Catatan: Mewujudkan Sebutir Harapan

Mukadimah

Muhammad Iqbal, di dalam Javid-Nama telah menyairkan:

Harapan menggerakkan jiwa agar mengalir bagai sungai nan deras
Tanpa harapan itulah keabadian kematian
.

Pentingnya Mempunyai Harapan

Tanpa harapan, manusia itu menjadi layang-layang yang putus talinya, senang ditiup ke mana sahaja, tanpa arah atau matlamat tertentu. Tanpa unsur harapan dalam kehidupan, mungkin perubahan dan pencapaian seseorang sukar untuk wujud, lantas manusia itu menjadi beku dan tidak bermaya. Namun, bukan mudah mewujudkan unsur penting ini di dalam kehidupan.

Adakalanya terasa betapa gelap jalan-jalan kehidupan yang kita lalui, seolah-olah kita dikelilingi oleh banjaran gunung yang besar tersergam dan ditemani oleh kegelitaan malam yang tidak berbulan dan berbintang. Meredah dalam malam pekat ini, sering membuat kita hilang ketabahan dan kesabaran kerana perjalanan kita masih panjang, tetapi tiada juga muncul secebis sinar yang kita harap-harapkan. Lantaran itu, harapan yang pernah setitik demi setitik melekukkan segala kesukaran, mula mengering dan menghilang.

Terputusnya harapan kadangkala dimungkinkan oleh beberapa sebab. Mungkin kita telah berusaha tekun untuk mencapai kejayaan tetapi kesungguhan kita tidak diberi pengiktirafan, sebaliknya orang-orang yang kurang ketekunan dan pengorbanan, meraih kemenangan. Terdapat juga orang-orang yang jujur, amanah, tekun dan sebagainya diketepikan, tetapi orang-orang yang tidak memiliki nilai-nilai tersebut, mendapat perhatian ramai.

Keadaan masyarakat yang pesimistik juga boleh membuat seseorang itu hilang harapannya terhadap kehidupan. Perkara tersebut dijelaskan dengan terperinci oleh Erich Fromm dalam bukunya The Revolution of Hope. Kadangkala sesuatu masyarakat itu hilang harapannya untuk mengubah keadaan kerana terlalu percaya bahawa mereka dibeliti oleh sejarah silam yang tiada berkesudahan. Lingkaran musibah ini tidak mungkin dapat dipecahkan selagi ahli-ahli masyarakat tersebut kurang yakin akan kebolehan sendiri, terlalu bergantung kepada orang lain dan telah putus harapannya untuk menyingkap kehidupan yang lebih baik dan gemilang. Atau, ada orang yang berputus harap melihat keadaan sekeliling yang serba suram, yang tidak membolehkan munculnya golongan-golongan tertentu dalam masyarakat. Ketinggian darjah kepekaan dan penglibatan mereka tidak membolehkan golongan ini tiba-tiba berkata-kata seperti si burung kakak tua. Mereka juga tidak dibenarkan menyanyi lagu merdu si jentayu kerana kebanyakan orang tidak tahu menilai kemerduan lagu itu. Dan mereka berputus harap.

Islam telah melarang kita daripada berputus harap, apalagi berputus harap terhadap perkara-perkara yang sememangnya penting bagi sesebuah masyarakat. Kita harus percaya bahawa terjadinya sesuatu malapetaka misalnya, tetap diiringi dengan hikmah. Cuma hikmah yang diberi Allah sukar bagi kita menafsiri atau memahami. Dan kita perlu yakin, pada analisis terakhir, segala yang baik dan murni, insya-Allah, akan tampil ke hadapan, walau beberapa kali ianya diketepikan. Segala kesukaran yang dialami sebenarnya adalah ujian kerana Allah tidak akan memberati seseorang melainkan apa yang mampu ditanggunginya. Bagai sebutir pasir yang seni, kita kadangkala menyoal mengapa adanya terik sinar mentari padahal teriknya mentari itu dirasai oleh semua pasir di padang pasir itu, walaupun darjah kepanasannya berbeza bagi tiap butir pasir. Adakalanya darjah kepanasan yang tinggi dapat memurni dan melenturkan logam besi, dan selalunya hanya dengan darjah kepanasan yang tinggi sahaja, dapat dibentuk sebutir permata.

Muhammad Iqbal, seorang ahli fikir dan penyair Islam awal abad ke-20, tidak pernah berputus harap semasa Inggeris menjajah negaranya. Segala kegemilangan agama dan bangsanya hampir dihancurkan oleh Inggeris; masyarakatnya begitu mundur, berfikiran sempit serta penuh dengan emosi, dan mereka belum boleh memandang Inggeris dengan pandangan yang setaraf. Kompleks ‘jiwa hamba’ sering menghantui masyarakatnya. Keadaan yang sama juga mencengkam seluruh masyarakat Islam pada zaman itu. Akan tetapi, berbeza dengan kita, Iqbal tidak pernah berputus harap. Beliau percaya, unsur harapan itu penting untuk mengubah masyarakat. Bagai seorang penyelam, Iqbal menyelami ke dasar lautan peradaban Barat, mengkaji kekuatan dan kelemahan mereka, mengambil karang-karangan yang besar khasiatnya dan mengenepikan tumbuh-tumbuhan yang beracun, untuk tatapan kita. Seandainya Iqbal berputus harapan melihat kebobrokan masyarakatnya, pasti sumbangan ilmiah dan persuratannya tidak akan kita temui sekarang.

Kita tidak harus memecahkan kepala untuk meruntuhkan tembok-tembok yang sering menggelapkan sinar harapan dalam kehidupan. Sebaliknya, kita harus terus menggunakan akal kita untuk meruntuhkan tembok-tembok tersebut dengan bertukulkan harapan. Tanpa harapan, seorang Gandhi tidak mungkin mempercepatkan proses kemerdekaan bagi negaranya, seorang Martin Luther King tidak dapat mengembalikan maruah masyarakat Kulit Hitam di Amerika Syarikat. Dan tanpa bertunjangkan harapan dan hidayat Allah, Nabi Muhammad s.a.w tidak dapat meneruskan perjuangannya dan menjadikan Islam suatu agama dan cara hidup yang terbaik di dunia.

Seharusnya kita menjauhkan perasaan-perasaan yang melemahkan kita dan mula yakin bahawa selagi kita jujur dan mempunyai harapan, selagi itulah kita dapat mengubah keadaan, walaupun betapa sukar.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, marilah kita renungkan kata-kata Iqbal, semoga ia menghidupkan kembali segala harapan kita:

Jauhilah ketakutan, kedukaan dan kebimbangan
Jadilah sekeras batu, jadilah permata!
Sesiapa yang berusaha gigih dan berpendirian teguh
Kedua alam ini disinari olehnya.

Disiapkan : 25 Februari 1986
Tersiar : Majalah Bakti , Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGMS) – 1986
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s