Catatan 17-18 September 2015

Quote 1Quote 3

Saya ingin menulis lebih awal lagi untuk masukan blog kali ini tetapi terhalang kerana terpaksa menguruskan beberapa hal dan saya juga kurang sihat. Rasanya banyak yang ingin saya kongsikan tetapi keupayaan saya terbatas kerana sejak sebulan dua ini, selain disibukkan oleh beberapa tugas, saya amat mudah letih. Namun, beberapa hal telah pun berlaku sejak masukan terakhir, pada 4 September lalu, antaranya:

1. Pada hari saya bertolak ke Kuala Lumpur pada 4 September lalu, kakak ipar saya, yang kini warga Canada, pulang ke Singapura kerana bapanya meninggal dunia. Bapa kakak ipar saya meninggal dunia pada 2 September lalu dan dikebumikan pada 3 September. Kakak ipar saya tidak sempat melihat jenazah bapanya walaupun sempat bersama beberapa ahli keluarga yang lain. Saya bertolak dari Singapura jam 11 pagi (walaupun penerbangan ini terlambat sikit) dan kakak ipar saya mendarat di Singapura pada 1.30 tengah hari. Dan kakak ipar saya pulang ke Canada pada 8 September lalu, dan saya pulang ke Singapura pada tarikh yang sama, walaupun bila semua selesai dan sampai di rumah, jam sudah pun menunjukkan pukul 1 lebih pagi, 9 September. Sekali lagi kami berpapasan di lapangan terbang tetapi tidak bertemu.

Bagi mereka yang menginap di luar negara, sama ada kerana bekerja, belajar, menjadi penduduk tetap atau warga di negara baharu, terutama negara yang jauh daripada negara asal mereka, inilah risiko yang terpaksa diterima – kita mungkin tidak dapat bersama orang yang kita sayangi semasa pemergiannya. Tapi ini semua urusan Allah kerana ada yang tinggal senegara pun belum tentu dapat bersama saat-saat terakhir pemergian seseorang. Dan alhamdulillah, kakak ipar saya sering menghubungi ibu bapanya dan sempat meluangkan banyak masa untuk bapanya 2 tahun lalu semasa bapanya sakit kuat. Kesedihan itu akan tetap terasa tetapi saya yakin beliau telah melakukan yang terbaik untuk bapanya.

Dua orang sahabat saya juga menginap di negara yang jauh dan tidak sempat bersama bapa mereka ketika bapa mereka meninggal. Kesedihan yang mereka tanggung, masih berlarut, terutama pada waktu-waktu tertentu, tetapi itulah kenyataan yang terpaksa kita terima kerana menginap di negara yang jauh. Akhirnya, Allah jua penentu sama ada kita dapat bersama seseorang pada saat-saat akhirnya di dunia. Yang penting bukan setakat kita bersama seseorang semasa saat-saat akhirnya tetapi doa dan kasih sayang kita kepada orang tersebut tidak mencair walaupun dipisahkan negara dan keadaan tertentu.

2. Saya teruja dapat ke Kuala Lumpur dan dijemput menyampaikan kertas kerja dan mendeklamasi sajak dalam ‘Forum Penyair Asean’ anjuran Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dengan kerjasama PENA dan Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia pada 4-5 September lalu. Lama saya tidak ke Kuala Lumpur, malah terpaksa menolak satu dua undangan acara sastera selepas tahun terakhir saya ke sana pada 2009. Ketika itu saya diundang oleh Persatuan Kesusasteraan Bandingan Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka dan lain-lain untuk menyampaikan kertas kerja dan mendekalmasi sajak dalam seminar ‘Wajah Kepengarangan Muslimah Nusantara’. Saya tidak lagi ke Kuala Lumpur selepas 2009 kerana beberapa hal, termasuk kesihatan saya dan juga masalah yang dihadapi seekor kucing saya yang separuh lumpuh, Snowy. Snowy sukar ditinggalkan kerana pihak doktor haiwan mahupun pusat jagaan haiwan peliharaan dan sebagainya enggan menjaganya, walaupun insya-Allah saya sanggup membayar yuran penjagaan. Snowy harus dibantu membuang najisnya lebih kurang 5 kali sehari dan ini yang membuat pusat jagaan haiwan peliharaan enggan menerimanya. Kucing saya yang seekor lagi, Ginger, mereka sanggup terima. Nasib baik ada kawan saya yang sedia membantu kerana pembantu rumahnya pandai membersihkan Snowy dan kucing-kucing saya sudah biasa dan menyayanginya. Sayangnya pula, Ginger suka merayap di rumah teres kawan saya, lantas kerana kucing-kucing saya, pintu dan tingkap mereka harus ditutup sepanjang adanya kucing-kucing saya di sana. Memandangkan kendala-kendala sebegini, saya jarang dapat ke luar negara, kecuali hal-hal yang amat mustahak. Dan sejauh ini tiada ‘pet sitter’ yang sanggup menguruskan Snowy.

Walaupun ‘Forum Penyair Asean’ berakhir pada larut malam, 5 September lalu dan kami boleh pulang pada 6 September, saya sambung bercuti sehingga 8 September kerana ingin bertemu keluarga, sahabat dan untuk memenuhi satu hajat.

Acara sastera itu memang menggembirakan kerana pihak penganjur telah mengatur program dengan baik. Saya sempat menemui beberapa penulis yang saya hormati misalnya Prof Muhammad Haji Salleh, Pak Baha Zain, Khadijah Hashim, Zurinah Hassan, Mahaya Md Yassin dan ramai lagi penulis veteran dan muda. Ada juga kesempatan bertemu dan berbual dengan penulis-penulis di luar Malaysia. Dan yang baiknya bagi saya, terdapat gerai-gerai buku dan saya sempat membeli buku-buku terbitan Malaysia dan Indonesia dan inilah yang paling memberatkan beg saya!

Tetapi yang terlibat dalam acara-acara sastera baik di Singapura, Kuala Lumpur atau di mana sahaja, tentunya umpama ‘setangkai tidak sebau’. Ada egonya amat besar, ada yang membawa geng, ada yang menghidupkan ‘mutual admiration clubs’, ada yang tanpa kepiawaian langsung tapi mahu dianggap tokoh, ada yang membuat pelbagai hal yang kurang baik dan sebagainya di tengah-tengah mereka yang jujur dan baik. Biasalah perkara-perkara begini dalam dunia seni mahupun hal-hal kemasyarakatan kita. Bak kata Allahyarhamah Biduanita Sharifah Aini mengenai dunia seninya: hidupnya dibeliti fitnah oleh pihak-pihak tertentu. Begitu juga dalam dunia seni yang saya ceburi. Tapi saya yakin, jika kita jujur dan ada keterampilan atau kemahiran dalam bidang yang kita ceburi serta didorong oleh nurani kita dan juga makna tanggung jawab kita kepada-Nya, segala fitnah itu kita akan harungi dengan lebih tabah dan reda. Kerana akhirnya, kita semua akan berdepan dengan-Nya dan segala-galanya akan terjawab. Dan Dia juga yang Maha Mengetahui segala-galanya.

3. Di selang-seli Forum, saya sempat bertemu dua orang kawan lama, S dan Z yang dahulu bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka, tetapi kini sudah bersara. Banyak yang kami borakkan dan kongsikan, dan mereka sempat membawa saya singgah sekejap ke Rumah Gapena dan bertemu beberapa orang di sana. Tapi yang menggembirakan saya ialah masa-masa kita berborak hingga ke larut malam dan makan-makan. Terubat rasanya rindu saya lama tidak ke Kuala Lumpur.

Saya juga dapat bertemu kawan sekolah lama saya di Shah Alam. Sambung lagi borak-borak dan makan-makan bersama Z dan suaminya, R. Lebih 40 tahun bersahabat dan kami semakin meniti usia senja tetapi persahabatan semasa remaja ini semakin dikukuhkan oleh masa yang banyak menjelaskan banyak perkara.

Selain bertemu keluarga sepupu saya di Ampang, saya paling gembira dapat bersama keluarga anak saudara saya di Setia Alam. Melihat keadaannya sekeluarga dan mengetahui sendiri bagaimana rumah dan daerah perumahannya, mendamaikan hati saya. Turut menggembirakan saya, anak saudara saya, seorang ibu kepada dua anak yang masih kecil, tetap memelihara kucing, sebagaimana kebiasaannya di Singapura. Dan kucing-kucingnya masih kecil dan comel serta suka pula ‘menemami’ saya tidur! Dan melihat halaman rumahnya yang kini semakin dihiasi pokok, turut menggembirakan saya – teringat lama dahulu sebelum anak saudara saya lahir, ketika saya menginap di rumah privet yang berhalaman luas, kegembiraan saya ialah melihat pokok-pokok di halaman rumah saya tumbuh dan juga ketika menyiram air pada pokok. Masanya amat singkat saya berada di rumah anak saudara saya tetapi sudah mencukupi untuk membahagiakan saya sepanjang tahun…..

4. Hajat yang ingin saya tunaikan, tertunai pada pagi 7 September. Di Singapura, adik angkat Allahyarhamah Biduanita Sharifah Aini, Khir, menghubungi beberapa orang sahabat karib Allahyarhamah, agar membawa saya ke pusara Allahyarhamah di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara. Seorang, Kak F., kerana berhalangan, tidak dapat bersama dan saya telah dijemput dari rumah anak saudara saya oleh A, Kak A dan S. Kami membacakan al-Fatihah dan Surah Yasin untuk Allahyarhamah di pusaranya. Dan kemudian, ketiga-tiga sahabat karib Allahyarhamah membawa saya pergi makan tengah hari dan berbual.

Saya tersentuh dengan kesudian mereka meluangkan masa untuk saya demi memenuhi hajat saya untuk Allahyarhamah. Dan saya semakin tersentuh dengan keramahan mereka terhadap saya. Semoga kasih sayang dan kenangan mereka kepada Allahyarhamah akan membuahkan sesuatu yang abadi dalam bentuk dokumentasi. Dan semoga keteguhan persahabatan dan keikhlasan mereka kepada Allahyarhamah akan selalu menyatu dan mendorong mereka untuk berbuat yang terbaik untuk kenangan beliau dan persahabatan sesama mereka, insya-Allah. Bertemu mereka saya seolah-olah bertemu dengan Allahyarhamah, yang tidak pernah saya nyatakan betapa lagu-lagunya turut mempengaruhi penglibatan seni saya. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah Biduanita Sharifah Aini. Al-Fatihah. Amin.

5. Singapura mengadakan pilihan raya pada 11 September lalu. Sebelum itu telah diadakan kempen oleh parti-parti politik yang bertanding. Saya tidak mengikuti satu pun rapat umum mana-mana parti walaupun ada juga saya ikuti perkembangan politik melalui media massa semasa musim pilihan raya. Ada calon-calon terasa benar mereka seharusnya tidak dicalonkan atau mencalonkan diri mereka kerana kalau beginilah orang-orang yang akan menerajui politik negara seandainya mereka dipilih, yang rugi hanya Singapura dan rakyatnya.

Pada pilihan raya kali ini semua kawasan undi dipertandingkan dan juga buat kali pertama, Parti Tindakan Rakyat (PAP) bertanding tanpa mantan perdana menteri pertama Singapura, Encik Lee Kuan Yew, bersama-sama mereka.

PAP memenangi 83 kerusi daripada jumlah 89 kerusi. 6 kerusi dimenangi Parti Pekerja (WP). PAP juga mendapat mandat yang lebih iaitu 69.9% daripada undi yang dibuang, jumlah yang agak tinggi berbanding dengan pilihan raya 2011. Ramai yang terpinga-pinga dan ada yang sukar mempercayai keputusan yang dimaklumkan. Banyak faktor dikatakan telah menyebabkan kemenangan besar ini. Mungkin para penganalisis politik boleh menerangkan dengan lebih baik.

Saya hanya seorang rakyat biasa yang mahu rakyat dan negara saya selamat dan saksama menikmati kemajuan negara saya. Saya gusar terhadap beberapa hal, termasuk ramainya ‘bakat asing’(foreign talent/FT) yang semakin banyak dalam negara saya yang kecil. Saya gusar mendengar berita ada rakyat Singapura yang sukar mendapat pekerjaan atau terpaksa bekerja dengan gaji yang begitu kecil dan kos sara hidup semakin meningkat. Saya sedih melihat daerah Katong, salah sebuah tempat saya membesar – daerah santai yang dihuni oleh orang-orang Melayu, Baba Peranakan, Serani, India, Tionghoa, Arab dan lain-lain, kini semakin dihuni oleh bakat asing dari India Utara. Dan di tempat-tempat lain, ada sahaja orang Tionghoa dari China, orang Filipina dan lain-lain. Tidak, saya tidak membenci orang luar atau bakat asing tetapi saya terasa sejak kebelakangan ini, kita demikian dibanjiri orang-orang sebegini dan warga Singapura yang terdiri daripada orang Melayu, Tionghoa, India, Serani dan lain-lain, seakan-akan ‘terpinggir’ dengan kemasukan yang terlalu ramai ini. Mungkin ada baiknya kemasukan ini diperhalusi agar rakyat Singapura tidak berasa ‘ditenggelami’. Negara yang lebih besar dan lebih kaya daripada Singapura misalnya Brunei tidak pun membuka pintu mereka seluas-luasnya kepada orang luar, apa lagi memberi kerakyatan semudahnya.

Satu perkara lagi, saya berasa tidak senang bila ada yang berkata, PAP menang kerana orang Melayu demikian menyokongnya. Benar, sebilangan orang Melayu dan Islam menyokong PAP tapi tentunya jumlahnya tidak sebesar mana sehingga menjadikan kita seolah-olah penentu ‘swing votes’. Orang Melayu Singapura sekitar 13.3 peratus dan kalau orang Melayu dan Islam, mungkin tak mencecah 16% daripada seluruh warga Singapura yang berjumlah 3.343 juta. Orang Melayu-Islam di Singapura mungkin sekitar 700,000 orang sahaja. Dan yang boleh mengundi pula, bukan semua. Bagaimana kita boleh menyebabkan ‘swing votes’? Ia seolah-olah menjadikan orang Melayu-Islam semacam bola, bila perlu, ditendang ke mana yang disukai. Ada orang begitu marah-marah dengan keputusan pilihan raya, dengan menyatakan orang-orang Melayu-Islam menyokong kuat PAP, bukankah kita seolah-olah boleh mencambahkan kemarahan orang-orang tadi kepada orang-orang Melayu-Islam? Walhal saya yakin bukan begitu maksud orang-orang yang menyatakan sokongan kuat Melayu-Islam yang menyebabkan PAP terus mendapat mandat untuk memerintah.

Apa pun, kita berharap, baik yang menang mahupun yang kalah dalam pilihan raya ini akan berjeda dan lebih memahami keadaan rakyat dan negara kita. Pemimpin, baik di dalam kerajaan, parti, kementerian, badan berkanun, persatuan dan lain-lain semua ada tanggung jawab. Mudah-mudahan semua dapat menjalankan tanggung jawab mereka dengan adil, saksama, telus, tulus dan ihsan. Saya teringat puisi mengenai Sejarah Melayu, ‘Ceritera yang ke-23’, yang ditulis oleh Prof. Muhammad Hj Salleh:

iii
dengar juga orang yang tidak berkata
atau bila berkata tidak bersetuju,
kerana mereka juga perlu.
mereka juga melihat dengan mata negeri,
memikir di waktu kita memikir.

rasalah bersama mereka
berfikirlah bersama pendapatnya,
hanya dengan berkongsi demikian
negeri ini dapat meluncur ke hadapan
seperti tombak yang berat dan tertuju.

dan akhirnya fikirlah di luar dirimu
kejarlah tujuan yang lebih besar dari harta,
anak sungai atau gelaran.
manusia itu kecil,
kecil dan kaku seperti aku,
usia pendek
tapi negeri itu panjang,
dan rakyat itu banyak keturunannya.

Dipetik daripada Muhammad Haji Salleh. 1981. Sajak-Sajak Sejarah Melayu. DBP: KL, halman 56-57.

6. Pada hari pilihan raya umum Singapura diadakan pada 11 September lalu, pada sebelah petang, berita negara Saudi dilanda pasir ribut tersebar luas. Ini kemudian diikuti dengan tumbangnya kren di Masjidilharam yang membunuh 107 jemaah dan mencederakan sebilangan jemaah. Melalui pelbagai media massa dapat kita saksikan bagaimana tragedi ini berlaku. Kita amat terharu memaklumi hal ini dan bertambah sedih bila kita ikuti berita-berita selanjutnya mengenai jemaah-jemaah yang terkorban. Walaupun ini suatu tragedi dan Kerajaan Saudi sudah pun mengambil langkah-langkah sepatutnya untuk menangani tragedi ini, sebagai orang Islam kita harus reda akan kejadian yang menyedihkan ini. Pemergian 107 jemaah itu adalah pilihan Allah dan kita yakin, mereka selamat di alam barzakh kerana kita dimaklumkan keadaan kepulangan mereka ke rahmatullah dikira sebagai syahid dunia. Semoga Allah sentiasa mencucuri rahmat ke atas roh 107 jemaah ini dan memberi ketabahan kepada keluarga yang mereka tinggalkan dan menyembuhkan dan menenangkan mereka yang cedera dalam tragedi ini, insya-Allah.

7. Isu pelarian dari negara-negara Arab semakin mendapat liputan luas di media massa. Bila gambar Aylan Kurdi, kanak-kanak berumur 3 tahun, dari Syria, terapung di pantai pekan peranginan Bodrum, Turki, dalam perjalanan mereka ke Greece, ramai yang terkejut. Ada negara yang menutup sempadan mereka kepada pelarian peperangan dari Syria dan beberapa tempat dan ada pula yang membuka sedikit pintu mereka untuk para pelarian ini. Mereka bukanlah pendatang asing tetapi pelarian peperangan. Seandainya negara-negara Barat dan kaya semakin menulikan telinga terhadap krisis kemanusiaan ini, nampaknya air mata kita tidak akan berhenti mengalir kerana lebih ramai kanak-kanak mahupun orang dewasa yang akan terbunuh sebelum dapat sampai ke tempat yang lebih selamat. Sebelum terlambat, mudah-mudahan pihak-pihak berwenang akan menjadi lebih waras dan tidak menyebabkan peperangan di beberapa tempat yang akhirnya, kanak-kanak seperti Aylan Kurdi dan ramai lagi dilenyapkan nyawa mereka kerana sikap dan kecuaian kita.

8. Ketika mencari-cari beberapa masukan untuk dikongsikan dengan kawan-kawan, saya dapati ada beberapa masukan yang dilampirkan lagu, lagu-lagunya dipadamkan (deleted). Lagu-lagu ini hanya segelintir sahaja, kesemuanya lagu Melayu. Saya mengambil lagu-lagu ini daripada youtube dan saya tidak mendapat satu sen pun dalam menulis blog ini, jadi tersiarnya lagu-lagu ini atau tulisan saya, saya tidak mendapat apa-apa keuntungan kewangan. Saya menulis dan melampirkan lagu-lagu yang sesuai hanya untuk berkongsi dengan pembaca blog ini. Ini yang menghairankan saya, mengapa beberapa lagu ini dipadamkan. Lagu-lagu ini tersebar luas di youtube, mengapa pula dibiarkan, sedangkan saya hanya berkongsi dan tidak mendapat satu sen pun dalam menulis atau menitipkan lagu dalam blog saya diperlakukan begini. Saya benar-benar hairan ini boleh berlaku. Blog ini percuma dan tiada sesiapa perlu membayar apa-apa untuk membacanya dan saya pun tidak mendapat sebarang ganjaran kewangan kerana menulisnya. Saya hanya berkongsi sesuatu yang saya suka.

9. Salah seorang sahabat karib saya, suami dan kakaknya berlepas ke Tanah Suci pagi semalam. Kita mendoakan semua jemaah haji dapat menunaikan fardu haji dengan selamat. Dan semoga ketibaan bulan Zulhijjah dan Aidiladha kali ini memberi keberkatan dan kedamaian kepada kita, insya-Allah.

Salam
Rasiah Halil
Ditulis: 17-18 September 2015.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s