Apabila Nama Yang Dah Sedap Jadi Tak Sedap Pula

Sedarkah anda sejak kebelakangan ini nama orang-orang Islam di sini agak canggih? Perhatikan nama-anam yang kita beri kepada anak kita atau ikuti nama-nama yang tersiar di akhbar atau radio. Kata William Shakespeare, apalah ada pada nama, sekuntum mawar tetap harum walaupun diberi nama yang lain. Namun bagi sebahagian kita memilih nama amat penting untuk menampilkan identiti dan kadangkala kecanggihan hidup kita.

Satu masa dulu kita gemar memberi nama sempena nama hari misalnya, Isnin/Senin, Khamis, Jumaat dan Sabtu. Ada pula nama sempena bulan Islam misalnya Ramadan, Syawal, Rejab, Muharam dan lain-lain. Juga dipilih nama berdasarkan warna iaitu Hitam, Putih, Kuning dan sebagainya. Ada orang pula beranggapan, ada nama terlalu ‘berat’ bagi seorang bayi, lantas nama itu ditukar untuk lebih berpadanan. Seorang ibu saudara Sri diberi nama ‘Ramlah’ lebih 60 tahun yang lalu. Tetapi kerana ibu saudara Sri selalu menangis, namanya ditukar kepada ‘Puteh’ kerana kebetulan ibu saudara Sri ini putih melepak.

Tahun 60-an dulu ada semacam ‘kelainan’ kita membubuh dua nama yang asing misalnya Tony Kassim, Sony Abdullah, Bob Khalil dan lain-lain. Dan ada di antara kita pula terjatuh cinta dengan nama-nama bintang Indonesia, lantas muncullah nama-nama Elly Kassim, Titiek Puspa, Alfian, Affendi, Lilis Suryani dan sebagainya.

Tahun-tahun 70-an dan 80-an terutamanya, kita nampaknya tukar trend lagi. Nama-nama kita lebih kearab-araban kerana kita mahu nam-nama yang diharapkan menjadi kenyataan dalam kehidupan anak kita. Ada keinginan untuk menggunakan nama Arab yang betul, misalnya ‘Syafikah’ dieja ‘Syafiqah’, ‘Ridhwan’ dieja demikian dan bukannya ‘Reduan’ dan diejek ‘Red-one’.

Dan nama-nama kita pun dah bertambah – kadangkala anak kita sampai ada dua atau tiga nama. Misalnya, bagi anak lelaki, kita memang gemar letakkan nama ‘Muhammad’ atau ‘Ahmad’ di permulaan nama, bersempena nama Nabi s.a.w.. Kemudian, diletakkan nama keduanya keduanya, misalnya ‘Faiz’, dan ditambah satu lagi nama, misalnya ‘An’am’.

Yang perempuan pula ada yang suka meletakkan ‘Siti’ di permulaan nama anak, tapi ada kerana yang tersalah eja, dari ‘Siti’ dieja ‘City’. Jadi. Ada juga yang nama adik-beradiknya bersiti, misalnya ‘Siti Aminah’, ‘Siti Sarah’, ‘Siti Mariam’, dia seorang yang terjadi ‘City Hall’ dan tak jadi ‘Siti Hawa’…. Ada juga orang yang suka anaknya mempunyai nama ‘Nur’ di pangkal nama, misalnya ‘Nurdiana’, ‘Nurliana’, tapi adakalanya juga nama pangkal ‘Nur’ ini dieja berlainan – ada ‘Noor’, ‘Nuur’ dan pula ‘Nor’. Tak kurang pula nama ‘Nur’ ini bercahaya dua kali misalnya, ‘Nur Cahaya’…

Sri dengar juga ada orang gemar mencantumkan nama suami isteri sebagai nama pangkal semua anak. Kadangkala agak ganjil juga nama-nama ini dan selalunya nama-nama ini tidak ada apa-apa makna. Selain ini, ada juga yang mahu semua anaknya mempunyai nama yang berabjad sama, misalnya ‘A’. Atau memilih nama-nama bunga bagi anak-anak perempuan. Misalnya ‘Melur’, ‘Melati’, ‘Kekwa’, ‘Ros’, ‘Orkid’ dan sebagainya. Tetapi tidaklah sampai hendak beri anak nama bunga keembung atau bunga tahi ayam, ya?

Sri dengar juga ada orang hendak lain sedikit, pilih nama yang jarang digunakan orang , misalnya ‘Muhammad Danial’, ‘Ahmad Matin’ dan ‘Ahmad Jibrail’. Ada sesetengah nama memang kita tidak boleh gunakan dan ada nama Allah yang seharusnya kita letakkan ‘Abdul’ (ertinya ‘hamba’) bila menggunakannya. Sayangnya ada di kalangan kita, nama sudah sedap-sedap, kita sebut pula yang tak sedap…Misalnya dah indah nama ‘Aishah’, kita panggil ‘Esah’, ‘Jamal’ jadi ‘Jam’, ‘Faradibah’ jadi ‘Debab’, ‘Hafiz’ jadi ‘Apis’, ‘Bakhtiar’ jadi ‘Bak’ dan ‘Rasyidah’ adakalanya disebut juga ‘Syid’ – tapi taklah semacam novel Shahnon yang berdekatan sebutan ini…

Nenek Sri pula suka menamakan anak cucunya kadangkala sempena nama daripada hikayat. Seorang sepupu Sri dinamakan nama seorang tuan puteri daripada Hikayat Malik Saiful Lizan kerana ketika itu nenek Sri sedang membaca hikayat tersebut. Nama Sri (nama sebenar Sri tersalah ditulis oleh kerani semasa pendaftaran sijil kelahiran oleh ibu Sri dan jauh menyimpang daripada nama yang diberi oleh datuk dan nenek Sri) mulanya nenek Sri hendak beri nama seorang permaisuri dari Mesir, nasib baiklah tak jadi. Dan Sri pernah mengusik nenek, andainya masa Sri lahir, nenek Sri sedang membaca Sejarah Melayu, pakai Nampak nama Sri mungkin diberi sebagai ‘Tun Teja Ratna Benggala’. Nasib baik semasa Sri dilahirkan, nenek yang membidani ibu Sri, selain ada lagi seorang bidan, jadi tak sempatlah nenek hendak tenung-tenung hikayat…

Zaman sekarang mudah hendak tahu jantina bayi melalui alat imbasan/‘scanning’, jadi mudah juga kita menyiapkan nama. Tidaklah macam orang dulu-dulu, kadangkala bila tengok-tengok bentuk perut isteri, dia pilih nama perempuan, alangkah kalang-kabut yang lahir itu anak lelaki dan taka da nama disediakan.

Ini terjadi kepada seorang kawan Sri. Bapanya minat betul dengan P.Ramlee dan diberitahu oleh orang-orang tua, anaknya tentu anak lelaki. Tapi yang lahir, perempuan. Dia tergamam. Tak bolehlah nama P.Ramlee, lantas dipilih nama yang terdekat, campuran nama P.Ramlee dan Saloma, bukan ‘Saloram’ tapi ‘Ramlimah, yang juga lunak suaranya bila dewasa.

Beberapa nama kegemaran Sri telah Sri beri dan digunakan oleh saudara dan sahabat Sri untuk menamakan anak-anak mereka. Tetapi sejauh ini taka da orang yang nak gunakan nama ‘Azad’, yang dalam bahasa Parsi bererti ‘kebebasan/kemerdekaan’, kerana kata mereka salah-salah hemat, nanti ‘azab’…

Ditulis: 2 Ogos 1999
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura), pada 8 Ogos 1999
Tajuk Asal: Pasal Nama
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s