Archive | July 2015

Tiga Kuntum Sajak: Sajak Untuk Sahabat, Kisah Ayam & Beruk dan Seperti A. Samad Ahmad

Sajak Untuk Sahabat

Kerana kita bertunjang di sini
ribut ini seharusnya menanjapkan lagi
akar-akar yang lama tertanam
daun-daun yang kian merimbun
bunga-bunga yang mula memekar
untuk membuahi, melindung,
musafir yang lara sepi
kerana sepemeluk batang pohon ini
adalah perdu keteguhan
apa pun bencana alam.

Terik mentari hanyalah sinar
hujan, penyegar,
karbon dioksida ini terpaksa kita hadam
demi fotosintesis
tanpa siapa pun peduli
tanpa siapa pun mengerti
peritnya menggiatkan klorofil
melahirkan oksigen murni
sedang kota memuntahkan kotoran
melenyapkan satu persatu pohon-pohon hijau.

Sekalah air matamu
dinginkan kepanasan itu
untuk nanti kauledaki lahar
menghidupkan, setelah kemusnahan
bangkitlah dengan harapan
walau bertatih, tersadung,
akan kita teruskan perjalanan nan jauh
kerana pada luasnya samudera ini
anak-anak kita semakin hanyut
orang-orang rebut-merebut
keselesaan, tanpa pelampung,
tanpa menghiraukan
raksasanya gelombang
dahsyatnya kehancuran
& perahu kecil kita harus belayar
menongkah arus
membelah pekat malam
dengan yakin, tabah,
demi penakatan.

Ditulis: 4 November 2002
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Kisah Ayam & Beruk

Ketika ayam itu berkokok
tepuk sorak menyambut
puji-pujian menggunung
bagai dialah satu-satunya jaguh
di kampung sekangkang kera nun jauh.

Maka ayam itu pun berkokok
ketika subuh, siang, malam,
lantang mengisytiharkan kejantanan
di merata-rata & pelbagai reban
& semasa di arena sabungan
lawan-lawannya diberi julap
dia disuntik steroid
lalu jaguhlah dia tahun bertahun.

Kita pun terpesona dengan ayam seekor
& klon-klonnya di merata kampung
lalu diangkatlah si ayam menjadi ikon
diikuti yang muda, ayam-ayam tua semakin takut
kuasa & ganjaran berkepuk
lalu zaman berzaman pun beredar
kisah si ayam menjadi legenda
sehingga akhirnya secarik ceritanya terbongkar:
bahawa ayam itu belaan beruk
si beruk upahan bota raksasa
bajak laut kampung & perairannya.

Ketika itu, barulah orang-orang kampung tahu:
sebenarnya ayam itu ayam tambatan
kejaguhannya hanyalah kepalsuan
si beruk yang disusukan, beruk hutan
& si bota raksasa, wujudnya berkekalan.

Ditulis: 3 September 2006
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Seperti A. Samad Ahmad
(Penulis novel ‘Zaman Gerhana’)

Seperti A. Samad Ahmad, kita teringatkan
zaman gerhana, dibuai alpa, digoda nama,
& leka menikam sesamanya, sedang si pencatur,
sering mencemik, licik menajamkan kukunya,
mencalar-calar kedunguan masa.

Arnab pun kalah di tangan kura-kura, pabila
alpa & angkuh merajalela, suara hati itu besar
gemanya, walau singgahsana dipekakkan puji-
pujian penggilap epal, & rimba itu semakin
hangat, penghuninya resah, pabila hutan terbakar,
& jerebu memendungi ketika.

Seperti A. Samad Ahmad, kita pun teringat
sejarah silam, & Melaka yang hilang gemilangnya,
berulang pada apa pun zaman, bangsa, negara,
pabila kecuaian, keangkuhan & percaturan,
enggan difikirkan & diduga.

Ditulis: 9-10 Mac 2008
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Puji Biar Berlandas Fakta, Kena Tempat

Kalau anda jujur, anda akan berkata betapa syioknya bila orang memuji anda. Kebanyakan kita dilanda semacam perasaan senang bila orang berkata kita lawa, pandai, berkebolehan, berada dan lain-lain. Perasaan yang sama selalunya kita rasakan bila yang dipuji itu ada bersangkut-paut dengan kita misalnya anak-anak, saudara-mara, tempat kerja, kediaman, bangsa, negara kita dan sebagainya. Kita selalunya ‘kembang’ bagaikan belon bila dipuji-puji walaupun melihat badan sesetengah kita memang sukar juga nak terbang, selepas ‘kembang’ begini.

Pujian itu penting diberikan bila seseorang atau sesuatu itu memang mencapai taraf untuk dipuji. Semua orang perlukan pujian, dari semenjak bayi sehinggalah berusia lanjut. Kanak-kanak terutamanya akan terbantut perasaannya jika pencapaiannya dicemuh atau langsung tidak diendahkan oleh ibu bapa atau adik-beradiknya. Contohnya dia mendapat kejayaan dalam pelajaran, kegiatan luar darjah atau usaha-usaha yang membantunya membesar misalnya, mengambil berat terhadap datuk dan neneknya, membuat kerja-kerja rumah, pandai menjaga binatang peliharaannya atau sopan serta ramah terhadap kawan dan jiran, semuanya boleh diberi pujian, secara langsung atau tidak, agar dia tahu, usaha-usaha begini sebenarnya baik. Rasa harga dirinya akan bertambah kerana sokongan yang berupa pujian tadi. Ini berbeza bila kita terlalu memuji atau memuji bukan pada tempatnya, akibatnya anak-anak kita membesar dengan rasa harga diri yang lain daripada yang dijangkakan dan akan menyalahgunakan konsep puji ini dalam kehidupan mereka.

Sebagai orang Islam, ketika bangun dari tidur, kita bermula dengan pujian kepada Allah iaitu ‘Alhamdulillah’. Kita bersyukur Allah telah memanjangkan hidup kita dan memberi anugerah kehidupan dengan segala nikmatnya untuk kita terus hayati pada hari itu. Dan pujian kita bukan sekadar kata-kata, malah kita mempraktikkan dengan menunaikan solat dan cuba menjalani hidup ini dengan sebaik mungkin. Tiap langkah hidup kita adalah kesyukuran kita dan pujian kita kepada Pencipta yang Maha Adil dalam mengatur kehidupan makhluk-makhluk-Nya, walaupun pada mata kasar, hidup kita mungkin bergelumang masalah dan kegenjotan. Tetapi apa pun yang kita hadapi atau diuji, sebagai hamba, kita tetap reda, memuji dan bersyukur kepada-Nya.

Sebanyak mana kita memuji Allah, langsung tidak menjadi masalah, malah baik untuk kita. Ini amat berbeza dengan memuji manusia. Pepatah kita ada mengatakan: ‘Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali’. Demikian juga dengan pujian kepada manusia, melainkan insan tersebut adalah Rasulullah saw atau para anbia Allah. Manusia lain, betapa pun dianggap cemerlang dan berwibawa, terdapat juga cacat cela atau kekurangannya, kerana mereka bukan manusia ‘maksum‘ iaitu terpelihara daripada kekurangan-kekurangannya sebagaimana para nabi Allah. Tak ada salahnya, rasa Sri bila kita memuji seseorang itu berlandaskan fakta, misalnya kita memuji A kerana dia melakukan perkara-perkara tertentu dengan sebaik mungkin, tetapi adalah amat berbeza bila fakta tadi kita beri terlalu banyak ‘nilai tambahan’ sehinggakan yang fakta dan yang legenda tidak tahu lagi kita membezakannya.

Persoalan puji-memuji yang keterlaluan ini sering juga berlaku dalam dunia pekerjaan dan pertubuhan-pertubuhan sosial. Kadangkala perkara yang dibincangkan itu tidak seberapa, tetapi orang yang kaki puji, tak pernah melepaskan peluang untuk memuji siapa pun ketuanya. Yang penting memuji, walaupun kadangkala cadangan bos tadi amat bercanggah dengan hati nurani kakitangan yang lain. Yang memuji ini berasa bahagia bila bosnya tahu dia benar-benar menyokong, padahal yang selalu diutamakan ialah apa yang akan dia perolehi daripada sokongan tadi. Kerap berdepan dengan keadaan begini sebenarnya amat meluluhkan kita yang tak pandai menjadi tukang puji sebegini. Dan akhirnya hubungan sesama kakitangan atau ahli jawatankuasa semakin renggang, tetapi tukang puji dan yang dipuji semakin senang.

Ada kelompok atau masyarakat yang memang suka dipuji, tanpa menilai jujur atau tidaknya pujian tadi. Misalnya dalam kerjaya guru, jika anda mudah memberi markah ‘A’ kepada pelajar anda tanpa benar-benar jujur dalam menilai tugasan mereka, ramai murid yang akan memuji anda atau mengatakan anda seorang guru yang baik. Tetapi natijahnya, dengan longgarnya pemarkahan anda, anda sebenarnya merosakkan masa depan anak murid anda. Ini kerana anda memuji mereka yang tidak seharusnya mendapat markah kepujian dan anak-anak murid anda pula menganggap diri mereka cemerlang, walhal berdepan dengan penilaian yang lebih saksama dalam peperiksaan nasional atau di peringkat antarabangsa, murid-murid anda tadi jauh terpelanting ke belakang. Tapi bagi orang yang kaki puji ini perkara begini tidak merisaukan; asalkan dia mendapat habuan kerana pujiannya tadi, apa pun akibat jangka panjang daripada perbuatannya terhadap murid-muridnya misalnya, tidak dipentingkan.

Ada pepatah mengatakan: ‘Kawanmu adalah sesiapa yang menentang kamu, bukan memuji kamu’. Maksudnya sahabat anda atau orang yang benar-benar sayangkan anda tidak akan memuji-muji segala perbuatan anda tanpa penilaian, kalau perlu ditentang atau disanggah, dia tetap melakukannya. Dia tiada agenda bila menentang atau memuji anda, kecuali agenda untuk melihat anda melakukan yang terbaik dalam hidup anda. Orang yang tukang puji, lain pula kisahnya kerana agendanya tidak pernah jauh daripada kepentingan-kepentingannya….

Ditulis: 7 Julai 2003
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu Singapura, 13 Julai 2003
Tajuk Asal: Puji-Pujian.
Tulisan: Rasiah Halil.

Penyakit Hasad Dengki

Bukan senang nak jadi senang, demikian falsafah ‘Profesor Gila-gila’ daripada majalah humor, ‘Gila-gila’. Bila kita berasa senang, sama ada dari segi murahnya rezeki, selesanya pekerjaan, bakat dapat dikembangkan, menjadi terkenal dan sebagainya, ramai juga yang tak begitu senang. Maklum, ada orang berfikir, segala-galanya dalam kehidupan ini begitu terbatas: kalau orang lain dapat, bererti dia pula tak akan dapat macam ‘zero sum game’. Lantas bersaranglah di hati perasaan iri hati, dengki, dan akhirnya boleh tergamak pula melakukan fitnah terhadap orang yang diirikan itu. Dan melayanglah surat layang, e-mel layang, sms layang dan kita turut terlayang-layang mengikuti perkembangan tengkarah yang berlarut-larut seperti ini.

Mengapa timbul gejala seperti ini, ada beberapa kawan Sri tertanya-tanya. Macamlah orang-orang yang terlibat ini tak ada kerja lain. Ada orang Sri dengar, persalahkan teknologi – sebab ada telefon bimbit, komputer dan Internetlah macam-macam fitnah boleh disebar luas. Tapi Sri tak setuju. Yang salah bukan teknologi, tetapi salahguna kita terhadapnya. Dan kalau orang nak buat tak tentu atau tak baik terhadap orang lain, tanpa adanya teknologi canggih pun ia boleh dilakukan. Kalau tidak takkanlah timbul peribahasa: ‘Mulut tempayan boleh ditutup, tapi mulut manusia…’

Memang dalam hidup ini sesekali kita mesti ada perasaan cemburu; bila saudara atau anak kita ada macam tak betul sikit, kita harus ‘taruh cemburu’ agar dia tidak hanyut dalam keadaannya. Misalnya kalau anak kita asyik balik larut malam tanpa sebab munasabah, mesti ada rasa cemburu untuk mengetahui keadaannya yang sebenar kerana kalau kita tak berperasaan apa-apa, mungkin sesuatu yang tak baik boleh berlaku. Ini bukan kerana kita tidak mempercayainya tetapi sekadar langkah berwaspada untuk kebaikannya. Demikian juga kita mungkin cemburu melihat ketekunan dan kesabaran seseorang mengerja dan mencapai sesuatu. Orang yang berlumba-lumba membuat kebajikan atau yang jujur dalam segala usahanya sehingga mencapai banyak kejayaan, seharusnya kita cemburui – bukan cemburu yang negatif, tetapi cemburu yang positif – mahu melakukan sebaik orang itu dalam bidang kebajikan dan lain-lain. Dan tujuannya bukan pula untuk menjatuhkan orang yang kita cemburui itu atau berlagak mengenainya.

Iri hati, dengki dan akhirnya boleh memfitnah orang, lain pula kategorinya. Orang yang dinaungi ‘penyakit-penyakit’ sebegini selalunya tidak tenteram hati dan hidupnya. Siapa sahaja ada kelebihan sedikit, yang dianggap melebihinya, dia akan berasa tergugat. Ibarat gelas yang tidak penuh, hanya sedikit sahaja ‘angin’ misalnya, air dalam gelasnya akan berkocak. Tiap orang dianggap pesaingnya dan dia tidak akan tenteram melainkan mereka yang dianggap saingannya ‘terkeluar ring’ dan dia diisytihar jaguh atau yang terhandal. Dia terpaksa selalu menoleh ke kiri dan ke kanan kerana takut para pesaingnya menjelma atau menjadi kuat semula. Betapa menjenuhkan pekerjaan orang seperti ini kerana setiap kali ada orang yang dianggap lebih baik daripadanya dia akan berada dalam ‘mode bertindak’ dan mula menabur iri, dengki dan fitnahnya.

Sri pasti anda juga pernah menyaksikan atau mengalami akibat dari diiri, didengki dan difitnah ini, walaupun anda, orang yang biasa-biasa sahaja. Dan kadangkala ‘penyakit-penyakit’ ini muncul kerana perkara-perkara yang amat tidak munasabah. Anda didengki mungkin kerana anda anak si polan bin polan, anda sedikit lawa, anda mudah ketawa walaupun dirundung pelbagai masalah, anda mudah memesrai manusia dan lain-lain. Tetapi yang lebih menyeksa, bila si pendengki melakukan lebih dari sekadar tak suka. Ada kawan Sri menerima surat layang yang amat kesat kerana ada orang berasa tergugat dengan kebolehan kawan Sri itu. Ada pula memfitnah seorang lagi yang Sri kenal – bila dirinya yang semakin gempal dan gambarnya tertera di akhbar. Anda tahu apa fitnahnya – kawan Sri ini dituduh mengandung tanpa suami padahal walaupun kawan Sri ini sedikit gila-gila, dia bukanlah wanita seperti itu. Dan banyak lagi cerita seperti ini yang anda sendiri maklumi.

Bila hati seseorang itu ‘bengkak’, banyak yang tak baik akan dilakukannya. Dia selalu didorong oleh kehendak mahu menghancurkan kehidupan orang yang dianggap pesaingnya. Ini mungkin dilakukan secara baik dengan berlagak seperti kawan atau saudara, dan kemudian ‘membunuh’ anda atau bertindak secara lempar batu sembunyi tangan. Apa sahaja yang anda lakukan baik dalam kehidupan peribadi, kerjaya atau bidang yang anda minati, ada sahaja yang menimbulkan kemarahan atau rasa tak kenanya. Lantas, kalau dia ada kuasa, akan ditutup banyak pintu di hadapan muka anda, ditabur pasir ke dalam periuk nasi anda, disebarkan pelbagai fitnah dan berita palsu untuk menunjukkan kekurangan anda. Dengan demikian, dia akan berasa puas; sekurang-kurangnya nama baik anda tercemar dan mungkin masa depan anda juga menjadi gelita kerananya.

Susah hendak dikawal orang yang iri, dengki dan suka memfitnah ini kerana perbuatannya bagaikan api yang membakar kayu kering – segala kebaikan yang ada padanya boleh musnah kerananya. Kalau kita sekadar memberi kritikan membina terhadap seseorang atau tidak setuju adanya watak-watak umpama ‘Si Kitul’ dalam masyarakat kita, itu bukan berdengki, tetapi mengembangkan perbincangan dan kemaslahatan umum. Dan cara kita juga mesti betul. Tetapi mereka yang ‘berpenyakit’ ini tiada batas sebagai sempadannya dan yang diutamakan adalah kepentingannya. Kecuali Nabi saw mana ada manusia yang serba serbi sempurna, lantas orang-orang ‘berpenyakit’ ini akan selalu resah kerana pesaingnya akan selalu ada di depan matanya.

Ditulis: 30 September 2004
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu Singapura, 3 Oktober 2004
Tajuk Asal: Bila Fitnah, Dengki, Iri Hati ‘Melayang’
Tulisan: Rasiah Halil.

Sajak: Benteng

Fort 1Fort 3

Benteng-benteng semakin diperkukuh
di pesisir, laluan, kota
teguh menjaga hak milik bersama
segalanya rapi diatur
dari mikro ke makro
berindukkan peta rahsia.

Daripada bahan-bahan terpilih
disusun pembina-pembina canggih
terpacaklah benteng-benteng itu
penghalang serangan
peneguh kekuasaan
& sesiapa yang mencabar
dihunjam bak kerikil jalanan.

Betapa teguh benteng-benteng itu
mempertahan, mengawal
pengaruh sang pemeta
anasir-anasir tegar
sedang khalayak diulit mimpi
& pelbagai sulapan terkini.

Ada benteng, ada perancangan
terkesima kita dikubu kecelaruan.

Ditulis: 24 Jun 2015
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Rasa Kehilangan Menyambut Syawal

Hari Raya Kedua 22 April 1958. Gambar Diambil Oleh Busu Saya Ketika Saya Berusia 2 Tahun 1 Bulan Lebih

Hari Raya Kedua 22 April 1958. Gambar Diambil Oleh Busu Saya Ketika Saya Berusia 2 Tahun 1 Bulan Lebih

Ramadan dan Syawal tahun ini terasa berlainan sekali. Tahun lalu dan tahun ini beberapa orang yang saya kenal dan sayang meninggal dunia, termasuk ibu saudara saya yang saya panggil ‘Cicik’, nenek saudara saya, suami sepupu saya, beberapa orang kerabat, orang-orang seni yang saya hormati, terutamanya Pak Ghani Hamid, Biduanita Kartina Dahari, Biduanita Sharifah Aini, beberapa orang seniman veteran kita, sahabat saya Cikgu Md Naim Daipi dan lain-lain.

Bagi mereka yang mengalami kehilangan kerana berpulangnya insan-insan yang mereka sayangi ke rahmatullah, tentunya mengambil masa untuk menyesuaikan diri menghadapi keadaan baharu ini. Dan Ramadan dan Syawal menimbulkan keharuan yang sukar dicatatkan dengan kata-kata.

Yang kita rindui bukan perkara-perkara besar mengenai insan-insan yang kita sayang ini tetapi perkara-perkara yang kelihatan kecil tetapi besar maknanya bagi kita. Kita rindukan masa-masa bersama mereka, senda gurau, perhatian, karenah, malah merajuk mereka juga. Betapa kita ingin bersama mereka sekali lagi walaupun sekadar 5 minit sahaja.

Saya merindui beberapa orang semasa Ramadan dan Syawal ini. Selain kedua-dua orang tua saya, saya merindui datuk dan nenek yang membesarkan saya. Dan juga ibu dan bapa saudara saya, yang saya panggil ‘Cicik’ dan ‘Busu’, keluarga berangkai saya, keluarga pertama tempat saya membesar sehinggalah usia saya 8 tahun apabila ibu bapa saya membawa saya tinggal bersama mereka. Tetapi saya sering bermalam dan menziarah rumah keluarga berangkai saya setelah usia 8 tahun sehinggalah saya dewasa.

Pada 2 Syawal 1958, ketika Busu saya (Abdul Ghani bin Abdul Kadir) baru-baru bertunang dengan Cicik saya (Puteh Abdul Rahman), gambar di atas rencana ini, dipetik oleh Busu saya. Ketika itu saya baru berusia 2 tahun satu bulan lebih. Busu saya seorang jurugambar bukan profesional yang baik – banyak gambar keluarga, termasuk gambar saya, diambilnya. Busu dan Cicik saya bernikah pada 11 Oktober 1959 dan kemudian mereka tinggal bersama kami – datuk saya (Syed Hussein), nenek saya (Fatimah Abdullah), ibu saudara bongsu saya (Rahijah, yang saya panggil ‘Kakak’) dan saya. Pada 1960, kami ke Haw Par Villa. Datuk saya tidak dapat turut bersama kerana bekerja. Ketika itu Busu dan Cicik saya baru beberapa bulan berumah tangga dan belum mempunyai cahaya mata. Inilah di antara sejumlah gambar yang diambil oleh Busu saya:

Bersama Ibu Saudara Bongsu Saya 1960

Bersama Ibu Saudara Bongsu Saya 1960

1960 Di Haw Par Villa Bersama Ibu Saudara Bongsu Saya

1960 Di Haw Par Villa Bersama Ibu Saudara Bongsu Saya

Ramadan Dan Syawal 2015

Seperti sepupu-sepupu saya sekeluarga dan ibu saudara bongsu saya, saya banyak terkenangkan Busu dan Cicik saya semasa Ramadan dan Syawal ini. Saya juga terkenangkan orang tua saya dan datuk dan nenek yang membesarkan saya. Air mata kita mudah berlinang mengenangkan mereka yang telah pergi.

Pada malam Hari Raya (16 Julai 2015) kali ini, beberapa orang sepupu saya sekeluarga mahu meneruskan tradisi yang dimulakan oleh Busu saya semasa beliau hidup. Busu dan Cicik saya mengadakan majlis tahlil pada petang Hari Raya dan Busu saya akan khatam al-Quran pada hari tersebut. Kemudian, selepas berbuka bersama-sama, kami akan bersolat maghrib dan kemudian bertakbir. Setelah Busu saya berpulang ke rahmatullah pada bulan April 2003, tradisi bertahlil dan bertakbir diteruskan oleh Cicik saya dengan anak-anak dan cucu-cucunya meneruskannya. Tapi tahun ini perasaannnya terlalu mengharukan bagi kami.

Saya yang terawal sampai ke rumah Cicik saya. Rumahnya tanpa penghuni kerana sepupu saya (lelaki bujang) yang tinggal serumah dengan Cicik saya dahulu, bekerja. Saya memang ada kunci ke rumah Cicik saya. Inilah kali pertama saya ke rumah Busu dan Cicik saya di Bedok North dan tiada sesiapa di rumah. Saya menjengah ke bilik Cicik saya dan air mata saya berlinang. Belum pun 8 bulan beliau berpulang ke rahmatullah. Saya buka lampu, kipas dan beberapa tingkap.

Apabila sepupu-sepupu saya sekeluarga datang, ada di antara mereka sibuk mengatur makanan untuk berbuka. Bila kami memulakan tahlil, sebilangan kami menangis, demikian juga ketika bertakbir. Segala rutin yang biasa dikaitkan dengan sambutan Hari Raya berubah pada tahun ini kerana tidak seperti tahun-tahun sudah, rumah Cicik saya tidak lagi menjadi tumpuan sanak saudara kerana orang yang menjadi paksi tumpuan itu telah tiada. Tanpa banyak bercakap mengenainya, rasa kehilangan yang mendalam ini demikian terasa.

Saya yakin anda juga berasa demikian mengenangkan mereka yang tiada. Betapa pun kita bergembira menyambut Syawal, kesedihan ini tetap bernaung di hati kita. Melihat mereka yang menyayangi orang-orang yang kita sayang, kita semakin ingin silaturrahim di kalangan kita akan berkekalan dan tradisi yang dihidupkan mereka yang kita sayang ini akan tetap mengobori mereka yang ditinggalkan.

Saya merindui beberapa orang Ramadan dan Syawal ini, di antaranya adalah orang-orang berikut:

Bersama Bapa Saya 1975

Bersama Bapa Saya 1975

Bersama Cicik, Busu Dan Nenek Saya 1985

Bersama Cicik, Busu Dan Nenek Saya 1985

Bertahun-tahun mungkin telah berlalu atau baru sahaja berlalu tetapi kasih sayang kita kepada mereka yang telah berpulang ke rahmatullah tidak pernah malap. Kita akan terus menguatkan semangat hidup kita kerana demikianlah sebilangan harapan mereka yang telah berpulang ke rahmatullah, terhadap kita.

Semoga Allah sentiasa memberi kita kekuatan menghadapi rasa kehilangan ini dan mempermudahkan segala urusan kita menjadikan kenyataan segala harapan mereka yang telah berpulang ke rahmatullah ini untuk ahli keluarga, kerabat, sahabat, peminat yang ditinggalkan mereka. Dan semoga Allah sentiasa mencucuri rahmat ke atas roh mereka dan menempatkan mereka di kalangan hamba-hamba pilihan-Nya. Amin. Al-Fatihah.

Ditulis: 2 Syawal 1436 Hijriah/18 Julai 2015 Masihi
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Nostalgia Hari Raya Tatkala Anak Bulan Syawal Dinanti Penuh Debaran

Selamat Hari Raya dan maaf zahir dan batin kepada anda pembaca akhbar ini. Nak nyanyikan lagu ‘Selamat Hari Raya’ Saloma, atau ‘Dendang Perantau’ P.Ramlee atau ‘Nostalgia Aidilfitri’ Sharifah Aini nampaknya tak mampu. Suara itu memanglah ada tapi kepiawaiannya hanya setakat di bilik mandi saja, lantas tak bolehlah Sri nyanyikan untuk anda. Namun, tanpa menyanyi pun sausana Hari Raya memang cukup meriah.

Yang paling gembira hari ini tentunya kanak-kanak. Agaknya bagi mereka, dalam susah atau senang, Hari Raya tetap Hari Raya, sedikit sahaja sudah boleh menggembirakan mereka. Masa zaman-zaman susah dulu, bila kita dapat baju dan kasut baharu, bukan main kegembiraannya. Maklumlah pada zaman itu pada masa rayalah ibu bapa kita mampu membelikan satu dua pasang baju baharu. Tak ada jenama pun tak apa, janji ada baju lain. Dan selain dapat makan sedap-sedap, minum ‘lamnet’ (lemonade dalam botol, air bergas/soda), yang paling dinantikan tentunya duit raya. Ada yang lepas kumpul duit raya, berbelanja pula beli sate, main tikam-tikam atau tengok wayang. Kita tiba-tiba jadi ‘orang kaya’ masa raya, walhal duit collection ketika itu bukannya banyak sangat.

Walaupun Sri akui Hari Raya yang dah ditentukan tarikhnya memudahkan banyak pihak, tapi rasa seronok lebih terserlah bila tarikhnya belum diketahui. Kita menanti dengan penuh debar bila diumumkan: ‘Anak bulan Syawal telah kelihatan/tidak kelihatan dari Teluk Kemang dan dengan itu Hari Raya tahun ini jatuh pada…’ Macam gezet wayang, kita pun jadi sedikit ‘huru-hara’ setelah pengumuman tadi. Masa di kampung dulu, itulah masanya ayam-ayam jadi ‘tidak selamat’, jika anda memelihara ayam. Pandai pula ayam-ayam ini memaklumi keadaan; habis satu kampung ia lari! Di sana sini anda terlihat orang sibuk merebus ketupat, menyiapkan hidangan Hari Raya, memasang langsir dan membuat mana yang patut. Masa itu tak ada bazar di Geylang Serai tapi satu kampung bercahaya dengan kegiatan-kegiatan terakhir ini. Bagi kanak-kanak, selain membantu itu dan ini (kadangkala lebih pada menyibuk), masa terakhir ini sempat juga mereka bermain bunga api, mercun dan meriam buluh (masa itu belum diharamkan) sementara menanti nak testing apa-apa makanan yang disiapkan ibu atau nenek anda. Dan pada malam Hari Raya, jika rumah anda berdekatan dengan masjid, kedengaran orang bertakbir dan membaca al-Quran kadangkala sampai ke dinihari. Kini, semakin dewasa, suara takbir dan bacaan al-Quran dari masjid yang anda dengar semasa zaman kanak-kanak dan remaja itulah yang membetikkan nostalgia anda menjelang Aidilfitri.

Yang sukar Sri lupakan ialah apabila kanak-kanak berbondong-bondong ke rumah kami semasa di kampung; ada yang langsung tak kami kenal. Yang mereka mahu hanya duit collection, ada datang sejauh Pasir Panjang dan Kaki Bukit, berhimpun di pinggir jalan dan bila collection di sesebuah rumah itu agak lumayan, pakai nampak ramailah kanak-kanak bertandang! Satu lagi kenangan ialah musim banjir semasa Hari Raya pada tahun-tahun 60-an. Sri ingat ramai yang terpaksa bertenggek di atas amben dan menyelamatkan barang-barang dan kuih-muih Raya. Dan semasa berkunjung ke rumah salah seorang ibu saudara Sri di Geylang Serai, kita yang kecil-kecil itu hanya tercanguk; kuih-muihnya semua dah hanyut! Air banjir yang mengalir pula tak ubah macam teh susu! Dan dalam banjir-banjir itu, sempat pula ada di antara kita yang posing di studio gambar; maklumlah masa itu kamera bukannya murah jadi studiolah jawapannya walaupun warnanya hitam-putih saja.

Satu keindahan Hari Raya ialah kita dapat berkumpul dengan orang-orang yang kita kasihi, bersama bertakbir dan menjamu selera. Lebih daripada itu, amalan kunjung mengunjung dan saling memaafkan dalam erti kata sebenar, membawa manfaat yang besar pada ahli keluarga tersebut. Bagi mereka yang masih mempunyai ibu bapa atau datuk dan nenek, usaha untuk berkumpul ini lebih mudah; yang tiada lagi orang-orang tua, seseorang dalam keluarga terpaksalah mengusahakannya dan yang lain membantu agar tradisi ini terus hidup. Sebab itu Sri suka membaca mengenai keluarga berangkai yang membuat pertemuan Hari Raya atau perjumpaan Hari Raya di kalangan kawan-kawan lama, jiran sekampung dan sebagainya. Tetapi yang paling mengharukan tentulah mengenai anggota keluarga yang berkumpul semula setelah terpisah lama. Ada di antara kita mudah menjadi seperti Neng Yatimah bila membaca atau menonton kisah-kisah sebegini.

Hari Raya kali ini, genaplah 10 tahun pemergian nenek Sri. Beliau lebih merupakan ibu Sri kerana nenek Sri mengasuh dan membesarkan Sri dan banyak menyemaikan kecintaan Sri pada dunia seni, pendidikan dan agama. Ketabahan hatinya dan keihsanannya masih menjadi cermin perbandingan bagi hidup Sri. Puisi A. Samad Said untuk P.Ramlee mungkin sesuai juga ditujukan kepada insan yang pengorbanan dan jasanya terlalu banyak bagi hidup Sri dan tak dapat Sri balas hingga ke akhir hayat Sri:
……………………………………………
ketiadaannya dirasakan kehadirannya,
kehadirannya dirasakan kehilangannya,
kehilangannya dirasakan kerugiannya.

Kita (Sri) terlalu terhutang kepadanya.

Hargailah orang-orang tua anda pada Hari Raya ini dan sepanjang hayat mereka. Anda akan benar-benar rindukan mereka bila mereka telah tiada terutama pada Hari Raya.

Ditulis : 12 Disember 2001
Tersiar : Berita Minggu (Singapura), 16 Disember 2001
Tajuk Asal: Menyambut Hari Raya
Tulisan: Rasiah Halil.

Lagu ciptaan dan seni kata tulisan S. Omar Osman yang dirakamkan Biduanita Sharifah Aini pada 1973:

Kata Mutiara

KM1KM2KM3

Kalbu Seorang Mukmin

Kalbu ibarat sebuah pohon, bila disiram dengan air ketaatan buahnya akan tampak jelas. Mata akan membuahkan penjagaan. Telinga akan membuahkan perhatian terhadap al-Quran dan ilmu. Lidah akan membuahkan zikir dan ucapan yang baik. Kedua-dua tangan dan kaki akan membuahkan amal-amal kebajikan, taat, serta sikap mahu membantu orang. Sementara bila kalbu kering, buahnya akan luruh/gugur dan manfaatnya hilang.

Perjuangan memang tidak manis. Ia disertai oleh hujung-hujung panah dan pertumpahan darah. Berjuanglah melawan nafsu agar ia mahu taat. Itulah yang disebut jihad terbesar.

Kalbu ibarat cermin, sedangkan nafsu seperti asap atau wap. Setiap kali asap itu menempel di cermin, cermin itu pun akan menghitam sehingga kejernihan dan keindahannya pudar.

Rasulullah saw bersabda: “Kalbu manusia lebih bergolak daripada kuali yang sedang mendidih di atas api.” Rasulullah saw berdoa yang bermaksud: “Wahai yang membolak-balikkan kalbu dan pandangan. Teguhkan kalbuku ini di atas agama dan ketaatan pada-Mu.”

Kalbu sama seperti mata. Bukan keseluruhan mata yang boleh melihat. Tetapi, lensanya sahaja. Kalau kalbu dibebani syahwat, ia kan bergerak dan kalau dibebani lintasan takwa ia juga akan bergerak. Kadangkala lintasan nafsu atau syahwat yang lebih dominan, dan kadangkala pula lintasan takwa yang lebih dominan. Kedudukan kalbu seperti atap rumah. Bila engkau menyalakan api di dalam rumah, asapnya akan membumbung ke atap hingga membuatnya hitam.

Kalbu baru bersinar dan bercahaya dengan memakan yang halal, selalu berzikir dan membaca al-Quran disertai tadabbur (berfikir dan mengamati dengan mendalam agar mendapat berkah dan kebaikan yang ada dalam al-Quran), duduk bersama para ulama dan orang-orang mukmin, menjaga diri daripada melihat sesuatu yang mubah (harus), memelihara diri daripada yang terlarang dan makruh, serta cemas terhadap segala maksiat.

Kalbu yang hidup adalah kalbu yang tak pernah lalai terhadap Allah, walaupun dihadapkan sesuatu yang buruk atau baik. Bila ingin mengubati kalbumu daripada keburukan dan kelalaian, jauhilah sesuatu yang syubhat (tidak jelas halal haramnya), keluarlah menuju padang taubat, pakailah baju penyesalan, angkat panji kehinaan, tinggalkan tempat tidur, ubahlah kondisimu daripada jauh kepada Allah dengan mendekati-Nya dan daripada kelekaan kepada kesungguhan, berilah makan fakir miskin, biasakan kalbumu untuk mengasihi dan mencintai, perbanyakkan menangis, dan teruslah berdoa kerana harap dan bimbang, dengan begitu mudah-mudahan engkau sembuh.

Wahai hamba Allah, agama merupakan modal hidupmu di dunia. Bila engkau kehilangan modal tersebut, sibukkan lisanmu dengan menyebut-Nya, kalbumu dengan mencintai-Nya, dan anggota badanmu dengan mengabdikan diri pada-Nya. Selain itu, bersikaplah tawaduk, temui para ulama yang mengamalkan ilmunya, sampai benih datang, turun hujan, dan ia pun tumbuh.

Sesiapa yang memperlakukan kalbunya seperti petani memperlakukan tanahnya, kalbunya akan bersinar dengan cahaya iman dan hikmah.

*****Petikan tulisan Ibnu ‘Athaillah al-Sakandari (648H/1250M – 709H/1309M) daripada bukunya Bahjat al-Nufus, terjemahannya diberi judul Terapi Makrifat. Tutur Penerang Hati, Jakarta: Penerbit Zaman, 2013, halaman 164 -173. Bahasa Indonesianya telah diubah-suai dan hanya beberapa perenggan sahaja dipetik dalam masukan blog kali ini.*****