Cerpen: Selamat Tinggal

Agaknya mereka terlalu gembira. Terkinja ke sana terkinja ke sini. Ataupun mereka berduka? Masih kedengaran lagi tangisan daripada seorang kawanku. Betapa sedihnya keputusan peperiksaan, atau kesan perpisahan? Tapi bukankah kita mesti berpisah? Hati ini begitu sayu akan meninggalkan bangunan ini. ‘Never can say goodbye’ nyanyian Michael Jackson berkumandang dari pangkal hingga ke hujung tingkat teratas sekolah ini. Tiap-tiap kelas kelihatan murid-muridnya memperlihatkan berbagai-bagai telatah. Ada yang terjoget-joget, terjongket-jongket, macam monyet. Ada yang masih sibuk menulis autograf, ada yang masih berbual. Dalam keriuhan segala ragam ini terasa betapa cepatnya masa berputar.

Di koridor terdiri ‘bunga-bunga bangsa’ yang masih ingin merenung kantin, makmal, padang, dan mungkin juga ada yang menanti sahaja bilakah loceng akan berbunyi. Mungkin terasa dan terbayang segala suka-duka yang pernah mereka lalui. Aku cuba buat kali terakhirnya mengingati kisah semalam. Tapi perkataan terakhir tidaklah menyenangkan, seolah-olah terakhir bererti kesudahan.

Kawanku masih sibuk menulis sesuatu. Aku memanggilnya. Kami pun menjadi ‘bunga-bunga bangsa’ yang terjuntai-juntai di tepi koridor. Dia mempunyai cita-cita yang sehaluan dengan cita-citaku, tapi mungkinkah hari esok menjadikan kenyataan segala impian di kalbu? Aku ingin kau, aku dan semua kawan kita ke kelas pra-U tahun hadapan. Apalah erti perpisahan jika tidak untuk membawa kenangan yang semurni-murninya? Bukan dengan persahabatan sahaja, tapi dalam soal masa depan – kejayaan untuk kita semua. Kawanku muram dan aku juga muram. Mungkinkah kita semua bertemu lagi pada tahun 1983 – dengan kejayaan yang telah sama-sama kita usahakan? Aku masih ragu. Perubahan menanti di muka. Dia masuk ke kelas. Mungkin berasa sedih, mungkin berfikir atau mungkin ingin berehat-rehat daripada kesan psikologi ini. Entahlah. Mataku tepat merenung dari hujung ke hujung tingkat ini. Orang-orang yang akan kutinggalkan.Johnny datang.

“Berapa banyak ‘kepujian’ (distinctions) kau dapat? … Wow banyaknya!” Dia pergi. Mungkinkah terukur keperibadian seseorang dengan ‘kepujian’? Ramai yang tidak pernah mendapat ‘kepujiaan’ tapi masih menyenangkan. Mengapa?

Aku cuba mengulang kembali bagaimana dan mengapa begitu keberatan untukku meninggalkan bangunan ini. Seolah-olah baru semalam aku melangkah kaki ke daerah ini dengan semangat yang berkobar-kobar untuk menebus segala kesilapanku. Hanya semalam. Tapi semalam ialah bulan Disember. Aku dimarah dan disuruh keluar oleh seorang guru kanan yang memandang rendah terhadap kelulusanku. Apalah yang aku ada — aku datang ke tempat ini semata-mata untuk memenuhi otak dan dada ini. Bukan untuk berpoya. Bukan. Tetapi dia menghalauku kerana pada ketika itu Mr Ikram masih berada di Kementerian Pelajaran. Dengan seribu penyesalan aku keluar dari daerah ini, tetapi Tuhan masih sayangkan aku, dalam perjalanan aku bertembung dengan Mr Ikram. Dialah orang pertama yang memberi aku keyakinan untuk bersekolah di sini.

Aku dimasukkan ke kelas 3F. Tetapi Mr Ikram tersilap menulis di kertas: “Mr Low, please admit Sharidah to your class.” Guru 3F ialah seorang perempuan, bukan Mr. Low. Aku masuk ke kelas itu. Setelah dimarahi kerana tersalah kelas, aku disuruh keluar dari kelasnya. Maka berhijrahlah aku ke kelas 3G. Tidak tersangka olehku, Mr Low begitu baik orangnya.

Betapa gerunnya aku ketika itu. Kesepian dan kekhuatiran mempergiatkan aku menulis sajak dan pantun untuk kelasku. Dan dengan cara inilah aku mengenali dan berkawan dengan kawan-kawan yang bukan genius tetapi berhati manusia. Mereka dan Mr Lowlah yang memberi aku keyakinan, yang walaupun aku ditempatkan di kelas terakhir tetapi ini bukanlah bererti aku bodoh. Aku masih boleh membuktikan kepandaianku. Aku masih ingat kata-kata yang dilafazkan oleh Mr Low ketika keputusan akhir tahun, tahun lepas, diumumkan.

Usahlah aku tuliskan apa yang Mr Low ucapkan. Aku terharu. Aku tidak akan menghampakan kau, Sir, percayalah. Kau telah memberi aku keyakinan dan kepercayaan, dan aku tidak mudah melupakan ini semua. Tidak, Sir, kesempatan dan harapan ini tidak akan berakhir di sini. Entah mengapa mataku tiba-tiba menjadi panas. Mungkinkah aku menangis? Tidak, mata, janganlah kau menangis dahulu. Belum masanya.

Ada juga murid-murid bermain-main di tepi makmal. Mataku tertenung seorang guru yang kacak, yang bermisai dan begitu reserved orangnya: Mr Gopal. Dia mengajar Fizik dan Kimia kepada kelasku tahun lepas. Entah bagaimana, aku begitu ‘terpikat’ dengannya dan kepada pengajarannya. Kebanyakan murid takut kepadanya, tetapi aku tidak. Aku memegang prinsip: kasihilah guru yang mengajar kamu, nanti kamu akan mengasihi apa yang dia ajar. Aku memberitahunya masalahku: bahawa aku sangat-sangat memerlukan pertolongannya untuk menghuraikan teori-teori sains dan eksperimen kerana aku tidak pernah menjejaki menengah satu dan dua, apalagi mempelajari ilmu sains sekolah menengah. Dia tidak pernah bosan mengajarku. Kadangkala sampai dua tiga jam dia sanggup mengajar aku seorang. Begitu bersungguh-sungguh.

Keriuhan semakin menjadi-jadi. Agaknya semua murid menengah empat sudah disumpah menjadi jembalang? Entahlah. Kenangan kepada Mr Gopal masih segar dalam ingatan.

“Tok! Tok!”
“Masuk,” suaranya terdengar.
Sir, saya memenangi hadiah bagi General Science.”
“Bagus.”
Sir ajar saya tahun depan?”
“Mungkin.”
Sir tidak dapat pastikan?”
“Tidak.”
“Tapi Sir boleh tolong saya, bukan?”
“Ya.”
Sir…”
“Ya…?”

Ah, terlalu mendatar jawapan Mr. Gopal. ‘Ya’ dan ‘Bagus’ begitu membosankan. Di sini hatiku menggelitik kesukaan, di dalam makmal ini, guru sainsku seolah-olah lebih cenderung dengan eksperimen yang sedang dibuat. Sebenarnya Mr Gopal bukanlah terlalu reserved orangnya, cuma dia agak pendiam, tetapi menyayangi anak-anak muridnya. Walaupun tahun ini dia tidak lagi mengajar aku, tapi dia masih membantu aku dalam soal-soal sains terutama apabila penjelasan guru yang mengajar tidak begitu terang. Berbanding dengan murid-murid aliran sains, apalah kepandaianku. Tapi, Sir, kau tidak pernah memperkecilkan kemahuanku untuk membuat eksperimen-eksperimen yang pernah kawan-kawanku buat. Kau telah memberi aku harapan, harapan untuk membangkitkan kejayaan. Aku tidak akan lupa kepadamu. Dengan serta-merta kenangan bersama Mr Gopal terhenti. Murid-murid terlari-lari. Gurdeep mengusik Humairah dan Swee Lian juga digiatnya. Hmm… mereka ini tak pernah diam. Aku masih dilamun semalam.

Mrs Chan ialah guru kelasku. Dia seorang guru yang sanggup bekerja keras, kalau murid-muridnya juga sanggup berbuat demikian. Kami telah menghadiahkannya sebatang pena Parker yang tertulis:

To Mrs Chan
From E/4C
1973

Semoga dia berbahagia dengan pemberian kami itu. Begitu juga aku teringatkan guru-guru menengah empatku yang lain — betapa bersungguh-sungguh setiap seorang daripada mereka. Dan juga Mr Raju — betapa dia suka bercakap hal-hal sejarah, politik dan selalu memberi aku perangsang, terutama tentang minatku terhadap dunia karang-mengarang. Sebab itulah, aku fikir, dia melantikku menjadi sidang pengarang dalam majalah sekolah kami. Bagiku, menyiapkan majalah sekolah kami adalah satu penghargaan yang tidak mungkin aku lupakan.

Kibaran bendera menyayukan hatiku. Siapakah yang bakal menaikkanmu? Siapa? Ketua bagi Ketua Murid! (Head Prefect)! Markahnya tujuh, tapi hati jadi korban. Aku cuba-cuba mengingati apa yang telah aku lakukan sebagai Ketua Murid. Tidak banyak. Kerana pihak yang membangkang lebih banyak daripada pihak yang ingin menegakkan kebenaran. Aku tahu kebanyakan daripada mereka tidak akan faham di atas langkah-langkah yang telah kuambil. Mereka mungkin selamanya tidak akan mengerti. Aku tidak memerlukan markah itu untuk rekod E.C.A.*ku kerana E.C.A. ku sudah cukup tanpanya. Tapi aku menganggapnya sebagai satu cabaran kerana Mr Ikram sanggup memberi tugas seberat itu kepada aku yang baru setahun bersekolah di sini. Tetapi kenangan hanya tinggal kenangan, aku terpaksa pergi dahulu.

Air mata bergenang di kelopak mataku semasa aku memerhatikan bendera yang masih berkibar. Bebas. Bebas seperti aku yang sudah terlepas daripada segala tugas. Bebas seperti hatiku yang ingin memeluk esok dengan seribu kejayaan. Ya, aku bebas. Masih teringat lagi ketika aku bercakap-cakap dengan guru ketua muridku, ketika aku ingin meletak jawatan.

“Saya tak layak jadi Head Prefect.”
“Tapi bukan kita yang boleh mengatakan layak atau tidaknya kita.”
“Saya tak tahan. Hati saya sakit. Pelajaran terganggu. Saya tidak tahan…”

(Aku menangis. Agaknya tangisan tidak bererti lagi. Apalah erti air mata kalau orang tidak faham nilainya?)

“Sharidah, kadangkala kita bosan dengan tanggungjawab. Tetapi memikul tanggung jawab bererti sanggup menempuh hidup. Sanggup membuat sesuatu walaupun berapa ribu rintangan…”

(Aku teringat sebuah lagu, ‘Impossible Dream’: ‘to be able to march into hell, for a heavenly cause.’)

Dan setelah peristiwa itu, aku tidak lagi berasa takut. Aku menjalankan tugasku dengan lebih yakin untuk membuktikan kesanggupanku menjadi murid perempuan pertama dilantik sebagai Ketua bagi Ketua Murid di sekolahku.

Pandanganku teralih balik kepada kawan-kawanku. Ani, kau layak menjadi pelawak. Dia tersengih. Dia macam pelesit, tidak boleh duduk diam. Dan Doris mengilai-ngilai menceritakan kisah teman lelakinya. Kawan-kawan memainkan peranan yang penting dalam hidupku. Walaupun kebanyakan daripada mereka menganggapku lebih sebagai seorang ‘ketua’, tapi kalaulah tidak kerana mereka, hidup ini akan menjadi begitu kesepian. Aku teringatkan ‘Penguin’ (Kok Guan) yang berjalan terkedek-kedek macam itik dan kawan-kawan lainnya. Seorang kawanku memutarkan rekod Lulu yang termasyhur: ‘To Sir With Love’. Hatiku diramuk kesedihan. Lagu inilah dinyanyikan bersama kawan-kawan rapatku ketika hari terakhir di Sekolah Rendah Dunman dahulu. Dan aku menangis ketika itu, begitu juga sekarang.

Memang sukar meninggalkan orang-orang yang telah berjasa kepada kita, lebih-lebih lagi apabila mereka menyayangi kita.

Aku teringatkan seorang guru yang telah banyak membantuku. Bagiku dia bukan sahaja guruku tetapi juga seorang kawan. Cikgu Nurhayati banyak memberi perangsang dalam bidang yang paling aku minati — mengarang. Dia baik hati. Ramai orang pun baik hati, misalnya Farid di kelasku. Atau Boon How, Swee Lian atau Sunita. Bukan, bukan setakat baik hati sahaja. Bagaimanakah cara yang terbaik buat aku membalas jasa baiknya? Belajar, itulah yang cikgu mahu. Aku tahu aku tidak dapat menghadiahkan apa-apa yang bernilai kepada cikgu tetapi aku berharap dengan mendapat kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan G.C.E peringkat ‘O’ku, aku dapat menggembirakan hatinya.

Koridor itu seolah-olah merayu kepada aku supaya pergi kepadanya. Ya, bila lagi dapat aku berjalan di koridor ini? Dan kawan-kawan ini semua, dapatkah kita bertemu lagi? Mungkin ada hikmahnya yang menyebabkan aku bersekolah di sini. Aku datang ke mari hanya untuk mendapatkan ilmu pengetahuan tetapi aku membawa pulang bukan sahaja ilmu pengetahuan, bahkan persahabatan yang akan aku kekalkan buat selama-lamanya. Kepada kawan-kawan, aku sungguh-sungguh berharap agar sama-sama kita memperolehi kejayaan yang cemerlang. Dan kepada guru-guru, aku berharap, tahun hadapan murid-murid mereka akan bertambah-tambah tekun daripada kami.

Loceng berbunyi. Tersesak-sesak murid-murid berlari-lari turun ke bawah. ‘Good-bye’ dan ‘Best of Luck’ terdengar di sana sini. Langkah demi langkah aku turun dari tingkat tertinggi bangunan sekolah ini. Majalah sekolahku masih kupegang erat. Ia merupakan sesuatu yang membawa kenangan suka-dukaku selama dua tahun bersekolah di sini. Aku pergi ke pejabat. Mengucapkan selamat tinggal kepada Mr Ikram yang sungguh baik hati. Kemudian, buat kali terakhir, aku menjenguk ke Bilik Guru. Selamat tinggal, kata hatiku, walaupun mereka tidak mendengar ucapan itu. Langkahku bertambah-tambah lambat apabila aku sampai di Bilik Ketua Murid. Tertulis di papan hitam: ‘Thank you for everything’. Kesedihan bertambah apabila aku sudah sampai di pagar sekolah ini. Aku menoleh. Adios, hatiku berucap lagi. Aku berharap, suatu hari nanti, aku akan kembali ke daerah persekolahan ini dengan kejayaan yang pernah diharap-harapkan oleh guru-guru yang aku sayang. Dua tahun di sini bukan sahaja merubah pandangan hidupku, tetapi juga menolong aku menghadapi hidup remajaku dengan penuh kebahagiaan.

Aku berjalan dan terus berjalan. Air mata panas menitis setitik demi setitik ke bumi. Kenangan dua tahun ini akan selamanya tersemat di hati.

Selamat tinggal sekolahku…

*E.C.A – Extra Curricular Activities/Kegiatan Luar Darjah/sekarang dipanggil CCA.

Ditulis: Akhir 1973
Lorong L, Telok Kurau Road, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s