Berani Mencuba, Bijak Berusaha Hadapi Masa Kemelesetan Ini – Ditulis Pada 14 Ogos 2001

Anda pasti sudah tahu ceritanya: di sana sini orang berbincang pasal kemelesetan. Ada yang sudah mula congak-congak bila hendak berbelanja dan ada pula sudah risau mengenai pekerjaan mereka. Walaupun kita maklum kemelesetan ini berpunca dari ekonomi yang lebih besar daripada negara kita, iaitu kelembapan ekonomi Amerika Syarikat, namun kebimbangan tetap menerpa kita. Selagi boleh, rasanya terpaksalah kita pandai mencari kemahiran baharu dan bijak pula berbelanja selain berusaha bersungguh-sungguh. Bagi sebahagian besar kita, mempunyai pekerjaan bukan sekadar mengisi ruang untuk mencari nafkah bahkan memenuhi sebahagian daripada erti kewujudan kita.

Mereka yang lebih berumur tentunya masih ingat masa-masa sukar yang pernah dilalui sama ada pada zaman Jepun atau waktu-waktu sukar sesudah itu. Tiap zaman itu ada bentuk kesusahan yang dianggap baharu dan tiap masyarakat pula terpaksa berdepan dengan cabaran-cabaran baharu demi meneguhkan penakatannya. Dan kadangkala kita haruslah cepat bertindak sebelum segala-galanya luput di depan mata dan kita pula seakan-akan hilang kekuatan peribadi kita.

Sejak dulu, dalam apa pun kesukaran yang Sri terbaca atau alami mengenai sesebuah masyarakat, negara ataupun individu, Sri selalu disuburi rasa optimistik mengenai kebolehan manusia untuk mengatasinya. Ini bukanlah optimisme melulu; Sri yakin manusia itu besar dan berupaya menghadapi pelbagai cabaran, selagi dia berusaha dan Allah izinkan. Kesukaran sama ada dalam bentuk ekonomi, psikologikal atau kerohanian bukanlah penghalang sebenar bagi kelangsungan dan kebangkitan manusia atau sesebuah masyarakat. Malah ada pepatah yang mengatakan: keperluan itu adalah ibu bagi suatu penciptaan. Kerana keadaan kita terdesak, tidak dapat tidak kita terpaksa menghadapi kenyataan itu dengan cara-cara yang baharu pula. Kita terpaksa berani keluar daripada kebiasaan kita dan mencuba, walaupun kita mungkin gagal. Tapi lebih baiklah kita gagal dalam mencuba dan berusaha daripada gagal kerana tidak berani mencuba.

Sri selalu teringatkan orang-orang dulu. Betapa tanpa pelajaran pun, bagi sesetengah orang tua kita, mereka tabahkan hati berusaha dan membesarkan anak-anak. Dengan sedikit kemahiran saja mereka berani mencuba dan tanpa banyak jaminan apa-apa pun mereka berani berdepan dengan keadaan-keadaan tidak menentu. Bagaimana pula kita pada zaman ini? Akankah kita patah semangat kerana ekonomi kita mengecut dan sesetengah kita dibuang kerja? Memanglah sukar untuk terus menyalakan semangat kita dalam keadaan yang tidak menentu tetapi berbuat sebaliknya hanya akan menghancurkan kita. Tentunya kita secara peribadi tidak boleh memulihkan ekonomi dunia tetapi masih ada ruang bagi kita memulihkan beberapa bidang hidup dalam penguasaan kita.

Beberapa bulan yang lalu Sri bertemu dengan segolongan orang dalam kerjaya Sri. Rata-rata orang-orang ini tidak berpelajaran tinggi dan gaji mereka pula tidaklah besar. Yang paling mengharu dan memeranjatkan Sri ialah ketabahan dan kerajinan mereka. Ada sanggup bekerja sampai dua tiga pekerjaan demi menampung perbelanjaan keluarga. Perkataan ‘penat’ tidak ada dalam kamus hidup mereka kerana jika mereka dihanyuti perkataan itu, pakai nampak dapur mereka tak berasap. Asal pekerjaan itu halal, mereka sanggup lakukan. Semasa Sri menemui orang-orang ini, sebahagian besar mereka sudah melalui zaman sukar itu. Sri amat terharu bila seorang pak cik berkata: “Pak cik tak ada pelajaran, nak, tapi pak cik ada tulang empat kerat, asal halal, pak cik lakukan untuk keluarga”. Dan anak-anak pak cik ini dan beberapa orang yang lain, sudah dapat mengecapi kehidupan yang lebih baik dan berjaya, berkat usaha gigih orang tua mereka.

Beberapa kenangan yang sukar Sri lupakan ialah melihat nenek Sri membuat kuih-muih untuk dijual: abuk-abuk, epok-epok, bipang, kuih kacau dan lain-lain demi menampung keperluan keluarga. Dan suatu gambaran yang tidak akan Sri lupakan ialah duduk di amben bersebelahan rumah berek tempat keluarga nenek Sri menginap, dan bersama sepupu-sepupu Sri menanti dengan sabar kepulangan nenek Sri dari tugasnya di Katong. Dalam waktu-waktu sukar, nenek Sri sanggup bekerja sebagai pembantu rumah, mencuci kain baju orang, berjualan, berniaga dan masa mudanya menjadi bidan, hanya untuk kebajikan keluarganya. Tanpa pelajaran formal, dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika itu, pelajaran yang nenek Sri tanamkan di hati Sri ialah kebolehan manusia itu untuk mengatasi kongkongan hidupnya dengan cara yang halal dan termampu. Kesukaran itu boleh diatasi selagi kita berusaha, tabah, bijak mengawal perbelanjaan dan tawakal. Insya-Allah akan Allah lorongkan jalan-jalan kebaikan untuk kita nanti.

Kalau dalam hikayat misalnya, Malik Saiful-Lizan memberi penawar bunga untuk menyembuhkan mata Puteri Nahidah yang buta, dalam kemelesetan ekonomi, penawarnya mungkin pula kebolehan kita untuk berani mencuba, berusaha, memanfaatkan kemahiran yang ada dan bijak menyaring keperluan dan kehendak kita demi meneruskan kelangsungan hidup kita. Dan akhirnya tawakal jua kita kepada-Nya.

Ditulis: 14 Ogos 2001
Tajuk Asal: Kemelesetan Dan Kita
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 19 Ogos 2001
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

2 thoughts on “Berani Mencuba, Bijak Berusaha Hadapi Masa Kemelesetan Ini – Ditulis Pada 14 Ogos 2001

  1. To me, Saloma is not beautiful. I mean not in the ordinary sense of the word. She has an innate quality of tragic beauty in her eyes, her voice, her facial expressions – it seems to remind us that everything, including life itself, is transient, temporary, will pass away, and Biarlah Aku Pergi says just that. Lovers of haiku poetry call it peripatetic beauty. Poignant, painful, profound.
    Thanks for sharing.

    • How apt you describe Saloma and what she represents, beautifully captured in ‘Biarlah Aku Pergi’. I simply love her voice and still feel sad that someone like her, and many of our Asian arts practitioners have not been given the appropriate support and honour they deserve. This is especially so for ‘orang seni’ of the past. I love her and P. Ramlee dearly and they, and Sharifah Aini and a few other singers will always remind me of ‘home’ and our shared heritage.

      Thanks again, kawan, for giving me this feedback.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s