Archive | June 2015

Catatan Ringkas 16 Jun 2015

Beberapa berita yang menyedihkan dan menggembirakan berbaur pada bulan Jun ini. Kita digegarkan oleh gempa bumi di Gunung Kinabalu yang meragut nyawa sebilangan orang Malaysia dan Singapura pada 5 Jun lalu. Di Singapura, yang terkorban merupakan dua orang guru, tujuh pelajar dan seorang pemandu/instruktor kem yang mengiringi para guru dan pelajar Tanjong Katong Primary School. Kita sedih dengan kematian yang tiba-tiba ini, lebih-lebih lagi nyawa kanak-kanak yang masih terlalu muda. Namun nyawa sesiapa pun, baik yang muda atau lebih dewasa, amat berharga. Singapura memperingati mangsa-mangsa gempa bumi pada 8 Jun lalu dan sebilangan orang masih terlalu terharu menerima berita buruk begini. Namun, dalam kesedihan kita, terdengar pula suara-suara yang menyalahkan pihak Kementerian Pendidikan dan Tanjong Katong Primary School kerana menganjurkan pendakian di Gunung Kinabalu. Kita boleh membuat pelbagai persiapaan dan peraturan agar para pelajar kita tidak didedahkan kepada bahaya tetapi tiada sesiapa pun boleh mengawal semua hal, apa lagi bencana alam yang amat jarang berlaku. Dengan beberapa peraturan yang lebih menjaga keselamatan para pelajar, guru dan pemandu pendakian/kem, tentunya meneruskan kegiatan-kegiatan sebegini banyak faedahnya kepada para pelajar kita. Dalam tragedi, unsur-unsur terbaik dan terburuk manusia semakin ketara. Tragedi gempa bumi ini menyerlahkan semangat saling membantu kita – baik yang menjadi mangsa mahupun yang terselamat dan mereka yang megikuti berita ini dari jauh tetapi berasa dekat di hati untuk melakukan sesuatu. Gambar dan kisah malim gunung (mountain guides) yang membantu tanpa mengenal lelah dan mereka yang tidak mati semangat menyelamatkan pendaki Gunung Kinabalu harus kita tabik. Semangat mereka memberi iktibar kepada kita dan semoga bantuan kita kepada mereka juga tidak terputus kerana mata pencarian mereka lenyap dengan gempa bumi yang melanda Gunung Kinabalu. Dalam meneliti berita sedih ini, kita memaklumi juga ada berita baik untuk sukan iaitu Sukan SEA yang ke-28 dengan Singapura menjadi tuan rumah sukan tersebut pada kali ini. Melihat anak-anak muda kita bersukan, memecahkan rekod satu-satu acara ataupun bekerjasama demi menguatkan lagi pasukan masing-masing, memberi harapan kepada kita. Sukan banyak mengajar manusia – kalau kita melihat sukan bukan hanya sebagai aktiviti untuk bermegah kerana mendapat pingat terbanyak. Disiplin dalam bersukan dan banyak nilai baik dapat ditanam semasa sesorang itu bersukan. Semoga kerjasama semasa bersukan ini akan berterusan dalam kalangan yang lebih besar kerana akhirnya kita hanya memiliki Bumi ini untuk dihuni. Seandainya kita bercakaran atau enggan mempeduli di antara satu sama lain, besar kemungkinan kehidupan kita akan lebih terjejas. Bagi mangsa-mangsa gempa bumi Gunung Kinabalu dan keluarga mereka kita berharap keluarga yang ditinggalkan akan tabah menerima hakikat ketiadaan seseorang dalam kehidupan mereka. Dan bagi peserta, penganjur dan sukarelawan Sukan SEA, harapan kita semoga cintakan sukan akan memupuk benih-benih kerjasama yang bakal dituai pada masa-masa mendatang.

**************************************************************

Saya akhirnya melengkapkan sedikit kenangan saya mengenai Allahyarhamah Biduanita Sharifah Aini, setelah hampir setahun beliau berpulang ke rahmatullah pada 7 Ramadan 1435 Hijriah bersamaan 5 Julai 2014 Masihi lalu. Sebelum ini saya telah menulis sedikit mengenai beliau dalam blog ini ‘(Al-Fatihah Buat Biduanita Sharifah Aini’ dalam ruangan-ruangan ‘Catatan’ dan ‘Sajak’ tersiar dalam blog ini pada 5 July/Julai 2014 dan puisi ‘Seribu Mawar Untuk Seri Dewi Malam’ dalam ruangan ‘Sajak’, tersiar dalam blog ini pada 21 August/Ogos 2014 ). Semoga masukan kali ini dapat memberi sedikit gambaran makna lagu-lagu Allahyarhamah bagi saya secara peribadi dan dunia seni kita secara umum.

***************************************************************

Kita akan menyambut bulan Ramadan 1436 Hijriah pada hari Khamis ini. Semoga Allah memberkati kita pada bulan mulia ini, memudahkan kita beramal, memanjangkan kebajikan sesama kita dan mengingatkan kita kepada mereka yang tiada lagi di sisi kita, insya-Allah.

Ditulis: 16 Jun 2015
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Kata Mutiara

SA MK 1SA MK 2

Either in figure or in landscape I should wish to express, not sentimental melancholy, but serious sorrow. In short, I want to reach so far that people will say of my work: he feels deeply, he feels tenderly…

This is my ambition, which is, notwithstanding everything, founded less on anger than on love, founded more on serenity than on passion. It is true that I am often in the greatest misery, but still there is within me a calm pure harmony and music.

In the poorest huts, in the dirtiest corner, I see drawings and pictures…

Art demands persistent work, work in spite of everything, and continuous observation.

*****Petikan Tulisan Pelukis Vincent Van Gogh*****

Music is the language of spirits. Its melody is like the frolicsome breeze that makes the strings quiver with love. When the gentle fingers of Music knock at the door of our feelings, they awaken memories that have long lain hidden in the depths of the Past. The sad strains of Music bring us mournful recollections; and her quiet strains bring joyful memories. The sound of strings makes us weep at the departure of a dear one, or makes us smile at the peace God has bestowed upon us.

The soul of Music is of Spirit, and her mind is of the Heart.

When God created Man, Music was given as a language different from all other languages. And early man sang her glory in the wilderness, and she drew the hearts of kings and moved them from their thrones.

Our souls are like tender flowers at the mercy of the winds of Destiny. They tremble in the morning breeze, and bend their heads under the falling dews of heaven.

The song of the bird awakens Man from his slumber and invites him to join in the singing of glory to Eternal Wisdom that has created the song of the bird.

Such music makes us ask ourselves the meaning of the mysteries contained in ancient books.

*****Petikan Tulisan Kahlil Gibran*****

Kukenang Dikau Dalam Doaku, Kak Ani

SA 1ASA 2 RH PhotoSA 5

Pengenalan

Bagaimanakah akan saya memulakan sebuah rentetan kenangan yang sebahagiannya telah pun dikongsikan oleh pelbagai lapisan masyarakat? Bagaimanakah membataskan sebuah kehidupan dan sumbangan seni seorang insan dalam kata-kata yang tidak mungkin dapat menggambarkan semua kenangan dan pengalaman? Dan siapalah saya, sekadar seorang penyair dan penulis, dan bukan sahabat peribadi atau keluarga terdekatnya untuk merungkai sebuah perjalanan yang bermula pada 2 Julai 1953 dan berakhir pada 5 Julai 2014? Berkali tulisan ini tertunda kerana beberapa hal, termasuk kesihatan saya, dan berkali saya seolah-olah ‘menulis’ apa yang saya anggap sebagai pelengkap kenangan saya – setelah menulis puisi dan satu dua kenangan ringkas saya mengenai Allahyarhamah Biduanita Sharifah Aini – hanya dalam fikiran saya kerana saya bagaikan tidak mampu melahirkannya dalam tulisan biasa di komputer. Mungkin di bawah sedar (subconscious) saya, dengan selesainya tulisan ini akan bermakna tertunai sudah ‘janji’ saya kepada Allahyarhamah, apabila mendengar berita pemergian beliau. Mungkin juga ia bermakna dengan tersuratnya kenangan ini, saya akhirnya benar-benar mengucapkan selamat tinggal kepada seorang insan seni yang lagu-lagunya turut memperkaya dan mewarnai kehidupan dan penglibatan seni saya.

Kisah Penulis Pico Iyer

Pico Iyer dalam bukunya, The Man Within My Head, menyelidik dan menulis mengenai penulis Graham Greene. Walaupun jurang umur mereka berbeza dan ada pengalaman-pengalaman mereka yang amat berbeza, namun terdapat juga titik-titik persamaan dalam kehidupan Iyer dan Greene misalnya dari segi pendidikan, pengalaman menulis dan beberapa pandangan mengenai seni dan kehidupan. Dan anehnya pula Iyer beberapa kali mendapati dirinya secara kebetulan berada di tempat-tempat yang pernah dilawati Greene dan kadangkala mengalami pengalaman yang hampir serupa dengan Greene. Kebetulan atau perkara-perkara yang tidak disangka-sangka ini boleh sahaja berlaku dalam kehidupan sesiapa dan tidak terbatas kepada orang seni sahaja. Saya membaca buku ini sebelum 2014 dan beberapa waktu setelah mendapat berita pemergian Biduanita Sharifah Aini pada 5 Julai 2014, dengan pelbagai fikiran dan perasaan yang bertumpang-tindih ketika itu, saya turut terkenangkan buku Pico Iyer. Apakah seperti Iyer, perkara kebetulan ini membuat saya seolah-olah lebih memahami seorang insan seni bernama Sharifah Aini? Apakah mengkaji dan menulis mengenai Graham Greene, Iyer secara tidak langsung menulis mengenai dirinya? Dan apakah saya akan lebih memahami makna kehadiran seorang Sharifah Aini dalam dunia seni kita setelah menulis ini?

Sedikit Latar Sharifah Aini Yang Saya ‘Kenali’

Nama Sharifah Aini pertama kalinya saya dengar dan ikuti persembahannya di kaca televisyen pada 1969 ketika beliau menyertai peraduan menyanyi, ‘Bintang RTS’ di Singapura. Saya tidak ingat siapa peserta-peserta yang lain atau lagu-lagu yang didendangkannya semasa peraduan itu – yang saya ingat, suara beliau unik dan lunak dan beliau masih menuntut di madrasah (zaman itu disebut sekolah Arab atau agama) di Johor ketika itu. Pada minggu pertama tahun 1970, peringkat akhir ‘Bintang RTS’ diadakan dan Sharifah Aini mendapat tempat ketiga. Kalau tidak silap saya, tiada tempat kedua atau tempat ketiga ini dikongsi dengan seorang lagi peserta. Beberapa bulan setelah ‘Bintang RTS’, beliau mengikat kontrak dengan EMI di Singapura dan diasuh oleh Kassim Masdor.

Album pertamanya memuatkan empat lagu; sebuah lagu ‘Jasa Nenda’ ditulis seni katanya oleh Sharifah Aini sendiri dan ditujukan kepada datuk dan neneknya yang membesarkannya. Sharifah Aini baru berusia 17 tahun ketika itu. Lagunya ‘Seri Dewi Malam’, yang pernah dinyanyikan oleh Normadiah dan dicipta oleh Osman Ahmad dan seni katanya ditulis oleh Jamil Sulong, yang membuat beliau begitu terkenal. Lagu inilah dalam album pertamanya (piring hitam EP) pada 1970 dahulu begitu bermakna dalam mengenalkannya kepada khalayak pendengar lagu-lagu Melayu ketika itu. Dan lagu ini juga sering dikaitkan dengan beliau dan amat kerap berkemundang di corong-corong radio Singapura dan Malaysia (dan mungkin juga di Brunei dan Indonesia) pada zaman itu.

Pada 1969/1970, saya mula meminati dunia sastera, setelah diasuh mencintai pantun dan syair serta sastera tradisional secara lisan dan tidak langsung oleh nenek saya yang menggemari hal-hal begini. Saya semakin gemar membaca dan mula cuba-cuba menulis pada 1971. Beberapa orang penulis menjadi semacam sumber contoh saya ketika itu; bagi penulis wanita, sumber contoh saya termasuklah Salmi Manja, Adibah Amin, Anis Sabirin, Khadijah Hashim, Zaharah Nawawi, dan juga Siti Zainon Ismail serta Zurinah Hassan. Kerana tidak mempunyai sesiapa untuk berkongsi minat seni ini dalam keluarga saya (kecuali nenek saya, walaupun bacaan beliau terbatas kepada buku dan majalah bertulisan Jawi), penulis-penulis Melayu dan bukan Melayulah, baik lelaki mahupun perempuan, saya jadikan sumber contoh saya. Selain seni penulisan, saya juga meminati bidang seni lain, lantas lagu, filem, lukisan, turut mencorakkan penglibatan seni saya selain isu-isu di sekitar zaman saya membesar. Dalam konteks ini, Sharifah Aini menjadi sebahagian daripada suara zaman itu yang turut melantunkan irama seninya kepada kehidupan dan penglibatan seni saya pada ketika itu.

Dua perkara mengenai Sharifah Aini, selain suaranya yang unik dan lunak, membuat saya ingin terus mengikuti perkembangannya. Pertama, beliau masih menuntut di madrasah ketika menyertai peraduan ‘Bintang RTS’ dan mungkin semasa mengikat kontrak dengan EMI pada 1970. Dan membaca majalah hiburan dan akhbar ketika itu, saya dapat tahu bahawa beliau dibesarkan oleh datuk dan neneknya di Johor.

Pada 1969, saya menuntut di madrasah (sekolah Arab/agama) di Singapura, setelah 6 tahun menuntut di sekolah rendah Inggeris. Saya seharusnya ke sekolah menengah Inggeris pilihan saya iaitu Tanjong Katong Girls School, setelah lulus Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) tetapi perkara ini tidak berlaku. Ibu bapa saya berpisah pada Jun 1968, ketika saya dalam darjah enam dan seorang saudara saya menganggap salah satu sebab perpisahan orang tua saya adalah kerana kurangnya pengetahuan agama dalam keluarga. Lantas, saya dihantar belajar di madrasah, bukan di sekolah menengah madrasah tetapi sekolah rendah, kerana saya tidak pandai menulis dan membaca Jawi ketika itu. Saya menyelesaikan pelajaran 6 tahun madrasah peringkat sekolah rendah itu dalam masa 3 tahun. Justeru itu, melihat Sharifah Aini, pelajar madrasah menyanyi dengan begitu baik dan sopan persembahannya, menimbulkan rasa bangga saya – kerana bukan mudah bagi pelajar sedemikian untuk tampil ke hadapan.

Seperti beliau, saya juga dibesarkan oleh datuk dan nenek saya tetapi tidak seperti beliau, saya telah dijanjikan untuk diberi kepada datuk dan nenek saya semasa saya dalam kandungan ibu saya lagi. Keadaan beliau agak tragik dalam hal ini – dijual kepada keluarga Tionghoa setelah ibu bapanya berpisah semasa beliau kecil dan kemudian datuk dan neneknya yang membesarkannya. Beliau memanggil neneknya ‘mak’, begitu juga saya dan memanggil datuknya ‘abah’, saya memanggil datuk saya ‘bak’. Kasih sayangnya kepada datuk dan neneknya amat mendalam dan saya amat memahami keadaan ini.

Kerana penglibatan seninya, Sharifah Aini tidak dibenarkan meneruskan persekolahannya di madrasah. Beliau kemudian menuntut sebentar di sekolah menengah Melayu tetapi tidak dapat menamatkan pelajarannya. Berita ini memeranjatkan juga peminatnya, termasuk saya. Persekolahannya terhenti dan perkara yang hampir sama berlaku kepada saya. Pada 1971, saya diberi kata dua oleh saudara sulung saya bahawa persekolahan saya akan dibiayai lagi setahun sahaja iaitu sehingga 1972 dan saya harus mula bekerja pada Januari 1973. Sharifah Aini mungkin terperanjat apabila beliau tidak dapat meneruskan persekolahannya di madrasah dan persekolahannya di sekolah Melayu juga terhenti. Tetapi beliau tidak berputus semangat; cintanya pada ilmu pengetahuan tidak berakhir dengan terputusnya pelajarannya. Sharifah Aini bersungguh-sungguh mempelajari bahasa Inggeris misalnya, dan terbukti beliau boleh berbahasa Inggeris dengan baik, malah merakamkan lagu-lagu dalam bahasa Inggeris pada 1977.

Saya pula terpaksa bertindak tegas kerana kata dua saudara sulung saya, lantas memberitahunya saya akan meneruskan pelajaran saya di Sekolah Malam (Lembaga Gerakan Pelajaran Dewasa atau sekarang di Institut Pendidikan Teknikal/ITE) untuk mendapatkan Sijil Pelajaran Am Peringkat Biasa (GCE ‘O’ level) tanpa pembiayaannya. Saya mencintai ilmu pengetahuan dan saya yakin saya bukanlah seorang yang bodoh. Saudara sulung saya kemudian bertukar fikiran dan membawa saya ke Kementerian Pendidikan Singapura dan saya dapat meneruskan pelajaran menengah saya di sekolah Inggeris. Namun, saya kehilangan satu tahun apabila dimasukkan terus ke menengah tiga dan bukannya menengah empat seperti sepatutnya. Ini berlaku kerana saya tiada asas pelajaran sekolah menengah langsung dan terpaksa belajar pelajaran 3 tahun sekolah menengah dalam masa satu tahun pada 1972 dan menduduki peperiksaan GCE ‘O’ level saya pada 1973.

Secara kebetulan, sedikit persamaan ini membuat saya ingin terus mengikuti penglibatan seninya, namun apa pun sedikit persamaan ini tidak akan bererti apa-apa seandainya suara dan lagunya tidak menyentuh hati saya.

Dan lagu-lagunya memang diminati ramai sejak 1970 dahulu – suatu kelainan daripada zaman Pop Yeh Yeh dan zaman-zaman yang lebih awal sebelum itu. Sejak zaman awal penceburan beliau, ketika saya masih berusia awal remaja lagi, saya mendapati beliau amat berbeza daripada penyanyi-penyanyi wanita zaman itu – selain personalitinya yang sedikit berbeza daripada yang lain-lain, suaranya unik. Memang terdapat beberapa orang penyanyi wanita yang suaranya unik dan tidak boleh diklon misalnya Normadiah, Nona Asiah, Saloma, Kartina Dahari, Julie Sudiro, Fazidah Joned, Rafeah Buang, Sanisah Huri dan lain-lain sejak zaman awal lagu-lagu kita dirakamkan sehingga kini tetapi Sharifah Aini, bagi saya, memiliki keunikan yang tersendiri. Suaranya boleh ‘ditarik’ dan sebutan serta lenggok bahasanya indah. Kita terasa seolah-olah beliau sendiri mengalami sesuatu kisah yang disampaikan dalam lagu-lagunya, walaupun ia sekadar ilham pencipta lagu dan penulis seni kata lagu sahaja kerana beliau bijak menghayati lagu-lagu yang dipersembahkannya. Kelebihan suara dan penghayatan lagunya yang membuat beliau unik dan tidak boleh diklon.

Tahun-Tahun 70-an – Bermulanya Zaman Gemilang Sharifah Aini

Tahun-tahun 60-an dan 70-an itu banyak perubahan dan pembaharuan dalam bidang politik, pendidikan, budaya dan seni berlaku di sekeliling kita yang hampir serentak dan rancak. Sharifah Aini bertuah kerana memulakan kerjaya seninya pada 1970 kerana sekitarannya sesuai untuk beliau berkembang sebagai penyanyi bersendiri tanpa dikaitkan dengan kugiran atau filem. Dan walaupun tanpa ada ahli keluarga yang terlibat dalam bidang seni muzik, beliau juga bertuah diasuh oleh Kassim Masdor dan dibantu oleh Mrs Devan dari EMI, yang prihatin terhadap keperluannya selain sokongan kedua orang nendanya dan seorang dua orang seni seperti Kartina Dahari. Dan beliau juga diasuh oleh beberapa orang penerbit lain seperti Reggie Verghese, Ahmad Nawab dan lain-lain. Kerana beliau tekun dan cepat belajar, laluan seninya semakin bersinar pada tahun-tahun 70-an itu.

Sharifah Aini tidak malu bermula dari bawah – menyanyi bila diundang ke majlis-majlis keramaian dan sebagainya, menaiki apa pun pengangkutan yang termampu demi membantu kedua nendanya. Beliau membuat rakaman di Singapura dengan menaiki bas termurah dari Johor. Dan ada saudara-mara saya yang terlibat dalam kugiran Hindustan ketika itu, masih ingat bagaimana mereka mengambil Sharifah Aini dengan kereta atau van, dari rumahnya di Kampung Majidee, untuk sama-sama membuat persembahan dalam majlis-majlis keramaian. Sharifah Aini tidak pernah merungut ataupun berlagak sombong.

Filem ‘Hapuslah Air Matamu’ Dan Bertemu Sharifah Aini

Filem ‘Hapuslah Air Matamu’ yang dibintangi Sharifah Aini, Normadiah, Latiff Ibrahim, Broery Marantika, Ahmad Nawab, Christine Hakim dan lain-lain mendapat sambutan ramai pada 1976 apabila ia ditayangkan. Lagu-lagu filem ini, sejumlah besarnya ciptaan Ahmad Nawab dan sebilangan seni katanya ditulis oleh Sharifah Aini dan Broery Marantika menjadi nyanyian muda-mudi ketika itu. Saya baru menuntut di tahun pertama di Universiti Singapura (sekarang dinamakan Universiti Nasional Singapura/NUS) yang terletak di Bukit Timah Road ketika itu. Filem ‘Hapuslah Air Matamu’ ditayangkan di Pawagam Rex, yang letaknya tidak berapa jauh dari Universiti Singapura. Pawagam ini bukanlah pawagam yang terbaik seperti pawagam Capitol dan Cathay misalnya, dan pada zaman 70-an itu filem-filem Melayu tidak lagi ditayangkan di pawagam-pawagam yang rata-rata boleh dianggap okey seperti pada suatu zaman misalnya di pawagam Queen atau Galaxy. Namun, keadaan pawagam yang tidak sebaiknya tidak menghalang penonton berpusu-pusu menonton filem tersebut. Saya menonton filem itu sebanyak dua kali dan saya tahu terdapat beberapa orang yang menontonnya berkali-kali. Selain lagu-lagu yang menarik, lakonan yang baik oleh Normadiah sebagai ibu Sharifah Aini dalam filem itu, Sharifah Aini dan juga Latiff Ibrahim serta Broery Marantika, membuat filem ini mendapat sambutan ramai. Filem itu melonjakkan lagi nama Sharifah Aini di pentas seni masyarakat Melayu.

Pada pertengahan tahun 1977, saya bersama seorang kawan, Sharifah, menonton konsert yang diadakan di Panggung Negara. Terdapat beberapa orang artis yang diundang dalam konsert tersebut, termasuk D J Dave, Hail Amir dan Sharifah Aini. Saya menjadi setiausaha penerbitan bagi Persatuan Bahasa Melayu Universiti Singapura pada ketika itu dan menerbitkan ‘Majalah Gempur’ untuk persatuan tersebut. Kami sedang menyiapkan ‘Majalah Gempur’ untuk keluaran Jun/Julai 1977 bagi menyambut kemasukan mahasiswa tahun pertama (freshies) pada tahun akademik 1977/1978. Satu bahagian majalah itu akan memuatkan wawancara ringkas pihak penerbitan dengan beberapa orang individu (bukan mahasiswa) dan pandangan mereka terhadap pelajaran dan mahasiswa. Saya ingin mewawancara Sharifah Aini dan konsert tersebut memberi saya peluang berbuat demikian.

Saya bertemu Sharifah Aini sebelum konsertnya dan meminta izin untuk mewawancaranya selepas konsert. Beliau bersetuju. Semasa saya dan Sharifah bertemu Sharifah Aini selepas konsert, beliau kelihatan penat tetapi ceria menjawab soalan-soalan saya. Saya memanggilnya ‘Kak Ani’. Ternyata daripada wawancara ringkas itu, pandangannya amat positif terhadap ilmu pengetahuan dan mahasiswa dan kata-katanya disusun rapi. Suara percakapannya juga lunak seperti semasa beliau menyanyi. Sharifah Aini peramah dan sopan melayan kami. Setelah itu, kami berjumpa beberapa artis dan mula beredar. Dalam perjalanan keluar dari ruang yang dikhaskan untuk para artis konsert tersebut, sedikit kekecohan berlaku. Rupa-rupanya Sharifah Aini terjatuh dan kemudian pengsan. Beliau dipapah dan diletakkan ke tempat berbaring. Saya dan Sharifah menerpa ke tempatnya dan saya terus mengurut-ngurut dan menyapu minyak angin ke kepalanya. Ambulans dipanggil dan beliau dibawa ke hospital untuk dirawat. Melihat keadaannya yang penat (dan mungkin tidak makan dengan betul) dan mungkin sedikit khuatir kerana buat pertama kalinya beliau turut menyanyikan lagu Inggeris, selain lagu Melayu dalam konsert tersebut, tidak mustahil ini menganggu kesihatannya.

Selang beberapa hari apabila akhbar Berita Harian Singapura menyiarkan berita Sharifah Aini telah keluar dari hospital dan rombongan konsert itu sudah pulang ke Malaysia, saya ke pejabat pos berdekatan rumah saya di Lorong L, Telok Kurau Road, Singapura. Saya menghantar telegram kepada Sharifah Aini melalui pejabat EMI dengan mengucapkan semoga kesihatan beliau bertambah baik dan beliau semakin berjaya dalam bidang seni. Alamat penuh dan nombor telefon rumah saya (zaman itu belum ada telefon bimbit) tidak saya beri dalam telegram tersebut.

Album Bahasa Inggeris Sharifah Aini – ‘Forever & Ever’

Apabila album LP berbahasa Inggerisnya diedarkan pada 1977, saya merupakan salah seorang peminatnya yang begitu teruja. Saya gembira akhirnya beliau dapat melangkah ke bidang baharu dengan menyanyikan lagu-lagu Inggeris pula. Walaupun saya lebih suka lagu-lagu Melayunya, namun kehadiran album ‘Forever & Ever’ memang satu kejayaan bagi dirinya secara peribadi mahupun industri muzik Melayu. Lagu ‘Forever & Ever’ memang enak didengar dan Sharifah Aini menyampaikannya dengan baik. Saya membeli beberapa buah album dan kaset ‘Forever & Ever’ dan memberinya kepada beberapa orang sahabat dan saudara. Seorang sahabat pena saya, seorang lelaki dari luar negara (dia tidak tahu berbahasa Melayu) kebetulan datang ke Singapura setelah saya mengirimkan album tersebut kepadanya. Sahabat pena saya ini gemar mendengar suara Sharifah Aini dalam album tersebut dan membeli beberapa buah album ‘Forever & Ever’ untuk diberikan kepada sahabat dan saudaranya pula. Itulah kali pertama beliau mengetahui adanya penyanyi Melayu bernama Sharifah Aini.

Tahun-tahun 80-an

Kisah Ibu Sharifah Aini

Bapa dan ibu saudara saya, yang saya panggil ‘Busu’ dan ‘Cicik’ berpindah dari Jalan Kobis, berdekatan Kaki Bukit, ke estet perumahan Bedok North pada 1978. Busu saya yang biasa aktif dalam kegiatan di kampung Jalan Kobis dan kampung-kampung berdekatan dahulu, memulakan kumpulan membaca Surah Yasin setiap malam Jumaat di kalangan penduduk Muslim di bloknya. Dan setiap tahun Busu saya juga secara peribadi mengadakan sambutan maulid dan menjemput jiran-jirannya selain saudara-mara terdekat. Di kalangan mereka yang menginap satu blok dengan keluarga Busu dan Cicik saya, termasuk juga ibu kandung Sharifah Aini, Sharifah Noor, bapa tirinya, Musa dan adik-adiknya.

Walaupun saya meminati Sharifah Aini dan menyimpan sebilangan albumnya, dan berkali-kali bertemu ibu Sharifah Aini dalam majlis-majlis yang diadakan Busu saya atau bertembung dengannya semasa saya menziarahi keluarga Busu dan Cicik saya, saya tidak pernah berbual dengan beliau, yang saya panggil ‘Umi Noor’, mengenai Sharifah Aini. Saya hanya tersenyum atau bertanya ‘Umi baik?’ dan senyap.

Pada awal tahun-tahun 80-an itu, Umi Noor dan suaminya datang berjumpa Busu saya dan meminta bantuannya. Umi Noor mendapat tahu Sharifah Aini sakit kuat dan beliau ingin menziarahi anaknya di Malaysia tetapi beliau tidak mempunyai pasport. Pada zaman itu membuat pasport mengambil masa, tidak seperti sekarang. Busu saya kemudian merujuk hal tersebut kepada abang sulung saya kerana beliau mempunyai lebih ramai kenalan dan tahu menguruskan hal-hal sedemikian. Dengan bantuan abang sulung saya, Umi Noor mendapat pasportnya dengan cepat dan dapat menziarahi Sharifah Aini. Sayangnya pertemuan itu kemudiannya mencetuskan tengkarah di antara ibu dan anak sehingga timbul soal saman dan sebagainya.

Walaupun Busu dan Cicik saya ada mendengar berita tengkarah itu daripada Umi Noor, mereka tidak menyebarkannya. Dan saya sendiri tidak pernah bertanya Umi Noor mengenai hal tersebut mahupun apa-apa berita mengenai anaknya yang masyhur itu. Pada 24 November 2014, Cicik saya meninggal dunia. Umi Noor dan seorang sahabatnya datang melawat pada waktu malam. Beliau sekeluarga telah pun berpindah ke estet perumahan Bedok Reservoir. Kami bercakap sedikit mengenai arwah ibu saudara saya dan kemudian Umi Noor menceritakan sedikit mengenai pemergian Sharifah Aini. Itulah pertama kali saya berbual dengannya mengenai Sharifah Aini dan itulah juga pertama kali saya sebenarnya berbual ringkas dengannya.

Perkahwinan Sharifah Aini

Pada tahun 80-an itu juga peminat Sharifah Aini menerima berita yang lama mereka nantikan – perkahwinannya dengan Ali Bakar pada 1981. Kemudian, pada 1982, peminat Sharifah Aini semakin gembira apabila beliau melahirkan satu-satu anaknya, Aliff Omar bin Ali. Namun pada tahun-tahun 80-an itu juga mereka yang mengikuti perkembangan Sharifah Aini memaklumi keruntuhan rumah tangga pertamanya. Beliau kemudian berkahwin untuk kali kedua pada tahun-tahun 80-an itu dengan ‘Datuk S’. Perkahwinan ini dapat bertahan lebih lama tetapi akhirnya mereka berpisah dalam keadaan baik dan Datuk S, saya diberitahu, tetap membantu beliau dalam beberapa hal. Dan Sharifah Aini juga mula mengambil beberapa orang anak angkat, yang dibesarkan sejak mereka bayi. Dalam bidang seni, lagu-lagunya semakin mendapat tempat pada tahun-tahun 80-an itu.

Ramai penyanyi seangkatannya mula berundur tetapi bintang Sharifah Aini tetap cerah. Lagu-lagunya yang didendangkan dalam pelbagai genre, selalunya mendapat sambutan ramai. Bak kata sahabat seangkatannya, D J Dave – ‘she is in a class of her own’ kerana saingannya sebenar bukan sesiapa tetapi dirinya sendiri untuk menambah baik persembahan seninya dari satu tahap ke satu tahap yang lebih baik.

Erti Lagu-Lagu Sharifah Aini Kepada Saya Pada Tahun-Tahun 80-an Itu

Pada awal tahun-tahun 80-an saya mengalami beberapa kegenjotan dalam kehidupan saya. Saya menginap di Asrama Nanyang, yang terletak di Jurong, Singapura, dan meneruskan pembelajaran sarjana (M.A.) saya dengan biaya sendiri dan akhirnya diberi Biasiswa Penyelidikan NUS. Hujung minggu apabila kawan-kawan saya pulang ke rumah masing-masing, saya tetap menginap di asrama. Sesekali saya bertemu nenek saya di rumah Busu dan Cicik saya pada hujung minggu. Banyak masalah lain turut menyerabuti kehidupan saya ketika itu.

Selain agama, sokongan tanpa bersyarat daripada beberapa ahli keluarga dan sahabat saya, pembacaan serta pencarian saya turut memberi saya kekuatan melalui tahun-tahun itu. Dan sebilangan lagu, terutamanya lagu-lagu Sharifah Aini, bagaikan mengejapkan semangat saya agar jangan menyerah kalah kepada keadaan-keadaan yang menyukarkan hidup saya. Sampai sekarang apabila mendengar beberapa lagunya, misalnya ‘Kasihnya Ibu’, ‘Dondang Sayang’, ‘Seri Mersing’, ‘Seroja’ dan lain-lain, saya terkenang betapa lagu-lagunya ‘menemani’ saya dan menjadi sebahagian daripada mangkin (catalyst) yang menguatkan semangat saya untuk meneruskan kehidupan dengan bersikap lebih positif.

Pada Februari 1987 sehingga April 1990, saya menetap di Brunei kerana mengajar kesusasteraan di Universiti Brunei Darussalam. Pada mulanya saya tinggal di rumah adik dan adik ipar saya di Gadong sebelum berpindah beberapa bulan kemudian ke rumah saya di Taman Puri. Saya tinggal bersendirian dan ada sesekali ditemani juga oleh anak saudara adik ipar saya, mahasiswi jurusan pentadbiran perniagaan di Universiti Brunei. Walaupun mempunyai kawan dan mudah bergerak di sana, saya sering merindukan orang-orang yang saya tinggalkan di Singapura. Dan yang ‘menemani’ saya, selain handai taulan dan sejumlah buku, adalah lagu-lagu. Dan lagu-lagu Sharifah Ainilah yang lama bergema di rumah dan hati saya semasa di rantau orang itu.

Tahun-Tahun 90-an

Pada bulan Jun – Julai 1991, saya membuat dokumentari hampir 2 jam mengenai keluarga saya, yang diberi judul ‘The Journey Home’. Saya dibantu dari segi rakaman dan teknikal oleh sepupu saya, Sham. Dokumentari ini juga memuatkan lagu-lagu sebagai latar zaman-zaman tertentu. Saya memilih dua buah lagu Sharifah Aini bagi 21 adegan (tidak semua adegan diiringi lagu) dokumentari tersebut. Satu, semasa Sham merakamkan gambar dan kisah ibu saya dan kemudian menjurus ke pusara ibu saya di Pusara Aman, lagu latar yang saya mainkan ialah ‘Kasihnya Ibu’ nyanyian Sharifah Aini.

Dan yang kedua, dalam adegan terakhir dokumentari ini, Sham merakamkan anak saudara saya, Fairuza, yang ketika itu berusia hampir 9 tahun, berjalan dan menulis di pantai kata-kata ‘The Journey Home’ dan kemudian Fairuza merenung laut terbuka. Lagu latarnya, ‘Kenang Daku Dalam Doamu’. Pada tahun 1991 semasa dokumentari itu saya buat, adik-beradik saya serta keluarga mereka menginap bukan hanya di Singapura dan Brunei, malah United Kingdom dan Canada. Betapa bererti lagu Sharifah Aini itu menggambarkan perasaan saya dalam dokumentari tersebut. Walaupun terdapat beberapa orang menyanyikan lagu yang sama tetapi bagi saya, penyampaian Sharifah Ainilah yang paling menggambarkan perasaan saya, mengharu dan menyentuh hati pendengarnya.

Sharifah Aini ‘Dalam Kursus-Kursus Saya’

Pada tahun-tahun 90-an (sehingga tahun 2012) itu semasa saya sesekali memberi ceramah sastera di tempat-tempat tertentu dan menjalankan latihan bahasa Melayu (menggunakan bahasa Inggeris) kepada orang-orang bukan Melayu, sama ada pegawai perkhidmatan awam atau pelajar dewasa di Civil Service College mahupun di NUS Extension, saya selalu menyelitkan lagu-lagu P.Ramlee, Saloma dan Sharifah Aini atau sedikit kisah mereka yang mencuit hati. Malah dalam melatih pegawai perkhidmatan awam bagi kursus ‘WITS’ (Work Improvement Teams – kursus mengenal pasti dan menyelesaikan masalah) yang lebih serius daripada latihan bahasa yang saya jalankan lebih ‘gila-gila’ (walaupun sukatan pelajarannya tetap saya siapkan dengan rapi) pun lagu atau kisah tiga orang penyanyi yang saya gemari ini – P. Ramlee, Saloma dan Sharifah Aini, tetap saya sertakan sama. Kerana sering juga menyebut lagu dan namanya, ada juga beberapa pelajar saya (orang dewasa) yang bertanya sama ada saya ada hubungan keluarga dengan Sharifah Aini!

Semasa Sharifah Aini membuat konsertnya yang gemilang di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada 1995, saya berada di Iowa, Amerika Syarikat, mengikuti kursus Program Penulisan Antarabangsa di Universiti Iowa. Saya mendengar beritanya melalui kawan-kawan saya di Singapura dan apabila konsert tersebut dirakamkan dalam bentuk CD, saya membelinya. Setelah 25 tahun merakamkan lagu dan membuat persembahan, beliau masih relevan dan terus memberi makna kepada seni muzik Melayu. Saya bangga dengan pencapaiannya itu.

Saya tidak berapa gemar diwawancara tetapi dalam satu dua wawancara yang saya benarkan, di radio dan televisyen pada tahun-tahun 90-an itu, lagu atau diri Sharifah Aini tetap saya sebut. Dalam wawancara radio, saya meminta lagu-lagu Sharifah Aini diputarkan. Malah semasa baru pulang dari Iowa, pada 1996 saya diwawancara di televisyen. Tanpa menggunakan sebarang skrip dan saya menjawab secara spontan beberapa soalan, misalnya bila juruacara RZ bertanya saya dalam satu program yang diacarakan oleh beliau dan Norish Karman:

RZ: Kenapa Cik Rasiah menulis?
RH: Sebab saya tak boleh menyanyi (ketawa).

******************************************
RZ: Kenapa Cik Rasiah terus menulis dan apakah ada saingan Cik Rasiah?
RH: Saya hanya bersaing dengan diri saya dan saya nak ‘lawan’ Sharifah Aini (ketawa – sebab saya menganggap pencapaian seninya menjadi salah satu kayu ukur (benchmark) untuk pencapaian saya dalam bidang penulisan juga).

Dan pada tahun-tahun 90-an itu, sekembali dari Iowa, pada awal 1996, saya cuba menghubungi Sharifah Aini melalui dua nombor telefon yang diberi oleh seorang wartawan. Di Iowa, Prof. Peter Nazareth ada mengajar kursus mengenai Elvis dan pengaruhnya dan banyak berbincang mengenai hal ini dengan saya. Saya terfikirkan P. Ramlee dan Sharifah Aini. Terbetik dalam hati saya ingin menulis lirik lagu-lagunya atau membenarkannya mengambil sejumlah puisi saya menjadi lagu-lagu nyanyiannya. Tetapi usaha ini tidak kesampaian kerana saya tidak dapat menghubungi beliau dan saya pun melenyapkan cita-cita tersebut.

Pada April 1996, saya bertemu Sharifah Aini di SBC (sekarang Mediacorp) yang diaturkan oleh seorang kawan saya yang bertugas di SBC. Saya hanya menyalam dan bertegur sapa seadanya dan mengambil beberapa gambarnya. Gambar-gambar itu kemudian saya kirimkan kepada beliau dan salah satu gambarnya, yang saya potong (cropped) dalam blog ini, saya besarkan dan saya menulis beberapa kata perangsang di belakang gambar tersebut.

Saya juga menulis surat ringkas kepadanya (tanpa menitipkan alamat penuh saya) menyatakan saya berharap beliau akan menyanyi bukan hanya lagu-lagu cinta, malah lagu-lagu bertemakan agama, kemanusiaan, pendidikan dan juga untuk kanak-kanak. Lagu kanak-kanak (2 buah) pernah beliau rakamkan pada tahun-tahun 70-an dahulu. Dan saya juga berharap beliau akan terus menulis seni kata lagu-lagunya dan mengumpulkan lagu-lagu yang seni katanya ditulisnya dalam sebuah album. Saya menambah bahawa saya dapati lagu-lagunya yang diiringi banyak alat muzik bertali (string instruments) kedengaran lebih indah. Saya mengirimkan gambar-gambar dan surat ringkas ini melalui alamat EMI Malaysia kerana saya tidak pernah tahu alamatnya.

Panggilan Telefon Sharifah Aini Pada Januari 1997

Pada bulan Mei 1996, saya menetap di Selangor, Malaysia, kerana ingin melanjutkan pelajaran saya di Universiti Malaya (hajat ini kemudian tidak kesampaian kerana saya dikendalakan oleh terlalu banyak masalah teknikal). Saya pada mulanya menumpang di rumah kerabat saya di Kelana Jaya dan kemudian menyewa sebuah rumah pangsa di Taman Pantai Indah, Pantai Dalam, Selangor. Saya membaca beberapa akhbar di sana dan berita-berita mengenai Sharifah Aini banyak tersiar.

Ada beberapa berita ketika itu yang menyatakan Sharifah Aini berada di sisi Sudirman Hj Arshad semasa beliau menghembuskan nafasnya yang akhir. Saya dan peminat lain memaklumi beliau rapat dengan Allahyarham Sudirman tetapi berita begini tentulah tidak tepat. Ada satu dua fakta lain, misalnya tarikh penceburannya dalam bidang rakaman lagu atau peraduan ‘Bintang RTS’ ternyata tidak berapa tepat. Saya tidak fikir ini disengajakannya dan besar kemungkinan beliau telah mencampur-adukkan tarikh atau silap dinukil pemberita.

Semasa di Pantai Dalam itu saya menulis sekeping kad kepadanya melalui alamat EMI Malaysia. Saya berharap beliau lebih berhati-hati semasa diwawancara kerana ada faktanya mengenai Sudirman tersilap dan mungkin ini tidak akan menyenangkan keluarga Sudirman. Dan ia juga tidak menggambarkan yang sebaiknya mengenai dirinya mahupun hubungan akrabnya dengan Sudirman. Saya menyatakan saya menulis dengan ikhlas, demi kebaikannya. Saya meninggalkan nama saya, alamat dan nombor telefon saya di Pantai Dalam.

Pada Januari 1997, Sharifah Aini menelefon saya di Pantai Dalam, setelah mendapat kad saya. Saya pada mulanya tidak percaya tetapi apabila beliau menyatakan beliau menerima kad saya dan bercakap mengenai isi kandungannya, baru saya percaya. Semasa itu bulan Ramadan. Beliau bercakap mengenai berita akhbar tersebut dan juga hal-hal lain. Penjelasannya mengenai hal Sudirman memang munasabah dan saya menerimanya – bahawa ada kesilapan dalam menukil kata-katanya. Dalam perbualan yang agak lama itu beliau lebih banyak bercakap hal lain, bukan isu Sudirman yang saya ketengahkan dalam kad saya kepadanya. Perbualan itu membuat saya lebih memahami ada hal-hal berhubungkait dengan keluarga yang masih menjejas kehidupannya. Saya bersimpati dengannya kerana saya maklum bukan mudah seseorang melupa dan memaafkan masa silam.

Saya pulang ke Singapura sehari dua sebelum Hari Raya, kemudian menetap terus di Singapura pada Mei 1997. Salah satu perkara yang saya lakukan setelah menetap di Singapura ialah mengirim buku puisi saya, Sungai & Lautan dan buku cerpen saya Orang Luar, kepada Sharifah Aini melalui alamat EMI Malaysia. Buku puisi Sungai & Lautan didedikasikan kepada arwah nenek yang membesarkan saya dan termuat sajak ‘Perdu Kasih’ yang saya cipta setelah nenek saya berpulang ke rahmatullah pada 16 Disember 1991. Saya memberitahu Sharifah Aini mudah-mudahan sajak tersebut dan buku puisi saya dapat memberi sesuatu kepadanya, kerana seperti beliau juga, saya dibesarkan oleh datuk dan nenek saya.

Dalam buku cerpen Orang Luar, ada beberapa cerpen saya menukil sebaris dua lagu-lagu nyanyiannya dan ada sebuah cerpen tajuknya sama seperti tajuk lagunya, ‘Aku dan Dia’, lagu ciptaan Ahmad Jaafar, yang pernah dipopularkan oleh P.Ramlee. Semasa mengarang cerpen itu saya tidak terfikirkan lagunya tetapi akhirnya tajuk lagunya yang menjadi tajuk cerpen saya. Dalam buku cerpen itu juga terkandung sebuah cerpen berjudul ‘Kesepian Adalah Seorang Perempuan’. Saya terasa cerpen ini menyentuh hatinya kerana pada tahun 2000 terbit lagu ‘Seribu Mawar’ yang banyak persamaan dengan cerpen saya, ‘Kesepian Adalah Seorang Perempuan’ – kedua-dua cerpen dan lagu itu berlatarkan perjalanan seorang wanita dalam keretanya, setelah diberi jambangan mawar oleh kekasih lamanya, yang muncul kembali dalam hidupnya.

Pada akhir tahun-tahun 1990-an (saya sudah lupa tahunnya tetapi sebelum 1999) melalui Bani Farouk, seorang penyanyi, pemuzik dan pencipta lagu, Sharifah Aini diberi sebuah lagu ciptaan Bani Farouk yang seni katanya berdasarkan sajak saya untuknya berjudul ‘Seri Dewi Malam (Untuk Sharifah Aini)’. Sajak tersebut, yang tidak pernah saya siarkan, ditulis pada 1980. Sharifah Aini, menurut Bani Farouk, gembira menerima rakaman lagu tersebut, yang dinyanyikan oleh isteri Bani Farouk, Suliah Mahmood, tetapi beliau meminta tempo lagu tersebut diperlahankan sedikit.

Tahun-tahun 2000 Dan Seterusnya

Konsert Sharifah Aini

Saya menonton konsert Sharifah Aini yang diadakan di Panggung Victoria, Singapura, pada 8 Februari tahun 2000. Setelah menonton konsert itu, saya menulis mengenainya dalam ‘Ruangan Sri Anggerik’ saya di Berita Minggu dan menyentuh mengenai isu seniman dan dokumentasi yang termuat juga dalam blog ini dahulu. Apabila rencana saya tersiar, saya membeli senaskhah lagi Berita Minggu, memotong bahagian ‘Ruangan Sri Anggerik’ yang memuatkan kisah konsertnya (dan ada gambarnya di konsert tersebut dalam ruangan saya), melampirkan juga rencana saya berjudul ‘Renungan Awal Tahun 1997’ yang ada menyebut namanya dan juga ulasan saya mengenai CD Hari Rayanya yang tersiar di Berita Harian pada 1997. Saya mengirimkan semua ini kepadanya melalui alamat EMI Malaysia. Itulah kali terakhir saya ‘menghubungi’ Biduanita Sharifah Aini.

Laluan hidup saya semakin berubah pada tahun-tahun 2000. Saya masih meminati lagu-lagu Sharifah Aini tetapi tumpuan saya lebih mengarah kepada hal-hal lain. Saya masih membeli album-albumnya. Seperti sejak mula, saya tahu tarikh hari lahirnya tetapi saya tidak pernah menghantar kad hari lahir sebagaimana saya tidak pernah menghantar kad Hari Raya kepadanya. Saya juga tidak pernah mengirim e-mel kepadanya atau berkomunikasi dengannya melalui facebooknya. Saya tidak berasa terpanggil berbuat begitu, sebagaimana tidak juga saya lakukan hal yang sama kepada penulis-penulis seperti Adibah Amin, Siti Zainon Ismail atau Zurinah Hassan, yang menjadi sumber contoh saya. Saya menghargai orang-orang begini tetapi seperti mereka, saya berasa cukup dengan hanya membaca dan menghayati karya mereka dan kurang ‘mengganggu’ kehidupan mereka sebagaimana saya juga tidak suka kerap diganggu.

Bahawa lagu-lagu Sharifah Aini masih menyentuh hati saya dan saya dengari dari masa ke semasa lebih bermakna kepada saya. Dalam banyak hal, beliau dan orang-orang seni seperti Adibah Amin, Siti Zainon Ismail dan Zurinah Hassan, penting bagi kehidupan seni saya tetapi saya tidak perlu menjadi ‘pengikut’ mereka kerana saya juga berkarya dan ciptaan seni yang mereka lahirkan tetap menjadi salah satu sumber oksigen bagi saya menyelami dunia seni dan kehidupan.

Beberapa Tengkarah Yang Melingkari Hidupnya

Saya mengikuti beberapa tengkarah berkaitan dengannya pada tahun-tahun tersebut melalui akhbar, malah membeli buku Breaking The Silence: 55 Reasons Why Sharifah Aini Was Not Lying yang ditulis oleh Jackson Yogarajah pada 2005. Meneliti albumnya yang berjudul ‘Bukan Cinta Biasa’ (2005), yang memuatkan petikan empat surah al-Quran (Surah Al-Mukminun, Surah Al-Mulk, Surah Al-Maidah dan Surah Al-Rahman) serta lagu-lagu lamanya seperti ‘Kupohon Keredaan-Mu’,‘Inikah Balasannya’, ‘Inikah Manusia’, ‘Keluhan Hatiku’ dan lagu baharu ‘Breaking The Silence’, ternyata beliau menggambarkan beberapa masalah yang mengganggu kehidupannya melalui lagu-lagu pilihannya dalam album tersebut.

Dalam kecelaruannya menghadapi pelbagai masalah, dengan penampilannya yang kadangkala sedikit berubah-ubah, saya yakin, beliau akan menemui juga jalan kedamaian yang dicarinya. Hati seorang Sharifah Aini, bagi saya, tidak banyak berubah, walaupun diparutkan pelbagai peristiwa – seperti waktu mula-mula beliau menceburkan diri dalam arena seni suara pada 1969/1970 dahulu. Dan setiap kali membaca atau mendengar beritanya yang kurang baik, saya hanya mampu mendoakan kesejahteraannya.

Beberapa kali terbetik di hati saya untuk mengirim Sharifah Aini buku-buku saya, Hikayat Sri Anggerik dan Ayah Tidak Sayang Padaku Lagi, yang dilancarkan oleh penerbit saya, Pustaka Nasional, pada 1 Disember 2007. Kedua-dua buku ini ada menyebut namanya atau lagu-lagunya dalam beberapa bahagiannya. Tetapi hasrat ini saya pendamkan kerana EMI tidak lagi beroperasi dan saya mungkin sedikit kurang selesa untuk berbuat demikian. Tapi melebihi hal-hal ini, saya sebenarnya berasa tidak begitu penting beliau membaca buku-buku ini – yang penting bagi saya, penglibatan seninya turut mewarnai karya dan penglibatan seni saya, sebagaimana orang-orang seni boleh bertimbal-balik pengaruh mempengaruhi satu sama lain. Dan itu sudah mencukupi bagi saya.

Apabila saya bertemu Khir pada 2009/2010, tidak terlintas dalam fikiran saya untuk meminta bantuan Khir mendapatkan alamat atau nombor telefon Sharifah Aini. Khir beberapa kali memainkan lagu-lagunya dan bercakap-cakap mengenainya di hadapan saya mahupun Sharifah, apabila kami ke rumah Khir atau Khir mengambil atau menghantar kami pulang. Yang saya sesalkan – betapa saya ingin memberitahu Sharifah Aini, melalui Khir, bahawa bakatnya bukan iseng-iseng dan bakatnya boleh dicambahkan kepada beberapa bidang yang lain. Seperti yang pernah Sharifah Aini tulis kepada anak kandungnya, Aliff, sebagai insan seni, hidupnya dikelilingi fitnah – saya seolah-olah ingin memberitahunya jiwanya lebih besar daripada fitnah-fitnah itu selagi niatnya luhur.

Penutup

Bagaimanakah kita menilai sumbangan seorang Sharifah Aini? Lagu-lagunya memperkaya khazanah seni kita dan melalui lagu-lagu tradisionalnya, saya sebagai penulis semakin dikenalkan kepada perbendaharaan silam kita. Beliau manusia biasa yang mempunyai kelemahan dan kadangkala tindakannya menimbulkan tanda tanya kepada peminat dan khalayak seni kita. Namun, bagai sirih pulang ke gagang, laluan seninya akhirnya membawa beliau melengkapi lingkaran hidupnya untuk menemui ketenangan seperti zaman kanak-kanak dan mudanyanya bersama kedua nenda yang disayanginya dan di sisi agama.

Saya yakin seperti seekor ulat bulu, setiap kita tidak boleh dipaksa-paksa untuk menjadi kupu-kupu yang indah kerana kalau dipaksa, ulat bulu itu tidak akan sempat menjadi kupu-kupu; ia akan mati. Semua yang baik mengambil masa yang sesuai dengan perkembangan diri seseorang itu. Beliau mungkin membuat langkah-langkah yang silap tetapi mengetahui peribadinya, sukar bagi kita menerima pelbagai tohmahan yang dilontarkan kepadanya. Mereka yang benar-benar mengenalinya berkata beliau tidak sombong, menghormati orang tua, suka menolong orang dan tidak pernah berbangga fasal soal keturunan (beliau berketurunan kacukan Arab dan Melayu).

Yang kita tahu, hati seorang Sharifah Aini begitu besar untuk menerima orang lain – beliau membesarkan beberapa orang anak angkat sejak bayi/kecil yang bernama Ameer, Nina, Siti, Nadia, Zetty dan Imen, selain anak kandungnya, Aliff. Hanya orang-orang yang hatinya terbuka dan penyayang yang dapat membesarkan anak angkat sejak bayi/kecil atau anak tiri seperti anaknya sendiri. Tulisannya dalam album ‘Syahdu’ (2003) menggambarkan hal ini:

‘Untuk abah dan mak – Allahyarham Syed Sahil dan Allahyarhamah Tengku Wan Mariam, segala pesanan abah dan mak tidak pernah Ani lupakan….Tiada sehari pun berlalu tanpa Ani mengingati abah dan mak….Al-Fatihah.
Khas untuk anak-anak tercinta, mummy ingin merakamkan kasih sayang paling luhur dan dalam kerana begitu memahami karier mummy sebagai anak seni. Tidak ada galang gantinya kasih sayang mummy dalam dunia ini, kamu semua adalah sinar kehidupan mummy selamanya. Mummy akan lakukan apa saja pengorbanan demi kesempurnaan dan maruah anak-anak mummy dunia dan akhirat. Amin’

Beliau juga menyayangi beberapa orang sahabat bagaikan keluarga dan turut membantu keluarganya serta sahabat dan masyarakat umum dalam apa jua yang terdaya olehnya. Dan dalam album-albumnya ada juga dirakamkan penghargaannya kepada sahabat-sahabat yang beliau anggap sebagai keluarga angkatnya – yang sanggup bersamanya dalam susah dan senangnya.

Setelah pemergian beliau, saya ada berbincang-bincang dengan Khir mengenai Biduanita Sharifah Aini dan sumbangannya kepada dunia seni kita. Kami yakin, seperti P. Ramlee, ramai nanti yang akan mengaku itu dan ini, setelah pemergiannya. Dan perkara-perkara sebegini sudah mula berlaku. Anehnya, ada orang-orang yang pernah demikan merusuhkan hidupnya atau tidak pun membimbingnya, menambahkan rencah mereka kerana jenama ‘Sharifah Aini’ itu boleh membawa ganjaran yang besar, sebagaimana yang berlaku kepada jenama ‘P.Ramlee’.

Beliau seorang yang berbakat besar tetapi kita tidak memanfaatkan bakatnya sebaiknya. Beliau boleh membaca ayat-ayat Quran dengan baik, malah pernah beberapa kali memenangi pertandingan membaca al-Quran antara sekolah-sekolah di selatan Johor ketika remaja dahulu dan ini tidak dimanfaatkan. Begitu juga bakatnya dalam bidang penulisan/penulisan seni kata lagu atau nyanyian/bercerita untuk kanak-kanak mahupun orang dewasa. Kita terlalu tertumpu kepada tengkarah yang membeliti hidupnya dan bagaikan terlupa, apa pun masalah yang beliau hadapi, ketabahan hatinya tidak pernah luntur dan masalah-masalah itu tidak dapat memadamkan bakat semula jadinya yang dipejalkan oleh semangat dan kesungguhannya dalam bidang seni yang tidak pernah malap.

Sejak 1970 merakamkan lagu, dan sumbangan seninya diminati ramai, dalam dunia muzik yang rencam dan mudah mengetepikan ‘orang lama’ apabila muncul ‘orang baharu’ – ketekalan dan kebolehannya dalam bidang ini adalah sesuatu yang boleh kita banggakan. Tidak mudah menemui seorang penyanyi yang persembahan seninya boleh menyentuh hati pelbagai lapisan masyarakat dan masih terus diminati sehingga beliau meniti ke usia senja.

Bagaimanakah kita menilai sumbangan Allahyarhamah Biduanita Sharifah Aini? Masa nanti akan menilai sumbangannya sejujurnya, bukan mereka yang menangguk daripada kemasyhurannya. Tiap kali kita mendengar lagu-lagunya kita akan terkenangkan zaman-zaman tertentu dan mungkin juga kita diingatkan betapa indahnya bahasa, budaya dan agama kita melalui sebilangan lagunya.

Dalam kalangan penyanyi wanita kita, terdapat beberapa orang yang berbakat misalnya Normadiah, Nona Asiah, Julie Sudiro, Fazidah Joned, Rafeah Buang, Sanisah Huri dan lain-lain dari sejak awal lagu-lagu kita dirakamkan sehingga kini. Tetapi bagi saya ada tiga orang biduanita yang paling istimewa – Saloma, Kartina Dahari dan Sharifah Aini. Ketiga-tiganya boleh membawa lagu-lagu moden dan tradisional dengan baik. Ketiga-tiganya tetap saya dengari lagu-lagu mereka dari masa ke semasa kerana mendengar lagu-lagu mereka bagaikan membaca puisi yang baik dan indah, dan nyanyian mereka sering memberi pelbagai pengertian dan keindahan kepada hidup saya.

Saya menganggap Saloma seperti bertaraf ibu, Kartina Dahari, ibu saudara, dan Sharifah Aini, kakak seni saya. Kalau Saloma sering dikaitkan dengan P.Ramlee dan Kartina Dahari lebih bergiat pada tahun-tahun 60-an dan awal 70-an, Sharifah Aini bergiat aktif lebih 40 tahun, berdiri sendiri dalam alunan pelbagai genre lagu dan boleh mencipta seni kata sebilangan lagu nyanyiannya. Betapa istimewa ketiga-tiga biduanita kita ini.

Sudirman Hj Arshad pernah mencipta lagu dan seni katanya yang ditujukan kepada Saloma pada tahun-tahun 80-an dahulu. Lagunya berjudul ‘Mama (Untuk Saloma)’. Saya yakin tengkarah yang kononnya berlaku antara Saloma dan Sharifah Aini tidak berlaku seperti yang diuar-uarkan dahulu. Malah menurut mereka yang terdekat dengannya, Sharifah Aini menyayangi Saloma dan prihatin terhadapnya sehingga sanggup mendapatkan makanan (buah) dari Singapura, yang diinginkan Saloma, ketika itu Saloma sedang sakit di Kuala Lumpur. Sharifah Aini ketika itu menetap di Kuala Lumpur dan sanggup turun ke Singapura untuk mendapatkan makanan idaman Saloma. Saloma tidak pernah menjadi saingan Sharifah Aini tetapi menjadi salah seorang sumber contohnya.

Biarlah saya tukar sedikit seni kata lagu ciptaan Sudirman untuk Saloma, dan saya tujukan pula kepada Sharifah Aini:

‘Kak Ani
bintang itu tak mungkin hilang
Kak Ani
bintang itu ‘kan tetap terang
walaupun kau telah pergi
kau tetap di awan tinggi
kerana
kau bintang hati…’

Sharifah Aini hanyalah manusia biasa yang tidak terlepas daripada beberapa kelemahan tetapi kelemahan-kelemahan itu bukanlah lumpur jerlus yang membenamkan sumbangannya. Kata penyair Chairil Anwar – ‘sekali bererti, sudah itu mati’.

Allahyarhamah Biduanita Sharifah Aini telah bererti dalam dunia seni dan kemasyarakatan kita. Dan kepulangannya ke rahmatullah pada 7 Ramadan 1435 Hijriah/5 Julai 2014 Masihi hanyalah satu laluan untuk meneruskan kehidupan yang lebih kekal. Semoga Allah menerima segala amalannya, mengampunkan kesilapannya, membalas baktinya dan menempatkan beliau, kakak seni saya, di kalangan hamba-hamba-Nya yang terpilih dan dicucuri rahmat. Amin. Al-Fatihah.

Ditulis: 12 – 16 Jun 2015
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Sajak: Teratak Ini

Gambar 1Gambar 2

Teratak Ini

Teratak kecil ini begitu besar
dilimpahi kecukupan
kasih sayang
syukur
reda
doa
& pelbagai pemberian-Mu yang tiada terhingga.

Dalam kecilnya teratak kulihat besar
dalam kekurangan kutemui kecukupan
dalam keterbatasan kuhadami kesempurnaan
Kau yang memberi tanpa batas
mengajarku makna syukur, reda,
melepasi segala dosaku
melangkaui segala kelemahanku
kerana dalam teratak ini & keseluruhannya
rahmat & keampunan-Mu melebihi segala.

Ditulis: 12 Jun 2015
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.