Bidang Kesihatan Dan Penulisan

Cikgu Harun

Cikgu Harun

Hj Sharif Medan

Hj Sharif Medan

Pemergian Haron (Nor Yusman) Abdulmajid baru-baru ini menimbulkan keharuan di hati ramai orang, lebih-lebih lagi penulis yang mengikuti penulisannya sejak awal tahun-tahun 70-an dahulu. Sama terharu dan terperanjatnya kita apabila mendapat berita pemergian penulis seni kata asal Singapura, Loloq (Rosli Khamis), pada awal tahun ini. Seperti Haron, Loloq juga mengalami koma kerana pendarahan/tumor dalam otak. Seorang lagi penulis seangkatan Haron, Noor Hidayat (Ibrahim Mohammed), berpulang ke rahmatullah lebih awal lagi kerana kemalangan jalan raya di Johor. Memang kematian boleh menjemput kita pada bila-bila masa dan setiap kematian, terutama mereka yang kita kenal, akan mengharukan kita. Punca terjadinya kematian itu berbagai, baik kerana penyakit disebabkan tekanan, keturunan, pemakanan, gaya hidup mahupun pelbagai kemalangan dan sebagainya.

Mengenang pemergian Haron, Loloq dan Noor Hidayat, saya terkenangkan dua orang penulis/seniman yang pernah saya mewawancara dahulu. Pada awal tahun 80-an, saya mewawancara Cikgu Harun Aminurrashid (Harun Mohammad Amin) untuk kajian saya. Beliau baru pulih daripada penyakit angin ahmarnya dan boleh bertutur hampir seperti biasa. Setelah berbincang-bincang mengenai penglibatan seni dan karya-karyanya, saya bertanya sama ada Cikgu Harun akan menulis lagi (ketika itu beliau telah lama bersara daripada bidang penulisan). Memandangkan kesihatannya, memang sukar untuk beliau menulis lagi tetapi kalau beliau berupaya, Cikgu Harun ingin menulis buku mengenai kesihatan, bukan cereka. Mengapa, tanya saya. Sebab kita selalu kurang mengambil berat mengenainya, jawab beliau. Kita selalu kurang memberi perhatian kepada kesihatan sehinggalah kesihatan kita terjejas, demikian tambah Cikgu Harun. Namun, buku mengenai kesihatan itu tidak sempat beliau tintakan kerana menyahut panggilan Ilahi.

Pada akhir-akhir tahun 90-an saya sempat dua kali mewawancara Haji Sharif Medan, pelakon dan penulis skrip filem. Kesantunan, perilaku dan keikhlasan Pak Sharif begitu menyentuh hati saya. Beliau banyak berkongsi pengalaman hidup dan kerjayanya, selain menitipkan beberapa pesanan mengenai penglibatan seni. Walaupun Pak Sharif sihat walafiat ketika diwawancara, namun satu perkara yang beliau tekankan ialah mengenai kesihatan. Bukan sahaja beliau memberitahu amalannya memakan minyak ikan (cod liver oil) sejak muda, malah beliau ada menyimpan sebuah buku lama zaman sebelum Perang Dunia Kedua, mengenai kesihatan, yang ingin diterbitkannya. Buku itu dalam tulisan Rumi dan bukan tulisan Pak Sharif tetapi kerana ada saranan-saranan kesihatan yang dianggap berguna, beliau begitu bersungguh-sungguh mahu mengongsi hal-hal kesihatan tersebut dengan orang ramai. Saya memberitahu beliau bahawa menerbitkan buku tersebut mungkin sukar kerana penulis atau warisnya mungkin memegang hak cipta buku tersebut; selain terdapat beberapa perkembangan kesihatan yang membuat tulisan buku tersebut tidak seluruhnya sesuai untuk masa kini. Yang boleh dilakukan Pak Sharif ialah menulis sebuah buku mengenai kesihatan daripada kaca mata beliau sebagai pengamal beberapa petua kesihatan. Namun Pak Sharif tidak sempat menulisnya kerana berpulang ke rahmatullah.

Dalam kesusasteraan tradisional kita ada buku yang dipanggil Kitab Tib dan kitab-kitab lain untuk penyembuhan penyakit. Di pasaran kini terdapat beberapa buku mengenai pengubatan secara herba, urut-mengurut mahupun penggunaan ayat-ayat al-Quran. Jumlahnya belumlah banyak sangat dan terdapat juga buku-buku sebegini yang tidak begitu mendalam ditulis; mungkin kita perlu menambahkan jumlah dan mutu tulisan-tulisan sebegini. Mungkin ada baiknya mereka yang mengetahui mengenai aneka jenis jamu tradisional, makjun, daun-daun tertentu untuk pengubatan selain petua-petua kesihatan dapat mengumpulkan segala bahan ini dan dijadikan buku. Bantuan daripada doktor tentulah boleh mensahihkan penulisan sedemikian. Selain itu, mungkin sudah tiba masanya para doktor kita yang semakin bertambah jumlahnya, berjinak-jinak dalam dunia penulisan dan melahirkan buku-buku kesihatan umum untuk khalayak ramai. Kalau sebilangan mereka yang pakar ini memulakan usaha-usaha pertama, tidak mustahil jika suatu hari nanti ada juga buku-buku mengenai kesihatan sebagaimana ditulis oleh Dr Andrew Weil.

Satu lagi bidang yang kurang kita terokai mengenai kesihatan ialah menulis memoir apabila kita menghidapi sesuatu penyakit. Di Barat, usaha begini telah lama dijalankan. Buku-buku sebegini boleh membantu mereka yang sama menghidap penyakit tersebut lebih memahami penyakit mereka dan mententeramkan kegusaran yang mereka hadapi ketika menghidap penyakit tersebut. Di Singapura misalnya, bilangan mereka yang terkena penyakit barah agak tinggi juga. Dan di kalangan wanita, penyakit barah payudara adalah suatu kemungkinan yang boleh sahaja terjadi kepada sesiapa. Ada yang berjaya keluar daripada cengkaman penyakit ini dan ramai pula yang tewas. Sebilangan masyarakat kita pula kurang tahu-menahu mengenai barah ini dan mudah termakan kata-kata orang, tanpa selidik. Alangkah baiknya jika terdapat buku-buku mengenai mereka yang pernah bertarung dengan barah ini dan berjaya meneruskan kehidupan mereka setelah itu, untuk tatapan ramai. Demikian juga dengan penyakit-penyakit lain; banyak yang boleh kita pelajari jika buku tersebut bukan sahaja ditulis oleh seorang pakar, bahkan oleh mereka yang turut bertarung nyawa untuk meneruskan kehidupan. Petua dan amalan kesihatan seseorang itu mungkin dapat membantu orang lain yang menghidapi penyakit yang sama atau mempunyai ahli keluarga yang menghidapi penyakit tersebut.

Masih banyak cabang dalam bidang kesihatan boleh kita terokai dalam penulisan selain saranan-saranan di atas dan bukan sekadar dalam bidang cereka sahaja. Benar, orang sekarang mudah mendapatkan maklumat kesihatan daripada Internet. Tetapi masih terdapat beberapa amalan dan petua kesihatan orang dulu-dulu yang boleh dibukukan, selagi ia tidak bercanggah dengan akidah kita. Kita juga masih kekurangan buku-buku mengenai khasiat ulam dan herba kita, selain senaman yang sesuai bagi keperluan beberapa peringkat usia. Malah, buku-buku pemakanan sihat dan hal-hal berhubung dengannya serta buku-buku kesihatan mental juga kurang terdapat dalam penerbitan buku-buku kita. Mungkin sudah tiba masanya kita fikirkan hal-hal sebegini selain menambahkan bilangan karya-karya cereka.

Pemergian Haron Abdulmajid, Loloq dan Noor Hidayat tentunya mengharukan kita. Mereka telah meninggalkan butir-butir mutiara untuk tatapan dan kenangan kita dan seharusnya kita menghargai mereka, bukan hanya setelah mereka tiada. Demikian juga dengan kesihatan, bukan kerana tiadanya, kita mula menghargai; dan tertulisnya buku-buku yang berkaitan dengan kesihatan tentunya boleh membuat kita lebih menghargai kesihatan dan kehidupan kita yang masih dilanjutkan oleh-Nya.

Ditulis: 13 Oktober 2008 oleh Rasiah Halil
Tersiar: Ruangan ’Tun Fatimah’, Berita Minggu Singapura pada Oktober 2008.
Tajuk yang disiarkan dalam BM berlainan sedikit daripada tajuk yang saya beri dan digunakan dalam blog ini. Salinan tulisan yang tersiar di BM, tiada dalam simpanan saya.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s