Ulasan Buku Chinua Achebe: The Education of a British-Protected Child

Cover of Achebe's book

Buku: The Education of a British-Protected Child
Penulis: Chinua Achebe
Penerbit: Alfred Knopf, New York, 2009, 172 halaman

Pengenalan

Chinua Achebe merupakan salah seorang penulis tersohor Afrika. Berasal dari Nigeria, puak
Igbo atau Ibo, lahir pada 1930*, beliau terdidik di sekolah Inggeris sehingga ke peringkat universiti. Achebe pernah bekerja sebagai guru, di Nigerian Broadcasting Service/Corporation dan menjadi pensyarah sastera sehingga kini. Beliau juga pernah mengendalikan dua majalah sastera yang dirintisnya selain menjadi editor umum bagi siri buku, African Writers Series.

Achebe pernah aktif dalam politik Nigeria pada akhir tahun-tahun 60-an tetapi ini ditinggalkannya
walaupun masih tetap menumpukan perhatian terhadap keadaan di Nigeria dan Afrika sehingga
kini dan bermastautin di Amerika Syarikat. Beliau telah menerima pelbagai anugerah dan ijazah doktor kehormat kerana tulisan-tulisannya. Di antara karya-karyanya termasuklah novel: Things Fall Apart (1958), A Man of the People (1966), Anthills of Savanna (1987); puisi: Beware, Soul Brother/Christmas in Biafra and Other Poems (1971) dan Collected Poems (2004); cerpen: The Sacrificial Egg and Other Stories (1953) dan Girls at War and Other Stories (1973); cerita kanak-kanak: Chike and the River (1966) dan The Flute (1975); dan esei: Hopes and Impediments: Selected Essays, 1965-1987 (1989) dan Home and Exile (2004). Karyanya yang paling terkenal, Things Fall Apart, telah diterjemahkan kepada 50 bahasa dunia dan terjual sebanyak 8 juta naskhah.

Buku The Education of a British-Protected Child

Buku ini mengandungi 16 esei pilihan yang ditulis dari 1988 sehingga 2009. Topik yang
dibincangkan berencam; mengenai pendidikan awalnya oleh ibu bapanya di sebuah kampung
terpencil, persekolahan di kampungnya dan kemudian sekolah berasrama serta di universiti. Di
sinilah istilah ‘anak/orang dalam perlindungan British’ diungkapkan kerana itulah ungkapan bagi
orang yang dijajah British, sebelum Nigeria merdeka.

Dari latar hidupnya, kita ketahui bahawa Achebe, yang lahir dalam keluarga sederhana dan
penganut agama Kristian, didedahkan kepada kedua-dua pengaruh agama tersebut dan juga
tradisi lisan puak Igbonya. Bapanya, misalnya, mengajar anak-anaknya mengenal aksara dan
mencintai buku melalui penampalan pelbagai jenis tulisan mudah di dinding rumah mereka. Ibu dan kakak Achebe pula suka bercerita. Lantas tidak hairannya, Achebe, pelajar yang rajin dan cemerlang, mencintai buku dan bidang penulisan selain tradisi masyarakatnya. Tapi pembelajarannya juga membuat Achebe maklum, guru-gurunya yang sebenar, sebilangannya berkulit putih, adalah mereka yang kadangkala ‘menongkah arus’ dalam sistem penjajah kerana
mereka mencintai pelajar mereka sebagai manusia yang perlu dikembangkan potensinya. Faktor-faktor inilah yang berbaur, selain pencariannya dan melahirkan Achebe sebagai penulis.

Beberapa esei dalam antologi ini menyelongkar pandangan sejarah serta sikap berat sebelah
penulis-penulis Barat terhadap Afrika dan orang-orang kulit hitam. Dalam karya-karya sastera
zaman penjajahan, orang-orang Afrika sering digambarkan sebagai bukan sepenuhnya ‘manusia’;
sesuatu yang Achebe alami semasa zaman kanak-kanak dan remajanya melalui pembacaannya.
Pada mulanya ini tidak menimbulkan apa-apa reaksi misalnya dengan beliau membaca tulisan
Rider Haggard dan John Buchan; hanya kedewasaan membuat Achebe lebih peka bahawa
terdapat banyak gambaran negatif tentang peribumi Afrika dalam karya-karya sastera ketika itu.
Demikian juga setelah beliau mempunyai anak dan membeli buku kanak-kanak untuk anak sulungnya – buku yang kelihatan indah terbitan Britain, namun isinya meremehkan orang-orang berkulit hitam. Sebabnya mudah, menurut Achebe:

‘Jika anda mahu memperhamba atau menjajah seseorang, anda tidak akan menulis sesuatu yang
indah mengenainya, baik sebelum atau sesudahnya (penjajahan). Sebaliknya anda akan
mencungkil atau mencipta cerita-cerita buruk mengenainya agar perlakuan perompakan/
penyamunan anda akan mudah anda dijalani.’ (halaman 61).

Achebe juga menyelar beberapa orang yang kononnya ‘membela’ Afrika tetapi sebenarnya masih memandang rendah penghuni benua tersebut. Albert Schweitzer misalnya, terkenal sebagai seorang humanis, doktor perubatan dan banyak membantu Afrika, rupa-rupanya tetap menganggap orang Afrika sebagai saudaranya, tapi berpangkat lebih rendah daripada orang kulit putih atau novelis Joseph Conrad, dalam novelnya, Heart of Darkness, sama menganggap orang Afrika kurang bertamadun.

Dalam esei, ‘Africa Is People’, Achebe diundang ke Paris pada 1989 untuk menghadiri sambutan 25 tahun suatu pertubuhan ekonomi. Beliau hairan mengapa beliau diundang, sehinggalah Achebe mendengar hujah-hujah yang dikemukakan ahli ekonomi dalam persidangan tersebut. Ternyata mereka yang berasal dari Eropah, Amerika, Canada dan Australia, sekadar berteori sahaja mengenai Afrika tanpa menitikberatkan bahawa yang mereka teorikan itu dan yang akan menerima kesan pelaksanaan teori mereka adalah manusia, bukan barangan. Beliau diundang oleh pengarah umum pertubuhan itu, orang Belanda, kerana mahu menyuntikkan realisme pada pakar-pakar ekonomi ini – kerana mereka sekadar berteori. Lantas Achebe menyifatkan bengkel ekonomi yang mereka adakan sebagai ‘bengkel cereka’ (halaman 157).
Antologi esei ini juga menyentuh mengenai perhambaan yang dilakukan secara besar-besaran oleh pelbagai golongan penjajah dan peniaga, yang membawa orang-orang berketurunan Afrika ke Amerika Syarikat, Amerika Selatan dan beberapa tempat. Beliau menunjukkan bahawa bukan orang-orang Afrika itu melepak dan menanti dengan penuh ghairah, perpindahan mereka ke benua Amerika, menyeberangi Lautan Atlantik. Achebe juga menunjukkan bagaimana seorang raja, misalnya Dom Afonso I (1506-1543 Masihi) dari kerajaan Bukongko, walaupun bersahabat dengan orang-orang Portugis dan membina sekolah dan gereja di negaranya tetap menerima padah daripada pihak penjajah. Raja Dom Afonso I menulis surat kepada raja Portugal, Raja John III pada 1526 mengenai rakyatnya yang diculik untuk dijadikan hamba oleh orang-orang Portugis, tetapi suratnya langsung tidak dilayan. Brazil sedang dibuka Portugis ketika itu dan ladang-ladangnya memerlukan hamba, lantas rakyat Bukongko dimangsakan dan kerajaannya akhirnya dihancurkan.

Isu perhambaan dan sikap kejam penjajahan di Afrika banyak disentuh Achebe, termasuk menulis mengenai kesan ziarah dan adanya Dr Martin Luther King dalam keluarga besar orang-orang Afrika. Kesan perhambaan ini demikian mendalam, lantas terpisahlah orang-orang yang serumpun, sehinggakan penulis Afrika-Amerika, James Baldwin, ketika pertama kali bertemu Achebe pada 1980, menyatakan Achebe adalah ‘saudara yang tidak dapat ditemui dalam 400 tahun’ (halaman 135). Dan Achebe juga mengenalkan kita kepada Olaudah Equiano, yang diculik dan dijadikan hamba di Amerika dan kemudian menjadi orang merdeka dan menulis novelnya pada 1789.

Kesimpulan

Antologi esei Chinua Achebe ini menarik, sebagaimana tulisan-tulisannya yang lain. Banyak yang dapat kita pelajari bukan hanya mengenai masyarakat Igbo dan Afrika tetapi juga beberapa kesan berpanjangan yang dicetuskan oleh penjajahan dan perhambaan. Namun Achebe bukanlah seorang yang negatif sebagaimana beliau nyatakan:

‘Suatu perkara yang baik mengenai manusia ialah kebolehan kita berdepan dengan kesukaran
dengan tidak membenarkan kesukaran tadi menafsir kita, atau membolehkannya menjadikan kita agen atau mangsanya’ (halaman 22-23).

Betapa ini jelas dalam antologi eseinya.

*Chinua Achebe meninggal pada 21 Mac 2013.

Ditulis: 3 Jun 2011
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s