Rencana: ‘Tupai’

squirrel 1squirrel 2squirrel 3

TUPAI

Prakata

Dalam istilah kajihayat, tupai digolongkan dalam kelompok ‘rodensia’. Bagi saya, melihat tupai melompat dari dahan ke dahan atau khusyuk memakan sesuatu, menimbulkan rasa girang. Haiwan ini begitu comel dan sering mengingatkan saya kepada siri kartun ‘Chip & Dale’, walaupun Chip dan Dale merupakan tupai tanah (chipmunk). Ada sesuatu mengenai haiwan ini yang mencuitkan rasa gembira saya, setiap kali melihatnya.

Minat saya terhadap haiwan ini bermula sejak di bangku sekolah, ketika saya terserempak dengan tupai-tupai di perkarangan sekolah rendah saya, yang kebetulan terdapat banyak pohon besar. Minat ini bercambah semasa saya menjadi mahasiswi di Universiti Singapura, di Bukit Timah, kerana perkarangan universiti itu juga menggalakkan tupai menginap di sana, terutamanya di daerah ‘Upper Quad’ dan ‘Staff Canteen’. Bagi saya, ketika jenuh menghadapi kuliah dan tutorial atau sibuk menelaah di Perpustakaan atau giat dan penat menguruskan hal-hal persatuan, melihat tupai-tupai ini sering ‘memecahkan’ rasa jenuh saya ketika itu. Begitu juga sekarang, di Institut Pendidikan Nasional (National Institute of Education/NIE – ketika rencana ini ditulis NIE dipindahkan ke bangunan Universiti Singapura buat sementara), saya suka memerhatikan tupai yang sesekali saya temui di ‘Staff Canteen’.

Tupai-Tupai Yang Saya Temui

Seperti tupai yang saya temui di ‘Staff Canteen’, tupai-tupai di Kebun Bunga, yang berdekatan dengan NIE, walaupun tetap comel tetapi mempamerkan juga suatu reaksi yang sama, yang kurang saya senangi. Tupai-tupai itu takut kepada manusia. Cubalah anda dekati tupai-tupai di ‘Staff Canteen’ atau di Kebun Bunga, memberikan sedikit makanan atau sebagainya, kecuali seekor dua, yang lain akan dengan secepat kilat menjauhkan diri. Saya rasa tupai-tupai ini telah dibesarkan dalam suatu suasana yang membuat mereka takut kepada manusia. Mungkin manusia pernah berkali melontar batu, kayu atau benda-benda seumpama itu, lantas timbul rasa gerun dan takut di hati tupai-tupai ini setiap kali mereka berdepan dengan manusia, walaupun tidak semua manusia bertindak kejam terhadap mereka. Saya kira, selagi terdapat manusia yang melontar batu dan sebagainya pada tupai-tupai itu, selagi itulah haiwan ini akan takut kepada manusia kerana pengalaman silam itu sukar dikikis semuanya. Dalam istilah psikologi gejala ini disebut ‘pelaziman’ (conditioning).

Betapa berbeza tupai-tupai yang saya temui di luar negara. Empat tahun lalu saya mengunjungi Eropah Barat, termasuk Britain. Salah sebuah tempat yang saya ziarahi ialah St. James’ Park di London. Taman ini begitu selesa dan dikunjungi ramai manusia, yang duduk berehat dan berkelah di sana. Anehnya, tupai-tupai di St. James’ Park tidak takut kepada manusia. Mereka akan mendekati manusia, bukan seekor, malah ‘sekeluarga’, berboyot-boyot dari satu kelompok manusia ke kelompok yang lain. Saya begitu tercuit oleh gelagat tupai-tupai ini ketika di sana. Mungkin perasaan takut dan gerun tidak wujud di hati mereka, kerana manusia, sejauh pengalaman tupai-tupai ini, tidak berlaku kejam terhadap mereka.

Dua tahun lalu saya mengunjung Vancouver di Canada dan California, di Amerika Syarikat. Di Vancouver, saya kunjungi salah sebuah Taman Haiwan di sana. Selain melihat berbagai-bagai jenis binatang, yang menarik perhatian saya ialah tupai-tupai. Tupai-tupai itu tidak disangkari untuk pameran tetapi memang terdapat banyak tupai dalam Taman Haiwan yang dipacaki pohon-pohon besar dan sekitaran yang luas dan hanya sebahagian sahaja dipagari untuk haiwan-haiwan tertentu. Sekali lagi saya temui tupai-tupai yang rata-rata jinak, yang menghampiri pengunjung tanpa diberi apa-apa sebagai ganjaran. Walaupun tupai-tupai ini akan lari bila dikejar, tetapi secara purata, mereka tidak takut kepada manusia.

Di California Utara, saya berkesempatan mendaki Puncak Diablo, dengan menumpangi kereta yang dipandu oleh sahabat saya. Sepanjang perjalanan ke Puncak Diablo, pemandangannya memang menarik – dengan adanya banjaran bukit, pohon-pohon, langit terbentang luas dan membiru dan sebagainya. Di beberapa tempat di Puncak Diablo juga terdapat tupai-tupai – berbagai jenis dan warnanya. Yang menyedihkan, sepanjang perjalanan ke Puncak Diablo, kami temui tupai-tupai yang mati di langgar kereta; mungkin kereta-kereta itu meluru untuk cepat sampai ke Puncak Diablo. Sahabat saya berpendapat bahawa mungkin tupai-tupai ini sedikit tuli atau tidak tahu membezakan antara bunyi kereta dengan bunyi angin misalnya, lantas dengan mudah mereka mati dilanggar kereta. Namun, tupai-tupai tetap berkeliaran di tengah-tengah kelompok manusia di Puncak Diablo, seolah-olah istilah takut tidak wujud dalam kamus hati mereka.

Pengalaman yang amat menyentuh hati saya ialah ketika saya mengunjungi University of California di Berkeley. Kampus ini memang indah – dengan bangunan-bangunan lama, padang luas, parit dan pohon-pohon besar. Dalam perjalanan menemui seorang profesor di sana, saya terserempak dengan seekor tupai. Saya memanggil tupai itu, anehnya ia datang ke arah saya dan tanpa disangka-sangka, tupai itu mencium tangan saya dan kemudian pergi. Saya tidak sempat merakamkan ini walaupun membawa kamera ketika itu. Seorang dua mahasiswa yang berpapasan dengan saya, turut tersenyum menyaksikan peristiwa itu. Mungkin ini bukanlah perkara yang aneh di Berkeley tetapi amat istimewa bagi saya. Dan walaupun tidak lagi saya jumpai tupai yang mencium tangan saya, saya terjumpa beberapa ekor tupai semasa di sana – sibuk mencari makanan dan berpapasan dengan manusia, tanpa sedikit pun berasa takut, ketika musim panas itu.

Penutup

Walau betapa penat atau bercelarunya fikiran saya, melihat seekor tupai adalah kegembiraan yang mudah membuat saya melupakan ini semua. Betapa berbezanya kebanyakan tupai yang saya temui di NIE dan Kebun Bunga berbanding dengan yang berada di luar negara. Pelaziman telah membuat haiwan yang sama melahirkan reaksi yang berbeza terhadap manusia. Dan mungkin ini memberi iktibar kepada kita – suasana yang kita adakan untuk anak-anak kita terutamanya akan menentukan reaksinya terhadap perkara-perkara lain. Kalau anak-anak kita dibesarkan dengan kekejaman dan kekasaran misalnya, mungkin sukar baginya untuk percaya kepada orang lain atau menerima orang lain dengan hati terbuka. Sebaliknya, seperti tupai-tupai di Berkeley dan St. James’ Park, jika kepercayaannya tidak dihancurkan oleh sikap kejam manusia, mungkin lebih mudah dia menaruh kepercayaan kepada sesama manusia.

Hanya berbezanya dengan tupai-tupai, manusia, sebagai individu atau kelompok, dapat keluar daripada pelaziman yang pernah dialaminya. Yang diperlukan hanyalah keyakinan diri dan kepercayan adanya kebaikan di hati manusia. Dua ‘pelampung’ ini akan membolehkan kita berenang di lautan kehidupan dengan selamat, selesa dan fikiran serta hati terbuka. Dan keindahan-keindahan yang bakal anda temui dalam perenangan ini akan menakjubkan anda lebih daripada tupai comel di Berkeley yang mencium tangan saya.

Disiapkan : 17 Oktober 1994
Tersiar : Berita Minggu Singapura pada Oktober 1994.
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s