Archive | October 2015

Sajak: Pintalah Sekadar Garam

21

Pintalah sekadar garam, wahai hati,
kepada Dia yang abadi
pintu-Nya sentiasa terbuka
rahmat-Nya melebihi kemurkaan-Nya
cinta-Nya meliputi segala
biar bertalu-talu
biar zaman berzaman berlalu
Dia tidak pernah jemu
mendengar, memenuhi,
hasrat sebesar mayapada
sekecil garam, zarah.

Pintalah sekadar garam, wahai hati,
Dia pelengkap rasa
perisa yang tiadakan fana
sedang cita rasa manusia marah, benci,
apabila diminta berkali-kali
tetapi Dia menyuruh kita meminta
sebanyaknya, berulang kali,
sepanjang hayat ini
& mendidik kita
makna meminta
menjadi hamba
kepada Zat yang sentiasa menerima
tanpa sekali-kali Dia
marah
bosan
kecewa
apabila berulang kita meminta
hanya kepada-Nya.

Ditulis: 25 – 26 Oktober 2015
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

5 Puisi Untuk Renungan: Rincuh/Daerah Terakhir/Topeng/Cinta/Doors

Rincuh

Berbalam di angkasa
mentari kekar
& hujan menitis
tinggal pelangi secarik
serinya pudar
di balik maya.

Terdengarkah Dang Seri Arif
akan Musang Berjanggut
atau nanti Si Luncai hanyut
labu-labunya tenggelam
tidak perlu ‘biarkan, biarkan…’
& seorang Hamzah Fansuri
hilang syair-syair indahnya
tertusuk belati Belanda
sebelum Perang Paderi.

Alam yang dijadikan guru
tinggal kata
sukarnya benih menjadi pulau
& ayam berketuk di mana-mana
sedang penyu berhiba
di tepi samudera.

Ditulis: 23 Januari 1996
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Daerah Terakhir

Kalau nanti daerah ini musnah
kita pun menjadi orang-orang papa
tegak tanpa tunjangan
terpinggir di tepi taman
terusir oleh perubahan cuaca
kerana yang teguh & merimbun
ditutupi lalang-lalang liar.

Betapa mudah mengaburi mata
lebih mudah berseni-pura
lalu dicantas, ditukik,
ditebas, ditakik,
pohon-pohon bebas merimbun
pohon-pohon berbuah ranum
& dihamparkan
pohon-pohon kerdil, berpenyakit,
agar benarlah tanggapan
tiada lagi yang istimewa
di taman purba.

Di daerah terakhir ini
kitakah bakal meratapi
pohon-pohon diracuni kimia
tanah digembur sesukanya
anai-anai & belalang meruangi sekitar
& yang tinggal sekadar orang-orang
tiada kekuatan, upaya,
di kebun sekangkang kera ?

Ditulis: 28-29 Januari 2001
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Topeng

Tidak pernah kuketahui
kau pemilik topeng-topeng itu
atau berwayang kulit di depanku
kerana sedia percaya
pada keikhlasan jiwa
yakin akan bakti bersama
lantas tidak kuhidu
tembelangnya cemburu
hamisnya hasrat
bernanahnya muslihat
& betapa kepedihan ini memanjang
menyaksikan persaingan, perebutan.

Telah kulihat wajah asalmu
d pentas terselindung itu
di balik topeng-topeng menyilau
& kata-kata memukau
& betapa jahilnya aku
berteguh pada kejujuran
berpaksikan kebaikan
sedang di sudut pentas, tercegat ular
berwajah selamba
memagut dengan pangkat, harta,
sedang sebiji khuldi bernama iri
menghancuri keluhuran kita.

Ditulis: 4 – 5 Ogos 2002
Tulisan: Rasiah Halil.

Cinta

Apalah ada pada cinta
dioleng sejarah, diterjah ketika,
berkicau bagai kakak tua:
cintaku lebih mendalam daripada segala
Selat Melaka, Sungai Musi, Laut Jawa,
yang tertinggal hanya arus makna
menenggelami nurani kita.

Apakah cinta itu mewajarkan
tanpa amanah, pilih kasih, rasuah,
gila pangkat, perempuan, harta,
segalanya berwenang
dibungkus indah
bagai anugerah termulia
& kita terpaksa menyaksikan
cacing-cacing mengaku naga.

Cinta bukan sekadar permainan kata
pameran, pesta pora,
tapi tindakan
paksinya jujur
pusarannya luhur
kerana Dia.

Ditulis: 31 Januari 2010
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Doors

Will you close your doors on me
& fail to see
the rays of light
or colour of my skin
or will it be easier
to act unknowing
when rooms are locked
& doors made too big?

I have no tears
or bitterness
as I leave your mansion
for your doors are too confining
& I love the sea
I like to tease the moon
catch dewdrops & stars
watch the bloom of gul bakawali*
& nature awaits
as your doors close on me.

No anger, regrets,
I’m a gypsy
who love windows
desert, oasis,
& the limitless sea.

Written: 25 – 30 January 1996
Written by: Rasiah Halil.

*Gul Bakawali (Epiphyllum oxypetalum): night blooming cactus with fragrant pink flowers; a mystical flower in classical Malay literature.

Teringatkan Shahrezad

Sejak beberapa malam dalam minggu ini, Sri tidak dapat tidur lena. Selain teringatkan berbagai-bagai perkara, teringat pula lagu berjudul ‘Shahrezad’ nyanyian penyanyi Lebanon, Fairuz. Dan bagai terngiang-ngiang pula lagu-lagu Fairuz yang lain, selain lagu-lagu nyanyian penyanyi Mesir, Allahyarhamah Oum Koulsoum. Kedua-dua penyanyi ini banyak merakamkan suka-duka kehidupan selain membangkitkan semangat cintakan watan, dalam lagu-lagu mereka.

Lagu ‘Shahrezad’ nyanyian Fairuz sebenarnya berdasarkan buku Kisah Seribu Satu Malam (Alfa Laila Wa Laila/Arabian Nights). Di dalamnya diceritakan bagaimana dengan kepintaran dan kecantikannya, Shahrezad dapat menyelamatkan wanita-wanita Arab daripada terus dibunuh oleh Raja Shahriyar setelah semalam mengahwini mereka. Shahrezad berpakat dengan adiknya, Dinazad, agar menyuruhnya bercerita, setelah dia beradu pada waktu malam, lantas dia bercerita pula sehingga menjelang subuh. Kerana ceritanya belum selesai, Raja Shahriyar tidak jadi membunuhnya dan ini berlangsung selama seribu satu malam. Pelbagai cerita diolahnya, termasuk cerita-cerita Aladin, Ali Baba, Sinbad dan lain-lain. Di akhir ceritanya, Raja Shahriyar bukan hanya belajar menyintai isterinya Shahrezad, malah penyakitnya tidak mempercayai wanita, setelah permaisuri pertamanya berlaku curang, diubati, dan wanita-wanita Arab terselamat daripada dibunuh. Mendengar lagu ‘Shahrezad’ dan mengingati Kisah Seribu Satu Malam ini, betapa kita ingin Shahrezad wujud kini, kerana banyak cerita dalam Kisah Seribu Satu Malam berlaku di Baghdad.

Di Baghdad atau Iraq pernah wujud salah sebuah peradaban terawal di daerahnya. Tempat itu dinamakan Mesopotamia. Pada 750 sehingga 1258 Masihi, wujud kerajaan Abbasiyah di negara Iraq. Baghdad dijadikan ibu kota kerajaan tersebut. Dan di kota inilah mercupnya zaman gemilang kerajaan Abbasiyah merangkumi bidang intelek, agama, seni, budaya, perdagangan dan politik. Harun Ar-Rashidlah (memerintah dari 786-809 Masihi ) khalifah kelima Abbasiyah yang paling terkenal. Dan seorang anaknya, Al-Ma’mun, (memerintah dari 813-833 Masihi) mendirikan Baitul Hikmah, perpustakaan terbesar di dunia ketika itu dan juga pusat penterjemahan karya-karya Yunani. Nama-nama sarjana dan sufi yang kita kenali seperti Hassan Basri, Rabiatul Adawiyah, Junaid al-Baghdadi, Abu Yazid Bistami, al-Ghazali, Shaikh Abdul Qadir al-Jilani, membesar atau berakhir di Baghdad. Tetapi kegemilangan kerajaan Abbasiyah hancur dengan serangan Hulagu Khan, cucu Genghis Khan, pada 1258 Masihi. Baitul Hikmah dimusnahkan dan ramai (ada catatan berkata berjuta) sarjana, ulama dan penyair serta rakyat biasanya dibunuh dan tengkorak mereka dijadikan semacam piramid. Dengan kejatuhan Baghdad pada 1258 Masihi, pintu ijithad dikatakan tertutup. Masyarakat Islam sedunia ketika itu mengalami zaman kegelapan yang panjang dan pelbagai huru-hara berlaku. Baghdad sekali lagi dihancurkan dan penghuninya dibunuh serta tengkorak mereka dijadikan piramid oleh Tamerlane pada 1401 Masihi. Dan kota Baghdad tidak lagi menjadi kota besar seperti zaman kerajaan Abbasiyah dahulu.

Tetapi di Baghdad kinilah yang menerbitkan keharuan dan kegusaran kita. Tindakan-tindakan terkini, walaupun tidak diterima oleh sebilangan besar penghuni dunia, menimbulkan kebimbangan yang tiada taranya selama ini. Apakah nanti, bila ada satu-satu kerajaan yang tidak disukai kuasa-kuasa besar, kerajaan itu harus dilakukan ‘pertukaran rejim’ dari luar, tanpa sokongan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ? Apakah nanti sesiapa pun anak watan yang menentang serangan ke atas negara mereka akan dianggap sebagai penjenayah perang dan akan diadili oleh mahkamah tribunal perang ? Satu jalan rintis (precedent) telah diwujudkan oleh Amerika Syarikat dan Britain baru-baru ini, dan ini amat membimbangkan dunia. Dengan serangan Iraq, sekurang-kurangnya dianggarkan setengah juta orang akan mati. Masalah kemanusiaannya, dengan tiadanya bekalan ubat, bahan-bahan asas, dengan sekatan yang sedia ada dan kini perang, akan memburukkan lagi keadaan. Ini belum lagi masalah pelariannya. Dan siapakah yang akan menerima padah terbesar peperangan ini – bukan orang-orang besar daripada kedua-dua pihak yang bertelagah, tetapi rakyat jelata. Di mana-mana pun, dalam perang, rusuhan, atau huru-hara, yang kaya dan berkuasa, mudah menyelamatkan diri, tetapi bagaimana pula orang kebanyakannya ?

Mencatatkan ini tidak bererti Sri menyokong atau membenci mana-mana pihak. Tetapi lebih daripada apa pun pihak, seperti kebanyakan orang di Singapura dan di merata dunia, Sri cintakan kedamaian dan kemanusiaan kita. Apakah dengan perang ini kita membuka ‘kotak pandora’ seperti dalam mitos Yunani, dan dengan ini segala malapetaka dan keburukan akan menghuni dunia kita kini ? Apakah dunia kita semakin terbelah, sebagaimana negara China pada kurun ke-19 ‘dibelah’ oleh kuasa-kuasa Barat dengan istilah ‘cutting the melon’? Sri teringatkan novel karya Mary Shelley pada 1818 berjudul Frankenstein. Frankenstein dicipta oleh seorang saintis yang bercita-cita besar bernama Victor Frankenstein, tetapi ia dimusnahkan kerana ciptaannya tidak seperti yang diharapkan. Dalam senario perang kini, benarkah ada Frankenstein dan saintis bercita-cita besar itu, yang padahnya seluruh dunia terpaksa tanggung ? Apakah dunia kita akan lebih selamat dengan perang ini atau sebaliknya, zaman kegelapan dunia kita bermula ?

Kalaulah kita ada keupayaan seorang Shahrezad mungkin dapat kita hentikan malapetaka ini. Tetapi Shahrezad, betapa pun dialunkan oleh Fairuz, tidak dapat menyelamatkan dunia kita dengan hikayatnya. Kini, kalaulah dia ada, Shahrezad hanya dapat merakamkan keharuan dan kepiluan kita menyaksikan segalanya, mungkin lebih lama daripada seribu satu malam.

Ditulis: 20 Mac 2003
Tersiar: Dalam Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu Singapura dengan tajuk yang sedikit berbeza pada Mac 2003.
Tulisan: Rasiah Halil.

Catatan 13 Oktober 2015 Masihi / Malam 1 Muharam 1437 Hijriah

Rumi 1Rumi 2

Secebis Catatan Ringkas

1. Beberapa minggu ini saya menerima berita-berita yang menyedihkan – ada jiran sekampung dahulu, yang berpangkat bagaikan saudara tua semakin dimamah pelbagai penyakit, ada kerabat saya meninggal dunia kerana penyakit ginjal yang berlarutan, seorang lagi kerabat yang kesihatannya terganggu dan pernah menghidap dan pulih daripada penyakit barah payudara dan saya juga terbaca di akhbar dan kemudian menemui Puan Jamilah Yusop, yang menghidap penyakit kegagalan ginjal.

Kesihatan menjadi isu yang penting dalam kehidupan, terutama jika usia anda semakin meningkat. Mungkin kerana kehidupan kita yang lebih tergesa-gesa, makanan yang tidak seimbang, tekanan kehidupan, kerana soal baka yang diwarisi dan banyak lagi faktor yang menyebabkan seseorang itu terkena penyakit-penyakit tertentu. Yang boleh kita lakukan ialah berusaha untuk meningkatkan kesihatan kita dan bersikap lebih positif bila sesuatu penyakit menimpa kehidupan kita.

Banyak usaha telah dijalankan oleh pihak pemerintah, badan-badan kebajikan dan bukan pemerintah di Singapura untuk membolehkan masyarakat kita menjadi lebih sihat. Semoga kita akan terlibat dalam usaha-usaha kesihatan sebegini kerana manfaatnya jelas. Kita tidak berupaya bersikap seperti burung kasuari, yang menyembunyikan kepalanya di tanah dan menganggap jika ia tidak melihat masalah itu, masalah itu sebenarnya tiada. Adalah lebih baik kita lebih mengetahui masalah kesihatan yang kita hadapi agar tindakan selanjutnya dapat kita lakukan sebaik dan sesaksamanya. Dalam konteks ini, saya lampirkan dua tulisan mengenai kesihatan dalam entri kali ini – ulasan buku tulisan Puan Jamilah Yusop dan satu tulisan pada 2008 dalam Ruangan ‘Tun Fatimah’ saya mengenai kesihatan. Semoga tulisan-tulisan ini ada manfaatnya.

Dan saya berharap ada kajian-kajian yang lebih terperinci dilakukan untuk mengenal pasti sebab-musabab mengapa jumlah rakyat Singapura, terutamanya masyarakat Melayu-Islam, semakin meningkat jumlah penghidap penyakit ginjal. Dengan penyelidikan yang mendalam, langkah-langkah selanjutnya dapat diatur. Saya juga berharap badan-badan kebajikan dan bukan pemerintah akan lebih aktif merakyatkan ‘Gaya Hidup Sihat’ di kalangan masyarakat Singapura kerana ternyata kesihatan kita mudah terjejas, lebih-lebih lagi semasa jerebu begini. Dan mudah-mudahan lebih banyak usaha dan bantuan diadakan untuk membantu pesakit ginjal dan mereka yang menghidap pelbagai penyakit kronik.

2. Malam ini, bermula 1 Muharam 1437 Hijriah. Kita terkenangkan peristiwa hijrahnya Rasulullah s.a.w. bersama Saiyidina Abu Bakar r.a. dan diikuti kemudiannya oleh kaum Muslimin ke Madinah. Peristiwa ini menjadi iktibar kepada kita – kadangkala kita terpaksa meninggalkan sesuatu/menutup pintu atau buku dalam sejarah kehidupan kita, hanya untuk memulakan langkah-langkah yang baharu. Mungkin kita tidak berhijrah sebagaimana Rasulullah s.a.w. dan Saiyidina Abu Bakar r.a. dan kaum Muhajirin yang lain tetapi tapak-tapak kecil kita untuk memperbaiki diri misalnya, tetap memberi makna dalam perjalanan hidup kita. Bak kata pepatah, perjalanan seribu batu bermula dengan tapak yang satu.

Semoga kita bersedia menutup pintu-pintu atau buku-buku yang harus ditutup, membuka pelbagai pintu dan buku baharu yang membolehkan kita melihat halaman yang lebih luas terhampar untuk kita sama-sama hargai dan nikmati. Dan kita semakin mensyukuri nikmat kehidupan yang diberi Allah, walaupun kita diduga dengan pelbagai cara. Dan 1 Muharam ini akan selalu mengingatkan kita kepada keluhuran, kesantunan dan perjuangan murni insanul kamil (‘insan sempurna’, konsep yang dikemukakan oleh al-Jili), Rasulullah s.a.w. dan para sahabat dan keluarga Baginda yang telah melandaskan perjalanan kita dari dunia hingga ke akhirat.

Semoga teladan terbaik untuk kehidupan kita, Rasulullah s.a.w., akan sentiasa menyinari perjalanan hidup kita, baik semasa sihat mahupun semasa diduga dengan pelbagai masalah kesihatan dan lain-lain, insya-Allah.

Ditulis: 13 Oktober 2015 Masihi /Malam 1 Muharam 1437 Hijriah
Tulisan: Rasiah Halil.

Ulasan Buku: Berat Mata Memandang…

Jamilah YusopJamilah Yusop bersama suami dan salah seorang anaknya

Buku Berat Mata Memandang…
Tulisan dan Terbitan Jamilah Yusop
Singapura 2015.

Pendahuluan

Apakah perasaan anda jika anda mendapati diri anda atau orang yang anda sayangi tiba-tiba menjadi kurang sihat, yang boleh menyingkatkan sesebuah hayat? Pelbagai fikiran akan berkecamuk dalam minda anda – daripada perkara-perkara yang sukar anda gapai sehingga perkara-perkara yang amat kecil, yang seringkali kurang anda memberi perhatian. Begitulah yang dicatat oleh Jamilah Yusop dalam bukunya, Berat Mata Memandang… yang baru sahaja beliau terbitkan sendiri. Dan tidak banyak buku sebegini dalam perbendaharaan penulisan kita.

Jamilah Yusop merupakan mantan penerbit dan penyiar Radio Warna 94.2 FM Singapura (dahulu dinamakan Radio Televisyen Singapura/RTS). Beliau menerbitkan pelbagai rancangan dan bergiat aktif dalam acara-acara Radio Warna, di dalam dan luar studio. Suaranya ceria menyampaikan pelbagai hal di corong radio – siapalah sangka keceriaan itu tidak dapat membendung penyakit kronik yang datang bertandang dalam kehidupannya.

Kisah Buku Berat Mata Memandang…

Mengapa Jamilah Yusop menulis pengalamannya menghidapi kegagalan ginjal (kidney failure) dalam buku setebal 67 halaman ini? Menurut beliau dalam halaman 6 buku ini:

Di Singapura, 4 orang dikesan mengalami kegagalan ginjal setiap hari. Jangan biarkan anda dan keluarga anda menjadi sebahagian daripada statistik yang menggerunkan ini. Bacalah kompilasi perjalanan pengalaman saya sebagai seorang pesakit ginjal kalau ingin tahu. Lakukan sesuatu yang proaktif untuk melindungi ginjal anda sebelum kegagalannya meninggalkan kesan yang mendalam dalam kehidupan anda!

Buku ini terbahagi kepada 9 bahagian, tidak termasuk kata pengantar oleh Edmund Kwok, Ketua Pegawai Eksekutif, National Kidney Foundation/NKF (Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Singapura), kata pendahuluan Jamilah Yusop mengapa beliau mencoretkan pengalamannya serta senarai bahan rujukan penulis di akhir buku tersebut.

Selain mencatat rentetan pengalamannya pada setiap bahagian tersebut, Jamilah Yusop juga merumuskan setiap bahagian agar mudah diingat oleh pembacanya dan dijadikan iktibar.

Membaca buku ini anda akan menyedari bahawa penyakit kegagalan ginjal bukan sesuatu yang tiba-tiba terjadi, walaupun pesakit boleh menghidap penyakit ini pada usia muda, sebagaimana terjadi kepada dua orang rakan muda Jamilah Yusop, Dheana dan Fazli, yang terkena penyakit ini pada usia 20-an tahun.

Sejak berusia 32 tahun, Jamilah Yusop menghidap penyakit kencing manis dan seperti kebanyakan orang, penyakit ini bukanlah sesuatu yang begitu merungsingkan. Dengan pengambilan ubat yang betul dan penjagaan kesihatan, walaupun penyakit kronik ini akan bersama pesakit sepanjang hayatnya, ia boleh dikawal. Masalahnya timbul apabila penyakit ini memburuk dan diiringi penyakit seperti darah tinggi dan sebagainya.

Pada 2012, Jamilah Yusop diberitahu bahawa penyakit kencing manisnya menjejas fungsi kedua-dua ginjalnya. Yang terbentang hanya dua pilihan – mendapatkan pendermaan ginjal sama ada daripada keluarga atau orang lain dan pilihan yang kedua, melalui dialisis. Membaca buku ini anda akan tahu bukan mudah membuat pilihan sedemikian; akhirnya Jamilah Yusop memilih sesuatu yang lebih menyenangkan nalurinya sebagai ibu dan saudara yang enggan menyusahkan orang lain kerana masalah kesihatannya.

Biaya rawatan dialisis bukannya murah tetapi ternyata sikap positif dan berpijak di bumi nyata Jamilah Yusop membantunya berusaha seberapa yang boleh dan mendapatkan bantuan yang sedia ada. Ini baru hal biaya rawatan yang amat menjejas kehidupan seseorang pesakit ginjal.

Air mata anda akan berlinang membaca bagaimana seorang pesakit kegagalan ginjal itu harus menjalani rawatannya, seperti dicatatkan Jamilah Yusop. Doktor terpaksa menebuk bahagian-bahagian tertentu tubuh anda agar katerer (alat untuk mengeluarkan darah dan kotoran serta memasukkan darah yang bersih) dapat dibangunkan. Ada bahagian-bahagian tubuh membengkak dan sakit. Pergerakan pesakit terbatas. Makan dan minumnya harus dijaga dengan rapi dan kesakitan yang ditanggung pesakit, hanya Allah sahaja yang tahu.

Jamilah Yusop menggambarkan ini semua seadanya, seolah-olah berdepa dengan masalah-masalah yang ditanggunginya tetapi meneliti apa yang beliau catatkan, anda akan terasa kesengsaraan yang beliau dan pesakit ginjal tanggung ketika menjalani prarawatan dialisis, rawatan dialisis selama 4 jam, 3 kali seminggu dan hal-hal lain selepas rawatan dialisis. Banyak perkara boleh memudaratkan seorang pesakit ginjal, sebagaimana Jamilah Yusop sendiri terpaksa berulang-alik ke hospital kerana masalah-masalah berkaitan. Dan ada pesakit kegagalan ginjal ditemani rasa kesedihan dan kemurungan yang mendalam kerana usaha-usaha untuk meningkatkan kesihatannya terbatas tetapi akhirnya, sebagaimana dicatatkan oleh Jamilah Yusop, dia harus belajar reda sambil berusaha sebaiknya dengan takdir Allah bagi hidupnya.

Penutup

Buku ini akan membuat anda sedar betapa pelbagai masalah – daripada hal-hal kesihatan, kewangan, hubungan kekeluargaan dan persahabatan sehingga perkara-perkara yang dianggap enteng, seperti ingin minum air lebih sedikit, makan buah-buahan atau sayur-sayuran tertentu atau sekadar pergi bercuti 3 atau 4 hari, menjadi sesuatu yang perlu difikirkan dengan terperinci sekali oleh pesakit kegagalan ginjal.

Perkongsian Jamilah Yusop melalui buku kecil ini banyak manfaatnya kepada pembaca, terutama mereka yang menghidap penyakit kegagalan ginjal atau penyakit-penyakit kronik lain, seperti kencing manis dan darah tinggi dan juga keluarga serta sahabat pesakit sedemikian. Mengetahui apa yang dialami pesakit ginjal ini mudah-mudahan akan membuat kita lebih prihatin akan kehendak mereka dan kita juga lebih berhati-hati dan mendengar nasihat doktor jika kita menghidap pelbagai penyakit kronik.

Betapa berat mata kita memandang apa yang dialami para pesakit kegagalan ginjal, namun lebih berat lagi apa yang mereka tanggung. Jamilah Yusop melalui coretan pengalamannya telah membuka sebahagian tirai masalah dan penderitaan yang menyelubungi para pesakit ginjal.

Semoga kita mendapat iktibar daripada pengalamannya dan semoga Allah memberi Jamilah Yusop, keluarga dan orang-orang yang terdekat dengannya lebih ketabahan, ketenangan dan pelbagai bantuan dalam menjalani ujian besar ini, insya-Allah.

Anda boleh mendapatkan buku ini daripada Muzika Records, di Joo Chiat Complex, Geylang Serai, Singapura atau dengan menghubungi Jamilah Yusop melalui halaman facebooknya untuk membeli buku tersebut.

Selamat membaca.

Ditulis: 12-13 Oktober 2015
Tulisan: Rasiah Halil.

Bidang Kesihatan Dan Penulisan

Cikgu Harun

Cikgu Harun

Hj Sharif Medan

Hj Sharif Medan

Pemergian Haron (Nor Yusman) Abdulmajid baru-baru ini menimbulkan keharuan di hati ramai orang, lebih-lebih lagi penulis yang mengikuti penulisannya sejak awal tahun-tahun 70-an dahulu. Sama terharu dan terperanjatnya kita apabila mendapat berita pemergian penulis seni kata asal Singapura, Loloq (Rosli Khamis), pada awal tahun ini. Seperti Haron, Loloq juga mengalami koma kerana pendarahan/tumor dalam otak. Seorang lagi penulis seangkatan Haron, Noor Hidayat (Ibrahim Mohammed), berpulang ke rahmatullah lebih awal lagi kerana kemalangan jalan raya di Johor. Memang kematian boleh menjemput kita pada bila-bila masa dan setiap kematian, terutama mereka yang kita kenal, akan mengharukan kita. Punca terjadinya kematian itu berbagai, baik kerana penyakit disebabkan tekanan, keturunan, pemakanan, gaya hidup mahupun pelbagai kemalangan dan sebagainya.

Mengenang pemergian Haron, Loloq dan Noor Hidayat, saya terkenangkan dua orang penulis/seniman yang pernah saya mewawancara dahulu. Pada awal tahun 80-an, saya mewawancara Cikgu Harun Aminurrashid (Harun Mohammad Amin) untuk kajian saya. Beliau baru pulih daripada penyakit angin ahmarnya dan boleh bertutur hampir seperti biasa. Setelah berbincang-bincang mengenai penglibatan seni dan karya-karyanya, saya bertanya sama ada Cikgu Harun akan menulis lagi (ketika itu beliau telah lama bersara daripada bidang penulisan). Memandangkan kesihatannya, memang sukar untuk beliau menulis lagi tetapi kalau beliau berupaya, Cikgu Harun ingin menulis buku mengenai kesihatan, bukan cereka. Mengapa, tanya saya. Sebab kita selalu kurang mengambil berat mengenainya, jawab beliau. Kita selalu kurang memberi perhatian kepada kesihatan sehinggalah kesihatan kita terjejas, demikian tambah Cikgu Harun. Namun, buku mengenai kesihatan itu tidak sempat beliau tintakan kerana menyahut panggilan Ilahi.

Pada akhir-akhir tahun 90-an saya sempat dua kali mewawancara Haji Sharif Medan, pelakon dan penulis skrip filem. Kesantunan, perilaku dan keikhlasan Pak Sharif begitu menyentuh hati saya. Beliau banyak berkongsi pengalaman hidup dan kerjayanya, selain menitipkan beberapa pesanan mengenai penglibatan seni. Walaupun Pak Sharif sihat walafiat ketika diwawancara, namun satu perkara yang beliau tekankan ialah mengenai kesihatan. Bukan sahaja beliau memberitahu amalannya memakan minyak ikan (cod liver oil) sejak muda, malah beliau ada menyimpan sebuah buku lama zaman sebelum Perang Dunia Kedua, mengenai kesihatan, yang ingin diterbitkannya. Buku itu dalam tulisan Rumi dan bukan tulisan Pak Sharif tetapi kerana ada saranan-saranan kesihatan yang dianggap berguna, beliau begitu bersungguh-sungguh mahu mengongsi hal-hal kesihatan tersebut dengan orang ramai. Saya memberitahu beliau bahawa menerbitkan buku tersebut mungkin sukar kerana penulis atau warisnya mungkin memegang hak cipta buku tersebut; selain terdapat beberapa perkembangan kesihatan yang membuat tulisan buku tersebut tidak seluruhnya sesuai untuk masa kini. Yang boleh dilakukan Pak Sharif ialah menulis sebuah buku mengenai kesihatan daripada kaca mata beliau sebagai pengamal beberapa petua kesihatan. Namun Pak Sharif tidak sempat menulisnya kerana berpulang ke rahmatullah.

Dalam kesusasteraan tradisional kita ada buku yang dipanggil Kitab Tib dan kitab-kitab lain untuk penyembuhan penyakit. Di pasaran kini terdapat beberapa buku mengenai pengubatan secara herba, urut-mengurut mahupun penggunaan ayat-ayat al-Quran. Jumlahnya belumlah banyak sangat dan terdapat juga buku-buku sebegini yang tidak begitu mendalam ditulis; mungkin kita perlu menambahkan jumlah dan mutu tulisan-tulisan sebegini. Mungkin ada baiknya mereka yang mengetahui mengenai aneka jenis jamu tradisional, makjun, daun-daun tertentu untuk pengubatan selain petua-petua kesihatan dapat mengumpulkan segala bahan ini dan dijadikan buku. Bantuan daripada doktor tentulah boleh mensahihkan penulisan sedemikian. Selain itu, mungkin sudah tiba masanya para doktor kita yang semakin bertambah jumlahnya, berjinak-jinak dalam dunia penulisan dan melahirkan buku-buku kesihatan umum untuk khalayak ramai. Kalau sebilangan mereka yang pakar ini memulakan usaha-usaha pertama, tidak mustahil jika suatu hari nanti ada juga buku-buku mengenai kesihatan sebagaimana ditulis oleh Dr Andrew Weil.

Satu lagi bidang yang kurang kita terokai mengenai kesihatan ialah menulis memoir apabila kita menghidapi sesuatu penyakit. Di Barat, usaha begini telah lama dijalankan. Buku-buku sebegini boleh membantu mereka yang sama menghidap penyakit tersebut lebih memahami penyakit mereka dan mententeramkan kegusaran yang mereka hadapi ketika menghidap penyakit tersebut. Di Singapura misalnya, bilangan mereka yang terkena penyakit barah agak tinggi juga. Dan di kalangan wanita, penyakit barah payudara adalah suatu kemungkinan yang boleh sahaja terjadi kepada sesiapa. Ada yang berjaya keluar daripada cengkaman penyakit ini dan ramai pula yang tewas. Sebilangan masyarakat kita pula kurang tahu-menahu mengenai barah ini dan mudah termakan kata-kata orang, tanpa selidik. Alangkah baiknya jika terdapat buku-buku mengenai mereka yang pernah bertarung dengan barah ini dan berjaya meneruskan kehidupan mereka setelah itu, untuk tatapan ramai. Demikian juga dengan penyakit-penyakit lain; banyak yang boleh kita pelajari jika buku tersebut bukan sahaja ditulis oleh seorang pakar, bahkan oleh mereka yang turut bertarung nyawa untuk meneruskan kehidupan. Petua dan amalan kesihatan seseorang itu mungkin dapat membantu orang lain yang menghidapi penyakit yang sama atau mempunyai ahli keluarga yang menghidapi penyakit tersebut.

Masih banyak cabang dalam bidang kesihatan boleh kita terokai dalam penulisan selain saranan-saranan di atas dan bukan sekadar dalam bidang cereka sahaja. Benar, orang sekarang mudah mendapatkan maklumat kesihatan daripada Internet. Tetapi masih terdapat beberapa amalan dan petua kesihatan orang dulu-dulu yang boleh dibukukan, selagi ia tidak bercanggah dengan akidah kita. Kita juga masih kekurangan buku-buku mengenai khasiat ulam dan herba kita, selain senaman yang sesuai bagi keperluan beberapa peringkat usia. Malah, buku-buku pemakanan sihat dan hal-hal berhubung dengannya serta buku-buku kesihatan mental juga kurang terdapat dalam penerbitan buku-buku kita. Mungkin sudah tiba masanya kita fikirkan hal-hal sebegini selain menambahkan bilangan karya-karya cereka.

Pemergian Haron Abdulmajid, Loloq dan Noor Hidayat tentunya mengharukan kita. Mereka telah meninggalkan butir-butir mutiara untuk tatapan dan kenangan kita dan seharusnya kita menghargai mereka, bukan hanya setelah mereka tiada. Demikian juga dengan kesihatan, bukan kerana tiadanya, kita mula menghargai; dan tertulisnya buku-buku yang berkaitan dengan kesihatan tentunya boleh membuat kita lebih menghargai kesihatan dan kehidupan kita yang masih dilanjutkan oleh-Nya.

Ditulis: 13 Oktober 2008 oleh Rasiah Halil
Tersiar: Ruangan ’Tun Fatimah’, Berita Minggu Singapura pada Oktober 2008.
Tajuk yang disiarkan dalam BM berlainan sedikit daripada tajuk yang saya beri dan digunakan dalam blog ini. Salinan tulisan yang tersiar di BM, tiada dalam simpanan saya.

Sajak: Gul Bakawali

Bunga  Gul Bakawali 1Bunga Gul Bakawali 2

Tika dua kuntum bakawali mekar
tiada Tajul Muluk dari Syarqastan
merah jambu, putih, berkembang indah
hampir tengah malam & hanya seketika.

Tiada taman kayangan di koridor
atau raksasa Dewi Hamalah pembantu wira
tiada juga jin pengawal & Puteri Bakawali terlena
tika Tajul Muluk mencuri bakawalinya
penyembuh butanya mata ayahanda
& tika dia meninggalkan Taman Bakawali
ditukarkan cincinnya dengan cincin tuan puteri
agar alam kayangan & bumi
dijambatani kasih
ditenun hasrat
mengharum hikayat.

Dua kuntum bakawali mekar
bukan sekadar debunga, stamen, kelopak,
tapi pencarian yang dilikui kerikil, duri,
diaspalkan hikmat, mitos, misteri,
walau mekarnya tidak pun mencecah pagi.

Ditulis: 11 Januari 2007
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.