3 Kuntum Sajak: ‘Hadiah (ii)’, ‘Israk, Mikraj, Bulan & Gerhana’ dan ‘Rajut’

Hadiah (ii)

Kauberikanku hadiah terindah
hari lahirku, hari lahir Rasulullah
12 Rabiul Awal, Jumaat mulia
setelah fitnah
setelah tohmah
& racun menular merata
inikah secebis penawar
bahawa Kaulah penentu qadak & qadar
kasih & rahmat-Mu tiada terbatas
menertibkan makna ikhlas
tawaduk, tabah, tenang,
sebagaimana Kaucontohkan Insanul Kamil
pelitaku dalam gelap & getir.

Ditulis: Hari Jumaat, Februari 2010 bersamaan 12 Rabiul Awal 1431 Hijriah
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Israk, Mikraj, Bulan & Gerhana

Apollo 11 telah mendarat di bulan
20 Julai, 40 tahun lalu
tapak-tapak Neil & Buzz akan kekal
di permukaan bulan, sejak 1969 itu
‘Satu langkah kecil bagi manusia,
satu lompatan raksasa bagi kemanusiaan’
akan selamanya bergema
mengingatkan kita
bulan hanya langkah pertama
meneroka alam semesta.

Gerhana matahari paling lama telah berlaku
selama 6 minit 39 saat, 22 Julai lalu
tidak akan berulang sehingga 13 Jun 2132
& kita tertegun
melihat ia menggelapi Asia
melingkari India, Asia Tenggara, Jepun, China,
& kita takjub menyaksikan lamanya gerhana
kita takjub memaklumi kebolehan manusia
kita takjub dengan cakerawala.

Malam 27 Rejab, lebih 1400 tahun lalu
seorang insan mulia berjalan malam
menaiki kenderaan bernama Buraq
dari Masjidilharam ke Masjidilaqsa
dari Makkah, Baitulmuqaddis, melepasi angkasa
ditemani Jibrail & cerita-cerita beriktibar
menembusi langit ketujuh
berakhir di Sidratul-Muntaha
tanpa Buraq & Jibrail bersama
& sedekat anak panah dengan busurnya
dengan mata hati & mata kepala
ditemui Penciptanya
Maha Suci Maha Agung Dia
memberi hadiah istimewa
untuk insan pilihan & umatnya.

Mukjizat Israk-Mikraj bukan sekadar Buraq
bukan sekadar cerita-cerita berlambang, beriktibar,
bukan sekadar perjalanan dari Bumi ke angkasa lepas
tetapi penanda
Nabi Muhammadlah insan pilihan
dialah penutup pesanan
agamanyalah lambang kesejahteraan, kebaikan,
& anugerah istimewa Penciptanya
adalah mikraj setiap hari lima waktu
bagi hamba-hamba-Nya yang khusyuk
tanpa menempa sejarah
tanpa ditakjubkan cakerawala
kecuali iman bersinar melepasi angkasa.

Ditulis: 20 – 30 Julai 2009
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Rajut
(Setelah membaca memoir penulis itu)

Bukan dengan keangkuhan
kita jejaki kebun itu
ditumbuhi aneka kembang, pohon,
unggas, haiwan, hidup-hidupan,
kerana taman nan terhampar
ada pekebun terpilih
& tuan punya yang Maha Adil.

Buang egomu di luar
hapus segala rasa bangga
lupuskan hasad, amarah,
luputkan penilaian akliah semata
tanggalkan rasa ujub, riyak,
berjalan & inderai
taman nan permai ini.

Taman itu tak perlu kata-kata
serba tahu atau megah
ia penerima hati
tenteram di sebalik tiada
nurani tawaduk
ikhlas & reda.

Ditulis: 20 – 25 Februari 2009
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s