Catatan 30 Januari 2016

1. Banyak perkara yang meruangi suasana kita sejak kebelakangan ini. Isu keganasan seakan-akan menjadi-jadi – setelah berlaku di Jakarta dan beberapa tempat yang lain. Saya pernah menyentuh isu ini dan berharap kita akan lebih prihatin dan bukan sekadar mengeluarkan retorika menghadapi isu ini. Bahawa orang Islam yang benar-benar menghayati agamanya tidak akan melakukan hal-hal sebegini, sudah jelas untuk semua. Nabi s.a.w. mengajar kita pelbagai pedoman hidup, termasuk yang berhubung dengan sesama manusia, baik Muslim mahupun bukan Muslim. Dan sebagai orang Islam, kita juga dibendung oleh hal-hal haram, halal, wajib, sunah, makruh dan harus. Bahawa Islam mengajar kita makna ‘ibadah’, yang tidak terbatas kepada ibadah-ibadah riual semata-mata, hatta ini wajib dilakukan, memberi kita pertimbangan yang saksama bagaimana harus kita santuni sesama manusia dalam menjalani kehidupan ini. Semua ini jelas bagi mereka yang memahami Islam sebagai satu cara hidup, bukan tempelan semata-mata. Bila ini jelas, kita juga harus jelas mengapa sesetengah orang terpanggil untuk menyahut seruan kumpulan-kumpulan pengganas dan menimbulkan kacau-bilau di dunia. Perlu ada penyelongkaran hingga ke akar umbi mengapa gejala-gejala sebegini boleh muncul. Menggambarkan stereotaip dan perulangan yang hambar tidak akan menyelesaikan masalah ini. Nyawa manusia berharga, demikian ajaran Islam, dan dengan keterbukaan hati dan minda, mudah-mudahan gejala negatif seperti keganasan, dan berkait dengannya pelbagai gejala negatif yang lain dapat ditangani dengan saksama, insya-Allah.

2. Saya lampirkan sajak-sajak Muhammad Haji Salleh dan Baha Zain serta ulasan sajak ‘Orang Bestari Kini’ tulisan A. Wahab Ali, untuk renungan kita bersama. Beberapa kejadian di persekitaran kita membuat saya melampirkan karya-karya ini. Kadangkala banyak perkara boleh berulang kerana mungkin kita kurang mencari iktibar daripadanya.

3. Saya juga lampirkan dua buah tulisan daripada ruangan ‘Sri Anggerik’ saya – sekadar menghiburkan kita. Saya titipkan juga sebuah sajak yang baru saya siapkan – sejak kebelakangan ini saya banyak terkenang yang silam, lantas lahir sajak ‘Kenangan Jalan Kobis (ii)’ ini.

4. Saya tidak sempat memulakan ruangan baharu, ‘Perca Kenangan’, sebagaimana saya uar-uarkan dalam entri yang lalu. Saya jatuh sakit pada petang 13 Januari lalu dan baru pulih dua tiga hari ini. Saya terkena ‘el-nino effect’ yang juga dialami sebilangan orang di Singapura dan Malaysia. Saya bukan sahaja demam, malah batuk kokol yang begitu menyakitkan dan juga sakit mata (conjunctivitis). Kerana saya ada alahan mengambil antibiotik biasa dan sistem keimunan (immune system) saya tidak sebaiknya, saya mengambil masa untuk sembuh. Banyak rancangan saya tergendala kerananya.

Kerana perubahan cuaca, saya mudah sakit pada bulan-bulan November dan Disember tetapi kali ini berlarutan hingga ke Januari, kerana virus kesan el nino. Dan baru-baru ini, ada pula virus baharu ‘Zika’ yang mula menjangkiti beberapa negara. Ia juga boleh menjejas janin/bayi dalam rahim dan mengakibatkan kecacatan bayi. Kematian juga boleh berlaku.

Saya tahu, negara saya, Singapura, akan amat berjaga-jaga mengenai hal ini, sebagaimana beberapa masalah sebegini dahulu melanda kita. Saya berharap kita sebagai warga negara masing-masing akan memainkan peranan agar jangkitan ‘Zika’ tidak menular di daerah kita. ‘Zika’ merebak melalui nyamuk, sebagaimana penyakit denggi.

5. Hidup ini amat berharga – semoga semua pihak akan memainkan peranan masing-masing untuk lebih mensejahterakan kehidupan ini dengan menanamkan perasaan muhibah sesama warga, tetangga dan manusia serta menjaga persekitaran dan kesihatan kita. Dan semoga pelbagai masalah yang melanda masyarakat – baik di sekitaran kita mahupun di pelosok mana ia berlaku, dapat dihadapi dan ditangani dengan adil, saksama dan rasa ihsan kita.

Akhirnya, yang banyak ditekankan Islam ialah erti akhlak (kepada diri dan sesama manusia) dan sikap adil dan saksama untuk semua manusia.

Selamat membaca.

Salam
Rasiah Halil
29 – 30 Januari 2016.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s