Ulasan Sajak ‘Orang Bestari Kini ‘ Oleh A. Wahab Ali

Pengenalan

Membaca sajak ‘Orang Bestari Kini’ oleh A.Wahab Ali, yang tersiar di Dewan Sastera, Februari 1988, memikat kita untuk mentafsir maksud sajak beliau. Sajak ini sarat dengan perlambangan dan sindiran dan boleh dianggap sebagai sajak yang menyerlahkan jeritan hati penyairnya. Ia merupakan kecaman A. Wahab Ali terhadap keadaan sekeliling yang tidak sihat, khususnya golongan akademik di Malaysia. Namun, sajak ini boleh juga ditujukan kepada golongan-golongan lain di mana-mana, misalnya golongan ‘seniman’ dan pemimpin-pemimpin masyarakat.

Latar Belakang A. Wahab Ali

A.Wahab Ali terkenal sebagai seorang penyair yang banyak mengungkapkan persoalan-persoalan semasa dalam bahasa yang lembut dan sederhana. Sajak-sajaknya juga kaya dengan daya renungan dan fikiran. Antologi-antologinya seperti Penemuan, Sajak-Sajak Orang Berdosa dan antologi-antologi bersamanya seperti Laungan, Puisi-Puisi Nusantara, Pilihan Puisi Baru Malaysia-Indonesia, Di Penjuru Matamu dan lain-lain jelas menunjukkan keistimewaannya ini.

Tidak seperti kebanyakan penyair lain yang mudah meminjam kata-kata asing, A. Wahab Ali lebih gemar memilih kata-kata, lambang-lambang dan imej-imej daripada dunia Melayu yang beliau kenali. Menurut Muhammad Hj Salleh, A. Wahab Ali ‘memasukkan kita ke tengah dilemma manusia Melayu yang terhimpit oleh dua dunia yang tidak boleh disatukan.’ (Pilihan Puisi Baru Malaysia-Indonesia: hal. 64) Walaupun yang disampaikan itu adalah perkara-perkara yang berat, seperti masalah masyarakat peralihan, masalah kehilangan identiti, keruntuhan maruah dan lain-lain tetapi jarang sekali beliau menggunakan kata-kata yang bombastik bagi menyampaikan maksudnya. Kelembutan bahasanya mengingatkan kita kepada kelembutan bahasa penyair kita, A. Ghani Hamid.

Wahab Ali terdidik di sekolah Melayu sehingga ke Maktab Perguruan Sultan Idris. Beliau kemudian meneruskan pembelajarannya secara persendirian sehingga melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya untuk mendapatkan ijazah sarjana muda sastera dan sarjana sastera. Setelah beberapa tahun menjadi pensyarah di Universiti Malaya, beliau melanjutkan pelajarannya di Australia, dalam pengajian sastera Melayu dan memperolehi ijazah doktor falsafahnya. A.Wahab Ali kini bertugas sebagai pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu di Universiti Malaya. Beliau telah menulis sejak tahun 50-an lagi, tetapi kehadirannya lebih terserlah pada tahun-tahun 60-an. Selain daripada puisi, beliau juga menulis cerpen, novel dan esei.

Dipeturunkan kini keseluruhan sajak beliau:

Orang Bestari Kini

Siapakah yang bestari kini
apakah mereka itu sarjana
menghabiskan hidupnya
bagai padi berisi
dengan penyelidikan
dan suara kebenarannya
syahdu
lewat ilmu.

Siapakah bestari kini
apakah mereka itu
sekelompok mafia
membina kelompok-kelompoknya
lalu berdiri bagai lalang
riuh bagai kompang
popular bagai bintang filem
mengelapai organisasi
mengalatkan siapa saja
dengan hubungan dan wang.

Zaman sekarang zaman rakyat
suara daripada rakyat
pengangkatan daripada rakyat
tetapi keputusan daripada mafia
maka lalanglah menjadi padi
kerana setiap bunga lalang terbang
diikuti bunyi kompang
dengan gambar-gambar terpampang
gamat media massa
cepat jadi legenda.

Benar kau perlu pandai
tapi yang lebih penting
sejauh mana kepandaianmu
diketahui oleh ketua mafia
dan sejauh mana kau pintar
menggosok kepala orang lain
bakal menjadi kerusimu.

Kau tidak perlu jadi sarjana jempolan
hatta dalam dunia akademik
kau bisa memitoskan minda
kecemerlangan akademik
dengan cakap-cakap
kau bisa jadi profesor agung
cukup tayang tampang
di setiap penemuan sarjana tulen
yang kau hina kerana iri.

Siapakah bestari kini
padi atau lalang?

Apabila kebijaksanaan bukan di tangan yang hak
tunggulah di padang terbuka
tanah subur menjadi padang ilalang
air jernih menjadi racun serangga.

Ulasan

Membaca sajak ini mengingatkan kita kepada sajak-sajak tulisan Aliman Hassan. Seperti Aliman Hassan, A. Wahab Ali menulis apabila ada sesuatu yang menggangu suasananya. Dan seperti Aliman juga beliau lebih mesra dengan dunia keMelayuannya dan menonjolkan lambang-lambang dan imej-imej khusus daripada dunia tersebut. Walaupun sajak ini menggambarkan suasana akademik di Malaysia, ia boleh ditafsirkan dari segi dunia seni dan kemasyarakatan, misalnya. Jika tafsiran ini kita luaskan, kerana masalah akademik ini belum ketara dalam masyarakat kita, kita akan dapati betapa relevan dan bernas pandangan-pandangan A. Wahab Ali terhadap munculnya golongan ‘padi’ dan ‘lalang’ dalam masyarakatnya.

Dalam masyarakat Melayu istilah ‘padi’ dan ‘lalang’ memantulkan berbagai gambaran. ‘Padi’ membawa gambaran orang yang tinggi pengetahuannya, tetapi tidak sombong dengan ilmu yang dimilikinya. Mencontohi resmi padi adalah suatu teladan yang baik. Peribahasa kita mengingatkan:

‘Ikutlah resmi padi, semakin berisi semakin tunduk.’

Padi juga adalah suatu keperluan asasi masyarakat Melayu. Tanpa padi orang-orang Melayu tradisional tidak betah, dan keperluan ini juga kita rasai kini. Padi selalu mengingatkan kita kepada para petani: tanpa kerja kuat para petani, kita tidak mungkin menikmati beras yang kita makan dan padi menjadi lambang harapan para petani setelah bertungkus-lumus mengerjakan sawah.

Lalang pula memberi gambaran yang sebaliknya. Ia bukanlah sesuatu yang perlu diteladani tetapi sesuatu yang harus disempadani. Kehadiran lalang tidak perlu dengan tungkus-lumus para petani; malah ia dianggap sebagai perosak dan pengacau kepada tumbuh-tumbuhan yang ada. Ia angkuh, berbeza dengan padi yang sentiasa tunduk disarati biji-biji padi. Lalang juga mudah dilentuk; di mana angin kencang di situlah ia melentuk. Kalau padi adalah lambang orang yang rendah hati walau betapa dalam ilmunya, lalang pula adalah lambang orang yang gemar menunjuk-nunjuk walaupun ilmunya sedikit. Lalang pula tidak tetap pendiriannya; siapa atau angin mana yang meniup yang boleh mendatangkan keuntungan bagi dirinya, ia pasti menuruti.

Wahab Ali sebenarnya berasa sedih dan risau melihat sekelilingnya yang begitu kekurangan dengan orang-orang jenis padi. Dan beliau pula begitu gusar melihat kehadiran orang-orang jenis lalang yang dianggapnya sebagai gerombolan mafia yang sentiasa mengancam ketenteraman orang lain. Orang-orang ini juga, menurut A. Wahab Ali tidak berasa bersalah memperalatkan orang lain dan begitu heboh bila melakukan sesuatu (‘riuh bagai kompang’) dan tidak segan silu menjadikan diri mereka seakan legenda, walau mereka tidak memberi apa-apa sumbangan kepada alam di sekeliling mereka. Mereka juga selalu bising dan ingin ke depan mengelapai persatuan-persatuan, sekadar untuk menjadikan batu loncatan bagi diri mereka.

Sayangnya orang-orang jenis lalang ini yang sering mendapat perhatian dan mata masyarakat pula mudah digabui untuk menganggap mereka sebagai pejuang, walhal mereka adalah golongan mafia. Mereka juga tidak berasa bersalah membohongi dunia, bahawa merekalah orang jempolan dan semua ini dilakukan dengan hanya ‘cakap-cakap’ tanpa bukti dan amalan yang konkrit. Begitu mudah pula golongan lalang ini, kerana pandai ‘menggunakan hubungan dan wang’ dianggap sebagai orang penting dan berwibawa.

Apakah kemungkinannya bagi masyarakat jika hal-hal sedemikian terus berlaku? Kemungkinannya terlalu hodoh, menurut A. Wahab Ali (‘tanah subur menjadi padang lalang/air jernih menjadi racun serangga’). Kerana apabila sistem nilai kita rapuh, kita akan mengkedepankan orang-orang yang korap moralnya (‘apabila kebijaksanaan bukan di tangan yang hak’) dan ini pasti menimbulkan malapetaka bagi masyarakat tersebut. Akhirnya orang-orang jenis lalang ini, yang lebih mementingkan diri sendiri, yang korap moralnya, rapuh sistem nilainya serta mempunyai pembawaan seperti golongan mafia yang akan menjadi penentu masyarakat dan masyarakat akan terus diracuni, walaupun mungkin tanpa sedar, oleh kehadiran mereka.

Siapakah orang bestari kita kini, A. Wahab Ali terus menyoal. Apakah dunia kita harus terus diisi oleh rumpun-rumpun lalang atau rumpun-rumpun padi? Apakah benar kita mempunyai lebih ramai golongan lalang daripada padi di kalangan kita? Jika benar demikian, apa pula tindakan kita? Walaupun soalan-soalan ini tidak dinyatakan oleh A.Wahab Ali dengan berterus-terang, namun dapat juga kita menangkap maksud beliau yang tersirat. Dan kita juga mungkin terfikirkan suatu keadaan yang jungkar-balik: si lalang dianggap padi tapi di padi pula dianggap lalang dan hampas. Apa pula akibatnya jika keadaan padang yang subur terus-menerus hanya ditumbuhi oleh lalang? Ini pasti merombak sistem nilai dalam masyarakat kerana masyarakat nanti akan terpengaruh dengan pendirian lalang yang tidak tetap dan tuntutan-tuntutan mafia yang diamalkan oleh golongan ini. Mungkin dapat kita beri sebuah contoh.

Sistem nilai sesebuah masyarakat itu mestilah utuh agar sukar orang-orang seperti jenis lalang muncul. Contohnya dapat kita ambil daripada dunia seni, misalnya dunia seni lukis. Kayu ukur dan sistem nilai kita perlulah teguh agar tidak sembarangan orang dianggap pelukis, hanya kerana dia pandai membuat bising dan dari segi luaran kelihatan seperti seorang pelukis. Tentunya ada faktor-faktor yang membolehkan kita menganggap seseorang itu seorang pelukis sejati, bukan sekadar keriuhan dan taktik mafianya. Dia pastilah seorang yang dalam/tinggi atau sedang memperdalami ilmunya dalam bidang lukisannya. Dia tidak akan berhenti pelajaran informal atau formalnya walaupun betapa lanjut usia. Dan dia juga akan sedia memimpin persatuan jika diperlukan, bukan kerana ingin menangguk keuntungan atau menambah kemasyhuran, tetapi sekadar suatu tugas yang perlu dilakukan. Dan dia juga tidak seperti ketua mafia, mempergunakan orang lain untuk kepentingan diri sendiri atau menyekat pertumbuhan tunas-tunas baharu dalam persatuan seni lukisnya. Dia kita harapkan adalah seorang pelukis Melayu yang tulen, jujur terhadap diri dan masyarakatnya dan tidak dianggap besar sekadar ‘cakap-cakap’ dan pandai mencari publisiti (‘tayang tampang’). Inilah bestari yang kita ingini dalam dunia seni kita, dan kita percaya ada beberapa orang daripada dunia seni lukis atau seni-seni lainnya mahupun dalam kalangan tunggak-tunggak persatuan yang memenuhi syarat-syarat ini. Bukanlah terlalu sukar memunculkan golongan padi di antara kita, cuma kita perlulah bekerja keras dan bersungguh-sungguh melahirkan golongan itu dan mula menggunakan sistem nilai yang lebih baik dan wajar.

Kesimpulan

Sajak ‘Orang Bestari Kini’ sesungguhnya memberi kita tafsiran yang berbagai mengenai golongan-golongan tertentu yang wujud dalam masyarakat. Seandainya kita takut ‘tanah subur menjadi padang ilalang/air jernih menjadi racun serangga’, adalah menjadi tugas kita untuk mewujudkan iklim yang lebih baik agar padi-padi yang kita harapkan akan menjadi dan lalang-lalang tidak akan terus hidup dengan suburnya. Kalau sistem nilai kita tidak goyah, pandangan kita jujur dan sensitiviti kita tidak hanya terbatas kepada sensitiviti perasaan, tentunya kita tidak akan membenarkan orang-orang jenis lalang meyakinkan kita bahawa mereka adalah padi. Dan masalah yang mensarati sajak ‘Orang Bestari Kini’ pasti terjawab dengan sendiri.

Disiapkan : 26 Mei 1988
Taman Puri, Negara Brunei Darussalam
Tersiar: Berita Minggu (Singapura), Jun 1988.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s