Bila Kita Terlalu Menyanjung

Berita mengenai saintis Dr Hwang Woo Suk memalsukan kajiannya mengenai sel induk manusia telah pun tersebar luas. Penyebaran berita ini bermakna segala kajiannya mengenai sel induk manusia telah bersalut dengan unsur-unsur pemalsuan. Ini juga bermakna harapan mereka yang menghidap penyakit seperti kencing manis, Parkinson dan Alzheimer, untuk sembuh dengan penggantian anggota tubuh yang berpenyakit dengan yang diklon, semakin pudar. Sebelum ini terdapat juga pemalsuan yang dilakukan untuk mendapatkan embrio manusia untuk kajiannya, yang tidak mengikut tatatertib yang seharusnya dipatuhi. Walaupun pengklonannya terhadap anjing jenis Afghan itu benar, kajian mengenai sel induk manusia dikatakan terhapus dan harus bermula lagi dari peringkat awal kerana ini.

Dr Hwang disanjung begitu tinggi kerana kajian-kajiannya. Malah dia dianggap sebagai wira; sanjungan terhadapnya tidak putus-putus baik daripada pihak kerajaan Korea, masyarakat Korea mahupun di luar negaranya. Namun segala sanjungan itu meleset; kerana mahu menempa nama dengan secepat mungkin, banyak cara yang tidak beretika digunakan, dan akhirnya bukan sahaja dirinya, malah masyarakat dan negaranya mendapat malu.

Memanglah ada di hati kita hendak melakukan yang terbaik, menjadi pelopor dan sebagainya dan mendapat perhatian masyarakat tetapi kalau cara-cara yang salah atau kurang beretika dilakukan, lambat laun akan diketahui orang juga. Yang perlu kita perhatikan ialah: adakah sanjungan yang kita berikan itu berpatutan atau melampaui batas. Kerana terlalu sangat dipuji seolah-olah kita serba sempurna, sebenarnya tidak baik untuk kita.

Namun masyarakat kita juga suka puji memuji, kadangkala keterlaluan. Lihat sahaja dunia seni kita. Sesetengah kita begitu ‘taksub’ dengan penyanyi atau pelakon tertentu sehingga sanggup ‘berkorban apa saja’ untuk menonton orang yang kita sanjung itu sama ada ketika membuat persembahan, merempuh ke rumahnya dan membeli segala-galanya yang ada kaitannya dengan orang-orang pujaan kita itu. Memanglah ada fasa-fasa dalam kehidupan, kita mungkin menyukai bintang seni tertentu, tetapi kalau sudah keterlaluan, sehingga bagaikan hilang pertimbangan, tentulah ini tidak sihat bagi masyarakat kita.

Konsep sanjungan yang keterlaluan ini juga menyusup ke daerah-daerah yang lain dalam kehidupan. Ada orang tidak pula tergila-gilakan bintang seni, tetapi terlalu menyanjung pensyarah-pensyarah agama, sehingga cara sanjungan mereka bagaikan bintang seni juga. Kalau yang diikuti itu ajaran yang betul tidak mengapa, tetapi kalau yang terlalu disanjung-sanjung itu tidak ada kena mengena dengan agama, bagaimana? Siapapun adalah manusia biasa; yang perlu kita ikuti dan contohi adalah pengajaran dan amalan baik mereka; yang tak perlu ialah bagaikan tergila-gilakan mereka atau lebih buruk lagi, tidak berani bertindak dalam hal-hal biasa, melainkan disetujui orang yang kita puja.

Dunia perniagaan kita juga sedemikian. Kadangkala sanjungan kita keterlaluan bagi seseorang peniaga, walaupun dia baru menceburi bidang tersebut. Pujian sahaja tidak akan memajukan perniagaannya, lebih-lebih lagi bila dia mengganggap dia peniaga terbaik kerana pujian tersebut. Yang terjadi nanti ialah pemaparan yang bagaikan tidak putus-putus mengenai seseorang peniaga, pahadal peniagaannya tidaklah seberapa. Benar, kita harus memberi galakan dalam apapun bidang yang baik dalam kehidupan, tetapi kalau asyik orang yang sama kita sanjung keterlaluan, pakai nampak, tak lamalah perniagaannya. Bukti ketekalan seseorang peniaga dalam bidang perniagaan ialah sekurang-kurangnya 5 tahun dia menceburi bidang tersebut dan memajukan perniagaannya. Dalam dunia seni mungkin lebih lama lagi; kalau dia masih bertahan setelah 10 tahun dan tekal dan baik dalam bidang tersebut, barulah kita boleh puji sedikit. Kerana pujian yang keterlaluan, bak kata penulis Jerman-Swiss, Hermann Hesse, dan juga, M. Nasir baru-baru ini, sebenarnya akan hanya membantutkan daya kreatif orang seni.

Ada orang pula terlalu menyanjung mereka daripada bidang-bidang yang selain discatatkan di atas. Pujiannya begitu keterlaluan sehingga orang-orang tersebut seolah-olah tiada cacat celanya. Konsep “Insanul Kamil” (manusia sempurna) yang diutarakan oleh Abdul Karim al-Jili (1365-1428 Masihi) hanya untuk Nabi Muhammad s.a.w.; kita hanya boleh cuba memperbaiki diri kita agar mencapai, setinggi yang boleh, taraf kesempurnaan Baginda. Memahami ini, bagaimana, ya, kita boleh memuji seseorang itu keterlaluan, sebagaimana berlaku pada Dr Hwang Woo Suk dan lain-lain ?

Konsep berpada-pada itu perlu juga kita sebatikan dalam kehidupan kita kerana dengannya tidak mudah kita menyanjung manusia manapun, kecuali Nabi s.a.w. dan para nabi dan rasul a.s. yang lain, keterlaluan, dan apapun pencapaian yang walaupun menimbulkan kebanggaan, tidak pula kita anggap paling sempurna, sehingga menutup peluang-peluang pencapaian yang lain pula. Kisah saintis Dr Hwang ini seharusnya mengingatkan kita bahawa setakat menyumbang dan menjadi terkenal sahaja tidak bermakna kalau kita melakukan perkara-perkara yang bercanggah dengan nilai-nilai etika demi menempa nama. Akhirnya kita pula mendapat aibnya.

Ditulis: 11 Januari 2006
Tajuk Asal: Tajuk yang tersiar di Berita Minggu /BM berbeza sedikit daripada tajuk yang saya beri kepada BM. Salinan rencana terbitan BM telah hilang dalam simpanan saya.
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu Singapura pada 15 Januari 2006.
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s