Pengganasan – Harus Dikecam Tidak Kira Siapa Pelakunya – Muslim Atau Bukan

Pada Rabu lalu, 6hb Julai 2005, ketika London dipilih untuk menjadi tuan rumah bagi sukan Olimpik 2012, Sri turut berasa gembira. Malah Sri menelefon salah seorang anak saudara Sri di Singapura memberitahunya Sri akan ke rumah saudara-maranya di United Kingdom semasa sukan Olimpik itu, kerana sudah lama tidak bertemu mereka. Namun kegembiraan ini musnah bila keesokan hari, pada waktu malam Sri mendengar berita pengeboman di London. Seperti penghuni dunia lainnya Sri begitu terperanjat dan sebagai tindakan refleks, serta merta ingatan Sri beralih kepada beberapa orang anggota keluarga Sri yang menginap dan berkeluarga di sana selain dua orang anak saudara Sri yang kini menuntut di United Kingdom. Sri tidak dapat tidur betul malam itu kerana beberapa kali terbangun dari tidur dan keesokan harinya, terlambat pergi kerja. Sri dapat menghubungi anak saudara Sri pada hari Jumaat dan bertanyakan khabar keluarga Sri di sana. Walaupun ada anak saudara Sri menginap dan bekerja di London, pejabatnya tidak terlalu dekat dengan tempat-tempat pengeboman. Malah dua orang adik ipar anak saudara Sri juga terlepas dari nahas tersebut, walaupun bekerja berdekatan tempat-tempat pengeboman.

Beberapa orang anggota keluarga Sri di United Kingdom berdarah kacukan Inggeris. Malah anak-anak saudara Sri juga berkahwin dengan orang-orang Inggeris. Bagi salah seorang anak saudara Sri pula, adik iparnya, seorang marin di Britain, mati di Iraq semasa Perang Iraq pada 2003. Adik ipar anak saudara Sri ini beragama Kristian dan mati dalam satu ‘friendly fires’ di Iraq.

Bukan kerana pertalian darah lantas Sri terperanjat dan sedih kerana kejadian ini. Tanpa apa-apa pertalian darah pun, sesiapa yang mencintai kedamaian akan bersedih dengan beberapa kejadian di dunia kita kini. Air mata kita berjurai mengetahui malapetaka buatan manusia seperti pengeboman dan perang yang memusnahkan kehidupan manusia dan merpati putih kedamaian dan kesejahteraan bagaikan telah pupus sebagai satu spesies untuk penghuni dunia. Benarkah berakhirnya Perang Dingin dan runtuhnya Tembok Berlin, dunia kita semakin hangat dan semakin terdirinya pelbagai tembok untuk menghalang kita menghargai kehidupan dan manusia lain, betapa berbeza pun mereka daripada kita? Adalah amat menyedihkan jika pelbagai perbalahan dunia kini sama ada dengan adanya perang, pengeboman, sikap sewenang-wenang pihak-pihak tertentu menjadikan kita penghuni dunia yang semakin curiga-mencurigai, dendam -mendendami, dan memisahkan penghuni dunia dengan dipagari keterasingan ‘kumpulan kita’ dan ‘kumpulan mereka’? Dan kita akan berakhir dengan kemusnahan segala.

Tiada siapa yang saksama pertimbangannya dan menghargai anugerah kehidupan yang diberi Allah ini akan bersetuju kepada pengeboman di London ini. Demikian juga dengan runtuhnya Pusat Dagangan Dunia di New York. Dan pertimbangan yang sama juga harus kita agihkan kepada beberapa pelosok dunia kini yang dilanda perang dan kemusnahan. Jika kita hanya terpanggil kerana tempat-tempat tertentu mendapat publisiti meluas tetapi tidak turut bersedih orang awam yang dibaham peluru dan senjata canggih di tempat-tempat lain, Sri rasa ada sesuatu yang tak kena pada pertimbangan kita tadi. Sebagaimana ada pihak-pihak tertentu tidak berhenti mengutuk bila kejadian pengeboman sebegini berlaku, kita juga tidak harus membisu seribu bahasa bila sebaliknya berlaku iaitu bila orang-orang awam, sama ada mengadakan majlis perkahwinan atau sekadar berkumpul, dibom oleh peluru berpandu dan kemudian diberi alasan: ‘kami tersilap’. Dan tiada publisiti meluas mengenai ini kerana orang-orang ini ‘tak penting’.

Bak kata seorang ahli forum mengenai Afrika yang Sri tonton baru-baru ini: takkanlah nyawa mereka di Barat sahaja berharga sedangkan nyawa mereka di Afrika (dan lain-lain negara) kurang berharga? Kita harus lebih berimbang melihat dan menelusuri punca-punca sesuatu kejadian seperti pengeboman di London ini dan tidak mengamalkan satu pendekatan tangkap muat dan bagaikan burung-burung kakak tua hanya menyuarakan retorika yang tidak bermakna dan tidak membantu untuk mencapai kesejahteraan dunia dan penghuninya.

Apa yang Sri sedihkan, belum pun jelas siapa pengebomnya, jari-jari telah menuding kepada kumpulan militan Islam. Dan betapa sesetengah pihak enggan mengaitkannya, sebagaimana Datuk Bandar London, Ken Livingstone, cuba berimbang dalam kenyataan-kenyataannya, namun terdapat banyak lagi pihak lain yang tidak berbuat demikian. Bak kata pepatah kita, kalau adapun nila-nila yang pernah bertitik, kini apa pun nila seolah-olah perbuatan kumpulan yang sama dan kita, sebagai susu sebelanga, tetap rosak kerananya. Namun ada juga kumpulan-kumpulan militan misalnya Tentera Republik Ireland (IRA) atau Kumpulan Pemberontak Tamil Eelam (Tamil Tigers) tidak pula kita kaitkan dengan agama mereka atau menganggap perbuatan mereka cuba memusnahkan tamadun dunia. Kadangkala label-label yang kita kaitkan kumpulan-kumpulan tertentu lebih memudaratkan kedamaian yang kita semua ingin kecapi kerana yang terjejas teruk adalah orang-orang yang tidak terkait dan tidak berdosa.

Sri berharap kita akan selalu bersikap adil dan saksama dalam menangani soal pengeboman dan kehancuran kehidupan, di mana pun ia berlaku. Minggu ini Srebrenica memperingati 10 tahun kaum lelaki dan kanak-kanak lelaki Muslimnya seramai 8000 orang dibunuh beramai-ramai di daerah kawalan Pertubuhan Bangsa-banga Bersatu, oleh orang-orang Serb. Dua orang panglima Serb yang melancarkan pembunuhan itu belum lagi diberkas sehingga kini. Selain pengeboman di London, ini juga harus kita kutuk.

Ditulis: 13 Julai 2005
Tajuk Asal: Kedamaian Yang Semakin Pudar
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu, Singapura pada 17 Julai 2005
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s