8 Kuntum Sajak: Tangisannya/Jungkar Balik/Puisi Buat Seorang Penulis Palestin/Catatan Melihat Gadis Cacat/Hikayat Baghdad II/Warna Darfur/Flotila Kemanusiaan/Biarlah

Tangisannya
1
Mata tuanya telah lama meneliti
tingkap berkaca berupa teropong hidupnya
janggutnya berkapas panjang ke dada
gigi & rambutnya telah lama tiada
Pak Tua menilai-nilai hidup sekarang.

Cabaran hidup tuanya tidak kunjung hilang
dari kecil cabaran disambut & kejayaan dipeluk
dari dulu Pak Tua sudah masak akan erti hidup
tapi kini ‘hidup’ messti diertikan daripada kamus paling liberal
hidup: semakin mencakar dada!!!

2
Ah, apa erti kemanusiaan mereka? hati tuanya bertanya
orang tidak peduli kalau dia mati kebuluran
orang tidak kisah orang-orang sepertinya mati telanjang
orang telah pekak dari tangisan yang meminta pertolongan
orang telah buta melihat segala ketidakadilan
orang tidak ambil kisah perihal sesama insan
tidakkkkk peduliiiii!!!

Ke mana perginya kemanusiaan mereka? hati tuanya bertanya lagi
apakah tertulis di keping-keping kertas?
apakah tercatat dalam agenda-agenda persatuan?
apakah terbukti dari ikrar teguh para pelajar?
apakah terlaksana dari janji muluk bapak-bapak politikus?
terkuburkah kemanusiaan dalam rat-race ini? agak PakTua lagi.

Hujan renyai-renyai di luar
kesesakan hidup terasa.

3
Apakah hidup diharamkan bahagia?
bunuh membunuh dendam mendendam sesama kita
sekejap inflasi, mulut tuanya tak terjamah daging
buta lagi mata tuanya ketika krisi tenaga
Ahmed Zaki Yamani bertegang-tegang di Algiers
Pak Tua terpicit-picit di Singapura
krisis: iman semakin tipis.
Pak Tuan terpandang kanak-kanak bermain hujan
merekakah yang akan mewarisi segala kecelakaan?

4
Tapi dalam kebuntuan segala ragam ini
hujan masih terus menitis, air matanya bagaikan gerimis
Pak Tua kepingin suatu hidup penuh bahagia
tanpa lemparan napalm panas di Vietnam
tiada lagi anak-anak havok dalam kumpulan-lumpulan Woodstock
tanpa kebakaran serupa Robinson & Kumamoto
tiada apa yang sanggup memusnahkan hidup berharga!

5
“Tuhanku,” doa Pak Tua di tepi jendela
tuturan itu tersekat akibat kerongkong yangtersendat
air mata tuanya menitis meneliti kemanusiaan
hati tuanya terguris menilai kehidupan
“penuhi bumi ini dengan kesejahteraan-Mu.”

Hidup ini berkaca
Pak Tua menangis di tepi jendela.

Ditulis: 8 Disember 1973 – Awal Januari 1974
Lorong L, Telok Kurau Road, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Jungkar Balik

Dendam inikah sekam
membakar peribadi
angkuh & mementingkan diri
lalu tanpa sopan
kau menyelar
menjilat
tergoda
& sekali gus meminta-minta
dalam ceritera Amerika.

Di manakah keihsanan
membenarkan lelaki tua
yang memandu kau ke Mayflower
membawa beg-begmu
dalam gelita malam & penat
sedang kau sihat, sasa,
& kesalahan orang tua itu
hanyalah kulit putihnya
& tidak dilahirkan di Afrika.

Ditulis: 5 November 1995
Mayflower, Iowa, Amerika Syarikat
Tulisan: Rasiah Halil.

Puisi Buat Seorang Penulis Palestin

Apa lagi yang akan mereka lakukan
setelah menjajah, menjarah,
melenyapkan penduduk, sejarah,
& mendabik dengan lantang
disokongi media raksasa, dolar,
merekalah si mangsa
yang hilang tanah
yang dimangsai Hitler
yang memancing simpati kita
melainkan kita tuli & buta
siapakah yang memangsai siapa ?

Kufahami deritamu, J.,
terseksa menghadapi segala:
perang 1948, 1956, 1967,
pencerobohan Al-Aqsa, Sabra, Shatilla, Hebron,
kelicikan tentera & Ariel Sharon
pembunuhan Mohammed Al-Durra
mercupnya intifada
batu dibalas peluru, bedil, kereta kebal, serangan udara,
bagai kisah Nabi Daud & Jalut
& dunia seakan senyap
tak seheboh di Timur Timor, Jakarta,
kecuali di Sharm El-Sheikh
dengan perjanjian tergesa.

Tiadakan wujud perdamaian, J.,
selagi ketidakadilan bertakhta
bila yang kuat itu benar
yang membunuh itu mangsa
bila segala boleh diwajarkan
oleh sokongan, dolar,
& seribu Camp David, Sharm El-Sheikh,
tiadakan mereda Tebing Barat, Carikan Gaza, Baitulmaqdis,
& sejuta Mohammed Al-Durra
akan terus dimangsai, dibunuh,
& dunia tidak sehebohnya
memaknakan sejahtera.

Ditulis: 29 September – 18 Oktober 2000
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Catatan Melihat Gadis Cacat

Ramai yang riuh di sini
pelajar menengah & maktab rendah
anak muda, pekerja, orang dewasa,
beratur, berbual, makan, tergesa,
mahu cepat segala
diderai kelui, telefon bimbit, hilai tawa,
sedang kau sunyi bersibuk
di pusat makanan segera.

Kaubersihi meja
angkati sisa tinggalan
heret timbunan sampah sarap
bersungguh tanpa rehat
& sesekali tersenyum
tika anak muda sebayamu
ceria tanpa dirisaui wang
berpapasan.

Tersentuh aku memerhatikanmu
semuda ini diasingi dunia
tersendiri & terpisah
daripada insan sebaya
kerana yang kaukenali hanyalah kerja pukal
untuk sesuap kelebihan
untuk secarik masa depan.

Ditulis: 12 Oktober 2000
Parkway Parade, Katong, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Hikayat Baghdad II

Menangislah para ulama silam
pemikir, wali, syuhada,
bersemadi di bumi Iraq
bahawa tanah bersejarah ini
semakin dibanjiri darah
semakin dipercatur kuasa
kerana emas hitamnya.
Dan pembunuhan pun berlarut
bagai dihikayatkan Shehrezad
mungkin melangkaui 1001 malam
bersama kesengsaraan
perebutan, api dendam,
sedang yang tepu menderita
akankah didengar suaranya?

Ditulis: 9 April 2004
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Warna Darfur

Jangan bawakan kesedihan itu padaku
aku telah lali pada segala itu
bawalah khabar gembira, keselamatan,
di padang pasir, khemah-khemah pelarian,
atau kaukah akan sekadar berbisik
kerana apalah kami dari daerah miskin.

Siapakah Janjaweed, penjarah atau pembela
sehingga kulit hitamku mahu dilapah
kerana tanah, kerana air,
kekuasaan meraja
betapa murahnya nyawa si kulit hitam
menggelegak di kawah bernama Sudan.

Berdosakah aku berkulit hitam
atau hanya si putih menjadi pilihan
lantas, halallah darahku ditumpah
maruahku diinjak, rahimku disoyak
kerana hanya yang tertentu harus berkuasa
di Sudan & seluruh dunia.

Andainya kau tiba-tiba buta, tuli, bisu
masih lagi dapat kauhidu
hamisnya darah menghujani kaumku.

Ditulis: 7 – 12 Julai 2004
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Flotila Kemanusiaan

Bila lanun-lanun menjarah
kita kutuk & kecam kebiadaban mereka
bila flotila diserang di perairan antarabangsa
demi bantuan kemanusiaan di Gaza
adikuasa & sekutu berkelu kata
atau bersuara sekadar kakak tua
sesungguhnya sang lanun mempertahankan hak
untuk menyerang, membunuh, bertindak,
sebebas-bebas, sewenang-wenang,
kerana kekuatan itulah kebenaran.

Penjarah itu tetap serakah
licik memutarbelitkan fakta
tapi kemanusiaan itu lebih besar
meski berdepankan orang-orang pilihan
kolek pun akan terus belayar
merempuh raksasanya pengganasan, kecanggihan,
kerana manusia bukan haiwan
perlu dikepung, dikandang,
keperluan asas, mainan, simen, ubat-ubatan,
bukan senjata
memusnahkan kehidupan
& suara nurani itu tetap tanpa sempadan
melepasi negara, ideologi, agama, keturunan,
kerana tiada yang lebih bermakna
mendepani keangkuhan merajalela
kecuali kebenaran
persefahaman
kasih sayang
& bantuan sesama insan.

Ditulis: 2– 9 Jun 2010
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Biarlah
(Setelah membaca sebuah hadis Nabi s.a.w.)

Biarlah aku membelamu
seperti Hassan Tsabit dekat mimbar itu
kata-kata yang meracun
kata-kata bersalut ego
adalah ruang-ruang gelap
sedang abjad-abjad hakiki
engkaulah mempelitai.

Biarlah syair ini kulantun
di padang nan tandus ini
debu-debunya menghijap
wadi-wadinya menyulap
sedang kafilah-kafilah semakin tergoda
oleh pelbagai pesta & cuaca.

Di sisi mimbar itu
syair itu adalah suara hati
seperti zaman Hassan Tsabit
abadi.

Ditulis: 15 Disember 2008
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s