Bila Anda Dimamah Usia… – Ditulis Pada 1 Mei 1998

Bilakah anda dianggap berusia lanjut? Apakah bila anda membelek-belek kalendar dan agak tidak percaya anda sedang meniti ke usia asar kerana menjangkau angka keramat ‘40’? Atau ketika anda melihat anak-anak anda semakin dewasa; sudah jadi anak dara dan bujang dan anda pula boleh digelar ‘pasangan dewasa’?

Berbagai cara orang menanggap usianya yang semakin lanjut. Seorang sahabat Sri menjadi hiba ketika menjangkau usia 40. Adanya suami, anak-anak dan keluarga masih membuatnya terfikir-fikir, apa yang telah dilakukan selama ini. Ada yang tiba-tiba mengemas rumah, seolah-olah mengemasi kekusutan di hati. Tidak kurang pula yang menjadi tiba-tiba ‘muda’, kerana hidup bermula dengan usia 40. Ada, untuk meyakinkan diri sendiri, membeli rumah baharu, kereta baharu atau bertukar kerja. Asal jangan tukar isteri/suami baharu, sudahlah ya?

Bagaimana anda tahu anda telah menjangkau usia semakin dewasa ini? Keadaan sekeliling akan selalu mengingatkan anda akan hal tersebut; seolah-olah tidak mahu anda melupakan hakikat ‘pahit’ ini seumur hidup. Bila anda ke pasar atau pusat membeli-belah, penjual tidak lagi memanggil anda ‘kakak’ ataupun ‘abang’ tetapi ‘mak cik’ dan ‘pak cik’. Pada mulanya anda mungkin terfikir, dia memanggil orang lain; alangkah sedihnya bila anda tahu ‘mak cik’ atau ‘pak cik’ itu adalah anda sendiri.

Anda juga tidak secantik ataupun sesegak dulu. Dengan kadar metabolisme yang lebih perlahan dan rentak hidup yang memalaskan anda bersenam, Sri yakin, wajah dan badan yang cantik dan segak, sudah pun bertukar macam ‘itik gembo-gembo’. Memanglah macam ‘engkau laksana bulan’ — bulatnya sudah sepadan. Tapi seorang kawan Sri menyelah: lebih bertambah badan aku, lebih banyaklah yang boleh kau orang sayang … tentulah ‘Tuntun’ (watak kelakar filem Hindi tahun 50-an dan 60-an) memang disayang …

Yang paling sukar, anda mungkin tidak terasa anda sudah menjangkau usia lebih 40 tahun. Seolah-olah baru semalam anda remaja, berasmaradana, berumah tangga, tiba-tiba anak-anak anda sudah boleh menjadikan anda berpangkat nenek atau datuk. Kesukaran ini terlebih-lebih lagi bagi generasi baby boomers: mereka yang lahir selepas Perang Dunia Kedua (dari 1945 sehingga awal 1960-an). Di Amerika Syarikat misalnya, generasi ini, Sri dapat tahu, tidak gemar menggelarkan diri mereka ‘nenek’ atau ‘datuk’ kerana tanggapan budaya terhadap pangkat-pangkat tersebut; dan inilah generasi pertama yang mengalami berbagai ragam perubahan kehidupan dari zaman meledaknya pendidikan dan juga kebebasan pergaulan.

Anda akan terasa jentikan usia ini bila anda bercakap-cakap dengan anak-anak atau anak-anak saudara anda. Bila anda sebut main kuti-kuti, getah, ambil air dari paip munisipal, jual pisang goreng dan sebagainya dia tidak faham. Atau anda sedikit-sedikit terkenang bila jalan di Joo Chiat Complex dan beritahunya, dulu tempat ini adalah Pasar Joo Chiat. Dan berhadapan dengannya adalah ‘Back Lane’ tempat makan sate, rojak India dan lain-lain yang rata-rata sedap, tapi kini akan didirikan bangunan. Dia hanya kenal yang sekarang; dan anda sendiri akan termaklum sempadan usia anda dan dia serta meningkatnya usia dewasa.

Atau anda, seperti Sri, menjadi sedikit nostalgik mendengar lagu-lagu ‘malar segar’ di stesen radio Warna dan FM 90.5/95. Menghafal lagu-lagu Saloma dan P.Ramlee, Connie Francis dan Elvis Presley, The Beatles, Bee Gees dan Pop Yeh Yeh. Suka menonton filem-filem Melayu lama kerana hendak melihat latar Singapura pada zaman itu dan terkenang peristiwa-peristiwa tertentu di sebalik cerita-cerita tersebut …

Anda tahu anda semakin meningkat usia bila anak atau anak saudara anda berkobar-kobar bercerita pasal Leonardo DiCarprio walhal anda tengok dia betul macam budak mentah, dan hero anda ialah Gregory Peck, Charlton Heston, Omar Sharif. Atau ketika mereka heboh pasal Awie dan Erra Fazira, anda masih terkenangkan Jins Shamsudin dan Sarimah; bila orang bercerita pasal Arif S.Samsudin dan kawan-kawannya, anda masih terkenangkan P.Ramlee, S.Samsudin dan Aziz Sattar … Dan seperti lagu Ahmad CB: Di suatu petang di Geylang Serai … anda mahu Geylang Serai anda tidak terlalu banyak berubah … Walaupun tiada lagi Panggung Taj di-sana …

Dan sesekali anda terhibur bila seorang remaja yang sama membeli di kedai muzik berkata: saya tak suka kebanyakan lagu-lagu baharu, asyik merintih saja, lainlah lagu-lagu lama … betul tak, kak? Betapa anda terhibur, mendengar pandangan muziknya, lebih-lebih pangkat ‘kakak’ yang diberikannya kepada anda. Buat seketika, anda kembali muda, tapi Sri yakin, seketika cuma …

Ditulis : 1 Mei 1998
Tersiar : Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 19 Julai 1998
Tajuk Asal : Usia Lanjut.
Tulisan: Rasiah Halil
Rencana pertama dalam Ruangan ‘Sri Anggerik’ terbitan Berita Minggu (Singapura).

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s