Cerpen: Igau

Dekahan bota-bota raksasa itu sesungguhnya menggerunkan sesiapa yang mendengarnya. Dekahan-dekahan itu bagaikan Gunung Merapi yang bila-bila masa bakal meletup dan meledakkan lahar. Namun suasana sekeliling seperti biasa, seolah-olah tiada terdengar dekahan bota-bota raksasa.

Di Daerah Sekangkang Kera ini aku menjadi manusia lutsinar atau lebih tepat, manusia halimunan. Kecuali beberapa makhluk, kehadiranku seakan tidak dapat dilihat oleh sesiapa. Seekor burung bayan menemaniku di daerah ini; aku tidak tahu sama ada burung itu adalah pelarian dari zaman Sinbad atau sekadar menjenguk dari zaman Hikayat Bayan Budimannya. Bagai seorang Gulliver yang terdampar di Lilliput dan Brobdingnag atau Alice yang termasuk ke alam Wonderlandnya, aku seakan-akan terbawa ke negeri Antah Berantah yang diceritakan oleh seorang penglipur lara.

Peluh dingin mula membasahi tubuhku. Mengerikan. Bayan pula bagaikan orang melatah melihat gejala itu. Manusia-manusia berkepala besar berbadan kerdil dan berbadan besar berkepala kerdil sibuk melakukan sesuatu. Cuaca hangat walaupun keadaan di daerah ini seperti berada pada waktu senja. Mentari, menurut Bayan, ditutupi awan tebal. Sedangkan langit pula kelihatan berbintik-bintik, mungkin sedikit bocor.

Kecuali beberapa nama jalan dan bangunan, tempat ini tidak lagi kukenal. Tiada lagi pohon-pohon besar menghijau, tiada lagi kelihatan tupai, monyet, burung dan serangga. Tiada lagi hutan simpanan, taman bunga, bukit dan gunung.

Aku rindukan rumput-rumput tinggi menjulang dan lalang-lalang melintuk-liuk ketika dipuput bayu. Aku rindukan bunga-bunga lalang yang memutih yang begitu indah dari kaca mata kanak-kanakku. Betapa indah bermain buai atau masak-masak dekat pokok sena, ketapang, sentul, kenanga. Atau bermain kejar-kejar dekat pokok kelapa dan mangga. Memungut daun-daun kering yang berselerak atau bermain ‘perahu’ menggunakan daun pelepah kelapa dan upih pinang. Kini, tiada lagi daun-daun berselerak, tiada lagi bau bunga cempaka putih yang semerbak. Yang ada hanyalah pohon, bunga, rumput dan tumbuh-tumbuhan buatan bahan sintetik.

Seperti dicekup daripada filem-tilem Steven Spielberg, manusia-manusia berkepala besar berbadan kerdil dan berbadan besar berkepala kerdil sibuk berlari-lari anak dan bercakap. Tiba-tiba angin kencang melanda. Angin kencang melepaskan amarahnya berkali-kali dan manusia-manusia aneh itu tercerai-berai dan memaut-maut pohon-pohon plastik. Suasana kucar-kacir ini dibingarkan lagi oleh dekahan bota-bota raksasa yang menyeram dan menegakkan bulu roma.

Kelompok-kelompok manusia aneh mula muncul setelah angin reda dan menggelar diri mereka kelompok A, B, C, D, E, F sehinggakan Z. Kebanyakan mereka memiliki sejenis tanda di dahi bertulis ‘Akal Sihat’ dan tanda ini semakin bersinar apabila mereka bercakap, terutama apabila mereka bercakap besar. Dan seperti cerita-cerita penglipur lara yang klasik, tiap kelompok ini dibekali kesaktian. Ada yang berupaya terbang, seperti burung-burung kesayangan bota-bota raksasa. Ada yang memiliki cincin ajaib yang mudah menewaskan sesiapa sahaja dengan hanya menekan batu permatanya. Ada diberi pedang sakti yang dapat membunuh tanpa menumpahkan darah. Kelompok lain dianugerahi panah purba yang berupaya mengenai apa pun sasaran yang dihajatinya. Sedangkan kelompok yang lain pula dikurniai kuda semberani yang tiba-tiba menjadikan penunggang-penunggangnya panglima-panglima sasa. Pendek kata banyak perkara ajaib terjadi setelah angin kencang melanda Daerah Sekangkang Kera.

Aku dan Bayan melihat manusia-manusia aneh ini bergerak dan bergerak, bersorak dan bersorak dan begitu asyik dengan kelekaannya.

Seandainya tidak kulihat siapa yang bercakap, tidak mustahil akan kusangka inilah penjelmaan bota-bota raksasa. Kecuali saiz badan dan suara, manusia-manusia aneh ini saling tak tumpah seperti para bota. Dahi kelompok ini amat bersinar dan selain tanda ‘Akal Sihat’, terpamer juga tanda ‘Serba Tahu’ yang berkelap-kelip seperti lampu-lampu hari raya. Kepala mereka begitu besar seperti ‘Humpty Dumpty’ yang bila-bila masa seakan boleh berkecai. Kaki mereka amat pendek, terapung-apung dan tidak menjejak bumi. Lidah mereka pula berapi dan sering pula menghamburkan kaca dan candu. Anehnya, apabila mereka berucap, ujaran-ujaran itu menjadi seperti korus dan korus ini berulang untuk apa pun suasana.

Suatu kelompok pula gemar bermain pakau. Dan mereka pertaruhkan bukan sekadar harta dan wang malah benda-benda yang tidak ternilai. Anehnya, daun-daun pakau yang seharusnya dijaga rapi, telah mereka buka dan letakkan semua di atas meja, walaupun belum masanya berbuat begitu. Permainan itu begitu dangkal dan amatur dan tidak seorang pun ahli kelompok ini memiliki wajah pemain poker. Akhirnya, seperti watak-watak daripada filem ‘Tiga Abdul’, kelompok ini satu-satu dijual dan pembelinya, tidak seperti P.Ramlee alias Abdul Wahub, adalah teramat licik dan pintar.

Sekumpulan manusia aneh yang lain mula berteriak seolah-olah mencanang atau melelongkan sesuatu. Rupa-rupanya ramai kelompok di sini beradu hantuk kepala. Darah mencurah-curah dan di tengah-tengah kehuru-haraan itu, terdengar berbagai suara:

“Kami hebat,” kata kelompok A.

“Kami lebih hebat,” celah kelompok B.

“Tapi kamilah yang paling hebat,” sampuk kelompok C dan seterusnya sehingga kelompok Z. Kepala-kepala terus berhantuk dan berkecai disertai sorak sorai. Dan suara berantakan serta bunyi berhantukan tidak putus terdengar di tengah-tengah lecakan darah.

“Kau mahu biarkan, biarkan, begitu?” soal Si Luncai tiba-tiba menjelma di sisiku.

“Kau mahu mereka terus terjun dengan labu-labu?” lagi soal Si Luncai dengan marah-marah. Aku tidak mahu biarkan, sampai ke akhir hayat pun tidak akan kubiarkan. Tapi orang halimunan seperti kami tidak ternampak oleh sesiapa kecuali mereka yang berilmu firasat. Bersama Bayan, Pari-pari, Kancil, Pak Pandir, Mat Jenin, Abu Nawas, Dang Anum, Hang Nadim dan Shehrezad, aku telah cuba melakukan sesuatu tetapi alam halimunan ini adalah pendinding terbesar. Manusia-manusia aneh sukar kami leraikan dari berhantukan dan berantakan selamanya.

Di suatu sudut, sekelompok manusia aneh giat membina rumah panggung dan surau. Mereka kumpulkan kayu, batu, simen dan lain-lain bahan. Tetapi ketika rumah panggung dan surau in hampir siap, mereka bersungguh-sungguh merobohkannya. Dan seperti suatu upacara, mereka ulangi mengumpul bahan dan meruntuhkan. Di pinggir-pinggir Daerah Sekangkang Kera awang-awang kenit gusar menanti terbinanya rumah panggung dan surau. Dan tiap kali harapan mereka mengembang bagai belon, ia tiba-tiba dikempiskan. Sayangnya awang-awang kenit yang berkebolehan ini telah disumpah tujuh keturunan seperti Megat Seri Rama dari mendekati, atau lebih tepat lagi, menjadi pembina di Daerah Sekangkang Kera.

Bota-bota berdekah dan berdekah dan menambahkan lagi kengerian di negeri Antah Berantah. Tiba-tiba muncul sekumpulan manusia berkepala besar berbadan kerdil dan berbadan besar berkepala kerdil asyik menari dan menari, menyanyi dan menyanyi. Ada yang menari tarian patah, ada yang menggayakan lambada. Pendek kata, apa pun irama yang diperdengarkan, mereka akan terus menari. Terdengar lagu-lagu rap, blues, jaz, reggae, heavy metal, rok dan lain-lain. Mereka begitu asyik menari sehingga terlupa, tidak seorang pun di kalangan mereka pandai memainkan alat-alat muzik. Lantas, mereka hanya boleh menari, tidak boleh menentukan jenis muzik dan tari.

Komputer Mahabesar itu boleh melakar berbagai program firdausi yang unik. Dan kelompok di sini menjadi demikian bahagia kerana formula ajaib mereka miliki dengan hanya menekan pada kekunci komputer. Awang-awang kenit yang tahu fungsi sebenar sesebuah komputer, menjadi semakin kecewa. Dan formula ajaib itu diulang-ulang pada lain-lain komputer. Semakin diulang semakin sempurna cetakan firdausinya. Dan seperti cerita ‘Baju Baharu Sang Maharaja’, ramai yang menghebohkan cetakan istimewanya, yang sebenarnya hanyalah suatu silap mata ala David Copperfield.

Bunglon? Aku tidak tahu jenis apa manusia kelompok ini. Tiba-tiba mereka berkepala besar berbadan kerdil, tiba-tiba mereka berbadan besar berkepala kerdil dan kadangkala mereka menjadi manusia biasa yang tidak berstatus awang kenit. Lidah mereka seakan lidah reptilia dan suara mereka mudah berubah, seperti turun-naiknya pasaran saham di bursa. Kelompok ini mahir menggunakan kekata dwi-makna yang sering membuat pendengarnya terpinga-pinga. Dan seperti kumpulan Ali Baba dan ‘The Knight Templars’, mereka juga menggunakan bahasa rahsia yang membolehkan terbukanya pintu-pintu syurgaloka.

Jauh di suatu ruang, terhimpun manusia-manusia aneh yang amat gemar memakan. Tiada suatu pun makanan yang ditinggalkan sehingga perut mereka buncit, nafas sesak dan mereka amat gemar bercakap. Kemudian, setelah perut membusung, mereka mengajak kelompok-kelompok lain beradu gusti sumo. Gelanggang-gelanggang yang didirikan begitu sesak dan mual dipenuhi darah dan muntah para penggusti sumo.

Terdapat pula kelompok yang berpesta dan terus berpesta sedang yang lain pula bertapa dan terus bertapa, seolah-olah segala yang berlaku di Daerah Sekangkang Kera tidak sedikit pun mencuit hati mereka. Dan di pinggir-pinggir berkumpul awang-awang kenit yang memiliki ilmu firasat tetapi diperkecilkan kebolehan mereka oleh bota-bota raksasa.

Bayan dan kawan-kawanku yang lain begitu sugul menyaksikan penghuni negeri yang diceritakan oleh sang penglipur lara. Tiba-tiba, tanpa sebarang amaran empangan dipecahkan dan air melimpah-ruah ke hampir seluruh negara. Penghuni Antah Berantah amat cemas, kecuali mereka yang mengetahui muslihat bota-bota yang masih berdekah-dekah.

Ada yang memanjat pokok-pokok plastik, ada yang berenang dan ada yang terus hanyut. Ramai yang teringatkan cerita banjir besar pada zaman Nabi Nuh. Ada kelompok berkata glasier telah mencair, ada yang berkata mentari kini terbenam di Timur dan ramai pula yang yakin letupan berlaku di dasar-dasar laut yang menghamburkan air secara mengejut.

Di tengah-tengah kekacauan itu, puluhan armada muncul bagi menyelamatkan penghuni Antah Berantah alias Daerah Sekangkang Kera.

“Jangan naik !” laung Hang Nadim sekuat tenaga. Dan beberapa makhluk lain, termasuk pari-pari, awang kenit dan watak-watak daripada sastera lama turut melarang manusia-manusia aneh itu daripada menaiki armada lepasan bota-bota.

“Ini bukan kapal seperti dalam cerita Nabi Khidir dan Nabi Musa,” sampuk Kancil pula.

“Armada itu ada bom jangka. Jangan naik, jangan !!!”

Tetapi semakin ramai yang menaiki armada-armada itu dan bersyukur mereka telah selamat.

Di suatu kawasan yang belum dilanda banjir, awang-awang kenit giat menggali bahtera-bahtera purbakala yang tersimpan di perut bumi. Bahtera-bahtera itu agak besar tetapi dari kaca mata manusia-manusia berkepala besar berbadan kerdil dan berbadan besar berkepala kerdil, besarnya hanyalah sekadar perahu, tiada tandingan bagi kecanggihan puluhan armada.

“Naik! Lekas naik!” gesa awang-awang kenit.

Tetapi yang menaiki bahtera hanyalah kalangan mereka dan sebilangan kecil manusia-manusia aneh Daerah Sekangkang Kera. Armada-armada pula penuh sesak dengan manusia-manusia yang terus berasak-asak. Bota-bota raksasa semakin nyaring dekahannya melihatkan perihal manusia.

Boom! Boom! Boom! Letupan-letupan bergegar kuat, lebih hebat daripada ledakan peluru berpandu ‘patriot’ dan ‘scud’. Ada armada berkecai dan bahtera pula banyak yang terkena serpihan. Aku dan makhluk-makhluk lain semakin teperangkap dalam dimensi halimunan yang menyukarkan kami bertindak.

Di sana sini mayat terapung dan bau ledakan menusuk dada. Api menyala bagai lidah-lidah raksasa dan kepulan asap-asap jelaga menebali angkasa.

Boom! Boom! Boom!!! Manusia-manusia aneh masih berpusu-pusu menaiki armada. Para bota berdekah-dekah.

“Jangan!!!” kulaung sekuatnya. “Jangan naik armada, naik bahtera!!”

Tapi jeritanku seakan tidak didengari sesiapa. Seorang penglipur lara akan hanya meninggalkan negeri Antah Berantahnya apabila subuh menjelma, tapi awang-awang kenit, makhluk-makhluk halimunan dan manusia-manusia aneh bakal kehilangan segala-galanya.

JAAAAAAAAANNNNGGGGAAAANNNNNNN!!!!!!!!!

“Han, Han,” suara-suara yang kukenal memanggil-manggil namaku. Aku masih berada dalam alam yang dipenuhi banjir, armada, bahtera, manusia-manusia aneh, awang-awang kenit, watak-watak purba serta dekahan bota-bota raksasa.

“Jangan naik armada! Jangan!!!”

“Han, mengucap, mengucap, Han,” suara-suara cemas masih lagi terdengar.

Bilik asrama di Pusat Kajian Fort Canning Hill ini terang-benderang dan menyilaukan mataku yang baru mula dibuka. Masih lagi kudengar dekahan bota-bota raksasa ketika seorang angkasawan, bertanda-nama ‘Sang Nila Utama’ mengacu-acu keris lasernya dan bertempik “Allah!”

Ditulis : 18 – 28 Mac 1991
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s