7 Kuntum Sajak: Kenangan 9 Ogos 1975, Keresahan Anak Kota, Kepada Kawan, Serambi, Keterasingan, Tembuniku dan Kata Mahaguruku

Kenangan 9 Ogos 1975
(Mengenang ibuku Halimah bte Md Dali/Kassim)

Kau adalah sebahagian daripada sejarah
yang kupanggil pengalaman
paling sukar untuk dilupakan.

Aku pun menjadi sebahagian daripada sejarah
yang tak pernah kaukenal
atau faham.

Lalu bertemu kedua sejarah
di pentas bernama kehidupan
dengan keasingan & perpisahan:
aku pemerhati yang cuba memahami
watak-watakmu yang berlainan
tapi seringkali gagal.
Kau pelaku paling kaya dengan pengalaman
yang seringkali gelisah
& arus perngalaman membawa kau ke dasar.

Setelah dua tahun
bersama al-Fatihah & doa
aku mula belajar memaafkan
pengalaman & sejarah.

Ditulis: 9 Ogos 1977
Asrama Dunearn Road, Universiti Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Keresahan Anak Kota

Entah berapa kali kau menangis, anak kota,
ketika nafas harapanmu dicekik kenyataan-kenyataan curang
betapa kau dilemparkan ke sebuah lembah kekontangan
di mana irama kepalsuan berdendang riang.

Di sini hidup ditimbang dengan neraca-neraca kebendaan:
berapa banyak rumah, kereta, lukisan abstrak, teman kenamaan,
sijil & kertas kelulusan yang kaupunya
kau hanya perlu jadi ‘insan’ dalam perkataan bukan perbuatan
kerana intelekmu membuat kau lebih daripada seorang insan
& kau tidak perlu jadi wali untuk mendekati Allah
cukup sudah tasbih-tasbih rok memuji kebesaran-Nya.

Kau juga dipaksa mengekalkan adat resam
kerana bangsa yang beradab adalah bangsa
yang mempunyai nilai peradaban
tapi arus kemajuan memaksa kau memilih peradaban Barat
yang membuat kau segan
berbaju kurung atau bertutur dalam Bahasa Kebangsaan.

Di kota ini juga kau tidak boleh membantah
kerana bantahanmu adalah bantahan anak mentah
lagipun kemajuan mesti dicapai tanpa menoleh ke belakang
meskipun di belakang kawanmu mati telanjang.

Seorang anak kota berjalan di akhir senja
kota ini telah meragut nilai kemanusiaannya.

(To feel is to suffer: Untuk berasa adalah untuk menanggung derita)

Ditulis: Awal Ogos 1974
Lorong L, Telok Kurau Road, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Kepada Kawan

Kekuatan itu terbuhul daripada gigihnya usaha
bagai tiram yang sabar melahirkan mutiara
andai kakimu parah meniti perjalanan
usah mudah kecewa, biar kerikil
& kaca merencahkan pengalaman.
Lihat, pagi ini masih bening & basah
seketika, suria menjelma & langit cerah
& bagai pohon-pohon, akan kita kenal
betapa luasnya angkasa.

Ditulis: 1 Ogos 1983
Universiti Nasional Singapura, Kent Ridge
Tulisan: Rasiah Halil.

Serambi

Serambi itu memanggil kita ketika sepi, seperti masa & suasana
di kampung dahulu. Kita pun terasa keluasannya, duduk-duduk di
sana, menanti budak menjual goreng pisang, minum teh atau sekadar
bersembang di kala petang.

Kita mula rehat sewaktu itu, menjadi akrab, mengenal siapa pun
yang datang bertandang. Dan gambaran serambi mengingatkan kita
kepada rumah panggung, halaman yang ditumbuhi berbagai pohon,
lauk-pauk Melayu, ayam itik berkeliaran, permainan batu seremban,
canang, ting-ting, sepak raga, rounders, guli, bola hentam,
pohon-pohon kelapa yang beralun, suasana riuh & riang, lagu-lagu
Melayu, Inggeris, Arab, Hindustan, yang menemani kita hingga
menghilangnya asar. Ia mengingatkan kita kepada suatu keramahan,
tanpa perhitungan, bahawa kita bersaudara, kerana duduk
bersembang & membesar di sana.

Aku merindui sebuah serambi yang lama tidak kutemui di Masjid
Omar Kg Melaka, Katong, Lorong Engku Aman, Geylang Serai, Lorong
G, Sims Avenue, Goodman Road, Kg Wak Tanjong, Jalan Kobis &
Lorong L, Telok Kurau Road. Apakah kau menjumpai serambi itu di
sana, atau tiadakan lagi terjelma sebuah serambi dalam kehidupan
kita. Betapa ia mengingatkan kita kepada suasana & rumah
kampung, dengan persekitarannya yang santun, halaman luas,
keramahan yang ikhlas, dan eratnya hubungan manusia, alam, kehidupan.

Kalau nanti kautemui serambi itu di Concord atau West Covina,
beritakanlah padaku. Aku akan ke sana, menemanimu duduk di
serambi itu, sambil minum teh, mendengar lagu-lagu silam,
menyaksikan banjaran Gunung Diablo atau St. Gabriel, melihat
keindahan bunga-bunga mekar, pohon-pohon lemon, limau, sambil
kita bersembang.

Dan serambi itu akan selalu mengingatkan kita kepada keindahan
silam & kampung halaman.

Ditulis: 21 Jun – 26 September 1993
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Keterasingan

Tiada yang lebih pedih
daripada keterasingan
kewujudan yang hilang
makna yang dicairkan
& paksi hidup terbenam
pada dataran kesangsian.

Sebuah pencarian panjang
adalah igauan
mimpi & mati
maruah & harga diri
& hidup adalah hukuman
pada tindihan ‘dosa’
‘kesalahan’
‘alpa’
sedang tali gantung menanti
di mana-mana.

Tiada yang lebih sepi
daripada keterasingan
bila penafian lumrah
& kelainan berfikir
adalah kesalahan terbesar.

Ditulis: 5 September 1993
Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Malaysia
Tulisan: Rasiah Halil.
[Sajak ini ditulis berdasarkan kertas kerja yang saya sampaikan dalam seminar di UKM mengenai novel Md Latiff Md, Dalam Keasingan, pada September 1993, yang direncahkan juga oleh hal-hal lain]

Tembuniku

Bersihkan tembuni ini
serta pusat
campurkan garam
campurkan asam
masukkan ke belanga kecil
gali lubang di bawah pohon
tanam belanga
biarkan
musim bertukar
bayi membesar
tembuni itu tetap di dasar.

Di bawah sebatang pohon
suatu masa, di timur Singapura
nenek menanam tembuni itu
setelah membidani ibu
kerana yakin
asam, garam, uri & pusatku
akan selalu mengingatkan
tanah tumpah darah
kehidupan yang direncah
& hati yang akan sentiasa kembali
walau merantau ke seluruh dunia.

Ditulis: 5 April 2002
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Kata Mahaguruku

Kata mahaguruku
jadilah kambing yang makan rumput
bukan yang makan kertas
rumput itu berkhasiat
cita rasa ilmumu harus ditingkat
jangan memilih hampas.

Kata mahaguruku
jadilah pohon teguh
jangan jadi kangkung
melata di mana-mana
konon besar manfaat
tapi berlendir & kurang khasiat.

Kata mahaguruku
jadilah pohon umpama kelapa
jangan jadi kangkung
jangan jadi kaduk naik junjung
kerana masa itu jauhari
memaknakan yang berilmu & lompong
yang tawaduk & sombong
yang mementingkan kemaslahatan umum
atau mencari untung.

Kata mahaguruku
kangkung itu mudah tumbuh
merayap & melata-lata
mudah dikumpul, dijual,
tapi kelapa mengambil masa
membesar, memberi jasa
kepada semua.

Kata mahaguruku
bila kangkung di mana-mana
waspadalah
yang berkhasiat akan terpinggir
& yang lompong dianggap terbaik.

Kata mahaguruku
orang berilmu itu merendah
beradab, jujur, gigih, ikhlas,
bagai pohon teguh melindung
memberi pelbagai bunga & buah
bukan kangkung nan angkuh
sekadar merayap & melata.

Ditulis: 5 Mei – 21 Julai 2009
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s