Kematian Dan Kesannya

Pusara 1Pusara 2

Satu dua minggu yang lalu ini Sri terima beberapa berita mengenai kematian – orang-orang yang Sri kenal, di dalam dan luar negara. Memang kematian berlaku setiap hari tetapi hati kita lebih tersentuh bila orang itu kita kenali dan pernah menjadi sebahagian daripada hidup kita. Kadangkala berita-berita ini amat memeranjatkan kerana kita tidak tahu orang tersebut pernah menghidap apa-apa penyakit dan sebagainya.

Ada keharuan yang anda rasa, yang sukar benar untuk diucapkan kerana kehilangan yang anda hadapi. Mungkin anda, seperti Sri, bila kematian orang-orang yang Sri kasihi, terfikirkan segala yang anda seharusnya lakukan untuk mereka dan tak berupaya lakukan kerana beberapa sebab. Betapa kita ingin membahagiakan orang-orang yang kita kasihi ini dan betapa kita berasa pada bulan-bulan pertama setelah kematian itu, perasaan sedih dan kesal kerana ketidakupayaan kita melakukan banyak perkara. Ahli psikologi menyebut ini sebagai ‘grieving period’. Ada orang mengambil masa yang lama untuk keluar dari tempoh ini, tapi ada juga sebaliknya. Ini banyak bergantung kepada hubungan, peribadi dan cara kita berhadapan dengan sesuatu peristiwa yang menjejas hidup kita. Sebab itu, ada juga orang meninggal selang beberapa waktu sahaja setelah kematian orang yang mereka kasihi. Sri terkenangkan Sayidatina Fatimah ra yang amat menyayangi ayahnya, Rasulullah saw. Beliau meninggal dunia tak sampai pun 6 bulan setelah wafatnya Nabi saw, pada usianya yang belum pun mencecah 30 tahun.

Dalam usia berapa pun, kematian seseorang itu sering menimbulkan kekosongan dalam hidup kita. Kita mungkin terkenangkan masa-masa kita bersamanya: membesar dengan orang tersebut dengan pelbagai peristiwa yang turut kita lalui bersama; mendirikan masjid bersamanya ataupun orang yang teguh berdiri di belakang kita dalam berbagai cabaran hidup yang kita hadapi. Kehilangannya, tidak seperti kata pepatah, tidaklah semudah ‘patah tumbuh hilang berganti’. Kenangan-kenangan itu sering menemani kita buat beberapa waktu. Kadangkala bila ternampak sesuatu gambaran atau perkara-perkara yang pernah menyenangkan orang yang telah tiada itu, anda akan terus terkenangkan dia. Mungkin ketika itu anda akan lekas-lekas sedekahkan al-Fatihah dan mungkin juga air mata anda akan tergenang juga. Betapa masa-masa yang anda lalui, setelah bertahun orang yang anda kasihi itu pergi, masih sesekali menyentuh hati anda dengan lintasan yang sepintas ini. Hanya Allah yang tahu segala keharuan yang anda alami selama ini…..

Namun kematian juga disebut sebagai ‘the great leveller’ – ia menyamaratakan kita sebagai manusia dan memberi perspektif yang lain mengenai kehidupan. Hanya setelah berhadapan dengan kematian barulah kita benar-benar tahu nilainya sebuah kehidupan. Demikian beberapa pujangga pernah mencatatkan. Dan melalui kematian orang yang kita kasihi kadangkala boleh mengobori hati kita untuk meneruskan segala kebajikan yang pernah dia lakukan selama hidupnya.

Ada kematian yang amat tidak disangka-sangka – anda baru bertemu dan berbual dengan orang tersebut dan dalam sekelip mata, dia telah kembali ke alam barzakh. Segala hubungan anda dengannya terputus melainkan doa dan amal jariah yang anda sedekahkan untuknya. Yang anda miliki hanyalah kenang-kenangan dan betapa anda ingin bersamanya di saat-saat terakhir dia meninggalkan dunia yang fana ini.
Tapi kematian juga banyak mengajar kita – mengenai diri kita dan kehidupan yang ingin kita lakarkan seterusnya. Seperti kata seseorang, jika anda ada hanya 5 minit untuk hidup, apa yang akan anda fikirkan? Tentunya Allah dan segala dosa dan pahala anda dan juga insan-insan yang anda sayangi. Ketika itu segala pangkat, gelaran, harta dan kebesaran tiada bermakna lagi kerana yang anda bawa hanyalah amalan dan pakaian termahal anda hanyalah kain kafan. Memikirkan ini, anda semakin insaf mengenai kehidupan yang amat sebentar ini. Kita hanya dipinjamkan untuk mengasihi dan dikasihi orang tersebut, dan betapa pun kita kasihkannya, Allah lebih lagi mengashinya dan kita. Mungkin berpegang pada ini, hati kita akan semakin reda dan kita reda akan takdir dan suratan Allah.

Bukan mudah menghadapi kehilangan ini. Kita manusia biasa yang kadangkala menyoal juga perkara-perkara yang berlaku dalam kehidupan kita – kenapa orang sebaik ini mati muda, mengapa ibu/ayah yang kita perlukan telah tiada, kenapa suami/isteri kita pergi sebelum kita dan sebagainya. Namun segala soalan itu akan terjawab juga dalam kehidupan kita. Kadangkala sebuah kematian itu melorongkan kita kepada jalan hidup yang lain, yang selama ini kita tidak lihat; sering juga kematian menggerakkan kita untuk terus hidup demi kasih kita kepada orang yang telah pergi dan orang-orang lain yang turut kita kasihi; adakala juga kematian seseorang mendorong kita mencari kekuatan diri kita dan mencuba memaknakan kehidupan ini. Dan selama kita hidup, orang yang telah pergi itu tetap hidup di hati kita melalui doa dan amalan-amalan kita untuknya. Kesedihan itu akan kita tanggung, terutama bagi seorang anak, tetapi jika nanti kita menjadi insan yang diharap-harapkan ibu/bapa kita yang telah tiada, itulah di antara tanda kasih kita yang mendalam terhadap insan yang membesarkan kita sebagai anaknya……

Ditulis: 4 Julai 1999
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu Singapura, Julai 1999.
Tajuk Asal: Kematian Dan Kesannya. Salinan rencana yang tersiar dalam Berita Minggu dengan tajuk berlainan, hilang dalam simpanan saya. Saya kekalkan dalam masukan blog ini tajuk asal yang saya beri kepada pihak Berita Minggu.
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s