Sukar Lupakan Kartun, Majalah Yang Bawa Keceriaan

kartun 1kartun 2kartun 3

Bila membaca suratkhabar, kisah apa yang anda suka baca dulu? Ada orang suka membaca tajuk berita, ada terus melompat ke berita sukan, ada lebih gemar membaca berita-berita sensasi tapi ada juga segelintir orang suka membaca ruangan kartun sesebuah akhbar dulu. Membaca kartun begini selalu menghibur dan menambahkan ceria hidup kita, walaupun ia juga boleh menjentik jiwa.

Kartun apa yang anda suka? Dalam Berita Harian/Berita Minggu dahulu, Sri suka membaca pasal Keluarga Si Mamat tulisan Lat. Kisah Mamat, Epet dan lain-lain (kebanyakannya kanak-kanak) dan telatah mereka tidak dapat tidak mencuit hati Sri. Begitu juga sekarang Sri selalu ikuti kartun Belum Lapuk dan juga kartun-kartun oleh Mat Tokcang dan lain-lain. Kartun dalam bahasa Inggeris pun Sri ikuti misalnya: Peanuts, Blondie, Garfield, Bringing Up Father, Born Loser, Wizard of Id, Chew On It dan sebagainya. Kartun-kartun ini selalu menceriakan kita dan kita kadangkala ternampak diri kita dalam tingkah laku mereka, walaupun muka kita tidaklah macam kartun, tapi mungkin ‘handsome macam gajah’ seperti dinyanyikan Saloma….

Baru-baru ini seorang pelukis kartun, Charles Schulz, setelah lebih 50 tahun melukis siri kartun Peanuts terpaksa bersara kerana menghidap penyakit barah. Sedih hati Sri kerana penyakitnya dan juga kerana Peanuts siri baharu tidak akan ada lagi. Anda yang membesar bersama watak-watak kartun ini pasti sukar melupakan mereka. Melihat Charlie Brown yang selalu fumble… main layang-layang pun layang-layangnya ‘ditelan’ pokok, main besbol pun selalu kalah, ‘jatuh cinta’ dengan ‘si rambut merah’ pun dia kecundang, malah selalu Charlie Brown ‘diseksa’ oleh adiknya Lucy, anda pasti teringatkan diri anda atau orang-orang yang anda kenali dalam peristiwa begini. Atau mungkin anda teringatkan Lucy yang kadangkala berlagak seperti seorang pakar jiwa dengan mempamerkan papan tandanya: ‘The Psychiatrist Is In, Pay 5 cents’ bila sesiapa meminta pandangan ‘pakar’nya. Atau Linus, yang sering berselindung di balik gebarnya, Marcie yang tahu semua jawapan, Peppermint Patty yang selalu ‘blur’ dalam kelas, Schroeder yang berangan-angan hendak menjadi pemain piano terkenal, atau mungkin Rerun, Pig Pen dan sebagainya. Mungkin watak Peanuts yang paling sukar anda lupakan, selain Charlie Brown, ialah watak-watak Snoopy dan Woodstock. Woodstock merupakan seekor burung yang comel sedangkan Snoopy selalu terlupa dia sebenarnya seekor anjing jenis beagle. Snoopy, seperti kita, kadangkala fikir dia bukan sekadar dirinya tetapi juruterbang ace bomber Perang Dunia Kedua ataupun seorang novelis (yang tak pernah dapat siapkan novelnya!), kadangkala dia menjadi peguam, doktor, penyiasat, pemain besbol dan lain-lain dalam siri Peanuts ini. Hubungannya dengan Charlie Brownlah yang sering mengingatkan kita kepada zaman kanak-kanak kita dan binatang-binatang yang pernah kita pelihara dan sayang satu ketika dahulu.

Sudah lama kita terbiasa dengan majalah-majalah kartun seperti Gila-gila, Ujang dan sebagainya dan kini ada pula majalah kartun Singapura, Tak Kering Gusi [majalah ini sudah lama tidak diterbitkan sejak rencana ini tersiar pada tahun 2000]. Satu majalah kartun yang sukar Sri lupakan ialah Mad Magazine, majalah yang dilanggani di rumah keluarga Sri sejak tahun 60-an. Watak-wataknya lucu dan sering pula isu-isu semasa diberi tafsiran lucu dan sinis – yang banyak juga dicontohi oleh majalah Gila-gila. Keindahannya tidak terletak pada kelucuan watak-wataknya saja tapi juga penggunaan bahasanya – yang tidak dapat tidak boleh memperkayakan bahasa anda pada usia muda itu.

Anda pernahkah sanggup menyimpan duit jajan untuk membeli majalah kartun? Sri dahulu berbuat demikian; malah Sri sanggup berbuat perkara yang sama untuk membeli buku cerita. Keluarga Sri nampaknya hampir semua gilakan komik dan kartun – jadi bertimbun-timbunlah komik Superman, Batman, Spiderman, komik siri Combat (pasal Perang Dunia Kedua), komik Archie, komik siri mengenai ‘Jururawat’, komik-komik Dandy dan Beano, komik-komik Walt Disney, dan banyak lagi yang Sri pun sudah terlupa namanya. Kadangkala kita bertukar-tukar komik atau membeli komik terpakai sebab sudah syiok membaca sesuatu siri komik itu. Dan bila Lat mula membukukan kartun-kartunnya – hai lagi ‘gila’ dibuatnya – entah berapa naskhah Sri beli, simpan, dan kirimkan kepada orang….

Sri dahulu suka berbasikal ke daerah Katong untuk membeli komik-komik ini. Dan anda jarang keseorangan – ada sahaja kanak-kanak atau remaja lain seperti anda yang sama gilakan komik dan kartun. Dan kadangkala sempat pula anda bertukar-tukar komik. Masa membeli komik Dandy dan Beano, Sri dan kawan-kawan Sri selalu berangan – hendak ke England mencari tempat-tempat dalam komik ini dan juga hendak makan fish and chips (masa itu di Singapura belum ada makanan ini), merasa epal bersalut sirap dan hendak memanggil makanan kita ‘grub’ sebagaimana selalu disebut oleh watak-watak komik ini…

Kartun dan komik sukar pula hendak dihilangkan daripada lipatan kenangan kita kerana keindahan yang diberi itu berbagai. Sesekali kita juga seperti Charlie Brown – dikalahkan pokok yang ‘menelan’ layang-layang kita, main besbol pun tak pernah menang, tapi tetap disayangi Snoopy dan tak pernah berputus harap…..

Ditulis: 12 Januari 2000
Tajuk Asal: Dunia Kartun Dan Komik
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu Singapura pada 16 Januari 2000
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s