Cerpen: Kerana Kau

Zuraini masih bertanya-tanya. Benarkah apa yang didengarnya daripada Junaidah? Dia sangsi. Takkanlah Cikgu Amran sanggup berbuat demikian. Cikgu Amran sayang padanya. Dan kalau benar, dia tidak akan bercakap dengan Cikgu Amran. Biarkan, dia mahu merajuk biar Cikgu Amran sendiri datang memujuk. Sebentar kemudian, loceng pun berbunyi. Cikgu Amran masuk ke kelas dengan senyuman yang tak pernah luak. Dia tersenyum-senyum bermakna kepada Zuraini. Memang dia terlalu sayang kepada Zuraini. Zuraini gadis genit, gadis cantik, gadis impian setiap pemuda.

“Keluarkan buku Pygmalion awak,” Cikgu Amran memerintah tegas. Semua murid patuh. Guru yang cekap dan segak ini menerangkan sesuatu. Bola-bola mata tertumpu kepadanya. Dia menjadi semakin giat.

“Begini, Profesor Higgins tidak akan berkahwin dengan Eliza kerana Eliza anak muridnya. Lagipun, Higgins terlalu bijak buat Eliza,” Cikgu Amran menerangkan daripada buku Pygmalion karya George Bernard Shaw. Semua murid tertawa mendengar penerangan itu. Mereka memandang sekilas kepada Zuraini yang tertunduk-tunduk malu. Cikgu Amran dengan misai ala Omar Sharifnya tersengih-sengih malu melihat murid-muridnya tertawa. Dia pun terkenalah kali ini. Dia memandang ke arah Zuraini. Belum sempat dia berkata selanjutnya, Ali, yang duduk di belakang Zuraini, sudah bertanya.

“Cikgu, kalau cikgu jadi Higgins, sanggupkah cikgu menerima Eliza?”

“Kalau saya, saya terima saja. Apalah salah kahwin dengan anak murid sendiri …” Cikgu Amran bersuara lantang, tanpa berselindung-selindung lagi. Biarkan Ali pak kepoh itu puas. Dia mahu berhujah panjang-panjang tetapi terhalang kerana loceng bersurai telah pun dibunyikan. Semua murid terburu-buru keluar, tinggal Zuraini dan Cikgu Amran sahaja, di kelas itu. Zuraini merenung tepat wajah guru muda itu. Satu persoalan bermain-main di kepalanya. Benarkah? Dia sendiri tidak percaya. Cikgu Amran sayang kepadanya. Cikgu Amran selalu mengajaknya pergi bersiar. Bahkan sudah selalu juga cikgu buah hatinya datang ke rumahnya. Pendek kata, dia mengenali Cikgu Amran lebih daripada murid-murid yang lain. Tapi kini? Cikgu Amran sudah pun berlalu dan Zuraini disuruh mengikutnya. Dia akan menghantar Zuraini pulang ke rumah.

Zuraini berlari-lari anak menuju ke kereta Alfa Romeo gurunya. Dengan sekelip mata, kereta itu pun berderam laju menuju ke sebuah pantai yang terletak tidak jauh dari sekolah Zuraini. Mengapa cikgu membawanya ke sini? Zuraini menjadi serba-salah. Dia menganggap mesti ada sesuatu. Kalau tidak, takkanlah Cikgu Amran membawanya ke mari. Kereta itu pun berhenti dan mereka pun keluar lalu berjalan-jalan di pasir putih pantai tersebut. Akhirnya mereka berteduh pula di bawah sebatang pohon yang rendang.

“Zuraini, awak percaya Profesor Higgins tidak akan kahwin dengan Eliza?” Zuraini tidak menjawab, pertanyaaan itu mempunyai dua maksud. Apakah gurunya membawanya ke sini hanya untuk bertanya itu? Duhai pantai, beritahulah padanya segala apa yang pernah dinyatakannya kepadaku. Dan pasir, dengarkanlah bayangan impiannya padaku tempoh hari. Cikgu Amran, bukankah hari itu kita seolah-olah berpahat janji? Hati Zuraini mencungkil-cungkil.

“Sebenarnya Zuraini, saya nak memberitahu awak. Saya akan berangkat ke Kuala Lumpur minggu depan, untuk menjalankan tugas saya di sana pula. Saya tak mahu awak bersusah-susah hati pasal saya. Tumpukan hati awak untuk pelajaran dan ini untuk awak.” Sebuah bungkusan kecil dihadiahkan kepada Zuraini. Hati Zuraini bertambah sayu. Benarkah seperti kata Junaidah? Zuraini dihantar ke rumahnya dan kemudian kereta Cikgu Amran berderam laju meninggalkan Zuraini.

Zuraini terkinja-kinja naik ke tingkat atas rumahnya. Dia memasuki biliknya dan membuka hadiah pemberian Cikgu Amran yang sungguh memikat hati itu. Satu set pena ‘Parker’ berserta beberapa patah perkataan tertulis di atas kotak pena itu. Tulisannya:

Buat Zurainiku sayang
Belajarlah bersungguh-sungguh
Jika kau sayangkan aku.

Salam manis
Amran Ya’acob.

Ya, Zuraini akan belajar bersungguh-sungguh untuk Cikgu Amrannya. Ah, betapa manisnya perkataan “Zurainiku sayang” bermain-main di kepala gadis ini. Benar-benar memikat hati. Tapi apa ini? Sekeping kad dijumpanya terselit di daerah bawah kotak pena itu. Kad … kad jemputan! Cikgu Amran akan berkahwin di Kuala Lumpur rupanya. Cikgu pencuri hatinya akan pergi meninggalkannya buat selama-lamanya. Benarlah seperti kata Junaidah. Mengapa? Tanya hati kecil Zuraini. Dia benar-benar menyesal terhadap sikap guru kesayangannya. Benar-benar geram. Cikgu, mengapa cikgu hancurkan hati saya, mengapa?!!! Zuraini tersedu-sedu di dalam biliknya.

“Kau tak makan, Ani?” tanya Mak Pah kepada anak manjanya.

“Ani … Ani tak mahu makan, mak. Higgins tidak akan kahwin dengan Eliza. Higgins telah melupakan janjinya…”

Mak Pah terkejut. Dah apa terjadi dengan anaknya? Balik tadi terkinja-kinja, kini tersedu-sedu pula. Higgins? Eliza? Entahlah. Mak Pah menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia memang sukar memahami anak gadisnya ini. Maklumlah sejak kebelakangan ini Zuraini nampaknya dah jatuh hati benar pada siapa? Ah, Cikgu Amran … Mak Pah berlalu, tak kuasa hendak mengganggu anaknya.

Sementara itu, di dalam biliknya Zuraini masih tersedu-sedu. Sampai hati Cikgu Amran membuatnya begini. Sungguh kejam tindakan gurunya. Tapi kata-kata Cikgu Amran tempoh hari tidak dapat dilupakannya:

“Wanita-wanita yang cantik selalunya bodoh. Kalau saya, saya akan pilih wanita yang cantik dan pandai.”

Ya, Zuraini cantik, tapi benarkah dia pandai? Apa yang didengarnya daripada Junaidah agaknya benar juga, iaitu bakal isteri Cikgu Amran adalah lulusan universiti. Orang berkelulusan tinggi seperti Cikgu Amran yang mendapat kepujian dalam ijazah sarjana mudanya sudah tentu mencari pasangan yang setaraf dengannya. Dan mungkin juga bakal isteri Cikgu Amran cantik. Dan Zuraini? Biarlah dilupakan kenangan manisnya bersama Cikgu Amran. Satu kali dicabar, dia sudah boleh membangun. Kalau bakal isteri Cikgu Amran layak menjejakkan kakinya ke universiti untuk mendapatkan ijazah sarjana mudanya, maka Zuraini berikrar dia akan belajar bersungguh-sungguh untuk mendapatkan bukan sahaja sarjana mudanya bahkan doktoratnya sekali! Kerana kau, kata hati Zuraini, aku akan belajar bersungguh-sungguh. Aku akan membuktikan kecekapanku untuk mejejakkan kaki ke universiti seperti bakal isterimu.

Zuraini masih tersedu-sedu di dalam biliknya. Kerana kau Cikgu Amran, kerana kau aku sanggup …

(Tema cerpen ini iaitu pelajar ‘jatuh cinta’ dengan gurunya mendapat Inspirasi daripada novel Pelangi Pagi karya Khadijah Hashim. Buku ‘Pgymalion’ yang disebut dalam cerpen ini merupakan salah sebuah teks kesusasteraan Inggeris yang saya pelajari ketika di kelas Menengah Empat/Peperiksaan GCE ‘O’ Level pada 1973. Buku ‘Pygmalion’ oleh George Bernard Shaw ini dijadikan filem muzikal yang dibintangi Audrey Hepburn, dengan tajuk My Fair Lady pada tahun 1960-an)

Ditulis : Awal 1974, Lorong L, Telok Kurau Road, Singapura.
Tersiar : Majalah Perintis Bakti, Tanjong Katong Girls School/ Katong /Sekolah Perempuan Tanjong Katong 1974) dan Majalah Hidup, Bartley Secondary Schoo/ lSekolah Menengah Bartley, 1975.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s