Catatan Ringkas 20 -21 November 2015

quote 1quote 2quote 3

1. Serangan di Paris baru-baru ini sekali lagi mengharukan dan menimbulkan pelbagai reaksi penghuni dunia. Seperti yang dijangkakan, yang mengambil kesempatan daripada peristiwa berdarah itu banyak, namun terdapat juga insan-insan daripada pelbagai lapisan masyarakat, agama, bangsa dan negara yang cuba menyusur-galurkan punca kejadian. Dunia kita semakin dikacau-bilaukan kejadian tersebut dan saya yakin, saudagar senjata, saudagar perang dan saudagar ‘orang-orang kuat dunia’ semakin tersenyum lebar.

Ini bukan masanya untuk ulang-mengulang retorika yang isinya bagai padi hampa. Tidakkah hati kita turut terpanggil bila manusia-manusia lain di dunia ini juga ditimpa pelbagai malapetaka pengeboman, kehancuran dan sebagainya? Atau keihsanan kita hanya boleh bersuara apabila media tertentu asyik mengulangi hal-hal yang masih kurang jelas kesahihannya? Atau mungkin bagai iklan yang mengagumkan, kita pula mudah terpancing bila pengiklan sering mengulang-tayang ‘produk’ mereka?

Nyawa manusia itu berharga – tidak kira bangsa, agama dan negaranya – dan keihsanan kita juga seharusnya lebih menyeluruhi semua makhluk-Nya. Tetapi apabila ada pihak-pihak tertentu mempergunakan peristiwa berdarah di Paris dan tempat-tempat lain untuk menangguk di air yang keruh – semakin menyerang beberapa tempat, tidak membenarkan pelarian dan pendatang masuk ke negara mereka (mereka ini sebilangan besarnya merupakan mangsa perang dan keganasan), mengacau-bilaukan penganut agama Islam serta menguar-uarkan kebencian sesama manusia, bagaimanakah akan berakhir semua ini?

Tiada Muslim yang mendalami agamanya akan berpihak kepada ISIS, IS, ISIL dan pertubuhan-pertubuhan seperti itu. Ini telah disuarakan oleh para ilmuan Islam kita dan masyarakat Islam dari seluruh dunia. Sebagaimana wujud golongan Khawarij pada suatu zaman, merekalah penerusnya. Dan golongan ini juga telah membunuh demikian ramai orang Islam. Merekakah yang ‘mewakili’ kita sebagai orang Islam? Sejak bila kita pilih dan lantik mereka?

Peribahasa kita mengajar – tanam peria takkan tumbuh delima. Siapakah sebenarnya yang menanam ‘peria’ bernama ISIL dan kumpulan-kumpulan seumpama itu? Kata Isaac Newton dalam salah satu ‘Laws of Gravity‘nya: to every action there is an equal and opposite reaction. Apakah tindakan-tindakan yang telah dan masih dilakukan oleh pihak-pihak tertentu sehingga kumpulan-kumpulan begini boleh terus hidup dan mempunyai pelbagai peralatan dan senjata canggih?

Mengkaji sejarah, kita tahu penjajah dahulu datang ke daerah Nusantara misalnya, kerana ‘3 G’ – Gold, Glory and Gospel. Dan salah satu taktik yang sering dilakukan pihak penjajah ialah mencari helah (pretext) untuk terus menjajah. Dan pihak penjajah dan seumpamanya juga sering licik mengalihkan tumpuan anak jajahan atau orang-orang yang ingin dipengaruhi daripada isu sebenar. Apakah tragedi di Paris dan di beberapa tempat juga menghamparkan senario yang hampir serupa?

Saya ada beberapa orang adik-beradik berlainan ibu, yang menetap di Paris. Mereka berhijrah dari Pondicherry, India, ke Paris/Perancis. Pondicherry pernah dijajah oleh Perancis lantas mereka yang dilahirkan di sana sebelum tahun-tahun tertentu, dibenarkan berhijrah ke Perancis. Adik-beradik saya serta keluarga mereka dan beberapa kerabat, tidak pernah terlibat dalam apa pun pertubuhan pengganasan. Mereka hanya mahu hidup dalam keadaan damai, mengamalkan agama dan budaya mereka dengan aman. Bagaimanakah kehidupan yang terpaksa mereka lalui di Paris/Perancis, setelah kejadian ini? Kejadian di Paris ini besar kemungkinan akan menjejas kehidupan mereka sebagaimana ia menjejas sebilangan manusia lain, terutama orang Islam di seluruh dunia. Tentunya mangsa-mangsa pengeboman di Paris dan keluarga mereka juga turut terjejas kerana kejadian ini.

Yang saya harapkan – biarlah kita benar-benar mencari dan menghuraikan punca masalah dan jangan mudah berlagak bagaikan burung kakak tua, sekadar memuntahkan sesuatu tanpa berfikir, menjadi apologis yang memualkan atau menjadi begitu tegar membenci apa pun yang berkaitan dengan Islam kerana kononnya agama ini menggalakkan perbuatan sebegini. Di manakah suara-suara yang berimbang, yang ihsan, yang menangisi kemanusiaan kita yang semakin dihancurkan oleh pelbagai pihak saban waktu? Betapa mudah menjadi begitu simplistik berdepan hal-hal begini dan begitu mudah pula sebilangan kita membiuskan diri daripada benar-benar menghuraikan pelbagai masalah atau dengan bangganya sekadar menuding jari dan berlepas tangan.

Mungkin pihak-pihak tertentu ini harus bertanya, merekakah yang selama ini menanam pelbagai peria dan sebilangan besar penghuni duniakah harus terkial-kial mencari delima di ladang kemanusiaan kita yang jelas tiada benih-benih delima?

2. Saya melampirkan sebuah rencana mengenai pengganasan yang tersiar di ruangan ‘Sri Anggerik’ pada 2005. Saya juga melampirkan sebuah ulasan buku yang mungkin sesuai untuk kita fikirkan bersama. Selain itu saya memuatkan dua buah sajak – satu, mengenai keganasan dan satu lagi, untuk saling mengingatkan bahawa apa pun masalah dan petaka itu seharusnya menjadikan kita insan-insan yang lebih baik dan saksama, sebagaimana pohon-pohon menerima kotoran alam, berfotosintesis dan meluahkan oksigen untuk Bumi dan penghuninya. Saya juga titipkan sebuah lagu nyanyian Fairuz/Fairouz dari Lebanon mengenai Baitulmaqdis/al-Quds/Jerusalem. Walaupun klip video tersebut mengenai keadaan di Palestin, ia sebenarnya menggambarkan pelbagai kehancuran yang dialami mereka yang dimangsakan di beberapa pelosok dunia. Ini juga tragedi yang harus kita tangisi dan huraikan dengan saksama.

Selamat membaca.

Salam
Rasiah Halil
20 – 21 November 2015.

Advertisements

2 thoughts on “Catatan Ringkas 20 -21 November 2015

  1. Masalahnya dah ramai yg dikatakan ketua2 pengganas telah dibunuh termasuk ‘osama bin laden’ tapi kenapa ‘kumpulan pengganas’ masih kuat? Adakah mereka dari negara2 Islam yg sudah hancur lebur, dah tak ada tempat tinggal, masih ada wang utk beli senjata?

    • Terdapat pelbagai ‘pemain’ dalam scenario yang ada. Saya telah cuba menggambarkan sebahagiannya. ‘Dalang-dalang’ begini banyak penyokong dan tujuannya tentu untuk menangguk di air yang keruh. Sama ada kumpulan-kumpulan pengganas sedar mereka songsang atau tidak, membaca banyak hal yang berkaitan menunjukkan mereka ini bukan bersendiri. Wallahu aklam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s