Catatan Ringkas 16 Jun 2015

Beberapa berita yang menyedihkan dan menggembirakan berbaur pada bulan Jun ini. Kita digegarkan oleh gempa bumi di Gunung Kinabalu yang meragut nyawa sebilangan orang Malaysia dan Singapura pada 5 Jun lalu. Di Singapura, yang terkorban merupakan dua orang guru, tujuh pelajar dan seorang pemandu/instruktor kem yang mengiringi para guru dan pelajar Tanjong Katong Primary School. Kita sedih dengan kematian yang tiba-tiba ini, lebih-lebih lagi nyawa kanak-kanak yang masih terlalu muda. Namun nyawa sesiapa pun, baik yang muda atau lebih dewasa, amat berharga. Singapura memperingati mangsa-mangsa gempa bumi pada 8 Jun lalu dan sebilangan orang masih terlalu terharu menerima berita buruk begini. Namun, dalam kesedihan kita, terdengar pula suara-suara yang menyalahkan pihak Kementerian Pendidikan dan Tanjong Katong Primary School kerana menganjurkan pendakian di Gunung Kinabalu. Kita boleh membuat pelbagai persiapaan dan peraturan agar para pelajar kita tidak didedahkan kepada bahaya tetapi tiada sesiapa pun boleh mengawal semua hal, apa lagi bencana alam yang amat jarang berlaku. Dengan beberapa peraturan yang lebih menjaga keselamatan para pelajar, guru dan pemandu pendakian/kem, tentunya meneruskan kegiatan-kegiatan sebegini banyak faedahnya kepada para pelajar kita. Dalam tragedi, unsur-unsur terbaik dan terburuk manusia semakin ketara. Tragedi gempa bumi ini menyerlahkan semangat saling membantu kita – baik yang menjadi mangsa mahupun yang terselamat dan mereka yang megikuti berita ini dari jauh tetapi berasa dekat di hati untuk melakukan sesuatu. Gambar dan kisah malim gunung (mountain guides) yang membantu tanpa mengenal lelah dan mereka yang tidak mati semangat menyelamatkan pendaki Gunung Kinabalu harus kita tabik. Semangat mereka memberi iktibar kepada kita dan semoga bantuan kita kepada mereka juga tidak terputus kerana mata pencarian mereka lenyap dengan gempa bumi yang melanda Gunung Kinabalu. Dalam meneliti berita sedih ini, kita memaklumi juga ada berita baik untuk sukan iaitu Sukan SEA yang ke-28 dengan Singapura menjadi tuan rumah sukan tersebut pada kali ini. Melihat anak-anak muda kita bersukan, memecahkan rekod satu-satu acara ataupun bekerjasama demi menguatkan lagi pasukan masing-masing, memberi harapan kepada kita. Sukan banyak mengajar manusia – kalau kita melihat sukan bukan hanya sebagai aktiviti untuk bermegah kerana mendapat pingat terbanyak. Disiplin dalam bersukan dan banyak nilai baik dapat ditanam semasa sesorang itu bersukan. Semoga kerjasama semasa bersukan ini akan berterusan dalam kalangan yang lebih besar kerana akhirnya kita hanya memiliki Bumi ini untuk dihuni. Seandainya kita bercakaran atau enggan mempeduli di antara satu sama lain, besar kemungkinan kehidupan kita akan lebih terjejas. Bagi mangsa-mangsa gempa bumi Gunung Kinabalu dan keluarga mereka kita berharap keluarga yang ditinggalkan akan tabah menerima hakikat ketiadaan seseorang dalam kehidupan mereka. Dan bagi peserta, penganjur dan sukarelawan Sukan SEA, harapan kita semoga cintakan sukan akan memupuk benih-benih kerjasama yang bakal dituai pada masa-masa mendatang.

**************************************************************

Saya akhirnya melengkapkan sedikit kenangan saya mengenai Allahyarhamah Biduanita Sharifah Aini, setelah hampir setahun beliau berpulang ke rahmatullah pada 7 Ramadan 1435 Hijriah bersamaan 5 Julai 2014 Masihi lalu. Sebelum ini saya telah menulis sedikit mengenai beliau dalam blog ini ‘(Al-Fatihah Buat Biduanita Sharifah Aini’ dalam ruangan-ruangan ‘Catatan’ dan ‘Sajak’ tersiar dalam blog ini pada 5 July/Julai 2014 dan puisi ‘Seribu Mawar Untuk Seri Dewi Malam’ dalam ruangan ‘Sajak’, tersiar dalam blog ini pada 21 August/Ogos 2014 ). Semoga masukan kali ini dapat memberi sedikit gambaran makna lagu-lagu Allahyarhamah bagi saya secara peribadi dan dunia seni kita secara umum.

***************************************************************

Kita akan menyambut bulan Ramadan 1436 Hijriah pada hari Khamis ini. Semoga Allah memberkati kita pada bulan mulia ini, memudahkan kita beramal, memanjangkan kebajikan sesama kita dan mengingatkan kita kepada mereka yang tiada lagi di sisi kita, insya-Allah.

Ditulis: 16 Jun 2015
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s