Catatan 8 Disember 2015: Selamat Berpisah… Dan Sajak ‘Berpulangnya Hezairul’

TJ 1TJ2imagesYWYY2H0ZTJ3TJ4

Kata-kata kadangkala tidak mampu menggambarkan segala perasaan yang berbaur dalam sanubari kita apabila berhadapan dengan kematian mereka yang kita sayang. Kita menjadi begitu daif, amat sedih tetapi akhirnya reda akan sebuah pemergian.

Saya mendengar berita kemangkatan Tunku Abdul Jalil, Tunku Laksamana Johor, lewat malam, pada 5 Disember lalu. Saya sedang mengirim whatsapp kepada seorang kawan dan juga sedang menonton RTM1. Berita itu menyedihkan walaupun saya tidak mengenali Almarhum, saya dapat berasakan betapa berita itu amat menghibakan ayahanda dan bondanya, Sultan dan Permaisuri Johor, adik-beradik, keluarga terdekat, kerabat, mereka yang mengenali Almarhum, rakyat Johor, rakyat Malaysia dan semua yang mengikuti berita tersebut. Kematian itu selalu menyedihkan, terutama mereka yang pergi ternyata orang-orang yang kita sayangi, akrab dengan kita, baik dan ikhlas meramahi kehidupan kita.

Banyak berita, gambar, malah kiriman whatsapp Almarhum, tersiar di alam siber sejak berita kemangkatan Almarhum tersiar. Dan banyak ucapan takziah diutuskan oleh rakyat dan pemimpin, baik dari Malaysia mahupun luar negara. Malah, semasa memberi penghormatan terakhir jenazah Almarhum, ada juga warga dari Singapura dan mereka yang bukan rakyat Johor (dari negeri lain di Malaysia) turut menghadirinya. Betapa kesedihan itu dapat dirasai semua.

Saya ingin menulis catatan ini semalam (7 Disember 2015) tetapi terhalang kerana terlalu penat. Ungkapan ‘layu sebelum berkembang’ bermain-main dalam fikiran saya semasa mengikuti berita kemangkatan Tunku Abdul Jalil. Almarhum masih begitu muda, 25 tahun – seusia dengan dua orang anak saudara saya – dan Allah telah pun menjemput Almarhum pulang. Membaca berita Almarhum mencintai haiwan dan alam sekitar, ramah dengan rakyat biasa dan yang utama, menyayangi keluarganya, terutama ayahanda dan bondanya, menyentuh hati saya. Bertuahlah keluarga dan rakyat yang mempunyai anak sebegini – dan kerana Almarhum seorang yang prihatin, Allah mengambilnya lebih awal – mungkin untuk mengingatkan kita betapa hati yang luhur itu kekal selamanya di hati yang menyayanginya, walaupun kehadirannya hanya sebentar sahaja di dunia.

Dan saya turut tersentuh membaca tulisan bonda Almarhum, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah, dalam entri facebooknya hari ini. Saya hanya membaca ini melalui facebook keluarga saya yang dimasukkan oleh seorang anak saudara saya di Selangor. Betapa sedihnya hati seorang ibu, yang melahir dan membesarkan seorang anak dan kemudian melihat anak tersebut menderita kerana sakitnya dan akhirnya mengucapkan selamat berpisah kepada anak tersebut buat selama-lamanya di dunia. Demikian juga hibanya hati seorang bapa yang turut bersama anaknya dalam pelbagai tahap kehidupannya, dalam senang dan menderitanya, dan akhirnya anak itu disemadikan di liang lahad, berpisah dengannya di dunia yang fana itu, buat selamanya. Dan kesedihan yang sama dialami oleh keluarga, kerabat dan sahabat terdekat anak tersebut…

Sesiapa yang mengalami berpulangnya ke rahmatullah keluarga terdekat memaklumi betapa kenangan kita bersama mereka masih segar dalam hati kita. Bagaikan hanya semalam mereka masih bersama kita tetapi semalam juga kita telah mengucapkan selamat berpisah dengan mereka di alam dunia yang sementara ini. Dalam pertemuan-pertemuan keluarga dan handai taulan, kita selalu terkenangkan mereka yang tiada dan betapa kita ingin sesekali berkongsi cerita – suka dan duka kehidupan kita – dengan mereka yang tiada ini. Dan seringkali kita disedarkan – mereka telah berpindah ke alam yang lain dan kita juga akan menyusul tidak lama lagi.

Seorang anak saudara saya, seorang lelaki,  meninggal dunia  di Kuala Lumpur pada 3 Mac 2010. Berita ini sungguh memeranjat kami – keluarga terdekatnya. Ibu dan ibu saudara Allahyarham merupakan sepupu-sepupu saya, bahagian sebelah ibu saya. Keluarga saya dan keluarga sepupu saya ini rapat sejak dahulu – ibu kami merupakan adik- beradik kandung. Saya juga mempunyai sepupu dan kerabat di Johor dan beberapa negeri di Malaysia dan beberapa tempat lain, selain di Singapura, tetapi kedua-dua sepupu saya inilah antara yang akrab dengan kami. Berita kematian anak saudara saya ini benar-benar mengejutkan kami kerana inilah kematian anak muda pertama dalam keluarga berangkai terdekat saya.

Tidak lama selepas itu, sepupu saya, seorang ibu tunggal, menyusul anaknya pada 15 Mac 2013. Allahyarhamah menginap bersama kakaknya, sepupu sulung saya, di Ampang, setelah kematian satu-satu anaknya. Di rumah kakaknya, terdapat tiga orang anak saudaranya (dan anak saudara saya) , kakaknya dan suami kakaknya. Sesekali ada juga ibu mentua kakaknya menghuni di rumah tersebut. Kami semakin terkejut – dalam keluarganya dan keluarga saya, Allahyarhamah yang paling muda – dan Allahyarhamah yang pergi menemui-Nya dahulu. Belum pun reda sebak di hati, satu lagi berita menyedihkan kami terima pada 23 Januari 2014 – suami sepupu sulung saya meninggal dunia kerana sakit barah. Dalam masa terdekat, 3 orang yang saya kenal di Malaysia dan akrab dengan kehidupan saya, berpulang ke rahmatullah buat selama-lamanya. Rasa pilu yang dialami mereka yang ditinggalkan, hanya Allah yang tahu. Ini lebih-lebih lagi bila kami sempat bertemu, sama ada di Malaysia ataupun di Singapura. Orang-orang yang biasa bersama – bergurau, bersantai, makan dan berborak, sudah tiada lagi di sisi. Ketiadaan mereka begitu dirasakan pada waktu-waktu tertentu.

Minggu hadapan, pada 16 Disember 2015, genap 24 tahun pemergian nenek yang saya panggil ‘mak’, yang membesarkan saya. 24 tahun dan saya terasa segala-galanya hanya berlaku semalam. Dan bagi mereka yang baru kehilangan orang-orang yang mereka sayang, betapa waktu-waktu yang berlalu akan sering menghiba dan menitiskan air mata mereka.

Pada Mac/April 2013, saya dijengah barah. Alhamdulillah, Allah masih memanjangkan usia saya kerana barah itu masih di peringkat borderline/borderline malignant, barah payudara jenis tumor phyllodes, yang amat jarang berlaku (rare). Pada Jun 2014, saya hampir dijengah lagi, tetapi alhamdulillah, sekali lagi saya terselamat. Kesihatan saya tidak sebaiknya tetapi alhamdulillah.

Semasa sakit dahulu, saya terkenangkan banyak hal, terutama hubungan saya dengan Allah – dosa dan amalan saya. Saya juga terkenangkan orang-orang yang rapat dengan saya – keluarga dan sahabat handai terdekat saya. Saya menyiapkan wasiat untuk menyempurnakan beberapa keperluan untuk saya dan mereka.

Namun, dalam selang-seli semua ini dahulu, saya terfikirkan masa-masa saya yang semakin terbatas dengan mereka. Hati saya sayu mengenangkan beberapa orang ahli keluarga saya dan yang paling sayu, saya terkenangkan ibu saudara yang saya panggil ‘kakak’. Beliaulah pengganti nenek saya bagi kehidupan saya. Sepanjang hidup saya, sejak kecil dan kami tinggal serumah, ada perasaan mahu selalu melindunginya, walaupun apa yang dapat saya lakukan untuk melindungi kebajikan beliau amat terbatas.  Saya sanggup menerima apa pun kesukaran asal ibu saudara saya tidak menerimanya. Itulah saya fikirkan pada masa itu – saya tidak akan lagi bersamanya dan melindungi ibu saudara saya, yang merupakan anak angkat. Benar, beliau ada keluarga tetapi beliau tidak mempunyai anak sendiri. Dan saya kenangkan anak-anak saudara saya – saya tidak akan melihat mereka membesar dan berkongsi kegembiraan dan kedukaan mereka.

Sejak remaja saya meluangkan masa untuk anak-anak saudara saya dan saya gembira dapat bersama mereka pada tahap-tahap kehidupan mereka. Ada yang lebih akrab dan ada pula kurang memberikan kesempatan demikian. Tidak semua mereka berada di hadapan mata saya tetapi masa-masa saya bersama mereka adalah salah satu kegembiraan hidup saya. Saya pernah berkata kepada mereka, andainya saya harus memilih antara ke acara sastera yang gah dengan berada bersama mereka, saya akan selalu memilih bersama mereka, melainkan saya terpaksa menghadiri acara sastera tersebut. Mereka yang saya sayang ini lebih bererti kepada saya daripada apa pun karya seni saya.

Mengikuti berita kemangkatan Tunku Laksamana Johor, yang berusia 25 tahun, saya terkenangkan anak-anak saudara saya, terutama mereka yang sebaya dengannya. Selain beberapa orang anak saudara (ada yang sudah berkeluarga) yang meluangkan masa bersama saya, tiga orang anak saudara saya, ketiga-tiga lelaki dan masih bujang – dua orang berusia 25 tahun dan seorang berusia 24 tahun, juga meluangkan masa dengan saya, dari masa ke semasa.

Saya hanya ibu saudara mereka yang jarang dapat bersama mereka, dan nauzubillah, hati saya akan hancur jika Allah menjemput salah seorang daripada mereka pada usia sebegini muda. Betapa pula perasaan ayahanda dan bonda Almarhum Tunku Abdul Jalil menerima kemangkatan anak mereka. Dan betapa perasaan semua ibu bapa di seluruh  dunia apabila anak mereka  meninggal dunia kerana pelbagai sebab – penyakit, kemalangan, perang, pengganasan, bencana alam dan sebagainya.

Dalam apa pun usia, kematian itu amat menyedihkan kita dan setiap kita akan mengambil masa untuk beredar dari duka yang mendalam ini. Kenangan itu akan selalu tertayang di hadapan mata – kerana cepatnya masa seolah-olah berputar. Betapa pun mendalam kedukaan kita lebih mendalam lagi kasih sayang kita kepada orang-orang yang telah tiada.

Kedukaan dan kehibaan itu akhirnya adalah sesuatu yang amat privet. Walaupun ada orang berkongsi whatsapp mereka dengan Almarhum Tunku Abdul Jalil di alam siber, lebih banyak lagi yang disimpan oleh ayahanda dan bonda serta keluarga terdekat Almarhum. Banyak lagi kenangan yang disimpan oleh orang-orang terdekat dan tersayang Almarhum dan mereka yang kita sayang tetapi kini telah meninggal dunia kerana tidak semua mahu kita kongsikan dengan seluruh dunia. Dan kasih yang amat mendalam itu kadangkala tidak dapat dilahirkan dalam kata-kata.

Semoga keluarga Almarhum Tunku Abdul Jalil akan tabah menghadapi dugaan ini dan semoga semua yang mengalami kehilangan orang-orang yang mereka sayang, akan sama tabahnya menghadapi dugaan Allah. Kita hanya berpisah sebentar dengan mereka yang kita sayang tetapi jambatan amal jariah, doa dan kasih sayang kita kepada mereka tidak pernah terpisah kerana sebuah kemangkatan atau kematian. Dalam hati kita mereka tetap hidup selama-lamanya. Dan kita akan bertemu dengan mereka di alam yang lain pula, bila tiba masanya.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil dan mereka yang telah berpulang ke rahmatullah yang kita sayangi serta menempatkan mereka dalam kalangan hamba-hamba pilihannya di jannah, insya-Allah. Al-Fatihah.

Salam
Rasiah Halil
8 Disember 2015.

Berpulangnya Hezairul

Kau & sepupu-sepupumu seharusnya membacakan
aku tahlil, sedekahkah al-Fatihah, Surah Yasin,
seharusnya kau berkeluarga, tenang bekerja,
tapi berita dari KL itu menukar & menghentikan segala:
3 Mac, tanpa sakit berat, kau tiba-tiba berpulang
30 tahun, bujang, dibesarkan sepupuku, ibu tunggal,
sekelip mata ibumu pilu kehilangan satu-satu harapannya
sekelip mata kami terlalu terharu kehilangan ahli keluarga.

Kamikah yang sering sibuk & sesekali sahaja menjenguk
susah-senangmu menjalani hidup
kamikah yang selalu alpa & membiarkan jeda bertakhta
atau kurang memberimu perhatian secukupnya
kerana dibuai bahagia atau terlalu percaya
sepimu bermakna kau & ibumu terjaga
ketiadaanmu bermakna kau bekerja
tiada berita bermakna segala-galanya sempurna.

Atau berpulangmu yang tiba-tiba ini mengingatkan:
maut boleh bila-bila sahaja mengundang
usah dipentingkan yang remeh, sementara, luaran,
kerana tali persaudaraan & amal itu panjang?

Hezairul, anak saudaraku,
kau banyak berbakti kepada ibu yang lama sakit
kau banyak menghadam sekitar yang pahit
kau banyak diduga sejak berusia kecil
semoga Allah mengampuni segala dosamu
semoga Allah membalas segala kebaikanmu
semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohmu
perkenankanlah ya Tuhanku.

Ditulis: 3 – 4 Mac 2010
Bedok; Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s