Ulasan Buku: Have A Little Faith

Muka depan buku Mitch Albom

HAVE A LITTLE FAITH A TRUE STORY

Tulisan: Mitch Albom: New York, Hyperion, 2009.

Pendahuluan

Apakah penyalahgunaan dan perlekehan agama yang berleluasa kini serta rentak hidup yang
serba cepat lagi canggih, agama itu masih ada peranan dalam kehidupan?

Inilah secara tidak langsung dibongkar oleh Mitch Albom, pengarang Tuesdays With Morrie. Mitch merupakan seorang wartawan, penulis novel, drama dan skrip filem. Pendidikan awalnya merupakan
gabungan aliran sekular dan agama Yahudi dan di universiti pun, Universiti Brandeis, Mitch dikelilingi ramai penganut agamanya. Namun apakah Mitch benar-benar memahami agama? Mitch menganggap acara-acara agama sebagai sesuatu yang ‘manis, tapi ketinggalan zaman’. Sebagai wartawan khususnya Mitch menjadi sinis terhadap mereka yang sering mempergunakan agama.

Kisah-kisah Dalam Have A Little Faith

Namun, bagaimanakah perasaan anda jika seorang alim daripada agama anda meminta anda menjadi pemimpin jenazahnya? Inilah yang berlaku pada Mitch 8 tahun lalu. Seorang pendeta Yahudi (rabai), Albert Lewis, 82 tahun, meminta Mitch menulis eulogi (kata-kata kenangan mengenai si mati) bila tiba ketikanya. Mitch terperanjat – selama 25 tahun dia tidak lagi bersembahyang di saumaah (rumah ibadat Yahudi) Beth Shalomnya, tidak mengamalkan sebahagian besar ajaran agamanya dan dia juga berkahwin di luar lingkungan agamanya – dengan wanita berketurunan Arab Lebanon dan beragama Kristian, apakah dia orang yang layak menulis eulogi seorang pendeta Yahudi?

Berbeza dengan Islam, dalam agama Yahudi dan Kristian, anda harus mendaftar untuk terikat dengan satu-satu rumah ibadat dan membayar semacam ‘zakat’ secara tetap kepadanya. Mitch tidak berpindah ke saumaah lain, lantas satu-satu rabainya adalah Albert Lewis. Tapi bagaimanakah menulis sebuah eulogi bila anda seolah-olah sudah ‘terkeluar sempadan’ dan rabai yang anda kenal sering menjadi lambang pengamal agama nan teguh lantas ‘menakutkan’ anda semasa anda membesar? Mungkinkah ada hikmah di sebalik permintaan rabainya itu?

Pada mulanya Mitch menjangkakan Albert akan meninggal dalam masa 2 hingga 3 minggu; dia bersetuju menulis eulogi dan bertemu Albert. Tapi pertemuan-pertemuan ini berlangsung selama 8 tahun; Mitch bukan hanya mengenali Albert, yang gemar menyanyi, berjenaka, bersikap positif walau menghidap penyakit berat sebagai rabai tetapi sebagai seorang manusia yang cuba mengamalkan ajaran-ajaran terbaik agamanya. Pertemuan-pertemuan inilah yang membuka lapisan-lapisan pemahaman Mitch bukan hanya terhadap agama warisannya malah pengalaman beragama.

Pada masa yang sama, setelah beberapa kali menemui Albert, Mitch terfikir betapa ceteknya pengetahuannya terhadap agama-agama lain. Beliau memulakan kerja kebajikan untuk membantu mereka yang merempat(homeless) di rumah-rumah tumpangan (shelters) di Detroit. Dan secara tidak sengaja dia bertemu dengan Henry Covington, pastor kulit hitam yang sebaya dengannya.

Kalau Albert pernah bercita-cita menjadi guru sejarah dan berakhir sebagai rabai di satu-satu saumaahnya sejak 1948 di New Jersey, dalam masyarakat kelas menengah, Henry pula menjadi orang kuat gerejanya pada 1992, di Detroit, dalam masyarakat kelas bawahan, setelah keluar dari penjara. Seperti Albert, Henry juga suka menyanyi, bersikap positif dan mengalami kematian anaknya. Berasal daripada keluarga bobrok, Henry bergelumang dengan pelbagai jenayah; mencuri, merompak, mengedar dadah dan sebagainya. Pada usia 19 tahun, dia dipenjarakan kerana dituduh membunuh, walaupun dia tidak melakukannya. Dalam penjara, dia sempat mendapatkan ijazah dan bertekad untuk berubah. Tetapi ini tidak berlaku setelah dia keluar. Dia berkahwin, mempunyai anak dan terlibat lagi dengan dadah sebagai pengedar dan kemudian, menjadi penagih. Hidupnya terumbang-ambing, sesekali dia teringatkan Tuhan tetapi masih terpalit dengan pelbagai jenayah sehinggalah terjadinya satu peristiwa.

Di Trumbull Avenue, Detroit, Henry terpaksa menggerakkan gerejanya setelah bantuan tidak lagi diberi oleh gereja pusat. Dia memulakan gereja I Am My Brother’s Keeper, di bangunan yang silingnya berlubang sebesar 10 kaki, dengan wang yang amat terhad, aliran elektrik yang terputus semasa musim sejuk dan mendekati dan berkongsi dengan mereka yang merempat, penjenayah, penagih dadah dan mereka yang memerlukan bantuan, tanpa jemu. Kenapa Henry melakukan kerja begini sedangkan dia boleh hidup senang dan mudah mendapat jutaan dolar dengan mengedar dadah? Inikah maknanya kepercayaan kepada sesuatu agama? Sang penjenayah pun boleh bertukar arah?

Kedua-dua cerita Albert dan Henry banyak menggemakan fikiran dan perasaan kita. Albert misalnya,
memberitahu Mitch bahawa ‘anda boleh berpegang teguh kepada kebenaran agama anda dan masih boleh menerima bahawa orang-orang lain mempercayai yang lain.’ (hal. 169). Bahawa ‘hati yang utuh/penuh adalah hati yang pernah dihancurkan’ (hal. 240). Dan bagi Henry pula, harapannya bagi penghuni sekitar Trumbull adalah agar ‘rumah ibadat ini menjadi bilik kecemasan anda. Sehingga anda benar-benar disembuhkan, janganlah berhenti mengunjunginya’ (hal. 153).

Penutup

Anda akan tertawa dan terharu membaca bahagian-bahagian buku ini. Ia bukan sekadar kisah seorang pendeta Yahudi dan pastor Kristian. Buku ini mengingatkan bahawa manusia yang mengamalkan yang benar-benar murni daripada kepercayaannya tidak akan berputus asa, dapat menerima manusia lain seadanya dan yakin adanya kebaikan di hati manusia, betapa malap pun percikan kebaikan itu di mata orang. Anda akan teringatkan mereka yang mengasuh anda menjadi seorang Muslim; orang tua, assatizah, sahabat handai. Dan seperti Henry, yang siling gerejanya berlubang sebesar 10 kaki, anda tahu bahawa: ‘kita semua ada lubang di siling kita, jurang tempat air mata mengalir dan peristiwa-peristiwa pahit meniup bagai kesejukan nan dahsyat. Kita berasa goyah, kita bimbang ribut apa pula nanti yang akan melanda. Tapi, dengan sedikit keyakinan, manusia boleh membaiki keadaan dan mereka benar-benar boleh berubah’ (hal. 244).

Hanya sedikit keyakinan, menurut Mitch Albom, dan betapa jauh pun seseorang menyimpang dalam pelayaran hidupnya, dia tetap dapat bersauh dalam kehidupan nan baik lagi bermakna.

Ditulis: 28 Oktober 2010
Tersiar: Berita Harian, Singapura pada November 2010.
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s