Suasana Puasa Dan Hari Raya*

SAR1SAR3

Dah tinggal beberapa hari saja kita berpuasa. Di sana sini terasa kesibukannya; bau kuih-muih terhidu di mana-mana… Sesekali ada juga anak-anak kita ‘tergoda’ dengan bau kuih-muih tadi, tapi bila dihidangkan semasa berbuka, tak pun mereka larat makan sebanyaknya. Banyak juga persiapan Hari Raya yang harus kita buat; selalunya saat-saat terakhir inilah baru teringat satu dua perkara yang kita terlupa sebelum ini. Sebilangan kita pula semakin membanyakkan amal pada malam-malam terakhir ini kerana Ramadan tidak bermakna tanpa amalan-amalan sebegini.

Orang yang paling sibuk semasa Ramadan dan Syawal selalunya para ibu/kaum wanita. Mana nak fikirkan juadah berbuka, bersahur, kuih-muih Hari Raya, persiapan lainnya selain mahu lebihkan beramal pada bulan mulia ini. Seperti kata sesetengah para ibu: pening kepala fikirkan apa nak masak untuk berbuka dan bersahur. Kadangkala ‘permintaan’nya juga banyak, maklum, orang tengah lapar…

Karenah Ramadan juga pelbagai terutama di kalangan anak kita. Yang lepak dan tak bermaya pun ada, terutama bagi mereka yang baru belajar berpuasa. Yang nak dihiburkan hati dan dihilangkan rasa laparnya pun masuk ‘book’: sekejap-kejap dia tanya anda apa makanan yang anda masak atau beli untuk berbuka. Ada itu demikian bijak laksana; dia tak beritahu dia mengidam sesuatu tetapi pintar pula bersuara: mak masak nasi ayam sedaplah… Atau, seolah-olah terlupa, dia akan tiba-tiba bertanya: dah lama kita tak makan sup tulang, ya mak ? Padahal baru minggu lalu anda belikan sup tulang kegemarannya. Ada pula banyak ketidak-sengajaan masa puasa: ada saja termakan, terminum, dan terlupa dia berpuasa. Masa berbuka juga pandai anak-anak kita mengatur rencana. Bila dah dewasa, selain berbuka di rumah atau di rumah saudara, ada itu cari geng sendiri untuk merasai berbuka di tempat lain. Selain pusat-pusat makanan, ada yang beramai-ramai berbuka di masjid. Ini lebih-lebih lagi bila masjid tersebut terkenal menghidangkan juadah berbuka istimewa misalnya beriani dam. Tapi bagus juga begini, sekurang-kurangnya mereka akan bersolat dan bertarawih di sana.

Cerita-cerita mengenai sahur tak pernah lekang di kalangan kita. Tukang kejut bangun sahur selalunya ‘makan hati’ nak menjalankan tugasnya. Yang suruh ‘tunggu sekejap’ macam P. Ramlee nyanyikan Sa’adiah dalam filem Sarjan Hassan, selalunya banyak. Tapi sekejapnya bukan sekadar lima minit, kadangkala boleh sampai setengah jam! Ada pula terpaksa anda kejut dengan mengusap-ngusap kepala, memanggil namanya, menggeletek, malah direnjis air baru nak bangun sahur. Ada orang tak sabar nak kejut bersahur, bukan setakat direnjis, malah disimbah air. Itu pun ada yang masih di awang-awangan dan menjerit: ‘hujan, hujan…’ Masa makan sahur, lagi satu hal. Ada tutup mata, tapi buka mulut – anda melihat jadi bimbang, entah-entah ke mana nanti dimasukkan makanannya. Ada tenung merenung makanannya, kalah anda bagi dia racun tikus. Tidak kurang pula jadi begitu sensitif, jangan salah cakap atau salah langkah, tengah ngantuk ini, habis anda di’ngap’nya. Ada anak-anak kita tak boleh bertemu ikan semasa bersahur; penat anda masak lauk berikan, dia asyik cari telur, macamlah anda tak pandai masak. Tapi kisah sahur ini barulah kali ini Sri dengar: ada orang silau dengan sinaran lampu masa bersahur, jadi tiap-tiap sahur dia jadi geng ‘Panca SiTara’ P.Ramlee, dia berkaca mata hitam…

Suasana Hari Raya selalu dirancakkan oleh lagu-lagu Hari Raya selain masakan-masakan istimewa kita. Tak dengar suara Saloma, P.Ramlee, Ahmad Jais, Fazidah Joned, S.Jibeng, Rafeah Buang, Sanisah Huri, Sharifah Aini, Sudirman dan lain-lain macam tak syiok pula. Ada pula kuih-muih kita bersempenakan penyanyi-penyanyi tadi. Dulu ada kuih bernama ‘Bantal peluk Saloma’ tapi tak ada pula kuih macam misai P.Ramlee. Agak-agak Sri kuih Sharifah Aini tentu istimewa…sebab ada bintik-bintik macam 17 tahi lalat di wajahnya…

Sebilangan kita pula ada kuih-muih istimewa. Nenek Sri dulu suka membuat agar-agar laut (diambil dari Pantai Changi dan lain-lain dan dikeringkan lama sebelum dimasak), kuih kacau, dodol dan wajik. Dan di rumah Pak Uda Sri, kuih-muihnya jarang ada yang ‘moden’, selalunya kami dihidangkan dengan agar-agar laut, batang buruk dan kuih-muih Melayu yang lebih tradisional. Di rumah dua orang kakak ipar ibu saudara Sri pula, yang Sri terkenang ialah kuih tart berbentuk epal dengan tangkai bunga cengkihnya dan juga kek lapisnya yang terkenal sedap. Susah rasanya nak dapat kuih-muih istimewa sebegini kini.

Tetapi berpuasa dan berhari raya bukan setakat persiapan dan perhiasan rumah dan diri kita sahaja. Semakin dewasa, walaupun kita semakin terkenang mereka yang tiada, kita juga turut bersyukur dapat menyambut Ramadan pada tahun ini. Dalam mengenang mereka yang telah pergi, kita semakin menyayangi mereka yang hidup bersama kita kini. Dan Ramadan bagi sebilangan kita adalah masa menyemai benih-benih harapan dan kesyukuran ketika kita bertarawih, bertadarus dan membuat amalan-amalan tambahan pada bulan yang mulia ini. Sebelas bulan selalu disibukkan oleh urusan keduniaan, biarlah bulan mulia ini kita lapangkan sedikit ruang-ruang keakhiratan pula. Ketika takbir bergema dan air mata kita berlinang, kita semakin maklum tiada apa pun yang lebih besar kekuasaan dan lebih pengasih selain Allah. Dan apa pun yang mampu kita lakukan hanyalah setitis air dalam lautan kerahmatan yang Dia limpahkan kepada kita. Dan mudah-mudahan, dengan keberkatan-Nya kita kembali ke fitrah kita yang lebih bersih dan mulia sebagai hamba-Nya.

Ditulis: 27 November 2002
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu Singapura, 1 Disember 2002
Tajuk Asal: Suasana Puasa Dan Hari Raya.
*Salinan rencana ini yang tersiar di Berita Minggu telah hilang dalam simpanan saya lantas saya tidak tahu tajuk apa yang digunakan pihak Berita Minggu bila rencana ini disiarkan. Berita Minggu selalu menukar tajuk-tajuk yang saya beri untuk ruangan ‘Sri Anggerik’ saya dan juga karya-karya rencana saya yang lain agar lebih sesuai dan menarik perhatian pembaca.
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s