Berdepan Dengan Masalah

Punca Masalah

Jean-Paul Sartre, seorang ahli falsafah Perancis pernah menulis: ‘Kita tidak dapat merubah masa silam kita, tetapi kita boleh, melalui sikap kita terhadap masa silam itu, mengurangkan kesannya terhadap masa kini kita.’

Kebanyakan masalah yang muncul berasal daripada bibit-bibit yang ditanam pada masa silam. Misalnya masalah keciciran dalam pelajaran mungkin terjadi kerana kecuaian pelajar itu sendiri di masa lampau, sikap sambil lewa ibu bapanya terhadap pelajaran, keadaan keluarga yang kucar-kacir, guru-guru yang tidak mengambil berat ataupun kurang semangat perjuangan dalam diri pelajar itu sendiri. Seandainya pelajar terseut hanya menyalahkan masa silamnya kerana masalah yang dihadapi, dia tidak akan mungkin benar-benar berdepan dengan masalah itu, apatah lagi merubah keadaannya. Masa silam seseorang hanya boleh memainkan peranan dalam beberapa hal sahaja; selebihnya ialah sikap individu tersebut apabila dihadapkan dengan berbagai ranjau masalah dalam kehidupan.

Manusia Dan Masalah-Masalahnya

Manusia sebagai individu dan kelompok sering berhadapan dengan masalah-masalah yang harus dihadapi, ditangkis, diubah-suai dan sebagainya demi kewujudan dan penakatannya. Apa yang sering dianggap sebagai masalah oleh kelompok ‘A’ mungkin tidak dianggap sedemikian oleh kelompok ‘B’. Perbezaan ini muncul kerana tiap kelompok mempunyai tanggapan yang berlainan dari segi pengamatan apa yang dianggap masalah. Pengamatan kita terhadap sesuatu yang dianggap masalah serta sikap kita boleh menentukan sama ada sesuatu itu hanya tinggal masalah ataupun ditukar menjadi cabaran yang memanfaatkan kita.

Terdapat sejenis ular, ular orok-orok (rattle snake) jika ia dikepung dan tiada peluang bagi memusnahkan seterunya akan menggigit ekornya sehingga ia mati. Perbuatan sepuku yang aneh ini kadangkala menjadi ikutan sesetengah kita sebagai manusia. Selalunya ada dua cara kita bertindak apabila dihadapkan dengan masalah: kita menjadikannya satu cabaran yang perlu diatasi ataupun kita berundur diri daripada memikirkan masalah itu, seperti burung kasawari, dengan anggapan bahawa masalah itu akan hilang dengan sendirinya. Sebagai contoh, seorang pelajar diberi jolokan ‘bodoh’ oleh rakan-rakan dan guru-gurunya; dia tentunya marah tetapi bagaimanakah harus dia bertindak menghadapi masalah itu? Menurut cara pertama, dia akan belajar bersungguh-sungguh dan membuktikan kepada khalayak tertentu bahawa dia sebenarnya tidak ‘bodoh’. Tindakan begini tentunya mengambil masa yang lama untuk membuahkan hasil, kerana dia harus sabar membajakan dirinya dengan ketekunan, pengorbanan dan kebijaksanaan. Kejayaan beberapa orang anggota masyarakat kita, setelah berjuang dalam bidang masing-masing kerana jolokan tertentu ataupun cabaran tertentu sering membuktikan langkah ini banyak manfaatnya. Sebaliknya, kemarahan pelajar tadi mungkin membuat dia memilih cara bertindak kedua; dia setakat marah tetapi tidak melakukan sesuatu bagi merubah jolokan buruk itu terhadap dirinya. Dia mungkin pula memilih jalan mudah untuk menjauhkan diri daripada diejek; dia enggan meneruskan pelajarannya. Tentunya tindakan kedua ini amat merugikan diri dan masyarakatnya.

Sejarah seringkali membuktikan bahawa masyarakat yang berani berdepan dengan masalah-masalahnya akan dapat meneruskan penakatannya. Sebagai contoh, dapat kita kaji bangsa Yahudi dari segi sejarah; pilihan ini dibuat bukan kerana kita memihak kepada mereka dari segi politik dan sebagainya. Bangsa Yahudi ini satu ketika dulu, tidak dipandang tinggi oleh masyarakat Eropah, malah sering dihina kerana beberapa amalan mereka. Pandangan rendah ini tercatat misalnya pada watak Shylock dalam drama terkenal Shakespeare, The Merchant of Venice sehinggalah zaman Nazi Hitler di Jerman. Namun, kerana tekanan-tekanan demikianlah, sama ada dihina, dianiaya mahupun diusir dari negeri ke negeri (diaspora) mereka, ada orang berpendapat bangsa ini terpaksa menjadi lebih mahir dan bijak daripada masyarakat di sekeliling mereka. Kerana sering diusir dan terpaksa melarikan diri dalam masa ‘dibawa lari’. Lantas, menurut pendapat beberapa orang ini, bangsa Yahudi ini mencebur dan memahirkan diri dalam dua bidang yang ‘kelengkapannya’ dengan cepat dapat dilarikan jika mereka diusir: iaitu bidang intelek, di mana ‘harta’ mereka adalah otak mereka sendiri dan bidang niaga intan-berlian, di mana ‘harta’ mereka mudah dimasukkan ke kocek jika mereka terpaksa melarikan diri. Kita tidak tahu sama ada pandangan-pandangan ini seratus peratus benar tetapi apa yang penting bagi kita, bangsa Yahudi ini telah cuba menghadapi masalahnya dengan memahirkan diri dalam dua bidang penting: intelek dan perdagangan.

Beberapa tokoh yang kita kenali juga menunjukkan bahawa berani berhadapan dengan masalah lebih memanfaatkan daripada berundur diri ataupun berdiri di atas pagar. Masalah-masalah yang mereka hadapi secara peribadi ataupun sebagai sebuah masyarakat telah mereka jadikan ‘mangkin’ (catalyst) bagi menggerakkan perubahan diri mahupun masyarakat mereka ke taraf yang lebih baik. Tidak akan timbul perubahan sikap tentang perhubungan kaum di Amerika Syarikat, misalnya, jika tokoh-tokoh seperti W.E.B. Du Bois dan Martin Luther King Jr tidak berani menangkis masalah yang dihadapkan kepada masyarakat mereka. Seorang Iqbal, dengan keanggunan falsafah dan puisinya tidak akan terserlah di mata dunia seandainya beliau gagal berdepan dengan masalah penjajahan Barat ke atas negara-negara Islam ketika itu. Raden Atjeng Kartini hanyalah akan menjadi nama seorang puteri silam seandainya tokoh ini tidak berani berhadapan dengan masalah tanggapan umum terhadap masyarakatnya, terutamanya kaum wanita pada zamannya.

Akhir Kalam

Sesuatu masalah itu boleh terus menjadi musibah ataupun manfaat bergantung kepada pengamatan, sikap dan tindakan kita terhadapnya. Kita tidak berupaya bertindak seperti burung kaswari, dengan menyembunyikan kepalanya ke dalam tanah, ia menganggap sesuatu masalah itu telah tiada. Kita sering memerlukan keutuhan tekad, kesabaran dan kebijaksanaan untuk merubah sesuatu masalah menjadi manfaat. Seperti kata-kata yang tertulis pada sebuah poskad:

Tuhanku,
Berilah aku ketenangan menerima perkara-perkara yang tidak dapat aku ubah;
Keberanian merubah perkara-perkara yang boleh aku ubah;
Dan kebijaksanaan untuk membezakan keduanya.

Disiapkan : 4 – 13 Ogos 1989
Taman Puri, Negara Brunei Darussalam
Tersiar: Berita Minggu (Singapura), Ogos 1989
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s