Biarlah Identiti Geylang Serai Terus Wujud – Ditulis Pada 6 Mac 2003

Sesebuah tempat kadangkala lebih bermakna daripada kayu, batu, zink, yang membinanya. Kadang-kadang perasaan kita terikat kepadanya kerana ia membawa pelbagai kenangan dalam kehidupan peribadi dan masyarakat kita. Demikianlah Geylang Serai bagi sebilangan besar kita. Benar, tiada siapa akan menolak pembangunan jika ia membawa manfaat bagi mereka. Tetapi tidak semua manfaat itu dapat diukur dengan wang; dan kenangan yang memeta dalam kehidup-an kita selalu lebih bernilai daripada sekadar wang.

Geylang Serai telah lama wujud dalam sejarah Singapura. Dalam buku-buku sejarah dikatakan pada tahun 1840-an, British menempatkan Orang-orang Laut dari muara Sungai Singapura ke daerah Telok Belangah, Pasir Panjang, Selat Singkeh, Pulau Brani, dan Geylang. Dikatakan seramai 450 Orang Laut telah ditempatkan di Geylang pada 1842-43. Lantas, dapat kita andaikan Geylang telah wujud sebelum ini. Geylang dulu dikenali juga sebagai Geylang Kelapa kerana ada ladang kelapanya; demikian juga ada ladang getah.. Nama ‘Serai’nya dikaitkan dengan kilang serai yang terkenal pada paruh kedua kurun ke-19. Sebahagian besar daerah Geylang ketika itu dimiliki oleh keluarga Alsagoff sejak kurun ke-19 dengan nama ‘Perseverance Estate’. Syarikat milik keluarga inilah yang mengusahakan kilang serai di daerah Geylang. Minyak daripada serai ini dibuat sabun dan dieksport ke Eropah dan Amerika. Pada 1890-an kilang serai ini tidak diusahakan lagi kerana permintaan yang berkurangan. Lantas, bersempena kemasyhuran kilang serai ini, Geylang dikenali sebagai Geylang Serai. Di Geylang Serai jugalah perhentian tram pertama bagi daerah timur Singapura diwujudkan. Hanya pada tahun 60-an pemerintah membeli tanah di daerah Geylang; ini didirikan rumah pangsa dan Pasar Geylang yang ada kini.

Keistimewaan Pasar Geylang ialah identiti Melayu-Islamnya. Walaupun terdapat peniaga bukan Melayu-Islam, tetapi tiada barang haram dijual di pasar tersebut, demikian juga gerai-gerai makanannya. Pasar Geylang, selain boleh didapatkan pelbagai barang untuk masakan, pakaian, dan ehwal masyarakat Melayu, juga dibuka sehingga ke petang. Ini amat memudahkan mereka yang bekerja membeli bahan-bahan basah seperti ikan, daging, dan lain-lain. Ramai di kalangan kita bertemu jiran atau kawan lama di Geylang Serai kerana sama-sama mahu mendapatkan bahan yang terbaik dan murah di sana. Pendek kata banyak kelebihan Geylang Serai bagi pengunjungnya walaupun tidak dinafikan ada kekurangan-kekurangannya.

Daerah Geylang Serai memang Sri sukai, lebih daripada tempat-tempat baharu kini. Selain ke pasar, ada tempat yang Sri suka makan mi goreng basahnya, ada rojak India, ada cendol, dan pelbagai kuih-muih Melayu yang Sri gemari. Sesekali bila kepingin hendak makan dodol, wajik, atau jerganan, ada tempatnya yang Sri suka tuju. Dan bila hendak beli kemenyan dan kemenyan Arab, memang di situlah tempatnya. Sri suka membeli buah-buahan di sana kerana penjualnya ramah dan jujur. Di sekeliling pusat penjaja itu ada deretan kedai kecil, termasuk seorang pak cik tua menjual kitab lama. Dan di belakang kedai-kedai itu ada pula kedai pakaian, jahitan, cermin mata dan sebagainya. Sejak remaja Sri selalu mengunjungi kedai muzik di sana; membeli piring hitam dan kaset sehinggakan CD dan pemilik-pemiliknya mengenali Sri. Di belakang pasar pula, amat mudah kita mendapatkan kain mentah, kain batik, selendang, telekung, sejadah, baju siap, kerongsang dan lain-lain. Dan di kolong rumah pangsa, sering Sri mengunjungi sebuah kedai untuk membeli sejumlah majalah dan buku Melayu. Kebanyakan peniaga di Pasar Geylang bukanlah peniaga-peniaga jutaan dolar; tetapi Geylang Serai memberi mereka lowongan untuk menceburi bidang niaga dan berusaha. Geylang Serai adalah daerah tukikan dan perniagaan mereka amat bergantung kepada keistimewaan ini.

Bila kita ke London, ada daerah-daerah terkenal bagi masyarakat tertentu misalnya Soho bagi masyarakat Tionghoaa dan Southall bagi masyarakat India. Pergi ke Southall, anda boleh mendapatkan nasi beriani, daging halal, pelbagai manisan dan pakaian India, kedai buku, dan juga DVD dan VCD terbaru filem-filem Bollywood. Anda mungkin terfikir anda bukan berada di London, tapi itulah keunikan Southall bagi London. Demikianlah diharapkan Geylang Serai bagi pengunjungnya. Sebagaimana Chinatown pernah diselar seolah-olah hanya untuk pelancong dan hilang‘semangat’nya, kita berharap Geylang Serai yang baharu tidak mengalami nasib sedemikian.

Adalah amat baik jika semua penjual, peniaga, pegerai di Pasar Geylang dan kawasan rumah pangsanya mendapat balik tempat di daerah yang sama, dengan bayaran yang berpatutan. Setelah berpuluh tahun berniaga di sana dan Geylang Serai telah berdarah daging dalam jiwa mereka, adalah kurang saksama jika perniagaan mereka lingkup kerana pembangunan ini. Dengan Singapura semakin menggalakkan rakyatnya agar menceburi bidang keusahawanan, peniaga-peniaga kecil ini tidak harus dilupakan. Dengan sistem tender saja, hanya mereka yang kaya akan memonopoli pasaran atau mengamalkan cara ‘Ali Baba’. Dengan HDB membina tempat bazar tetap, yang tentunya membawa pulangan besar, ini tentunya dapat menggantikan apa pun kekurangan keuntungan jika mereka membina deretan kedai untuk peniaga-peniaga di keliling kawasan Pasar Geylang dan juga di kolong-kolong rumah pangsanya. Manfaatnya diraih juga oleh Singapura.

Ada tempat-tempat yang kita kenal dan membesar telah hilang dari peta sejarah kita. Kita teringatkan Jalan Pasir, Jalan Betik, Jalan Alsagoff, Jalan Sunggoh, Jalan Tengah, Masjid Aminah dan lain-lain. Dan Geylang Serai adalah salah sebuah tempat kenangan yang tidak ingin kita hilangkan daripada kenangan kita buat selama-lamanya. Biarlah identiti Geylang Serainya wujud dengan indahnya walaupun ia harus dihias dengan pakaian terbarunya.

Ditulis: 6 Mac 2003
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura), pada 9 Mac 2003
Tajuk Asal: Geylang Si Paku Geylang
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s