Kalau Berjauhan Dalam Ramadan, Geylang Serai Selalu Dalam Ingatan

GS1GS3GS2SAR2

Anda pernah menginap di luar negara ? Kalau pernah, anda akan fahami betapa Ramadan selalu mengingatkan anda akan kampung halaman. Banyak perkara yang kita terima sebagai sedia ada akan terasa kehilangannya semasa kita menyambut Ramadan di luar negara. Ada negara tempat anda menginap, soal kunjung mengunjung atau memberi juadah berbuka tidak timbul terus kerana budaya begini tidak begitu diamalkan. Selain itu, tak ada pula semacam bazar Hari Raya seperti di Geylang Serai serta jualan kuih muih di Bussorah Street dan lain-lain tempat. Bukan setakat tempat saja yang berlainan, hinggakan menunggu waktu berbuka pun terasa kelainannya. Kalau di Singapura kita sering diiringi oleh bacaan al-Quran dan ceramah ringkas mengenai Ramadan, di negara-negara tertentu, ini kurang atau langsung tak ada. Dan anda mungkin terkenang-kenang suasana berbuka di Singapura, selain dapat bersama keluarga dan menikmati juadah istimewa, anda boleh juga ‘rindu’ akan lagu istimewa kita selepas berbuka berjudul ‘Ya Rabb’. Lagu ini dah macam sebati dengan kita, kalau tak dengar macam tak syiok.

Salah satu pengalaman Sri menyambut Ramadan di luar negara ialah berbuka dengan orang-orang Islam dari negara-negara berbeza. Selain berbuka di rumah orang tempatan, Sri juga dijemput berbuka di rumah rakan-rakan Sri, yang bukan orang tempatan. Jadi dapatlah dirasa juadah berbuka orang Indonesia, Malaysia, Pakistan, Sri Lanka, Sudan dan lain-lain. Kita juga boleh berbuka di rumah-rumah orang tertentu yang selalu mengadakan ‘rumah terbuka’ untuk berbuka puasa dan bersembahyang tarawih. Di negara tempat Sri menginap itu, wanita jarang berpusu-pusu bertarawih di masjid seperti di Singapura lantas rumah-rumah orang yang mengadakan rumah terbukalah menjadi tempat tumpuan sejumlah orang. Sri ingat pertama kali berbuka dan bertarawih di rumah terbuka itu – lain benar pengalamannya terutama yang mengimami jemaah adalah seorang hafiz yang didatangkan dari luar negara. Kerana bacaannya lunak dan indah, masa tarawih yang agak panjang itu tidak terasa, dan walaupun kita tak faham bahasa Arab, sebutan imam tadi boleh saja menyentuh hati kita. Selepas bertarawih, orang- orang yang berasal dari Singapura, selalulah terkenangkan Singapura dan bercakap-cakap mengenainya.

Tempat yang sering menimbulkan kenangan kita bukan Orchard Road, tetapi Geylang Serai. Kalau anda menginap di negara Barat, di mana-mana pun, ada saja daerah seperti Orchard Road, tapi Geylang Serai lainlah….Seorang kawan Sri yang menginap di negara Barat, selalu juga terkenangkan Geylang Serai, terutama ketika Ramadan. Katanya boleh saja dia menyanyi ‘Dendang Perantau’ atau ‘Selamat Hari Raya’ tapi manalah nak diimport Geylang Serai ke Amerika……

Geylang Serai, sebagaimana Arab/Bussorah Street, daerah Kampung Melayu di Kaki Bukit dan beberapa tempat lain sering menimbulkan nostalgia kita kerana dah terlalu sebati dengan kita. Dah jauh kita menginap di Jurong atau Choa Chu Kang, sesekali nak juga kita singgah di pasar Geylang, kerana pasarnya bukan saja dibuka sehingga ke petang, tapi barang-barangnya taklah semahalnya dan inilah satu-satu pasar yang si kaki pendek tak turut dijual…

Teringat pula Sri lagu tahun 50-an nyanyian Ahmad CB yang dicipta lagu dan seni katanya oleh Ahmad Jaafar:
Kisah Geylang Serai

Di waktu petang di Geylang Serai
terang benderang sungguhlah ramai
tua dan muda, miskin atau kaya
semuanya ada, terdapat di sana.

Begitu banyak orang jualan
sehingga sesak sampai ke jalan
bermacam barang terdapat di situ
kasut dan baju macam model baru.

Kalau penat carilah bai sarbat
di dekat Panggung Taj di situ tempat
kalau nak buah di situ memang murah
kalau nak kuih tak susah pilih.

Berbagai bangsa yang lalu lalang
sungguhlah puas mata memandang
itulah kisah Geylang waktu petang
sungguh cukup ramai di Geylang Serai….
.

Mendengar lagu ini lagi terasa oleh kita macam Ahmad CB dah tahu akan ada bazar Geylang, yang tak pun wujud pada zamannya. Walaupun Panggung/Pawagam Taj dah tak ada dan digantikan dengan Panggung/Pawagam Singapura [inipun dah tak ada dan berubah wajah pada tahun 2015 ini], tapi Geylang Serai bagi orang Melayu tetapi menimbulkan sesuatu yang unik sehinggakan terkenal di Malaysia, Indonesia dan Brunei. Benar, bukan semuanya indah di Geylang Serai. Yang kuat melepak, bersembang sampai petang, minum arak, main judi, main dam, melaram dan lain-lain juga terdapat di Geylang Serai. Tapi unsur-unsur yang baik juga turut wujud di sana. Terdapat peniaga-peniaga Muslim yang menjual pelbagai barangan keperluan kita sama ada keperluan asas, budaya mahupun agama. Dari toko-toko buku Melayu, kedai-kedai pakaian, ubat-ubatan tradisional, perkahwinan, gerai-gerai makanan sehinggalah bangunan-bangunan penting bagi kita seperti Pasar Geylang (dan Pasar Joo Chiat satu masa dulu) dan masjid-masjid seperti Masjid Aminah (dah tiada), Masjid Khalid dan kini Masjid Darul Aman, mungkin tempat sesetengah kita belajar agama. Tiap lorongnya, walau diubah masa dan adakalanya nama, tetap bermakna dan bersejarah kepada kita, bukan pada waktu Ramadan sahaja…….

Ditulis: 12 Disember 2000
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu Singapura, 17 Disember 2000
Tajuk Asal: Kisah Ramadan Dan Geylang Serai
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s