Cerpen: Seorang Wanita

thRBO8YRTV3539766[1]th[2]

Tiba-tiba dirasakan dirinya bagai seorang Dang Anum daripada sejarah silam Singapura. Akan diheret ke hujung pasar. Disula kerana racunnya fitnah. Dan Raja Iskandar Shah tidak akan berduka. Atau diakah seorang Cordelia yang tidak pandai memadui kata, lantas disingkir oleh bapanya, Raja Lear, dalam drama Shakespeare? Diakah Siti Salina dalam novel Salina, yang dijebak masa silam? Atau dia sebenarnya seorang Mazni, daripada novel Badai Semalam, yang ingin melupakan segalanya demi masa depan?

Sesungguhnya seorang wanita kadangkala bagai embun yang mudah sirna diteriki mentari purba. Atau diakah bagai kain selembut sutera yang hanya dapat diputuskan oleh pisau yang amat tajam sahaja?

“Yang kau miliki hanyalah dirimu,” kata-kata itu seolah-olah mula bergema dalam sanubarinya. Dia cuba memaklumi, menghadami kata-kata itu ketika mengulang-tayangi layar kehidupannya. Betapa sukar menghadami kata-kata semudah itu dan betapa payahnya menyirat sebuah erti. Bagai sebuah lukisan abstrak, kata-kata itu memantulkan tafsiran yang berbagai. Dan dia harus mencanai dan mencernanya agar lukisannya bukan sekadar goresan-goresan hitam yang memalapkan siang.

Terlalu lama. Terlalu lama dia membiarkan dirinya ditariki lumpur jerlus kehidupan. Sehingga nafasnya sesak dan matanya mula kabur. Keindahan, daripada hijaunya rumput, birunya langit atau lembutnya puputan bayu seolah-olah tidak lagi menyentuh tangkai hatinya. Dia seakan-akan lumpuh dan cacat walaupun memiliki tubuh yang sempurna, boleh bergerak, bertutur dan melihat. Terlalu lama dia membiarkan dirinya bagai Siti Salina yang terjebak dalam kawasan Kampung Kambing, Singapura, selepas Perang Dunia Kedua.

“Hadapilah kenyataan, Hana,” suara itu bergema lagi. “Kenyataannya, tuntutan kehidupan ini banyak yang tidak sempurna. Tidak semua begitu unggul, malah banyak yang berserabut. Dan orang seperti kau akan terus menderita jika tidak benar-benar memahami kenyataan ini. Bila lagi akan kau fahami segalanya?”

Ya, bila lagi? Bila lagi akan dihentikan segala penyeksaan yang samar ini dan berdiri tegak sebagai manusia yang mempunyai harga diri? Bila lagi akan diisytiharkan perkataan ‘tidak’ bila tuntutan-tuntutan itu semakin hambar dan meruntun hati? Atau diakah akan terus disereti rantai-rantai silam yang seakan ingin menenggelamkan sebuah kehidupan?

Diakah yang dibelenggui rasa kehilangan yang mendalam? Bagai Dang Anum yang tidak dapat melakukan apa-apa kerana dendam dan fitnah adalah belati berbisa? Diakah Siti Salina yang tidak dapat keluar dari lingkaran musibah yang akan terus berpusar dalam kehidupannya? Atau diakah Cordelia yang akan terus tersendiri kerana disingkir oleh seorang bapa?

“Kau bukan kanak-kanak berusia 8 tahun, Hana. Kau seorang wanita dewasa. Sudah tiba masanya wanita itu diberi perhatian. Dianggap penting dalam kehidupan. Dihargai. Atau kau ingin terus dijerati tali-temali purba yang mencerut lehermu?”

Fikiran dan perasaannya bercelaru mendenagr gema kata-kata itu. Apakah dia tidak berani menghadapi kenyataan? Masihkah dia dibelenggu kenangan silam? Ingin dia pergi jauh daripada segalanya, namun selagi dia tidak dapat mendamaikan pelbagai tuntutan hidupnya dengan saksama, selagi itulah kedamaian itu tidak akan ditemuinya.

Dia tahu daerah seberang itu seakan-akan memanggil kehadirannya. Ketenangan, kebahagiaan, kebebasan serta penglibatan-penglibatan yang lebih bererti, itulah tarikannya. Inikah yang dikatakan sebuah pelayaran nan panjang yang akan berakhir di pelabuhan tenang? Atau diakah sekadar menggantikan sekelompok manusia dengan kelompok yang lain, yang pada natijahnya tetap serupa? Dan apakah jadamnya peristiwa-peristiwa yang pernah dialami dan disaksinya akan terus berulang dan memahitkan kehidupannya?

Dia berasakan kehilangan yang tidak dapat diucapkan. Kepedihan. Kesengsaraan. Seolah-olah segala-gala yang pernah diusahakannya menjadi sia-sia. Harapan dan cita-citanya terkelar. Pintu-pintu tertutup, dalam terang dan gelap. Dan rantai terakhir kepedihan menyengat ini adalah sebuah kematian yang tidak disangka-sangka.

“Menangislah Hana, dan lepaskan peristiwa-peristiwa itu berlalu. Jangan lagi memberati hidupmu. Wanita yang kuat juga menangis, Hana, pada waktu-waktu tertentu.”

Dan dia teringatkan moyangnya, Hasinawati, yang sanggup meninggalkan Semarang di Pulau Jawa pada awal abad ke-20, kerana enggan dibelenggu tradisi berkahwin paksa. Moyangnya yang sebatang kara di Singapura, menjadi bidan dan menjual kuih-muih. Dan dia terkenangkan seorang lagi moyangnya, Nek Bulat, berketurunan Melayu dari Singapura dan Melaka, begitu tabah menjadi bidan dan tukang ubat. Dan dia terkenangkan neneknya, Fatimah, yang tanpa saudara, tetapi ramah mendekati manusia. Neneknya yang menjadi bidan di perkampungan Masjid Omar Kampung Melaka di Singapura, yang sanggup menjadi pembantu rumah dan membuat kerja-kerja sambilan, demi membesarkan anak cucunya. Dia teringatkan ibunya, Halimah, yang sanggup berdepan dengan golongan-golongan yang mencemuhnya hanya kerana perbezaan keturunan dan pandangan erlainan. Dan Hana memaklumi betapa dia juga telah mewarisi ketegasan dan ketabahan wanita-wanita ini, yang turut mencorakwarnakan kanvas kehidupannya.

Air matanya mula bertitisan. Ini bukan kelemahan. Bukan kegagalan, walaupun dia berasakan kegagalan demi kegagalan bagaikan tidak henti menjenguk kehidupannya. Air mata adalah katarsis; pembersihan jiwa pada suatu pencarian yang panjang. Dan air mata ini juga milik moyang, nenek dan ibunya.

Tidak, dia tidak mahu segala kegagalan dan peristiwa pahit itu terus meracuni kehidupannya. Dan dia bukan Siti Salina, yang kerana mengalami kehilangan keluarga dan kekasih, sanggup diseksa oleh seorang Abdul Fakar. Dia bukan Dang Anum yang tidak berdaya melawan sistem kehidupan purba yang tidak dapat diubah. Dan dia bukan Cordelia yang akan terus disingkir oleh kehidupan kerana seorang Raja Lear yang mudah dikaburi kata-kata. Dia adalah Hana, dengan segala kekuatan dan kelemahannya.

Dia berfikir sehingga lewat malam dan sepanjang malam dan dinihari itu , ada rangkaian kata yang mula berlahan-lahan bergema di hatinya.

“Hadapilah kenyataan, Hana, biar betapa pahit dan belajarlah melepaskan segala kehilangan…”

Langkah yang bakal dipilih sesungguhnya sukar. Tetapi, dia harus menjadi wanita yang lebih tabah dan tegas dalam meneruskan pengembaraan hidupnya.

Hana teringatkan Mazni, watak utama dalam novel sulung Khadijah Hashim. Mazni yang dapat melupakan Karim, Zaki, dan peristiwa-peristiwa silamnya demi menghadapi masa kininya dan mengejar cita-cita. Dia terkenangkan Nyai Ontosoroh, watak daripada novel-novel Bumi Manusia, Anak Semua Bangsa, Jejak Langkah dan Rumah Kaca tulisan Pramoedya Ananta Toer. Betapa Nyai Ontosoroh yang dijual oleh bapanya kepada Belanda, menghadapi pelbagai kesengsaraan dalam hidupnya, termasuk kematian anaknya, Annelies, berjaya melenyapkan segala peristiwa itu dan menjadi pengusaha berjaya, demi masa kini dan masa depan diri serta masyarakatnya. Dan dia terkenangkan Hasinawati, Nek Bulat, Fatimah dan Halimah, yang telah mewariskan kekuatan dan ketabahan mereka dalam kehidupannya.

Dan Hana teringat kata-kata Jean-Paul Sartre, ahli falsafah dan penulis Perancis yang dibaca buku-bukunya: ‘Kita tidak boleh merubah masa silam kita tetapi kita berupaya, melalui sikap kita terhadap masa silam itu, mengurangkan kesannya terhadap masa kini kita.’

Pelbagai kata dan peristiwa berlegar-legar di benaknya. Aku ini manusia. Penting. Wanita zaman baharu. Aku mempunyai harapan, cita-cita, keperluan. Aku tidak perlu dibelenggu masa silam yang beracun. Tidak harus terus ditukik belati-belati menyelar. Yang kumiliki adalah diriku, segala kekuatan dan kelemahanku. Dan aku harus belajar menerima diriku. Mententeramkan racun-racun peristiwa dan meramahi manusia dan kehidupan dengan hati dan fikiran yang lebih terbuka. Ya, aku harus…

Kata-kata itu menemani seorang wanita ketika azan subuh sayup memecahi kesunyian suasana.

Ditulis: 1 Mei 1992
Diperbetulkan: 16 Mei 1995
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s