Road, Singapura. Saingan ini menyebabkan Shaw Brothers, yang kompleks studionya terletak di Jalan Ampas, Singapura, menukar nama kepada ‘Malay Film Productions’.

Bak mencatatkan penelitian Ho Ah Loke – bahawa terdapat ‘filem kosong’, filem yang kaya dengan seni tetapi tidak menguntungkan dan ‘filem berisi’, filem yang kurang keseniannya tetapi mendatangkan pulangan yang lumayan. Dan penelitian Bak juga menunjukkan, karya filem yang baik, mesti juga boleh menambat penonton-penonton bukan Melayu. Contoh yang baik ialah filem Pontianak (1957) lakonan Maria Menado. Filem ini dialihbahasa kepada bahasa Kantonis dan juga dijual di Amerika. Ia tayangkan selama 2 bulan di Panggung Cathay (masa itu filem-filem Melayu jarang mendapat tayangan lama di panggung-panggung besar) dan 3 bulan di Panggung Taj, di Geylang Serai dan meluas ditayangkan di Malaya, Sarawak dan Brunei.

Bak juga mencatatkan bahawa filem-filem P. Ramlee terutamany, siri Bujang Lapuknya mendapat sambutan ramai. Malah, kebolehan P. Ramlee sebagai pengarah, dimulai dengan filem Penarik Beca (1955), membuka peluang bagi pengarah-pengarah Melayu diketengahkan dalam dunia perfileman kita, yang rata-ratanya dimonopoli oleh pengarah-pengarah dari India dan sedikitnya dari Filipina. Dalam filem-filem arahan pengarah Melayu, misalnya Penarik Beca (1955 – P. Ramlee), Batu Belah Batu Bertangkup (1959 – Jamil Sulong), Hang Jebat (1961 – Hussin Haniff), Sri Mersing (1961 – Salleh Ghani) dan lain-lain, rata-rata mendapat sambutan, sebahagiannya kerana mercupnya semangat nasionalisme ketika itu.

Memoir Bak juga merakamkan perkembangan dunia perfileman Melayu di Merdeka Studio pada 1958, tertubuhnya PERFIMA pada 1971, keluarnya P. Ramlee dan H.M.Shah dari PERFIMA dan menubuhkan Rumpun Melayu pada 1973, dan akhirnya, tertubuhnya FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional) pada 1981 dan beberapa perkembangan semasa. Satu yang jelas, semasa membaca memoir Bak ialah keinginan beliau agar usaha perfileman ini dapat dibuat dengan lebih bersungguh-sngguh dan mendapat bantuan beberapa pihak, kerana dunia perfileman ini menjanjikan sesuatu yang bererti kepada khalayak ramai, sama seperti seni sastera dapat mengesankan kehidupan.

Kesimpulan
Pertemuan saya dengan Bak banyak membuka minda saya mengenai dunia sastera dan perfileman kita. Beliau adalah salah seorang ‘khazanah’ kita; warga Singapura yang berkongsi ilmu dengan sesiapa sahaja di Finas.

Seperti menemui sasterawan-sasterawan veteran kita yang lain, misalnya Pak Muhd Ariff, Pak Masuri, Pak Ghani Hamid, Pak Aliman dan membaca mengenai penulis-penulis lama kita yang telah berpulang, misalnya, Cikgu Harun Aminurrashid, Pak Mahmud Ahmad, A.H.Edrus, Jah Lelawati, Noor S. I., Pak Suradi Parjo, H. Hanim dan lain-lain, saya terfikirkan sejauh manakah kita telah mendokumentasikan karya-karya mereka ini dan memanfaatkan kelebihan pengalaman dan ilmu yang mereka miliki. Mungkin sudah tiba masanya usaha bersungguh-sungguh ke arah ini kita mulakan, sebelum mereka hilang daripada pandangan atau yang telah pergi, pudar terus dalam lipatan sejarah seni dan sastera kita. Sebagaimana kata Bak dalam seni kata lagu ciptaannya dari skrip filem tulisannya Gurindam Jiwa:

Tuai padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Intai kami antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan

……………………………………..

Batang selasih permainan budak
Daun selasih dimakan kuda
Bercerai kasih talak tiada
Seribu tahun kembali jua

Dan kita mungkin tidak punya masa seribu tahun untuk mengingati segala sumbangan dan jasa mereka…

Ditulis : 14-15 Mac 1997
Taman Pantai Indah, Pantai Dalam, KL, Malaysia
Tersiar: Berita Minggu (Singapura), pada 6 April 1997
Tajuk Asal: Tokoh Sastera Dan Kritik Filem Hamzah Hussin
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s