Archive | September 2015

Kata Mutiara: Teladan Dalam Setia

Khadijah binti Khuwalid r.a. yang menjadi isteri pertama Rasulullah saw telah meninggal dunia. Beberapa tahun kemudian, Baginda memang menikah kembali, tetapi kedudukan Khadijah di hati Baginda tidak pernah tergugat apalagi hilang.

Kasih sayang, cinta dan ketulusan Khadijah selalu terukir indah di dalam ingatan Rasulullah saw. Kerinduan itu bahkan membuat Baginda begitu sensitif akan kehadiran kerabat dan orang yang dekat dengan Khadijah kerana akan mengingatkan Baginda pada Khadijah.

Aisyah r.a. berkata, “Halah binti Khuwalid, saudara perempuan Khadijah, meminta izin untuk masuk ke rumah Rasulullah saw. Baginda mengenali suara Halah yang mirip dengan suara Khadijah sehingga Baginda berasa senang. Lalu Baginda bersabda, ‘Ya Allah, ternyata ia Halah binti Khuwalid’. Aku pun berasa cemburu, lalu berkata, ‘Mengapa engkau masih menyebut-nyebut perempuan Quraisy tua itu, yang kedua hujung bibirnya telah memerah dan telah meninggal? Padahal Allah telah memberikan kepada engkau pengganti yang lebih baik daripadanya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Perhatikanlah kisah di atas. Kecintaan Rasulullah saw yang teramat dalam terhadap Khadijah membuat Aisyah nyaris tidak mampu mengendalikan perasaan cemburunya.

Pada kesempatan lain, Aisyah r.a. berkata, “Jika memuji Khadijah, Rasulullah saw memberikan pujian yang terbaik. Suatu hari aku cemburu kerana Rasulullah saw menyebut-nyebut Khadijah lebih sering daripada menyebut-nyebut si pipi merah ini [gelaran untuk Aisyah: Humairah]. Bukankah Allah telah menggantikannya (Khadijah) dengan sesuatu yang lebih baik? Baginda menjawab, ‘Allah tidak menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik. Dia beriman kepadaku ketika orang lain mengingkariku. Dia membenarkanku ketika orang lain mendustakanku. Dia menyokongku dengan hartanya ketika orang lain tidak memberikan. Melalui dirinya, Allah menganugerahkan keturunan kepadaku, sementara isteri-isteri yang lain tidak.” (Riwayat Ahmad)

Dalam sebuah riwayat, Aisyah r.a. berkata, “Aku tidak cemburu kepada isteri Rasulullah saw yang lain sebagaimana cemburuku kepada Khadijah kerana aku sering mendengar Rasulullah saw menyebut-nyebut namanya dan Baginda menyuntingku tiga tahun setelah Khadijah meninggal dunia.”

Dalam Perang Badar, kaum Muslimin pulang membawa kemenangan. Mereka menawan 70 orang daripada pihak musuh. Di kalangan tawanan itu ada Abu al-Ash ar-Rabi, suami Zainab, puteri Rasulullah saw. Saat itu Zainab masih berada di Mekah lantaran mengikuti suaminya.

Penduduk Mekah mengirimkan tebusan kepada Rasulullah saw untuk membebaskan para tawanan perang tersebut. Zainab juga mengirimkan seutas kalung yang dimilikinya. Kalung itu adalah pemberian ibunya, Khadijah, pada malam pernikahannya.

Melihat kalung itu, Rasulullah saw tersentak. Para Sahabat menyedari bahawa Baginda sedang mengenang Khadijah. Hari-hari indah bersama Khadijah yang suci dan lembut, pendamping sekali gus penyokong perjuangan Baginda, terbingkai indah dalam ingatan Baginda.

Kemudian Rasulullah saw meminta para Sahabat untuk membebaskan suami Zainab dan mengembalikan kalung yang dikirimkannya. Para Sahabat pun membebaskannya dan mengembalikan kalung tersebut.

Rasulullah saw pun selalu berasa gembira bila melihat rakan karib Khadijah. Rasulullah saw bersabda, “Hormati mereka kerana Khadijah juga mencintai mereka.”

Jika menyembelih seekor kambing, Baginda berpesan, “Berikan sebahagiannya untuk teman-teman Khadijah.”

Demikianlah perasaan cinta dan setia Rasulullah saw kepada Khadijah r.a.

Petikan Keajaiban Cinta Rasul SAW, tulisan Arif Rahman Lubis, 2014, KL: Inteam Publishing, halaman 139-142. Sedikit bahasanya diubahsuaikan.

Selamat Menyambut Aidiladha 1436 Hijriah

Hari Raya Aidiladha baru kita sambut semalam, 24 September 2015 Masihi bersamaan 10 Zulhijah 1436 Hijriah.

Banyak yang difikirkan semasa menyambut Hari Raya Korban ini dan melalui hari-hari tasyrik. Yang mengharukan tentunya mengenai kejadian rempuhan dan terbunuhnya ratusan jemaah haji di Mina. Ini setelah kejadian kebakaran di sebuah hotel dan tumbangnya kren di Masjidilharam, Mekah. Mudah-mudahan siasatan yang dijalankan akan membolehkan keselamatan para jemaah haji lebih terjamin pada masa-masa mendatang. Dan yang ditimpa kemalangan ini, baik keluarga yang ditinggalkan mahupun diri yang tercedera akan tabah melalui hari-hari terakhir melaksanakan ibadah haji dan juga dalam menjalani kehidupan.

Antara panggilan yang amat mengharukan semasa menjalankan ibadah haji tentulah doa talbiyah yang berbunyi:
Labbaika allahumma labbaik. Labaikka la syarika laka labbaik. Innalhamda wannikmata laka wal mulk la syarikalak.
Yang bermaksud: Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, ya Allah, hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, Tuhan yang tidak ada sekutu bagi-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Sesungguhnya segala pujian dan nikmat serta kerajaan adalah kepunyaan-Mu, tidak ada sekutu bagi-Mu.

Hari Raya Haji bukan sahaja besar ertinya bagi mereka yang telah menunaikan fardu haji malah untuk semua yang memahami maknanya. Walaupun kita bukan tetamu Allah di Tanah Suci, kita tetap terkenangkan makna pergorbanan yang dilambangkan melalui kisah Nabi Ibrahim a.s. dan anaknya, Nabi Ismail a.s. Bahawa daripada setiap kita dituntut pelbagai pengorbanan untuk menyempurnakan makna menjadi hamba kepada-Nya. Kita diuji dengan kesenangan dan kesusahan dan harus bijak menyaring makna segala yang kita tempuhi dan alami agar kita benar-benar maklum, akhirnya, hanya Allah sahaja paksi utama dalam kehidupan ini dan seterusnya. Namun betapa sukar untuk mendidik diri kita memahami ini kerana pembelajarannya sepanjang hayat dan ijazahnya hanya kita terima di akhirat. Betapa indah lagu ini menyimpulkan sebahagian daripada pencarian dan pembelajaran kita sepanjang hayat:

Salam
Rasiah Halil
25 September 2015 Masihi/11 Zulhijah 1436 Hijriah.

Catatan 17-18 September 2015

Quote 1Quote 3

Saya ingin menulis lebih awal lagi untuk masukan blog kali ini tetapi terhalang kerana terpaksa menguruskan beberapa hal dan saya juga kurang sihat. Rasanya banyak yang ingin saya kongsikan tetapi keupayaan saya terbatas kerana sejak sebulan dua ini, selain disibukkan oleh beberapa tugas, saya amat mudah letih. Namun, beberapa hal telah pun berlaku sejak masukan terakhir, pada 4 September lalu, antaranya:

1. Pada hari saya bertolak ke Kuala Lumpur pada 4 September lalu, kakak ipar saya, yang kini warga Canada, pulang ke Singapura kerana bapanya meninggal dunia. Bapa kakak ipar saya meninggal dunia pada 2 September lalu dan dikebumikan pada 3 September. Kakak ipar saya tidak sempat melihat jenazah bapanya walaupun sempat bersama beberapa ahli keluarga yang lain. Saya bertolak dari Singapura jam 11 pagi (walaupun penerbangan ini terlambat sikit) dan kakak ipar saya mendarat di Singapura pada 1.30 tengah hari. Dan kakak ipar saya pulang ke Canada pada 8 September lalu, dan saya pulang ke Singapura pada tarikh yang sama, walaupun bila semua selesai dan sampai di rumah, jam sudah pun menunjukkan pukul 1 lebih pagi, 9 September. Sekali lagi kami berpapasan di lapangan terbang tetapi tidak bertemu.

Bagi mereka yang menginap di luar negara, sama ada kerana bekerja, belajar, menjadi penduduk tetap atau warga di negara baharu, terutama negara yang jauh daripada negara asal mereka, inilah risiko yang terpaksa diterima – kita mungkin tidak dapat bersama orang yang kita sayangi semasa pemergiannya. Tapi ini semua urusan Allah kerana ada yang tinggal senegara pun belum tentu dapat bersama saat-saat terakhir pemergian seseorang. Dan alhamdulillah, kakak ipar saya sering menghubungi ibu bapanya dan sempat meluangkan banyak masa untuk bapanya 2 tahun lalu semasa bapanya sakit kuat. Kesedihan itu akan tetap terasa tetapi saya yakin beliau telah melakukan yang terbaik untuk bapanya.

Dua orang sahabat saya juga menginap di negara yang jauh dan tidak sempat bersama bapa mereka ketika bapa mereka meninggal. Kesedihan yang mereka tanggung, masih berlarut, terutama pada waktu-waktu tertentu, tetapi itulah kenyataan yang terpaksa kita terima kerana menginap di negara yang jauh. Akhirnya, Allah jua penentu sama ada kita dapat bersama seseorang pada saat-saat akhirnya di dunia. Yang penting bukan setakat kita bersama seseorang semasa saat-saat akhirnya tetapi doa dan kasih sayang kita kepada orang tersebut tidak mencair walaupun dipisahkan negara dan keadaan tertentu.

2. Saya teruja dapat ke Kuala Lumpur dan dijemput menyampaikan kertas kerja dan mendeklamasi sajak dalam ‘Forum Penyair Asean’ anjuran Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dengan kerjasama PENA dan Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia pada 4-5 September lalu. Lama saya tidak ke Kuala Lumpur, malah terpaksa menolak satu dua undangan acara sastera selepas tahun terakhir saya ke sana pada 2009. Ketika itu saya diundang oleh Persatuan Kesusasteraan Bandingan Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka dan lain-lain untuk menyampaikan kertas kerja dan mendekalmasi sajak dalam seminar ‘Wajah Kepengarangan Muslimah Nusantara’. Saya tidak lagi ke Kuala Lumpur selepas 2009 kerana beberapa hal, termasuk kesihatan saya dan juga masalah yang dihadapi seekor kucing saya yang separuh lumpuh, Snowy. Snowy sukar ditinggalkan kerana pihak doktor haiwan mahupun pusat jagaan haiwan peliharaan dan sebagainya enggan menjaganya, walaupun insya-Allah saya sanggup membayar yuran penjagaan. Snowy harus dibantu membuang najisnya lebih kurang 5 kali sehari dan ini yang membuat pusat jagaan haiwan peliharaan enggan menerimanya. Kucing saya yang seekor lagi, Ginger, mereka sanggup terima. Nasib baik ada kawan saya yang sedia membantu kerana pembantu rumahnya pandai membersihkan Snowy dan kucing-kucing saya sudah biasa dan menyayanginya. Sayangnya pula, Ginger suka merayap di rumah teres kawan saya, lantas kerana kucing-kucing saya, pintu dan tingkap mereka harus ditutup sepanjang adanya kucing-kucing saya di sana. Memandangkan kendala-kendala sebegini, saya jarang dapat ke luar negara, kecuali hal-hal yang amat mustahak. Dan sejauh ini tiada ‘pet sitter’ yang sanggup menguruskan Snowy.

Walaupun ‘Forum Penyair Asean’ berakhir pada larut malam, 5 September lalu dan kami boleh pulang pada 6 September, saya sambung bercuti sehingga 8 September kerana ingin bertemu keluarga, sahabat dan untuk memenuhi satu hajat.

Acara sastera itu memang menggembirakan kerana pihak penganjur telah mengatur program dengan baik. Saya sempat menemui beberapa penulis yang saya hormati misalnya Prof Muhammad Haji Salleh, Pak Baha Zain, Khadijah Hashim, Zurinah Hassan, Mahaya Md Yassin dan ramai lagi penulis veteran dan muda. Ada juga kesempatan bertemu dan berbual dengan penulis-penulis di luar Malaysia. Dan yang baiknya bagi saya, terdapat gerai-gerai buku dan saya sempat membeli buku-buku terbitan Malaysia dan Indonesia dan inilah yang paling memberatkan beg saya!

Tetapi yang terlibat dalam acara-acara sastera baik di Singapura, Kuala Lumpur atau di mana sahaja, tentunya umpama ‘setangkai tidak sebau’. Ada egonya amat besar, ada yang membawa geng, ada yang menghidupkan ‘mutual admiration clubs’, ada yang tanpa kepiawaian langsung tapi mahu dianggap tokoh, ada yang membuat pelbagai hal yang kurang baik dan sebagainya di tengah-tengah mereka yang jujur dan baik. Biasalah perkara-perkara begini dalam dunia seni mahupun hal-hal kemasyarakatan kita. Bak kata Allahyarhamah Biduanita Sharifah Aini mengenai dunia seninya: hidupnya dibeliti fitnah oleh pihak-pihak tertentu. Begitu juga dalam dunia seni yang saya ceburi. Tapi saya yakin, jika kita jujur dan ada keterampilan atau kemahiran dalam bidang yang kita ceburi serta didorong oleh nurani kita dan juga makna tanggung jawab kita kepada-Nya, segala fitnah itu kita akan harungi dengan lebih tabah dan reda. Kerana akhirnya, kita semua akan berdepan dengan-Nya dan segala-galanya akan terjawab. Dan Dia juga yang Maha Mengetahui segala-galanya.

3. Di selang-seli Forum, saya sempat bertemu dua orang kawan lama, S dan Z yang dahulu bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka, tetapi kini sudah bersara. Banyak yang kami borakkan dan kongsikan, dan mereka sempat membawa saya singgah sekejap ke Rumah Gapena dan bertemu beberapa orang di sana. Tapi yang menggembirakan saya ialah masa-masa kita berborak hingga ke larut malam dan makan-makan. Terubat rasanya rindu saya lama tidak ke Kuala Lumpur.

Saya juga dapat bertemu kawan sekolah lama saya di Shah Alam. Sambung lagi borak-borak dan makan-makan bersama Z dan suaminya, R. Lebih 40 tahun bersahabat dan kami semakin meniti usia senja tetapi persahabatan semasa remaja ini semakin dikukuhkan oleh masa yang banyak menjelaskan banyak perkara.

Selain bertemu keluarga sepupu saya di Ampang, saya paling gembira dapat bersama keluarga anak saudara saya di Setia Alam. Melihat keadaannya sekeluarga dan mengetahui sendiri bagaimana rumah dan daerah perumahannya, mendamaikan hati saya. Turut menggembirakan saya, anak saudara saya, seorang ibu kepada dua anak yang masih kecil, tetap memelihara kucing, sebagaimana kebiasaannya di Singapura. Dan kucing-kucingnya masih kecil dan comel serta suka pula ‘menemami’ saya tidur! Dan melihat halaman rumahnya yang kini semakin dihiasi pokok, turut menggembirakan saya – teringat lama dahulu sebelum anak saudara saya lahir, ketika saya menginap di rumah privet yang berhalaman luas, kegembiraan saya ialah melihat pokok-pokok di halaman rumah saya tumbuh dan juga ketika menyiram air pada pokok. Masanya amat singkat saya berada di rumah anak saudara saya tetapi sudah mencukupi untuk membahagiakan saya sepanjang tahun…..

4. Hajat yang ingin saya tunaikan, tertunai pada pagi 7 September. Di Singapura, adik angkat Allahyarhamah Biduanita Sharifah Aini, Khir, menghubungi beberapa orang sahabat karib Allahyarhamah, agar membawa saya ke pusara Allahyarhamah di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara. Seorang, Kak F., kerana berhalangan, tidak dapat bersama dan saya telah dijemput dari rumah anak saudara saya oleh A, Kak A dan S. Kami membacakan al-Fatihah dan Surah Yasin untuk Allahyarhamah di pusaranya. Dan kemudian, ketiga-tiga sahabat karib Allahyarhamah membawa saya pergi makan tengah hari dan berbual.

Saya tersentuh dengan kesudian mereka meluangkan masa untuk saya demi memenuhi hajat saya untuk Allahyarhamah. Dan saya semakin tersentuh dengan keramahan mereka terhadap saya. Semoga kasih sayang dan kenangan mereka kepada Allahyarhamah akan membuahkan sesuatu yang abadi dalam bentuk dokumentasi. Dan semoga keteguhan persahabatan dan keikhlasan mereka kepada Allahyarhamah akan selalu menyatu dan mendorong mereka untuk berbuat yang terbaik untuk kenangan beliau dan persahabatan sesama mereka, insya-Allah. Bertemu mereka saya seolah-olah bertemu dengan Allahyarhamah, yang tidak pernah saya nyatakan betapa lagu-lagunya turut mempengaruhi penglibatan seni saya. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah Biduanita Sharifah Aini. Al-Fatihah. Amin.

5. Singapura mengadakan pilihan raya pada 11 September lalu. Sebelum itu telah diadakan kempen oleh parti-parti politik yang bertanding. Saya tidak mengikuti satu pun rapat umum mana-mana parti walaupun ada juga saya ikuti perkembangan politik melalui media massa semasa musim pilihan raya. Ada calon-calon terasa benar mereka seharusnya tidak dicalonkan atau mencalonkan diri mereka kerana kalau beginilah orang-orang yang akan menerajui politik negara seandainya mereka dipilih, yang rugi hanya Singapura dan rakyatnya.

Pada pilihan raya kali ini semua kawasan undi dipertandingkan dan juga buat kali pertama, Parti Tindakan Rakyat (PAP) bertanding tanpa mantan perdana menteri pertama Singapura, Encik Lee Kuan Yew, bersama-sama mereka.

PAP memenangi 83 kerusi daripada jumlah 89 kerusi. 6 kerusi dimenangi Parti Pekerja (WP). PAP juga mendapat mandat yang lebih iaitu 69.9% daripada undi yang dibuang, jumlah yang agak tinggi berbanding dengan pilihan raya 2011. Ramai yang terpinga-pinga dan ada yang sukar mempercayai keputusan yang dimaklumkan. Banyak faktor dikatakan telah menyebabkan kemenangan besar ini. Mungkin para penganalisis politik boleh menerangkan dengan lebih baik.

Saya hanya seorang rakyat biasa yang mahu rakyat dan negara saya selamat dan saksama menikmati kemajuan negara saya. Saya gusar terhadap beberapa hal, termasuk ramainya ‘bakat asing’(foreign talent/FT) yang semakin banyak dalam negara saya yang kecil. Saya gusar mendengar berita ada rakyat Singapura yang sukar mendapat pekerjaan atau terpaksa bekerja dengan gaji yang begitu kecil dan kos sara hidup semakin meningkat. Saya sedih melihat daerah Katong, salah sebuah tempat saya membesar – daerah santai yang dihuni oleh orang-orang Melayu, Baba Peranakan, Serani, India, Tionghoa, Arab dan lain-lain, kini semakin dihuni oleh bakat asing dari India Utara. Dan di tempat-tempat lain, ada sahaja orang Tionghoa dari China, orang Filipina dan lain-lain. Tidak, saya tidak membenci orang luar atau bakat asing tetapi saya terasa sejak kebelakangan ini, kita demikian dibanjiri orang-orang sebegini dan warga Singapura yang terdiri daripada orang Melayu, Tionghoa, India, Serani dan lain-lain, seakan-akan ‘terpinggir’ dengan kemasukan yang terlalu ramai ini. Mungkin ada baiknya kemasukan ini diperhalusi agar rakyat Singapura tidak berasa ‘ditenggelami’. Negara yang lebih besar dan lebih kaya daripada Singapura misalnya Brunei tidak pun membuka pintu mereka seluas-luasnya kepada orang luar, apa lagi memberi kerakyatan semudahnya.

Satu perkara lagi, saya berasa tidak senang bila ada yang berkata, PAP menang kerana orang Melayu demikian menyokongnya. Benar, sebilangan orang Melayu dan Islam menyokong PAP tapi tentunya jumlahnya tidak sebesar mana sehingga menjadikan kita seolah-olah penentu ‘swing votes’. Orang Melayu Singapura sekitar 13.3 peratus dan kalau orang Melayu dan Islam, mungkin tak mencecah 16% daripada seluruh warga Singapura yang berjumlah 3.343 juta. Orang Melayu-Islam di Singapura mungkin sekitar 700,000 orang sahaja. Dan yang boleh mengundi pula, bukan semua. Bagaimana kita boleh menyebabkan ‘swing votes’? Ia seolah-olah menjadikan orang Melayu-Islam semacam bola, bila perlu, ditendang ke mana yang disukai. Ada orang begitu marah-marah dengan keputusan pilihan raya, dengan menyatakan orang-orang Melayu-Islam menyokong kuat PAP, bukankah kita seolah-olah boleh mencambahkan kemarahan orang-orang tadi kepada orang-orang Melayu-Islam? Walhal saya yakin bukan begitu maksud orang-orang yang menyatakan sokongan kuat Melayu-Islam yang menyebabkan PAP terus mendapat mandat untuk memerintah.

Apa pun, kita berharap, baik yang menang mahupun yang kalah dalam pilihan raya ini akan berjeda dan lebih memahami keadaan rakyat dan negara kita. Pemimpin, baik di dalam kerajaan, parti, kementerian, badan berkanun, persatuan dan lain-lain semua ada tanggung jawab. Mudah-mudahan semua dapat menjalankan tanggung jawab mereka dengan adil, saksama, telus, tulus dan ihsan. Saya teringat puisi mengenai Sejarah Melayu, ‘Ceritera yang ke-23’, yang ditulis oleh Prof. Muhammad Hj Salleh:

iii
dengar juga orang yang tidak berkata
atau bila berkata tidak bersetuju,
kerana mereka juga perlu.
mereka juga melihat dengan mata negeri,
memikir di waktu kita memikir.

rasalah bersama mereka
berfikirlah bersama pendapatnya,
hanya dengan berkongsi demikian
negeri ini dapat meluncur ke hadapan
seperti tombak yang berat dan tertuju.

dan akhirnya fikirlah di luar dirimu
kejarlah tujuan yang lebih besar dari harta,
anak sungai atau gelaran.
manusia itu kecil,
kecil dan kaku seperti aku,
usia pendek
tapi negeri itu panjang,
dan rakyat itu banyak keturunannya.

Dipetik daripada Muhammad Haji Salleh. 1981. Sajak-Sajak Sejarah Melayu. DBP: KL, halman 56-57.

6. Pada hari pilihan raya umum Singapura diadakan pada 11 September lalu, pada sebelah petang, berita negara Saudi dilanda pasir ribut tersebar luas. Ini kemudian diikuti dengan tumbangnya kren di Masjidilharam yang membunuh 107 jemaah dan mencederakan sebilangan jemaah. Melalui pelbagai media massa dapat kita saksikan bagaimana tragedi ini berlaku. Kita amat terharu memaklumi hal ini dan bertambah sedih bila kita ikuti berita-berita selanjutnya mengenai jemaah-jemaah yang terkorban. Walaupun ini suatu tragedi dan Kerajaan Saudi sudah pun mengambil langkah-langkah sepatutnya untuk menangani tragedi ini, sebagai orang Islam kita harus reda akan kejadian yang menyedihkan ini. Pemergian 107 jemaah itu adalah pilihan Allah dan kita yakin, mereka selamat di alam barzakh kerana kita dimaklumkan keadaan kepulangan mereka ke rahmatullah dikira sebagai syahid dunia. Semoga Allah sentiasa mencucuri rahmat ke atas roh 107 jemaah ini dan memberi ketabahan kepada keluarga yang mereka tinggalkan dan menyembuhkan dan menenangkan mereka yang cedera dalam tragedi ini, insya-Allah.

7. Isu pelarian dari negara-negara Arab semakin mendapat liputan luas di media massa. Bila gambar Aylan Kurdi, kanak-kanak berumur 3 tahun, dari Syria, terapung di pantai pekan peranginan Bodrum, Turki, dalam perjalanan mereka ke Greece, ramai yang terkejut. Ada negara yang menutup sempadan mereka kepada pelarian peperangan dari Syria dan beberapa tempat dan ada pula yang membuka sedikit pintu mereka untuk para pelarian ini. Mereka bukanlah pendatang asing tetapi pelarian peperangan. Seandainya negara-negara Barat dan kaya semakin menulikan telinga terhadap krisis kemanusiaan ini, nampaknya air mata kita tidak akan berhenti mengalir kerana lebih ramai kanak-kanak mahupun orang dewasa yang akan terbunuh sebelum dapat sampai ke tempat yang lebih selamat. Sebelum terlambat, mudah-mudahan pihak-pihak berwenang akan menjadi lebih waras dan tidak menyebabkan peperangan di beberapa tempat yang akhirnya, kanak-kanak seperti Aylan Kurdi dan ramai lagi dilenyapkan nyawa mereka kerana sikap dan kecuaian kita.

8. Ketika mencari-cari beberapa masukan untuk dikongsikan dengan kawan-kawan, saya dapati ada beberapa masukan yang dilampirkan lagu, lagu-lagunya dipadamkan (deleted). Lagu-lagu ini hanya segelintir sahaja, kesemuanya lagu Melayu. Saya mengambil lagu-lagu ini daripada youtube dan saya tidak mendapat satu sen pun dalam menulis blog ini, jadi tersiarnya lagu-lagu ini atau tulisan saya, saya tidak mendapat apa-apa keuntungan kewangan. Saya menulis dan melampirkan lagu-lagu yang sesuai hanya untuk berkongsi dengan pembaca blog ini. Ini yang menghairankan saya, mengapa beberapa lagu ini dipadamkan. Lagu-lagu ini tersebar luas di youtube, mengapa pula dibiarkan, sedangkan saya hanya berkongsi dan tidak mendapat satu sen pun dalam menulis atau menitipkan lagu dalam blog saya diperlakukan begini. Saya benar-benar hairan ini boleh berlaku. Blog ini percuma dan tiada sesiapa perlu membayar apa-apa untuk membacanya dan saya pun tidak mendapat sebarang ganjaran kewangan kerana menulisnya. Saya hanya berkongsi sesuatu yang saya suka.

9. Salah seorang sahabat karib saya, suami dan kakaknya berlepas ke Tanah Suci pagi semalam. Kita mendoakan semua jemaah haji dapat menunaikan fardu haji dengan selamat. Dan semoga ketibaan bulan Zulhijjah dan Aidiladha kali ini memberi keberkatan dan kedamaian kepada kita, insya-Allah.

Salam
Rasiah Halil
Ditulis: 17-18 September 2015.

Tiga Kuntum Sajak: Harapan, Ingatan Pada Penyu dan Baju Baharu Sang Raja

Harapan

Turunlah selebat mungkin, wahai hujan,
di daerah daerah kami yang kian kontang
terlalu lama kau membiarkan awan-awanmu
berbondong ke tanah seberang
singgahlah di sini & kongsikan dengan kami
segala yang kaukumpulkan dari laut, tasik, sungai,
kerana tumbuh-tumbuhan yang lama layu
perlu menjadi pohon-pohon teguh segar.

Ditulis: 9 April 1984
Universiti Nasional Singapura/NUS, Kent Ridge, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Ingatan Pada Penyu

Seribu ayam tidak akan menjadi
seekor penyu, kau tergelak mendengar
itu, ini zaman rimba, katamu,
siapa cepat dijulang, diangkat
tanpa doa panjang, hidup berkat
segala mendera, mendabik dada
mengulari janji & kata
menghangusi suasana
hanya jerebu sisanya.

Aku terkenangkan seekor penyu
yang menangis di pantai sepi
kerana telurnya terlalu berharga
untuk pelancong atau publisiti
apakah ini undang-undang rimba
atau kitakah terlalu terkilan
pada gempita & gempar
riuhnya kokok ayam
bagai terjumpa telur emas
yang mungkinkah menjadi tembelang?

Seribu ayam tidak akan menjadi
seekor penyu, jangan kau tergelak
walau ini abad belantara hutan
kancil pun boleh merajalela
serigala hilang kegagahannya
tapi siapakah penyu yang tabah
menyeberangi lautan
menghadapi keperitan
menyembunyikan ratusan telur
tanpa riuh
demi masa depan?

Ditulis: 22 Oktober 1991
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Baju Baharu Sang Raja

Tiada yang berani bersuara
baju itu sebenarnya tiada
diserang penyakit bisu, tuli, buta,
wabak itu kian menular
kecuali sang raja & para pembesar
sentiasa kebal
sentiasa berwenang
mencorak sekitar.

Baju baharu itukah yang sebenarnya tiada
atau benang-benang halimunan melilit tubuhnya
angkuh memperaga pakaian
rakus memakan khuldi & kepayang
wayang kulit itu pun berterusan
tukang jahit nan mahir
tukang karut yang pandir
khalayak bagai disihir
wang, pangkat, selir,
& raja yang ternyata berbogel
diisytihar berbusana manikam tulen.

Hanya yang bersih hati
nurani yang jernih menyaksi
memaklumi pusaran sandiwara ini
ketika sang raja & pembesar terbahak
licik memukau khalayak
sedang kanak-kanak itu
& mereka yang ikhlas, jujur,
menelan hempedu
maruah yang digadai saban waktu.

Ditulis: 5 November 2009
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Kejujuran Dalam Setiap Bidang Akan Terserlah Biar Cuba Dihalang

Minggu lalu Sri menghadiri pelancaran sebuah buku oleh seniman yang Sri hormati. Pada masa-masa silam ada juga pelancaran dan persembahan-persembahan seninya tidak dapat Sri hadiri kerana beberapa kendala. Tapi Sri selalu meluangkan masa mengikuti perkembangan seninya walaupun Sri tidak dapat hadir. Hati Sri gembira dan terharu kerana beliau diberi beberapa penghormatan dalam bidang seninya kerana Sri yakin benar beliau adalah di antara segelintir seniman sejati kita. Dan sejak dulu, kejujuran dan kesenimanannya terserlah; cuma ada di antara kita seolah-olah tidak mengendahkannya.

Kejujuran itu amat penting dalam pelbagai bidang kehidupan. Dan tidak semua orang boleh berkata dia telah benar-benar jujur dalam kehidupannya, kerjaya atau apa pun penglibatannya. Sebab kejujuran itu berpunca daripada hati, tidak ramai yang dapat mengesaninya. Sebilangan besar di kalangan kita hanya terlihat apa yang orang pamerkan sebagai hasil kejujuran itu, yang berkemungkinan tidak jujur. Dan ramai boleh bermuka-muka mengenai kejujuran mereka walhal merekalah perosak sebenar.

Dalam bidang pekerjaan anda pasti telah bertemu orang-orang yang tidak jujur ini. Kadangkala mereka bersikap baik atau selamba terhadap anda tapi mereka sebenarnya cuba menghancurkan anda dalam senyap. Anda mungkin bertungkus-lumus menyiapkan sesuatu pekerjaan atau projek dan dia sekadar menjenguk-jenguk saja, tapi bila sudah siap, dialah yang ke depan, seolah-olah segala penat lelah menyempurnakan projek tadi dialah yang lakukan. Ini seperti kata peribahasa kita: lembu punya susu, sapi punya nama. Dan orang-orang yang tidak jujur ini selalu tidak tenteram. Ada saja mengganggunya. Bila ada pekerja yang lebih baik daripadanya dia berasa tergugat walhal dia tidak berusaha bersungguh-sungguh seperti pekerja tadi. Dia percaya sangat dengan konsep zero sum game: kalau anda naik, dia pasti turun, dan kalau anda turun, dia pasti naik. Tiada dalam ruang lingkup rujukannya konsep ‘menang-menang’(‘win-win’) seperti yang dipopularkan oleh Stephen Covey. Bila kita melihat kemungkinan-kemungkinan kehidupan terlalu terhad, tentu ada di kalangan kita mengamalkan konsep zero sum game. Sebaliknya jika anda melihat kehidupan dengan berlapang dada dan tahu banyak kemungkinan yang wujud, anda tidak akan mudah tergugat dan melihat setiap orang sebagai ‘pengancam’. Soal ketidakjujuran tidak timbul dalam bidang pekerjaan atau kehidupan anda.

Namun bukan mudah bertemu dengan orang-orang yang jujur. Macam kata seorang kawan Sri. Dia membuka perniagaan komputer dan restoran di California. Sebilangan orang yang dia berhubung benar-benar tak jujur; anehnya mereka begitu selamba berlagak di depannya. Kalau anda tidak tahu, anda agak mudah terpedaya. Tapi kerana kawan Sri ini sudah lali dengan perbuatan mereka, mudah baginya menjebak mereka. Dan bila orang-orang ini berlaku tidak jujur padanya, senang saja jawapan kawan Sri: akhirat ada Sri, macam mana mereka nak lari…..

Kadangkala ketidakjujuran ini timbul bila anda mencuri idea orang tanpa mengakuinya lantas orang ingat itu idea anda. Atau seseorang bersusah-payah membuat penyelidikan mengenai sesuatu perkara, anda ‘sauk’ kajian-kajian tadi termasuk halaman-halaman tukilannya dan mencatatkan andalah yang membaca dan menyelidiki. Orang yang tidak mendalami, akan percaya betapa ‘hebat’ penyelidikan anda tadi….

Dalam dunia seni, ketidakjujuran itu mudah berlaku jika anda tak berjaga-jaga. Ini bersabit daripada niat sebenar anda menceburi bidang seni tadi. Ada orang ingin sangat dianggap ‘tokoh’ lantas akan melakukan apa saja untuk bergelar demikian walaupun penceburannya amat dangkal dan ilmunya tohor. Tapi kerana dia pandai ‘mempamerkan diri’ dan bijak berlagak seperti burung pelatuk, lantas dengan sekejap saja dia dicanangkan sebagai berkemahiran dalam satu-satu bidang seni dan lebih teruk lagi, dia pula menjadi semacam penentu seni bagaimana yang akan dilahirkan oleh khalayak ramai.

Dalam sejarah, orang-orang begini memang ada. Di Aceh sekitar abad ke-16/17, Nuruddin Raniri, kerana beberapa sebab, termasuk menjaga kepentingan-kepentingannya melenyapkan sumbangan Hamzah Fansuri dan melakukan beberapa angkara terhadap karya dan pengikut Hamzah. Dia berjaya tapi buat seketika saja. Hamzah Fansuri, penyair pelopor kita, tetap kekal dikaji dan diiktiraf sumbangan seninya sehingga kini, walaupun sumbangan seninya pudar di suatu zaman. Demikian juga Za’ba. Pada zamannya, Za’ba menghadapi pelbagai dugaan. Kerana beliau orang yang berilmu, jujur, mahir dalam beberapa bidang dan memiliki jiwa yang merdeka, ada beberapa pihak yang sengaja menyukarkan hidupnya. Untuk menenggelamkan Za’ba, dinaikkan orang-orang yang kononnya jujur dan berkemahiran seperti Majid Z. yang bersekongkol dengan British (Sila baca misalnya buku tulisan William Roff: The Origins of Malay Nationalism). Banyak kesukaran yang Za’ba hadapi tetapi ternyata kesukaran-kesukaran tadi adalah pemangkin untuk lebih menjernihkan kejujuran dan kemahiran beliau. Dan sehingga kini sumbangan beliau kita nilai di tahap yang teratas. Kata Lincoln kita tidak boleh menipu semua orang bagi semua masa, demikian juga orang-orang yang tidak jujur di kalangan kita. Jika tidak sekarang, suatu masa yang jujur akan tetap ke depan juga….

Ditulis: 3 Julai 2001
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu Singapura, 8 Julai 2001
Tajuk Asal: Bila Ketidakjujuran Menular
Tulisan: Rasiah Halil.

Di Sebalik Air Mata Yang Mengalir Di Pipi…

Bila menonton cerita sedih, mendengar atau menyaksikan sesuatu yang mengharukan, adakah anda menitiskan air mata? Ada di antara kita mudah mengalirkan air mata, terutama bila menonton filem-filem yang agak sedih tapi ada pula jarang menitiskan air mata melainkan sesuatu hal itu benar-benar mengharukan. Air mata sebenarnya mengalirkan banyak makna dengan kewujudannya.

Salah satu mata pelajaran kajihayat (biology) yang sukar Sri lupakan semasa di sekolah menengah ialah mengenai ‘mata’. Kami belajar agak mendalam mengenai mata dan di akhir pelajaran, kata-kata guru Sri sukar pula dilupakan: menangislah kerana ia baik untuk mata awak sebab kotoran pada mata akan turut terbuang dengannya. Kata-kata guru Sri ini menjadi semacam sendaan di kalangan kawan-kawan Sri ketika itu tetapi semakin meningkat dewasa kita sedar bahawa yang mengalir bersama air mata bukan sekadar habuk sahaja.

Ada orang begitu mudah mengalirkan air mata, kalah Neng Yatimah. Masa zaman kanak-kanak bila ada yang ‘tak boleh disentuh’ dan mudah merengek, kita panggil gembeng. Kadangkala perangai ini terbawa-bawa sehingga dewasa; anda lihat seseorang itu garang atau ‘macho’, tapi silap hari bulan, dia juga boleh jadi gembeng semacam. Tak percaya, tengoklah Piala Dunia, yang kalah menangis, yang menang pun menangis dan ini diperhebatkan lagi oleh para penonton, terutama peminat die hard mereka. Yang duka, yang suka, sama-sama mengalirkan air mata kerana tanpa perlu berkata-kata, air mata cukup menyatakan perasaan kita.

Ada kajian menunjukkan mengalirkan air mata mengeluarkan bahan kimia yang dicipta badan kita kerana tekanan (stress). Ada pula berkata air mata mengalirkan kimia endorphins ke dalam aliran darah kita, bahan yang sama dialirkan bila kita bersenam, dan ini menambah baik mood kita dan mengurangkan kesakitan. Sebab itu kita rasa ‘lega’ selepas menangis. Malah kebanyakan pengkaji berkata menangis itu baik untuk sistem saraf kita yang dipanggil sympathetic nervous system. Tentunya ada perbezaan air mata yang menitis kerana sesuatu yang mengharu/ menggembirakan dengan air mata yang mengalir kerana habuk termasuk mata atau ketika kita memotong bawang. Yang mengharu atau menggembirakan itu lahir daripada hormon yang dikeluarkan oleh tubuh kita tetapi air mata yang menitis kerana memotong bawang, masuk habuk dan lain-lain tidak berpunca daripada hormon tadi. Kadangkala tanpa mengetahui proses saintifiknya, yang arif di kalangan kita tahu membezakan air mata yang dibuat-buat dan air mata sebenar.

Lelaki jarang menangis secara terbuka, meraung dan meratap, berbanding dengan sebilangan wanita. Tetapi ada yang menangis tanpa mengongoi, hanya air matanya kita lihat mengalir tanpa henti. Ia mungkin berpunca kerana rasa kecewa yang amat sangat yang sukar dibendung setelah melakukan segala yang perlu untuk memperbaiki keadaan; harapan yang hancur setelah meluangkan banyak masa untuk membina harapan itu dan rasa jenuh kerana memaklumi bahawa kekuatan kita semakin berkurang. Melihat seorang bapa mengalirkan air mata sedemikian misalnya, jarang di kalangan kita yang tidak akan tersentuh kerananya.

Secara peribadi Sri pernah melihat bapa Sri menitiskan air mata sebegini; beliau duduk di kerusi malas (rocking chair) di beranda rumah kami dan bilik Sri pula di tingkat dua rumah privet tersebut. Saban waktu, pada malam hari, Sri dengar bunyi kerusi malas dan batuk bapa Sri dari tingkap bilik Sri. Kadangakala bunyi kerusi malas itu terhenti dan batuk bapa Sri berlarut dan sesekali, pada dinihari itu, Sri terdengar hanya sedikit sedu sedan bapa Sri. Sri begitu tersentuh sehingga pernah menulis sebuah sajak mengenainya berjudul ‘For Father’ yang tersiar di majalah tahunan salah sebuah sekolah Sri dan juga akhbar petang Singapura, New Nation, pada 1974. Sri ingat Sri turut menangis mendengar sedu sedannya pada dinihari sebegitu dan sampai ke akhir hayat Sri pun tidak akan Sri lupakan air mata dan segala pengorbanan beliau untuk anak-anak dan keluarganya. Hanya air mata yang mengalir secara tersembunyi pada malam-malam yang sunyi dan betapa ia menyentuh hati Sri sehingga kini.

Ada wanita mudah mengalirkan air mata terutama ketika datang haid atau dalam proses hampir putus haid. Kita boleh menangis kerana perkara-perkara yang amat kecil kerana hormon kita tidak seimbang ketika-ketika ini. Dan ada wanita pula kurang mengalami masalah ini. Mungkin kerana peranan hormon ini dan bagaimana ia boleh menjejaskan pandangan dan pertimbangan kita, Islam membuat pembahagian bagi tugas dan peranan wanita dan lelaki dalam rumah tangga dan kerjaya. Tentunya ada sebab-sebab yang lain juga bagi pembahagian tugas dalam Islam.

Air mata juga banyak jenisnya; air mata kerinduan berbeza dengan air mata yang mengalir kerana terharu atau kecewa. Kanak-kanak biasa yang menangis minta perhatian berbeza dengan tangisan kanak-kanak yang diburu kebuluran, perang mahupun kekejaman. Ingmar Bergman, seorang pengarah filem, pernah berkata, perasaan yang paling mendalam dilahirkan dalam diam. Kadangkala bila melihat seorang bapa/ibu mengalirkan air mata gembira, terharu atau kecewa, walau tidak diikuti oleh seribu kata, hati kita menjadi amat terharu kerananya. Dan kadangkala, bila menilai diri kita, merenung kembali segala kesilapan dan kekurangan kita, air mata kita mengalir ketika berdoa kepada-Nya. Betapa pun kecewa kita melihat perlakuan manusia atau hancurnya satu-satu harapan yang kita bina, akhirnya hanya air mata yang kita titiskan ketika kita berdoa dan memohon ketabahan daripada-Nya untuk meneruskan hidup ini dengan kesabaran, keyakinan dan keredaan bahawa Allah akan meluaskan segala kesempitan kita……

Ditulis: 27 Jun 2002
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu Singapura, 30 Jun 2002
Tajuk Asal: Air Mata Dan Kita
Tulisan: Rasiah Halil.

Catatan 4 September

Saya bertemu atau menghubungi beberapa orang kawan yang lama tidak saya dengar berita mereka. Semakin usia meningkat, kawan-kawan yang hubungannya masih akrab tetapi jarang bertemu, tentunya menimbulkan semacam kebahagiaan bagi kita. Saya juga dihubungi pelajar lama yang menimbulkan semacam nostalgia – betapa masa telah lama meninggalkan kita dan mereka bukan lagi pelajar remaja yang suatu masa dahulu saya didik.

Sebulan dua ini, saya bertemu sebilangan orang muda semasa mengadakan kursus kreatif. Saya teruja bertemu anak-anak muda ini, lebih-lebih lagi apabila mereka meminati dunia buku dan sastera.

Dan hari ini pula merupakan Hari Guru di Singapura – lantas pembauran berhubungan dengan kawan-kawan lama, pelajar-pelajar lama dan anak-anak muda membuat saya banyak terkenang. Kerana dibuai kenangan zaman persekolahan, saya lampirkan dalam masukan blog kali ini sebuah cerpen remaja yang saya tulis semasa saya berusia remaja. Ceritanya tidak berat tetapi mungkin kita yang lebih meningkat usia akan terkenang zaman kita ‘bercinta monyet’ dengan rakan sekolah dan guru kita. Mudah-mudahan anda terhibur membaca cerita zaman remaja ini.

Saya diundang oleh ke Kuala Lumpur dalam salah satu acara ‘Forum Penyair Asean’ hari ini 4 September dan esok, 5 September, anjuran Institut Terjemahan & Buku Malaysia. Temanya mengenai kemanusiaan. Saya akan menyampaikan kertas kerja dan juga mendeklamasi puisi pada 5 September ini. Bersempena ini, saya lampirkan beberapa puisi untuk tatapan anda, walaupun bukan puisi-puisi ini yang akan saya deklamasikan pada malam esok. Dan saya lampirkan juga ulasan buku mengenai penulis Chinua Achebe untuk bacaan kita.

Di Singapura, cuti sekolah sudah bermula. Dan di negara saya juga sedang ligat berjalan kempen-kempen pilihan raya. Sejak sekian lama, kali ini semua kawasan undi dipertandingkan. Rakyat Singapura akan mengundi pada 11 September ini. Ramai yang mengikuti perkembangan parti-parti politik, terutama dalam media sosial mahupun menyaksikan sendiri orang-orang politik memberi ceramah dan mendekati rakyat. Saya rasa pilihan raya kali ini agak berlainan daripada yang dulu-dulu kerana banyak faktor baharu kini muncul. Mudah-mudahan yang terbaik bagi rakyat dan negara Singapura akan berlaku pada 11 September ini.

Saya teruja akan berada di Kuala LUmpur, selain acara sastera, saya juga akan bertemu beberapa orang ahli keluarga dan kawan. Dan mudah-mudahan ada satu hajat saya untuk orang yang telah berpulang ke rahmatullah akan kesampaian kali ini. Saya lama tidak dapat ke Kuala Lumpur, walaupun pernah diundang dalam acara sastera, kerana dihambati pelbagai perkara, termasuk kesihatan saya. Alhamdulillah, setelah sekian lama, dapat juga saya ke sana, dan terima kasih saya kepada beberapa pihak yang insya-Allah akan memudah dan mengindahkan kunjungan saya kali ini.

Salam
Rasiah Halil
4 September 2015.