Catatan: TKSS Bukan Setakat Bangunan*

1 Buku Kenangan TKSS3 Gambar kelas saya, E4C, TKSS 19734 'Vote of Thanks' sebagai Head Prefect semasa Speech Day , 25 Mei 19735 Bersama beberapa rakan prefect selepas GCE O Level, 10 Dis 1973

[Gambar: Buku Kenangan TKSS yang dilancarkan pada 29 Disember 2015; kelas saya E/4C di TKSS dengan guru darjah kami, Mrs Nellie Chen pada 1973;  ucapan terima kasih saya selaku Head Prefect kepada tetamu terhormat semasa ‘Speech Day‘  di TKSS pada  25 Mei 1973; dan  bergambar bersama sebilangan kawan prefect TKSS setelah selesai peperiksaan peringkat ‘GCE ‘O’, diambil  pada 10 Disember 1973.]

Apakah kenangan yang dapat saya catatkan mengenai sebuah sekolah, yang telah saya tinggalkan 42 tahun yang lalu? Apakah kenangan ini akan turut dikongsi oleh kawan-kawan seangkatan saya pada 1973 dahulu?

Masa telah begitu jauh meninggalkan kita – sebahagian kenangan kita telah luput daripada ingatan kerana kehidupan kita semakin dirimbuni pelbagai kenangan yang lain. Namun, sesekali terjumpa kawan daripada TKSS atau melintasi daerah Telok Kurau, kenangan itu mekar semula.

Telok Kurau Secondary School/TKSS bagi saya adalah pengetuanya, Mr A. Karim Bagoo, para guru dan pelajarnya. Tanpa perkaitan ketiga-tiga ini, ia sekadar sebuah sekolah tempat saya menimba ilmu dan kemudian, tiada apa-apa yang mengesankan kehidupan saya selepas belajar di sana. Tetapi TKSS bukan sekadar sebuah bangunan dan tempat saya mendapatkan ilmu pengetahuan sahaja.

Pembelajaran saya melalui pelbagai laluan berliku, sebelum dan sesudah saya menjadi pelajar di TKSS. Saya hanya belajar di TKSS selama 2 tahun – pada 1972 dan 1973. Cerita pembelajaran saya yang berliku-liku ini boleh anda baca dalam buku saya Hikayat Sri Anggerik dan juga dalam blog saya. Apa yang akhirnya terjadi, saya disalurkan oleh Kementerian Pendidikan Singapura untuk melanjutkan pelajaran sekolah menengah saya di TKSS. Saya dimasukkan ke Menengah Tiga, walaupun saya hampir berusia 16 tahun pada 1972 kerana saya tidak pernah menduduki pelajaran menengah satu dan dua. Jadi di menengah tiga, saya harus menyelesaikan tiga tahun pelajaran dalam masa setahun, dan menduduki peperiksaan GCE ‘O’ pada 1973. Saya kehilangan setahun kerana proses pembelajaran yang berliku-liku ini.

Yang paling saya terkenang ialah seorang insan berhati mulia, pengetua TKSS pada 1972, Mr A. Karim Bagoo. Beliaulah orang pertama yang memberi saya keyakinan bahawa saya boleh menyelesaikan pembelajaran saya dengan sebaiknya. Dan saya juga bertuah dididik oleh sebilangan guru TKSS yang begitu berdedikasi menyampaikan ilmu pengetahuan. Guru fizik dan kimia saya, Mr GK Prasad Pillay misalnya, sedia memberi kelas tambahan mengenai kedua-dua bidang ilmu ini kerana saya tidak pernah mengikuti pelajaran sains sekolah menengah. Guru-guru bahasa Melayu saya (Cikgu Mohamad Omar yang mengajar saya di Menengah Tiga dan Cikgu Noorkhairati Hj Ahmad yang mengajar saya di Menengah Empat) sedia pula membantu saya membetulkan puisi-puisi yang saya tulis ketika itu, malah Cikgu Noorkhairati sanggup menghantar dan membayarkan yuran untuk saya mengikuti sebuah perkampungan sastera pada Ogos 1973. Dan guru-guru biologi (Mrs Tanapathy), sejarah (Mr Bala) , bahasa dan sastera Inggeris (Mr How di Menengah Tiga dan Mrs Nellie Chen di Menengah Empat) saya pula tidak lokek berkongsi pelbagai pengetahuan yang di luar sukatan pelajaran kerana mengetahui minat saya mengenai beberapa hal. Seorang lagi guru ialah guru lukisan saya, Mr Freddie Goh. TKSS terkenal kerana melahirkan pelajar-pelajar yang baik dalam bidang lukisan. Saya suka duduk di Bilik Lukisan TKSS dan mengulangkaji pelajaran di sana kerana lukisan-lukisan yang terdapat di bilik tersebut menenangkan saya, walaupun ketika di Menengah Empat, saya tidak lagi mengambil mata pelajaran Lukisan; saya tidak begitu baik dalam bidang ini walaupun menyukai lukisan. Mungkin seorang lagi guru yang sukar juga dilupakan ialah guru matematik saya, Mr Kempson Wong; cara pengajarannya menarik dan walaupun saya bukanlah pelajar yang baik dalam mata pelajarannya, pengajarannya membuat saya mahu lulus dalam mata pelajaran matematik. Kata-katanya dalam buku autograf saya pada 1973 itu masih saya ingat sehingga kini: ‘Rasiah, school is for exams, life is the final result’. Betapa bermakna kata-kata tersebut.

TKSS merupakan sekolah yang sederhana baik pada zaman 70-an itu dan terkenal cemerlang dalam bidang atletik, hoki, gimnastik, badminton, lukisan dan sebagainya. Terdapat dua aliran, aliran Melayu dan Inggeris di sekolah tersebut ketika itu. Uniform bagi pelajar lelaki berwarna putih dan bagi pelajar perempuan, blausnya berwarna putih dan skirtnya berwarna merah jambu (warna skirt ini kemudian ditukar kepada warna hijau tua pada tahun-tahun 80-an). TKSS pada tahun-tahun 70-an itu digunakan sebagai Sekolah Malam untuk sesiapa yang ingin melengkapkan pelajaran mereka, terutama bagi orang dewasa, pada waktu malam. Dan ia juga digunakan sebagai pusat pelajaran bahasa Melayu pra-Universiti dan lain-lain.

Yang saya kenangkan bukan sekadar fakta-fakta yang sedia ada tetapi bagaimana TKSS seakan membuka pelbagai tirai untuk saya lebih mendalami ilmu pengetahuan, mengenali pelbagai jenis insan dan lebih memahami sebuah anugerah yang dipanggil kehidupan.

Saya belajar bersungguh-sungguh dan aktif semasa saya di TKSS. Berkongsi ini bukanlah kerana saya ingin menonjol-nonjolkan diri – tapi penglibatan-penglibatan inilah yang semakin mengaitkan saya dengan TKSS. Saya mewakili sekolah dalam ‘Peraduan Bercakap Petah/Oratorical Contest’ (dalam bahasa Inggeris) pada 1972 dan 1973. Saya juga mewakili sekolah sebagai kapten dalam peraduan ‘Kelab Air Rifle’, kelab yang pertama kali ditubuhkan pada 1973. Saya terlibat aktif dalam L.D.D.S., bersukan dan dilantik menjadi Ketua bagi Ketua Murid (Head Prefect), pelajar perempuan pertama dilantik sedemikian, pada 1973. Saya juga menjadi salah seorang Sidang Pengarang majalah sekolah TKSS yang dinamakan ‘Suboh’. Dan dalam bidang pelajaran, saya mendapat beberapa Hadiah Buku semasa ‘Speech Day’ sebagai pelajar ketiga terbaik seluruh menengah 3, pada 1972 (ada 7 kelas aliran Inggeris) dan pelajar kedua terbaik bagi GCE ‘O’ pada 1973.

Apakah ertinya pelbagai penglibatan dan hadiah buku ini? Bagi saya, sesiapa pun boleh terlibat aktif dan mendapat pelbagai hadiah buku dalam persekolahannya, jika dia bersungguh-sungguh. Saya sangat berterima kasih bahawa saya diberi peluang untuk bergiat aktif semasa di sekolah dan amat terharu saya terpilih sebagai Ketua bagi Ketua Murid/Head Prefect – suatu tanggung jawab yang amat berat bagi saya yang baru setahun bersekolah di TKSS. Dan saya tidak akan lupa bahawa di TKSSlah karya-karya kreatif saya mula tersiar, pada mulanya di Majalah Harapan, terbitan Kementerian Pendidikan Singapura, kemudian di Ruangan Remaja, Radio dan Televisyen Singapura, Berita Remaja terbitan Perpustakaan Negara, bercambah ke Berita Minggu, Dewan Sastera, Prospect  Magazine, akhbar petang New Nation dan lain-lain media. Di TKSSlah, saya mengejapkan diri saya bahawa bidang penulisan akan menjadi bidang yang penting bagi kehidupan saya.

Bagi saya dua tahun belajar di TKSS sudah cukup untuk saya lebih mengenali pelbagai hal – baik dari segi penimbaan ilmu mahupun dalam berkawan dan mengenali manusia serta kehidupan. Hidup saya sebagai seorang remaja demikian diperkayakan kerana saya bersekolah di TKSS dan diberi pelbagai peluang untuk menambah ilmu pengetahuan dan terlibat dalam pelbagai aktiviti. Bagai dalam siri televisyen 80-an, ‘McGyver’, TKSS bagi saya bagaikan memberi pelbagai pengalaman tapi seperti McGyver, apa pun yang dibentangkan di hadapan kita, walaupun tidak seratus peratus sempurna, ia boleh mendidik kita dan membimbing kita untuk belajar keluar daripada apa pun hambatan kehidupan.

Semasa dalam latihan menjadi guru, salah sebuah sekolah yang saya pilih untuk latihan amali saya bagi mengajar bahasa Inggeris dan Sejarah ialah TKSS. Ini berlaku pada 1984 -1985. Kembali ke TKSS sebagai guru dalam latihan tentunya berbeza daripada menjadi pelajar di TKSS tetapi kenangan saya ketika itu mengharukan saya kerana Mr A. Karim Bagoo tiada lagi di sekolah tersebut. Berjalan di beberapa sudut TKSS saya terkenang masa-masa remaja saya berada di TKSS.

Saya juga pernah menjadi pensyarah dan melatih pelajar pendidikan dan pelajar-pelajar lain. Dan saya menyelia guru-guru pelatih semasa latihan amali mereka ke sekolah-sekolah. Saya juga pernah bertugas sebagai pelatih (trainer) di Civil Service College (Maktab Perkhidmatan Awam) dan melatih ramai guru di sekolah merata Singapura dalam kursus ‘WITS’ (Work Improvement Teams – kursus mengenal pasti dan menyelesaikan masalah). Dalam tugas-tugas sebegini saya bukan sahaja pergi ke pelbagai sekolah, malah bertemu ramai pengetua dan guru. Yang saya dapati, bukan nama sekolah yang menentukan baik buruk suasana pembelajaran dan kerja di sekolah-sekolah. Tetapi yang lebih penting ialah bagaimana peranan seorang pengetua sekolah itu dijalankan, apakah hubungan antara para guru dengan pengetua dan guru-guru lain dan bagaimana pula hubungan pengetua, para guru dan para pelajar.

Dan pengalaman-pengalaman sebegini menyakinkan saya betapa ramuan-ramuan yang tepat – pengetua yang cekap dan berhati mulia seperti Mr A. Karim Bagoo, para guru yang bekerja dengan penuh dedikasi seperti guru-guru saya di TKSS pada 1972-1973 dahulu dan para pelajar turut berusaha membolehkan pengalaman persekolahan itu sesuatu yang sukar dilupakan sepanjang hayat mereka.

Ketika meninggalkan TKSS, saya menulis 3 buah karya. Satu, sebuah cerpen berjudul ‘Selamat Tinggal’, dan dua puisi berjudul ‘As I Leave’ dan ‘Pemergian [Kenangan Meninggalkan TKSS]’. Membaca balik karya-karya ini mengingatkan saya betapa TKSS, pengetua, para guru dan pelajarnya telah turut mencorakkan busana kehidupan saya dengan motif-motif kesungguhan, ketabahan dan keadilan. Dan bagai sebutir bintang yang sentiasa bersinar, TKSS adalah antara lambang sinar kebaikan yang pernah menyuluhi kehidupan remaja saya sebagaimana saya tulis dalam sebuah sajak berjudul ‘Pengertian’:

tapi tidak putus Kau titipkan pada malam-malamku:
sebutir bintang.

*Tajuk Yang Dimuatkan Dalam Buku Kenangan TKSS
Tajuk Yang Saya Beri: ‘TKSS – Sebuah Kenangan’
Ditulis: 3 – 4 Oktober 2015
Tulisan: Rasiah Halil.

Leave a comment