Catatan 16 Februari 2016

1. Saya terlambat sedikit menulis masukan/entri untuk blog saya kali ini. Beberapa idea berlegar dalam fikiran saya tetapi saya sedikit sibuk dan kurang tenaga. Untuk bulan Februari ini, insya-Allah ada beberapa entri yang akan saya usahakan walaupun tiada ruangan baharu, ‘Perca Kenangan’, buat masa ini.

2. Saya jarang ke Geylang Serai untuk berbelanja pasar. Saya ke pasar di kawasan perumahan saya, dan hanya sesekali ke Pasar Geylang Serai untuk membeli keperluan dapur. Tetapi saya suka ke Geylang Serai dan kawasan sekitarnya. Suatu masa dahulu, sebelum Pasar Geylang Serai dirobohkan dan kemudian dan rumah-rumah pangsa sekitarnya juga dirobohkan dan dibangunkan yang baharu, saya ke Pasar Geylang Serai dan sekitarnya untuk membeli makanan, barang-barang keperluan lain seperti kain, buku, piring hitam/ kaset/CD, cermin mata dan sebagainya. Kawasannya sedikit sesak tetapi dalam kesesakan itu saya temui semacam ketenangan di sekitarnya.

Apabila Pasar Geylang Serai dibangunkan semula, saya ke sana untuk membeli beberapa keperluan tetapi jarang membeli ikan dan sebagainya di pasarnya. Saya ke sana untuk membeli makanan, selendang, kain batik dan seumpama itu. Saya juga membeli kain mentah tetapi tidak di Pasar Geylang Serai (tingkat dua) tetapi di Joo Chiat Complex dan Arab Street.

Baru-baru ini saya ke Pasar Geylang Serai untuk membeli ayam kampung dan beberapa barang lain. Selalunya ibu saudara saya membelikan ayam kampung untuk saya tetapi kerana beliau pergi bercuti dan kebetulan kursus kreatif saya diadakan di sebuah sekolah menengah yang tidak sejauhnya dari Pasar Geylang Serai, saya singgah ke Pasar Geylang Serai sebanyak 3 kali dalam masa seminggu lebih.

Apa yang saya dapat tahu, Pasar Geylang Serai akan ditutup selama 3 bulan selepas Hari Raya Haji, untuk meningkatkan beberapa prasananya. Peningkatan itu baik kalau manfaatnya memang untuk pengunjung pasar tersebut dan para pegerainya. Tetapi masa tiga bulan itu agak lama bagi mereka yang merupakan peniaga kecil-kecilan atau pekerja bergaji hari, jika tiada tapak lain untuk mereka meneruskan perniagaan mereka. Dan bukan mudah menampung keperluan hidup dalam keadaan ekonomi yang tidak sebaiknya kini.

Saya sedih mendengar keluhan beberapa orang peniaga dan pekerja mengenai hal ini. Alangkah baiknya jika tapak pasar sementara bagi para peniaga dan pekerja yang ada sekarang diadakan oleh pihak tertentu. Masyarakat Melayu-Islam dan juga yang bukan Melayu-Islam, suka berkunjung ke Pasar Geylang Serai. Kalau anda ke sana, anda akan temui pelbagai bangsa yang membeli-belah dan berniaga di sana. Terasa uniknya bila anda temui pelbagai orang, sebilangannya bukan warga Singapura, membeli-belah dan mencuba pelbagai makanan yang terjual di Pasar Geylang Serai. Semoga ada usaha untuk tidak melengangkan Pasar Geylang Serai dengan adanya tapak pasar sementara dan keunikan Pasar Geylang Serai bagi Singapura akan terus rancak sebagaimana alunan pelbagai suara dan lagu sering terdengar di pasarnya.

3. Beberapa tulisan berkaitan dengan Geylang Serai, ketabahan yang diperlukan untuk menghadapi ekonomi yang tidak sebaiknya dan sebuah sajak ‘Alkisah’ dan terjemahan sajak ini oleh Prof. Muhammad Haji Salleh, saya muatkan dalam entri blog kali ini. Semua ditulis lebih awal, namun isunya masih relevan dan mudah-mudahan dapat membuat kita berfikir dan mungkin juga sedikit terhibur atau lebih tabah menghadapi keadaan semasa. Saya lampirkan juga dua buah lagu – satu mengenai Geylang Serai dan satu lagi, sekadar hiburan daripada seorang penyanyi yang saya minati dan sayangi, Biduanita Saloma. Suara beliau, sebagaimana suara P. Ramlee, Sharifah Aini dan beberapa penyanyi kita yang lain, sering menghibur dan mengimbau kenangan saya.

Selamat membaca.

Salam
Rasiah Halil
16 Februari 2016.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s