1 Januari 2016: Catatan Ringkas

images (5)Image 3

1. Kita baru melangkah ke tahun baharu Masihi hari ini – semoga Allah mempermudahkan dan memberkati segala urusan kita menjalani hari-hari yang mendatang. Dalam keadaan dunia yang terdapat ketegangan, perang, kebuluran, kacau bilau dan pelbagai anasir yang membahayakan kehidupan, tentunya mudah untuk kita berputus harap atau berasa tiada apa-apa yang baik yang akan berlaku. Namun, lantaran hal-hal beginilah bunga-bunga harapan dan kesungguhan kita seharusnya lebih mekar. Ini bukanlah mudah tetapi alternatifnya terlalu pahit untuk dihadami oleh kita dan kemanusiaan sejagat. Apa pun dugaan yang dihadapi, pasti ada peleraiannya kerana kita yakin Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang serta rahmat-Nya meliputi segala. Meniti kehidupan dengan sabar, berusaha gigih, berharapan mutlak kepada Allah dan reda akan apa pun yang dihamparkan kepada kita bukanlah mudah. Tetapi kita yakin bahawa setiap kesukaran yang kita hadapi akan ada kesenangannya, sebagaimana yang dijelaskan dalam Surah al-Insyirah.

Biarlah kehidupan kita bersumbukan harapan kepada Allah dan diterangi rahmat-Nya dalam apa pun kegelapan yang terpaksa kita tempuhi pada tahun ini. Dan mudah-mudahan Allah akan sentiasa memberi kita kekuatan, ketabahan dan ketenangan menghadapi jalur-jalur kegelapan yang seharusnya kita lintasi dalam kehidupan kita. Apa pun dugaan-Nya tidak akan menjadi terlalu berat sampai tidak tertanggung oleh kita kerana Allah tidak akan memberatkan kita apa yang tidak mampu kita tanggung sebagaimana Surah al-Baqarah ada menjelaskannya. Dan selain berusaha menghadapi apa pun masalah yang menjadi bahagian kita tahun ini, senjata terbaik kita tentulah berdoa kepada Allah. Akhirnya Dia yang menentukan segala qadak dan qadar serta merubah hati manusia.

2. Saya menyertakan dalam entri kali ini beberapa tulisan untuk bacaan bersama. Salah sebuah sekolah lama saya, Telok Kurau Secondary School, didokumentasikan dalam bentuk buku ‘coffee table‘ dan dilancarkan pada 29 Disember 2015 yang lalu. Pelancaran buku tersebut disertakan dengan makan malam; ada tetamu terhormat, Encik Amrin Amin, Setiausaha Parlimen (Kementerian Ehwal Dalam Negeri) dan Anggota Parlimen GRC Sembawang dan penaung projek buku tersebut, Encik Hawazi Daipi (pelajar TKSS 1967-1970), mantan Setiausaha Parlimen Kanan (Kementerian Pendidikan & Tenaga Kerja) dan mantan Anggota Parlimen GRC Sembawang. Pengerusi Jawatankuasa projek buku TKSS dan majlis pelancaran serta makan malamnya, Encik Darajit Daud (pelajar TKSS 1972-1975) dan Editor buku, Encik Ismail Pantek (pelajar TKSS 1972-1975) yang dibantu oleh pasukan penulis, pereka buku serta jurugambar. Guru Penasihat projek, Cikgu Kalthum Abdul Kader, Cikgu Rithwan/Rithwana Abdullah dan Cikgu Sahara Abdul Talib. Ahli Jawatankuasanya  terdiri daripada 10 orang mantan pelajar TKSS.  Dan selain mereka,  para penaja, mantan guru dan pelajar TKSS juga turut hadir, baik  dari Singapura mahupun dari Brunei. Ada ucapan dan persembahan oleh mantan guru dan pelajar TKSS, selain tetamu terhormat.

Saya tahu usaha mendokumentasikan sebahagian kisah sekolah lama saya ini bukanlah mudah, malah ada pelbagai kendala yang dihadapi pihak Jawatankuasa projek tersebut. Sekolah lama saya ini mula berfungsi pada 1965 dan ditutup pada 2010. Saya mengucapkan syabas kepada Jawatankuasa projek ini dan pihak penerbit buku kerana dapat mendokumentasikan sebahagian kisah TKSS. Saya diminta menghantar rencana dan puisi saya yang dimuatkan dalam buku tersebut. Rencana saya diubah-suaikan menjadi format wawancara, agar lebih sesuai dengan kehendak projek tersebut.

Saya memasukkan sebagai entri blog ini, dua karya yang termuat dalam buku ‘coffee table‘ tersebut iaitu rencana ‘TKSS Bukan Setakat Bangunan’ dan sajak saya, ‘As I Leave‘. Dan saya memasukkan juga sebagai entri sebuah lagi sajak berjudul ‘Pemergian (Kenangan meninggalkan TKSS)’ dan cerpen ‘Selamat Tinggal’ yang merakamkan kenangan saya meninggalkan sekolah lama saya. Saya sertakan beberapa gambar lama yang diambil pada 1973 sebagai pelengkap sebahagian kenangan ini.

Saya gembira semasa majlis pelancaran buku TKSS dan makan malamnya kerana dapat bertemu dengan beberapa orang guru dan kawan lama. Setelah 42 tahun meninggalkan sekolah saya, bertemu orang-orang tertentu, walaupun ada yang wajahnya agak berubah dan sukar saya kenal, tetap menyenangkan saya. Semoga adanya buku ‘coffee table‘ tersebut dan pertemuan kawan-kawan lama serta guru mereka akan selalu mengingatkan zaman persekolahan yang turut membentuk peribadi para pelajar TKSS.

3. Saya memuatkan rencana mengenai ‘Tupai’ untuk entri kali ini – semoga kisah ini ada juga manfaatnya bagi kita.

Selamat Tahun Baharu – semoga Allah mensejahterakan kehidupan kita tahun ini, insya-Allah.

Ditulis: 1 Januari 2016
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s