Teringatkan Shahrezad

Sejak beberapa malam dalam minggu ini, Sri tidak dapat tidur lena. Selain teringatkan berbagai-bagai perkara, teringat pula lagu berjudul ‘Shahrezad’ nyanyian penyanyi Lebanon, Fairuz. Dan bagai terngiang-ngiang pula lagu-lagu Fairuz yang lain, selain lagu-lagu nyanyian penyanyi Mesir, Allahyarhamah Oum Koulsoum. Kedua-dua penyanyi ini banyak merakamkan suka-duka kehidupan selain membangkitkan semangat cintakan watan, dalam lagu-lagu mereka.

Lagu ‘Shahrezad’ nyanyian Fairuz sebenarnya berdasarkan buku Kisah Seribu Satu Malam (Alfa Laila Wa Laila/Arabian Nights). Di dalamnya diceritakan bagaimana dengan kepintaran dan kecantikannya, Shahrezad dapat menyelamatkan wanita-wanita Arab daripada terus dibunuh oleh Raja Shahriyar setelah semalam mengahwini mereka. Shahrezad berpakat dengan adiknya, Dinazad, agar menyuruhnya bercerita, setelah dia beradu pada waktu malam, lantas dia bercerita pula sehingga menjelang subuh. Kerana ceritanya belum selesai, Raja Shahriyar tidak jadi membunuhnya dan ini berlangsung selama seribu satu malam. Pelbagai cerita diolahnya, termasuk cerita-cerita Aladin, Ali Baba, Sinbad dan lain-lain. Di akhir ceritanya, Raja Shahriyar bukan hanya belajar menyintai isterinya Shahrezad, malah penyakitnya tidak mempercayai wanita, setelah permaisuri pertamanya berlaku curang, diubati, dan wanita-wanita Arab terselamat daripada dibunuh. Mendengar lagu ‘Shahrezad’ dan mengingati Kisah Seribu Satu Malam ini, betapa kita ingin Shahrezad wujud kini, kerana banyak cerita dalam Kisah Seribu Satu Malam berlaku di Baghdad.

Di Baghdad atau Iraq pernah wujud salah sebuah peradaban terawal di daerahnya. Tempat itu dinamakan Mesopotamia. Pada 750 sehingga 1258 Masihi, wujud kerajaan Abbasiyah di negara Iraq. Baghdad dijadikan ibu kota kerajaan tersebut. Dan di kota inilah mercupnya zaman gemilang kerajaan Abbasiyah merangkumi bidang intelek, agama, seni, budaya, perdagangan dan politik. Harun Ar-Rashidlah (memerintah dari 786-809 Masihi ) khalifah kelima Abbasiyah yang paling terkenal. Dan seorang anaknya, Al-Ma’mun, (memerintah dari 813-833 Masihi) mendirikan Baitul Hikmah, perpustakaan terbesar di dunia ketika itu dan juga pusat penterjemahan karya-karya Yunani. Nama-nama sarjana dan sufi yang kita kenali seperti Hassan Basri, Rabiatul Adawiyah, Junaid al-Baghdadi, Abu Yazid Bistami, al-Ghazali, Shaikh Abdul Qadir al-Jilani, membesar atau berakhir di Baghdad. Tetapi kegemilangan kerajaan Abbasiyah hancur dengan serangan Hulagu Khan, cucu Genghis Khan, pada 1258 Masihi. Baitul Hikmah dimusnahkan dan ramai (ada catatan berkata berjuta) sarjana, ulama dan penyair serta rakyat biasanya dibunuh dan tengkorak mereka dijadikan semacam piramid. Dengan kejatuhan Baghdad pada 1258 Masihi, pintu ijithad dikatakan tertutup. Masyarakat Islam sedunia ketika itu mengalami zaman kegelapan yang panjang dan pelbagai huru-hara berlaku. Baghdad sekali lagi dihancurkan dan penghuninya dibunuh serta tengkorak mereka dijadikan piramid oleh Tamerlane pada 1401 Masihi. Dan kota Baghdad tidak lagi menjadi kota besar seperti zaman kerajaan Abbasiyah dahulu.

Tetapi di Baghdad kinilah yang menerbitkan keharuan dan kegusaran kita. Tindakan-tindakan terkini, walaupun tidak diterima oleh sebilangan besar penghuni dunia, menimbulkan kebimbangan yang tiada taranya selama ini. Apakah nanti, bila ada satu-satu kerajaan yang tidak disukai kuasa-kuasa besar, kerajaan itu harus dilakukan ‘pertukaran rejim’ dari luar, tanpa sokongan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ? Apakah nanti sesiapa pun anak watan yang menentang serangan ke atas negara mereka akan dianggap sebagai penjenayah perang dan akan diadili oleh mahkamah tribunal perang ? Satu jalan rintis (precedent) telah diwujudkan oleh Amerika Syarikat dan Britain baru-baru ini, dan ini amat membimbangkan dunia. Dengan serangan Iraq, sekurang-kurangnya dianggarkan setengah juta orang akan mati. Masalah kemanusiaannya, dengan tiadanya bekalan ubat, bahan-bahan asas, dengan sekatan yang sedia ada dan kini perang, akan memburukkan lagi keadaan. Ini belum lagi masalah pelariannya. Dan siapakah yang akan menerima padah terbesar peperangan ini – bukan orang-orang besar daripada kedua-dua pihak yang bertelagah, tetapi rakyat jelata. Di mana-mana pun, dalam perang, rusuhan, atau huru-hara, yang kaya dan berkuasa, mudah menyelamatkan diri, tetapi bagaimana pula orang kebanyakannya ?

Mencatatkan ini tidak bererti Sri menyokong atau membenci mana-mana pihak. Tetapi lebih daripada apa pun pihak, seperti kebanyakan orang di Singapura dan di merata dunia, Sri cintakan kedamaian dan kemanusiaan kita. Apakah dengan perang ini kita membuka ‘kotak pandora’ seperti dalam mitos Yunani, dan dengan ini segala malapetaka dan keburukan akan menghuni dunia kita kini ? Apakah dunia kita semakin terbelah, sebagaimana negara China pada kurun ke-19 ‘dibelah’ oleh kuasa-kuasa Barat dengan istilah ‘cutting the melon’? Sri teringatkan novel karya Mary Shelley pada 1818 berjudul Frankenstein. Frankenstein dicipta oleh seorang saintis yang bercita-cita besar bernama Victor Frankenstein, tetapi ia dimusnahkan kerana ciptaannya tidak seperti yang diharapkan. Dalam senario perang kini, benarkah ada Frankenstein dan saintis bercita-cita besar itu, yang padahnya seluruh dunia terpaksa tanggung ? Apakah dunia kita akan lebih selamat dengan perang ini atau sebaliknya, zaman kegelapan dunia kita bermula ?

Kalaulah kita ada keupayaan seorang Shahrezad mungkin dapat kita hentikan malapetaka ini. Tetapi Shahrezad, betapa pun dialunkan oleh Fairuz, tidak dapat menyelamatkan dunia kita dengan hikayatnya. Kini, kalaulah dia ada, Shahrezad hanya dapat merakamkan keharuan dan kepiluan kita menyaksikan segalanya, mungkin lebih lama daripada seribu satu malam.

Ditulis: 20 Mac 2003
Tersiar: Dalam Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu Singapura dengan tajuk yang sedikit berbeza pada Mac 2003.
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s