Perpustakaan Kecil Untuk Keluarga

About-NL-Building2[1]MAIN-BEPL-cropped[1]

Pendahuluan

Kata-kata yang sering kita baca dan dengar sejak kebelakangan ini ialah ‘Ilmu itu kuasa/ Knowledge is power’. Tiada siapa dapat menafikan kewajarannya pernyataan ini, terutama dalam zaman teknologi maklumat ini. Dalam salah sebuah pepatah puak Peribumi Amerika yang pernah saya baca, tertulis: Give me knowledge, so I may have kindness for all. Tanpa pengetahuan, segala jerih-payah kita dalam melalui kehidupan hanya tinggal sebuah kenangan, yang mungkin hilang ditelan zaman. Pengetahuanlah, antara beberapa faktor penting bagi pengukuhan diri peribadi mahupun sesuatu kelompok manusia.

Pentingnya Diadakan Perpustakaan Di Rumah

Bagaimanakah caranya kita menjadikan ilmu pengetahuan sebagai salah satu acara kehidupan harian kita? Saya rasa satu perkara yang amat penting, terutama bagi ibu bapa ialah menyediakan buku-buku bacaan yang mencukupi serta mengadakan perpustakaan kecil di rumah untuk semua penghuni rumah, termasuk anak-anak kita. Apa pentingnya buku-buku ini, terutama bagi anak-anak yang belum tahu membaca?

Persekitaran yang memberangsangkan bagi penumbuhan dan pemupukan ilmu pengetahuan adalah penting, terutama bagi mereka yang mempunyai anak kecil. Lantas, adanya ruang untuk perpustakaan kecil di rumah, membantu ke arah itu. Walaupun belum boleh membaca, adanya buku-buku, terutamanya yang bergambar memberi maklumat dan pengetahuan kepada anak-anak kita. Dan kanak-kanak terutamanya, mudah meresap pengetahuan (lebih kurang 75 peratus) jika ia disampaikan dalam bentuk visual yang indah. Dan ini dibantu lagi jika cerita-cerita disampaikan dengan menarik oleh orang tua.

Perkara yang hampir sama juga dapat disampaikan dengan menggunakan sofwe pendidikan yang dicipta khas untuk pembelajaran. Namun, keenakan semacam perpustakaan kecil di rumah, memang banyak faedahnya bagi ahli keluarga, selain adanya komputer dan sofwe-sofwe yang membantu.

Pada tahun 60-an dan 70-an, satu ‘kelainan’ yang terdapat dalam rumah-rumah kita dulu ialah adanya semacam almari di ruang tamu, yang diisi dengan berbagai jenis pinggan dan mangkuk, selalunya yang terbaru. Rumah kita juga dihiasi dengan set hi-fi, TV dan perhiasan-perhiasan yang lain. Jarang sekali terdapat rumah Melayu yang tidak pandai dihias, walaupun hiasannya mungkin tidak terlalu mahal. Kreativiti orang Melayu selalu terserlah dalam rumahnya, kerana rumah bagi kita bukan sekadar tempat tidur sahaja.

Zaman telah banyak berubah dan merubahkan cara hidup kita. Kini, dengan kuasa membeli yang lebih, kita sanggup menghiasi rumah kita dengan belanja berpuluh-puluh ribu. Sebuah rumah pangsa, boleh kelihatan lebih indah daripada rumah panggung atau banglo yang mungkin pernah kita diami dalam zaman awal-awal itu. Keinginan untuk mempamerkan pinggan-mangkuk dengan lebih berseni masih dikekalkan. Namun, pembelian barang-barang ini bukan hanya dari Robinson’s seperti pada tahun-tahun 60-an dan 70-an dulu. Sesuatu yang jarang ditemui pada zaman awal itu, masih juga jarang ditemui kini: ruang kecil perpustakaan untuk bacaan ahli keluarga.

Kurangnya ‘Peruntukan’ Kita

Apakah kesimpulan ringkas yang boleh kita dapati daripada gambaran ini? Buku-buku, yang tidak pun berharga berpuluh ribu itu, kurang ‘diperuntukan’ dalam kita sibuk menghias rumah baharu dan ligat mengecapi keselesaan hidup moden yang serba maju. Mungkin yang kita utamakan hanyalah buku-buku sekolah dan tidak mengadakan semacam ‘prasarana’ tambahan untuk ahli keluarga selesa dengan budaya ilmu dan buku. Mengadakan ‘perpustakaan’ ini bukanlah mahal, hanya memerlukan sebuah almari buku, buku-buku utama untuk bacaan semua dan ruang kecil, untuk sedikit selesa membaca buku-buku tersebut. Bagi mereka yang mempunyai anak kecil, mungkin senarai buku yang ‘wajib’ untuk anak-anak kita membaca, buku-buku pengetahuan umum untuk ahli keluarga dan lain-lain. Senarai ‘wajib’ ini dapat kita kumpulkan melalui pencarian kita sendiri di perpustakaan ataupun membaca buku-buku panduan mengenainya. Kita juga boleh melanggan majalah-majalah yang baik untuk anak-anak kita, selain meminjam buku-buku di perpustakaan umum untuk ditempatkan (walaupun beberapa minggu sahaja) dalam perpustakaan kecil kita. Dan kita boleh adakan aktiviti-aktiviti keluarga yang berpusar dengan dunia buku, bersama anak-anak kita di rumah. Juga, boleh diadakan semacam rangkaian menukar-menukar buku dengan sahabat-handai lain, yang turut mempunyai anak-anak kecil.

Apakah faedahnya usaha begini? Yang utama, anak-anak kita didedahkan kepada sekitaran ilmu pengetahuan yang baik sejak kecil lagi. Perhubungan yang akrab dalam keluarga melalui aktiviti bersama ini akan mengukuhkan lagi jalinan kekeluargaan dan juga membentuk peribadi yang cintakan ilmu. Anak-anak akan belajar mencari buku-buku yang baik dan meningkatkan pengetahuan mereka, bukan sekadar kerana ingin lulus periksa. Pendedahan kepada sekitaran ilmu ini akan membolehkan mereka ‘meneroka’ ke berbagai cabang ilmu pengetahuan, baik dalam sains, agama, sastera dan lain-lain. Dan usaha awal kita ini mungkin membolehkan anak-anak kita untuk menjadi lebih yakin akan diri dan kebolehan mereka, tahu menghargai ilmu pengetahuan, dan mudah-mudahan tabiat ini akan membesar bersama mereka hingga ke akhir hayat. Dan menurut kajian, sekitaran baik yang kita adakan untuk anak-anak (tidak semestinya mahal) amat membantu perkembangan mereka, dan sekitaran itu termasuklah buku-buku, lawatan-lawatan ke dunia luar rumah, perhubungan dengan orang lain, nilai-nilai murni yang disemai dan sebagainya. Kita adakan semacam ‘pelaziman’ (‘conditioning’) melalui sekitaran yang boleh kita bentuk dan ubah, dan adanya berbagai buku yang baik untuk pembacaan anak-anak kita memahami diri dan dunianya, juga paksinya dalam proses perkembangan dan pembangunannya. Seandainya kita lakukan ini dengan bijak, anak-anak kita tidak akan bongkak atau angkuh dengan ilmu pengetahuan yang mula ditimba dan dimilikinya.

Pengetahuan itu memang dapat diperolehi daripada berbagai sumber dan kita tidak tahu bila sesuatu ilmu pengetahuan yang mungkin kita perolehi daripada sesebuah buku itu akan membantu kita memahami sesuatu fenomena atau masalah yang kita temui. Dan banyak kajian dan biografi orang-orang yang memberi sumbangan bermakna dalam bidang sains, agama, sastera, ekonomi, teknologi dan sebagainya menunjukkan, mereka adalah orang-orang yang rajin membaca sejak kecil lagi. Seorang Stephen Hawking, Ibn Arabi, Toni Morrison, Bill Gates, Pramoedya Ananta Toer dan lain-lain tidak akan lahir dengan begitu cemerlang, seandainya ilmu pengetahuan/buku tidak menjadi ‘rakan karib’ mereka, walaupun sebahagian besar nama-nama yang tertera di atas bukan pula daripada keluarga yang senang. Yang penting, mereka telah menjadikan buku-buku sebagai perangsang untuk menjana pemikiran dan penglibatan mereka dalam bidang masing-masing.

Kesimpulan

Di Singapura, perpustakaan di estet-estet perumahan dan juga di sekolah-sekolah, bukanlah sesuatu yang luar biasa berbanding dengan beberapa negara di Asia. Malah, bagi orang Melayu/Islam, agama kita selalu menegaskan pentingnya ilmu pengetahuan dalam kehidupan kita. Kerajaan-kerajaan Islam silam, sama ada kerajaan, Aceh, Mughal, Sepanyol mahupun Baghdad, bukan hanya terkenal dengan sistem pentadbiran dan berbagai peninggalan mereka, bahkan kerana cintanya mereka akan ilmu pengetahuan, dengan didirikan perpustakaan-perpustakaan bagi mengembangkan ilmu pengetahuan dan dikumpulkan para cerdik-pandai di kota-kota besar mereka untuk tujuan pengajaran, penulisan dan terjemahan. Semua ini berlaku serentak dalam mereka mengejar kemajuan kehidupan harian.

Ketika kita sibuk menyelesakan hidup dengan membeli atau menukar rumah baharu, mungkin soal mengadakan perpustakaan kecil di rumah, boleh juga kita fikirkan bersama. Mengadakannya bukan bererti kita menunjuk-nunjuk atau bermegah, sebagaimana ada orang mempamerkan buku-buku klasik, sebagai lambang kemegahan bukan untuk dibaca. Tetapi mengadakan ruang kecil perpustakaan di rumah ini bererti kita sama-sama membimbing dan membentuk keluarga yang cintakan ilmu pengetahuan dan kita turut bertanggungjawab menangani sebahagian daripada pembelajaran anak-anak kita. Dan permulaan awal ini, insya- Allah akan membuka ruang lingkup yang lebih luas, selamat dan bahagia untuk masa depan anak-anak kita. Seperti kata pepatah: Perjalanan seribu batu, bermula dengan tapak yang satu.

Disiapkan : 10 Oktober 1996
Taman Pantai Indah, Pantai Dalam, Kuala Lumpur, Malaysia
Tersiar : Berita Harian/Minggu Singapura, 1996
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

2 thoughts on “Perpustakaan Kecil Untuk Keluarga

  1. Salah satu hadiah sehabis berharga untuk anak kita adalah kesenangan membaca. Menumbuhkan minat membaca di kalangan anak-anak tak boleh tidak harus di mulai dari rumah. Oleh itu, orang tua mempunyai peranan dalam hal ini. Membaca tetap memberikan manfaat yang besar bagi pelakunya. Sekalipun teknologi sudah berkembang sedemikian pesatnya. Semoga anak-anak kita tidak pincang menulis dan rabun membaca. Terima kasih.

    • Terima kasih, Hj Sallim kerana sudi berkongsi pandangan ini. Ya, saya setuju dengan pandangan Hj Sallim – demikianlah harapan kita untuk generasi muda kita – ‘semoga anak-anak kita tidak pincang menulis dan rabun membaca’.

      Maaf, lambat betul saya menjawab komen Hj Sallim – saya kurang sihat sejak 13 Januari dan baru dua tiga hari ini bertambah sihat. Terima kasih.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s