Catatan 24 – 25 November 2015: Masa-Masa Yang Berlalu Dan Sajak ‘Senja’

Setahun yang lalu ibu saudara yang saya panggil ‘Cicik’ meninggal dunia kerana sakit barah. Allahyarhamah dikebumikan pada 25 November 2014. Tulisan mengenai pemergian ibu saudara saya boleh anda ikuti dalam entri ‘Catatan’ bertajuk ‘Berpulangnya Ibu Saudara Saya Puteh Abdul Rahman’ pada 2 Disember 2014.

Saya banyak terkenangkannya, suaminya, Busu, kedua orang tua saya, beberapa kerabat dan orang-orang yang saya sayangi, dan khususnya datuk dan nenek saya yang membesarkan saya. Betapa cepat masa berlalu dan mereka yang saya sayangi ini sudah bersemadi di alam barzakh. Terasa seolah-olah baru semalam saya bersama mereka atau mengikuti perkembangan mereka tetapi kini alam saya dan mereka dipisahkan oleh jurang bernama kehidupan dan kematian.

Semasa baru-baru Cicik meninggal dunia, air mata saya mudah bergenang dan menitis bila mengingatinya. Bukan, bukan saya tidak reda akan kepulangannya ke rahmatullah – saya amat sedih melihat Cicik menanggung sakit berat iaitu barah dan saya selalu berdoa semoga Allah akan meringankan penderitaannya dengan pemergian husnul khatimah. Tetapi berdoa agar penderitaannya diringankan dan belajar reda terhadap pemergian seseorang yang anda sayang bukanlah mudah.

Secara praktikal anda boleh menerima hakikat ini dan dapat menjalankan apa pun tugas untuk menyempurnakan jenazah orang yang anda sayangi. Itulah mungkin di antara beberapa tugas terakhir anda untuk arwah. Tetapi menghadami hakikat tiadanya lagi orang tersebut di sisi anda bukanlah semudahnya.

Sesekali bila bertemu ibu saudara saya seorang lagi, bernama Rahijah, yang saya panggil ‘Kakak’, yang merupakan adik kepada Cicik, saya terasa betapa saya kini hanya ada seorang ibu saudara yang masih hidup. Dan sesekali bila Kakak berbual-bual dengan saya, saya terasa pula masa-masa saya bersamanya tidaklah sebanyak seperti dahulu. Usia kami semakin meningkat dan bila-bila masa sahaja ibu saudara yang menganggap saya lebih sebagai adiknya, kerana pernah tinggal serumah dan sama-sama, seperti Cicik, dibesarkan oleh datuk dan nenek saya, boleh sahaja dipisahkan oleh kematian. Dan kehadirannya selalu mengingatkan saya akan ketidakhadiran Cicik sebagaimana sesekali wajah-wajah sepupu-sepupu saya dan keluarga mereka mengingatkan saya kepada Cicik dan Busu saya.

Pelbagai perkara boleh membuat kita terkenang orang yang telah pergi. Kadangkala sekadar sesuatu ucapan, wajah, peristiwa, tempat, makanan, buku, lagu, suasana, boleh sahaja mengocakkan tasik kenangan kita. Sesekali bila melihat wanita berwajah cerah seperti orang Tionghoa berjalan – sama ada wanita Islam yang bertudung, seperti Cicik atau wanita bukan Islam, langkah saya seakan terhenti. Seketika saya dingatkan bahawa salah seorang ibu saudara yang saya sayangi sudah berpulang ke rahmatullah. Dan bila saya melintas sekejap ke estet perumahannya di Bedok North, air mata boleh tiba-tiba tergenang. Kedua-dua ibu saudara saya merupakan anak angkat datuk dan nenek saya – hati saya mudah tersentuh apabila seseorang itu tiada sesiapa di dunia kecuali keluarga angkatnya dan keluarga yang dibina. Dan tidak semua orang begitu terbuka terhadap sanak saudara yang tiada pertalian darah dengan mereka yang diambil sebagai saudara angkat.

Namun bertolak daripada hal ini, berpulangnya Cicik, dan sebelum itu suaminya, Busu, bererti rantai yang menghubungkan generasi ibu bapa saya dengan generasi saya sudah terputus. Pemergian mereka berdua ke rahmatullah seakan ‘finale’nya. Dan kini, generasi saya pula mula satu persatu berpindah ke alam barzakh, walaupun ini telah pun didahului oleh beberapa kerabat saya.

Apa yang kita terkenang setelah seseorang itu tiada lagi di sisi? Bukan perkara-perkara besar tetapi perkara-perkara kecil yang membuat orang itu unik dan penting kepada kehidupan kita. Mungkin cara orang itu bercakap, berbual, caranya menyikat rambut, berbedak, masak, makan, merajuk, mengusik, marah, pulang dari pejabat, duduk di kerusi, minum kopi, melayan keluarga dan sahabat, malah kadangkala termasuk cara ketawa dan batuk mereka.

Kadangkala kita menonton televisyen atau wayang dan terjumpa beberapa wajah yang mirip seperti wajah-wajah mereka yang kita sayang yang kini telah menjadi arwah dan kita menonton siri-siri demikian hanya untuk ‘melihat’ semula wajah-wajah yang kita rindui.

Wajah bapa saya, saya ‘tontoni’ melalui wajah seorang pendakwah dari Afrika Selatan yang kini telah meninggal dunia. Dan ada seorang pelakon Barat yang dahulu begitu terkenal tetapi wajah mudanya tidak banyak dapat dikaitkan dengan bapa saya. Namun, setelah pelakon ini semakin berumur, cara dia bergaul dengan orang, pergerakan dan wajahnya mengingatkan saya kepada bapa saya. Demikian juga wajah ibu saya yang ada sedikit persamaan dengan wajah seorang seniwati Jalan Ampas – hanya setelah seniwati tersebut semakin berusia dan bertudung – saya terlihat ada imbasan wajah ibu saya pada dirinya. Dan saya tontoni satu dua drama bersirinya di televisyen hanya untuk ‘melihat’ ibu saya sekali lagi.

Bila siri ‘Opah’ (siri ‘Opah’ terbitan RTM1 tahun-tahun 80-an) lakonan Zaiton Hussain dimainkan semula lewat malam tidak lama dulu, saya menontonnya. Saya pernah menonton siri ini bersama nenek saya dan wajah dan perwatakan ‘Opah’ ada persamaan dengan nenek saya. Dan sesekali air mata saya menitis menonton siri ini kerana saya merindui nenek yang membesarkan saya dan yang saya panggil ‘Mak’. Malah, beberapa waktu setelah pemergiannya, apabila saya melihat seorang nenek bersama cucunya, saya teringatkan nenek saya. Melihat wanita berumur yang berbaju kurung dengan kainnya batik serta berselendang panjang, wajah nenek yang selalu saya terkenang.

Pelbagai cara kita terkenang orang yang tiada – melintas ke tempat tertentu, mengalami satu dua perkara yang pernah mereka alami, berkumpul dengan keluarga dan sahabat yang mengenali mereka, melalui tahap-tahap kehidupan (milestones) dan sebagainya. Dalam sanubari kita ada beberapa ruang untuk mereka yang kini telah tiada dan ingatan kita kepada mereka mudah berpusar bila terdapat suasana-suasana tertentu bagai butang kepada ‘mesin kenangan’ disentuh. Dan kita mudah digenangi air mata atau kesebakan pada ketika-ketika tertentu bila mengingati mereka.

Namun, bukan semua kenangan itu berpusar kepada mereka yang telah tiada. Melihat keluarga dan sahabat anda yang semakin dewasa, anda juga merindui zaman-zaman dahulu ketika adik-beradik, anak-anak atau sahabat handai anda masih kecil atau berusia muda. Anda merindui zaman-zaman silam itu kerana kehidupan anda dan mereka telah berubah. Ahli keluarga atau sahabat yang bersama anda ‘menggelinjang’ satu kampung, main masak-masak, bola hentam, kejar layang-layang, bermandi di pantai Katong dan Changi, main kuti-kuti, guli, tikam-tikam, atau berbasikal ke Katong, pergi ke perpustakaan, menonton wayang dan minum cendol sampai perut terlalu kenyang, pergi berpesta, menjalani perkhidmatan negara bersama dan sebagainya, kini mungkin jarang lagi anda temui. Dan anak-anak atau anak-anak saudara yang dulu anda turut bersama dalam fasa-fasa kehidupan mereka, kini semakin bersayap dan ‘terbang’ ke beberapa tempat untuk memenuhi keperluan hidup mereka pula. Semuanya adalah fasa-fasa tertentu dalam lumrah kehidupan manusia yang kita maklumi tetapi jiwa kita seakan-akan mahu masa sesekali berhenti sebentar kerana kita mahu lebih lama menikmati saat-saat yang indah bersama keluarga dan sahabat handai yang kini mengorak langkah-langkah yang semakin panjang.

Sesekali dalam keadaan-keadaan tertentu, saya seperti anda juga merindui beberapa orang ahli keluarga dan sahabat walaupun tidak semua mereka jauh dari mata. Dan dalam usia yang semakin meningkat, bagasi kita mahu  lebih kita ringankan, bak kata Henry Fielding, watak dalam novel A Passage To India oleh E.M. Foster, ‘I travel light’– kita pun semakin memilih dengan siapa kita meluangkan masa kita. Ada orang kita tinggalkan di masa silam dan tidak mahu berkongsi masa kini dan masa hadapan dengannya. Ada hanya selembar kenangan yang tidak lagi mengusik jiwa. Ada yang tidak kita benarkan berlarut dalam kehidupan kita kerana terlalu banyak jadam yang telah mereka baurkan dalam kehidupan kita. Dan ada pula kita benarkan untuk berkongsi masa, berkongsi kasih, berkongsi kerenah kita kerana dalam pelbagai fasa kehidupan ini, kita mahu mereka turut menghiasi langit kehidupan kita dan kita juga mahu menjadi secarik warna dalam kepulan awan dan langit mereka.

Pepatah kita menyimpulkan dengan indahnya – meminta pada yang ada, merajuk pada yang kasih dan merindu pada yang cinta. Kepada mereka yang kita sayangi dan cintai – baik yang telah berpulang ke rahmatullah atau masih bersama kita, tentunya ada ketika-ketikanya kita merindukan mereka, walaupun mereka mungkin tinggal serumah atau sekampung dengan kita. Kita rindukan masa-masa yang berlalu dan masa-masa kita yang semakin terbatas untuk dikongsi bersama. Dan betapa benarnya bahawa kita hanya boleh merajuk kepada orang-orang yang mengasihi kita kerana hanya mereka yang sedia dan sanggup memujuk kita. Inilah fasa-fasa kehidupan – meminta (terutamanya bila waktu kecil dan terbatas keupayaan kita), merajuk dan merindu – yang sebenarnya mengikat tali-temali sebuah kehidupan.

Dan hati yang benar-benar kasih tahu ertinya sebuah kerinduan yang mendalam terhadap mereka yang telah tiada dan mereka yang masih bersama kita dalam batas-batas waktu yang semakin cepat berputar dan semakin terbatas…

Salam
Rasiah Halil
24 -25 November 2015.

Senja

Senja ini selalu bersuara tentang kematian
cerah hari bertukar kegelapan
burung-burung terbang pulang
pohon-pohon bagai menerima hukuman
sepi mendesah dalam berehatnya alam
sehingga senja pun menebarkan satu-satu tabir emasnya
seolah-olah berjanji pada manusia:
‘Usah resah dalam penantian
kan kujelmakan bulan & bintang-bintang
menerangi kegelitaan.’

Ditulis: 19 April 1983
Universiti Nasional Singapura – Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Dusk

This dusk often vocalizes death
the brightness of day turns to darkness
birds flying homeward
as if the trees have received their sentence
silence permeates the earth’s repose
until dusk spreads its golden drapes, one by one,
as if promising mankind:
‘Be not anxious in anticipation
I’ll manifest the stars & moon
to illuminate the gloom.’

Written: 19 April 1983
National University of Singapore – Bedok, Singapore
Written in Malay (‘Senja’) and translated by Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s