Catatan 6 November 2015

1. Membaca dan mengikuti terhempasnya kapal terbang Rusia di Mesir sekali lagi mengingatkan kita kepada tragedi menghilang dan terhempasnya kapal terbang MAS. Kita terperanjat, bukan hanya kerana tiga kejadian ini tetapi beberapa kejadian bila kapal-kapal terbang yang kelihatan berfungsi dengan baik, tiba-tiba meletup, terhempas atau hilang. Inikah senario yang akan berulang? Banyak teori yang dikemukakan; mudah-mudahan bagi semua ini peleraiannya kita temui. Kita tangisi tragedi sebegini dan mengetahui ramai kanak-kanak turut terbunuh, hati kita semakin luluh. Mereka yang ditinggalkan kerana tragedi ini tentunya menanggung beban yang besar – semoga mereka diberi kekuatan untuk meneruskan kehidupan yang ada walau disengsarai tragedi sebegini.

2. Namun, menangisi tragedi sebegini tetapi membutakan mata terhadap pelbagai kesengsaraan yang menimpa insan dan masyarakat yang lain, bukanlah gambaran keihsanan sebenar. Biar siapa pun dilanda sengsara, kita turut berasai sedikit, walaupun mungkin tidak keseluruhan, kesengsaraan mereka. Inilah yang disebut ihsan dan empati. Betapa air mata bertitisan menyaksikan apa yang sekian lama dialami oleh masyarakat Palestin, Rohingya, para pelarian di mana sahaja, mangsa keganasan dan kekejaman dan sebagainya. Walaupun usaha kita terbatas untuk menghuraikan tragedi sebegini, sebagai manusia kita tidak harus membiarkan hal-hal sebegini dianggap seperti hal-hal biasa atau lumrah kehidupan. Yang disengsarai adalah manusia – apa pun bangsa, agama, negara mereka tidak penting. Rasulullah s.a.w. mengajar kita untuk bersifat ihsan sesama manusia dan berlaku adil kepada semua makhluk Allah dan kita tidak boleh membiuskan diri kita daripada turut berasai sengsara mereka, walaupun yang dapat kita rasai hanya sekelumit perasaan itu. Itulah yang kita terdaya – dan ini lebih baik daripada tidak berasa apa-apa atau berpihak kepada si pemangsa.

3. Seorang kawan saya agak marah-marah mengenai perkembangan sastera di Singapura, khususnya pembukuan-pembukuan mengenai sastera dan bahasa Melayu di Singapura. Saya dapat tahu ini melalui seorang kerabatnya. Dan ada beberapa orang turut kurang senang dengan acara-acara sastera dan bahasa Melayu sempena 50 tahun kemerdekaan Singapura. Bukan, bukan mereka tidak suka acara-acara itu diadakan atau berbangga dengan pencapaian Singapura tetapi mereka mendapati acara-acara ini bagaikan mengitarkan orang-orang yang sama dan/atau meminggirkan sebilangan penggiat seni kita. Ada menganggap terlalu banyak ‘puak’ dalam kalangan penggiat-pernggiat seni, khususnya sastera kita, dan puak tertentu seakan-akan menaikkan geng mereka.

Bersabit hal ini, kawan saya agak marah kerana usaha membukukan kegiatan-kegiatan berbahasa dan bersastera Singapura selama 50 tahun bagai menampilkan orang-orang tertentu sahaja. Beliau menulis cerpen, puisi, esei dan novel dan bukan baru menceburi bidang ini – apakah orang-orang sepertinya tidak menyumbang? Demikian juga beberapa tulisan dan kajian yang nampaknya boleh dibuat dengan lebih mendalam dan saksama lagi. Dan saksamakah apa yang muatkan dalam buku-buku sedemikian? Bagaimana pula sumbangan pelbagai majalah dan penerbit buku-buku Melayu di Singapura dan luar Singapura, dalam menghidupkan sastera dan bahasa Melayu di Singapura selama 50 tahun kemerdekaan Singapura?

Saya akur, ada orang suka menonjol-nonjolkan diri, hatta dalam hal-hal yang kurang didalami dan kalau buku-buku atau acara-acara sastera/seni yang bersifat peribadi, misalnya perbincangan mengenai penglibatan seninya secara peribadi, mungkin boleh juga kita terima. Tetapi bila ia merupakan acara-acara sastera/seni umum atau pembukuan-pembukuan terhadap perkembangan sastera atau bahasa sesuatu masyarakat, kita seharusnya lebih adil, saksama dan bertanggung jawab melakukannya.

Tetapi zaman ini orang boleh mengangkat bakul sendiri dengan pelbagai cara dan amat gemar mencari ‘pengikut’ yang boleh mengiyakan segala tindakan mereka. Bagi penggiat seni, cara-cara ini mungkin boleh menaikkan seseorang dengan cepat dan disebut sebagai ‘pakar’, hatta karyanya picisan atau membobrokkan tunjangan-tunjangan masyarakat atau kalau ada kajian-kajian yang mahu dianggap kajian mendalam, ternyata sebilangan kajian sebegini begitu tohor. Segalanya sementara belaka. Akhirnya, walau ditenggelami keadaan, karya-karya yang baik itu akan ke depan juga. Cuma ini mengambil masa kerana mereka yang kurang saksama ini yang seringkali meminggirkan penggiat seni yang dianggap bukan geng mereka.

Berhubung dengan ini, saya juga terkilan mengetahui tiada apa-apa paparan terutamanya di media-media utama mengenai peraduan cerpen remaja anjuran Balai Rakyat Dover sempena Bulan Bahasa dan forum ‘Sastera Remaja’ yang diadakan di Perpustakaan Jurong pada 17 Oktober 2015. Saya berkata ini bukan kerana saya seorang pengadil peraduan cerpen remaja itu dan juga moderator bagi forum sastera remaja yang mengetengahkan Noridah Kamari dan Noor Hasnah Adam sebagai penceramahnya. Kita ingin menghidupkan sastera dan mencintai buku dan penulisan di kalangan anak muda kita dan bila ada yang ke hadapan, sama ada memberi ceramah atau menyertai peraduan cerpen remaja (peserta peraduan cerpen rata-ratanya pelajar sekolah menengah dan pascamenengah) untuk menghidupkan hal-hal sedemikian, kita tidak mengendahkan. Walaupun ini usaha kecil-kecilan, sukar sangatkah memberi paparan sebagai galakan kepada mereka, di media massa kita? Dan sukar sangatkah mengetengahkan buku-buku yang ditulis penulis Melayu Singapura di media-media utama?

Saya juga terkilan, Anugerah Pena Emas /Golden Point Award anjuran Majlis Seni Kebangsaan Singapura/NAC dan penyampaiannya diadakan pada 2 November 2015, tidak diberi paparan di media-media utama berbahasa Melayu di Singapura. Benar, memenangi apa-apa peraduan atau diberi apa-apa hadiah dalam bidang penulisan bukanlah segala-galanya. Benar juga, ada hadiah-hadiah kesenian yang diberi kepada orang-orang tertentu, kita musykil bagaimana mereka boleh menerima hadiah-hadiah tersebut. Dan benar, apa pun pemberian hadiah kesenian, yang menilai hanya beberapa orang. Kalau orang-orang itu beretika dan saksama, alhamdulillah. Kalau tidak, parah untuk dunia seni kita. Namun, dengan kita beranggapan mereka yang menilai sesuatu peraduan penulisan, misalnya Anugerah Pena Emas itu beretika dan saksama penilaian mereka, apakah pemenang-pemenangnya tidak boleh mendapat paparan di media-media utama kita?

Saya mendapat tahu, tahun ini ada seorang pemenang, Md Farihan Md Bahron, mendapat hadiah pertama bagi kedua-dua kategori puisi dan cerpen bagi Anugerah Pena Emas (GPA). Kedua-dua peraduan ini dinilai oleh dua panel hakim yang berbeza, sebanyak 3 orang hakim bagi setiap kategori.

Benar, memenangi peraduan ini bukanlah segala-galanya tetapi ia tetap suatu pencapaian bagi yang memenanginya. Dan Md Farihan Md Bahron memenangi hadiah pertama bagi kedua-dua kategori secara telus – apakah beliau tidak layak mendapat paparan di media-media utama? Demikian juga beberapa orang yang mendapat hadiah-hadiah lain dalam peraduan penulisan ini dan juga mereka yang menerbitkan buku.

Kadangkala kita memberi paparan yang demikian meluas dan berkali-kali kepada orang-orang tertentu tetapi bila ada yang merangkul kejayaan yang boleh kita banggakan, kita ketepikan. Ada yang menulis buku-buku yang baik, paparannya langsung tiada di media-media utama tetapi ada pula karya-karya mereka boleh dipersoalkan mutu dan seninya, dijulang bagai ‘karya agung’ (magnum opus). Malah, ada yang terlibat langsung dengan penerbitan sesebuah buku atau acara kesenian, dan kemudian memuji-muji hal tersebut di media-media utama, dibenarkan. Orang-orang lain yang turut mewarnakan kanvas sastera kita, dipinggirkan.

Saya teringat peribahasa Inggeris yang bermaksud ‘seekor burung layang-layang tidak menentukan musim panas’ (one swallow does not make a summer). Betapa baik pun karya atau kajian kita, kita bukan satu-satu orang yang menyumbang kepada perkembangan sastera, bahasa, budaya, kesenian dan peradaban masyarakat kita. Mengetahui ini kita seharusnya lebih adil dan saksama, sama ada dalam menyumbang dan menilai kerja sebegini atau memberi paparan kepada mereka yang diberi anugerah kesenian tertentu atau mereka yang baru menerbitkan atau melancarkan buku.

4. Saya melampirkan dua tulisan yang pernah terbit dalam ruangan ‘Sri Anggerik’. Satu, mengenai hal sanjung menyanjung dan berkaitan sedikit dengan apa yang saya sentuh sedikit dalam catatan kali ini. Dan satu lagi rencana mengenai kartun dan komik – saya sengaja memasukkan rencana ini kerana bukan semuanya begitu merusuhkan kita – sama ada keadaan kesengsaraan di dunia, beberapa hal berkaitan dunia sastera kita dan lain-lain. Saya yakin, betapa gelap pun kehidupan ini kita rasakan pada ketika-ketika tertentu, ada banyak hal yang menyenangkan kita dan kartun serta komik boleh sahaja menceriakan kita. Inilah yang saya istilahkan sebagai ‘titik-titik kebahagiaan’ (my pockets of happiness) saya. Saya juga melampirkan sebuah sajak mengenai anak-anak penyu yang beritanya dahulu menyentuh hati saya.

Selamat membaca.

Salam
Rasiah Halil
6 November 2015.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s