Catatan 19 Februari 2016: Hari Lahir Adibah Amin

Adibah Amin -  RH ImagesAdibah Dengan Buku This End Of The RainbowAdibah AminAdibah Sebagai Cikgu Bedah Dalam Filem Adik Manja

1. Hari ini, 19 Februari, merupakan hari lahir Adibah Amin, seorang penulis cerpen, novel, esei, rencana, skrip drama, terjemahan, buku-buku bahasa Melayu dan Inggeris, pelakon radio dan pentas dan sebagainya.

Beliau seorang ‘khazanah’ bukan sahaja bagi pencinta kesusasteraan Melayu di Malaysia, malah merentasi pelbagai negara. Kebolehannya menulis dengan baik dalam kedua-dua bahasa Melayu dan Inggeris serta kerja-kerja terjemahannya dan cara penulisannya membuat kita bersyukur ada seorang insan seperti beliau di kalangan kita.

2. Sebagai penulis dan penyair kita selalu mencari sumber contoh dalam bidang yang kita ceburi. Dan tidak terdapat ramai penulis wanita semasa zaman saya membesar. Saya teringat membaca novel ‘Apa Dayaku Kerana Aku Perempuan’ dan ’13 Jun’ oleh Nur Sutan Iskandar pada akhir tahun-tahun 60-an atau awal 70-an. Fikir saya penulisnya seorang wanita tetapi sebenarnya seorang penulis lelaki dari daerah Minangkabau/Padang, Sumatera.

Selain Nenek saya yang banyak menanam minat saya kepada seni melalui kecintaannya kepada dunia tersebut dan penceritaannya akan sebahagian khazanah sastera semasa saya kecil dan remaja, yang lain lebih tertumpu kepada pencarian dan pembacaan saya. Lantas saya membaca banyak karya, termasuk karya beberapa orang penulis wanita sejak awal remaja itu – Salmi Manja, Anis Sabirin, Adibah Amin, Zaharah Nawawi, Khadijah Hashim, Salmah Mohsin, Timah Baba, Siti Zainon Ismail, Fatimah Busu, Zurinah Hassan, Habsah Hassan, Mahaya Mohd Yassin dan beberapa orang lagi. Setiap seorang daripada mereka menyumbang kepada perkembangan kesusasteraan kita.

Apabila saya meneruskan pelajaran ke Universiti Singapura, yang terletak di Bukit Timah Road, saya amat disedarkan bahawa sebelum saya menjejakkan kaki di sana pada tahun akademik 1976/77, penulis-penulis seperti Anis Sabirin dan Adibah Amin telah pun mendahului saya. Saya tabik kepada mereka kerana pada zaman 50-an apabila tidak ramai wanita Melayu-Islam menjejakkan kaki ke Universiti, mereka telah pun mengorak langkah ke menara gading dan terus aktif berkarya. Malah, ketika menelaah pelajaran di perpustakaan Universiti atau meminjam buku dari sana, saya semakin diingatkan akan kehadiran mereka. Zaman itu, buku-buku ada semacam ‘jaket’ di bahagian hampir belakang kulit buku. Peminjam harus menulis namanya dan ini yang diselitkan dalam ‘jaket’ dan disimpan oleh pustakawan semasa kita meminjam buku. Saya temui nama-nama Anis Sabirin, Adibah Amin, Ismail Hussein, Kassim Ahmad, malah Mahathir Mohamed dan beberapa orang lain yang demikian tersohor kemudiannya, pada ‘jaket’ buku-buku di perpustakaan Universiti Singapura. Betapa mereka ‘hadir’ dan orakan langkah pembelajaran mereka memudahkan saya meneruskan perjalanan pelajaran formal saya kerana merekalah perintisnya.

3. Saya meminati tulisan dan kerja-kerja terjemahan Adibah Amin. Dan bila beliau mula menulis ruangan pojok ‘As I Was Passing’ dalam akhbar The New Straits Times, saya semakin meminati cara penulisannya.

Saya bergiat aktif di kampus, menjadi Setiausaha Penerbitan dan menerbitkan Majalah Gempur pada tahun akademik 1976/77 (tahun satu) dan Timbalan Presiden Persatuan Bahasa Melayu Universiti Singapura/PBMUS pada 1977/78. Pada tahun ketiga, tahun akademik 1978/79. walaupun ada yang mahu saya menyandang jawatan Presiden PBMUS, saya menolaknya. Saya ingin menghidupkan sebuah jurnal sastera, Jejak Kembara, yang saya tanam cita-citanya sejak saya di tahun satu di Universiti Singapura. Walaupun demikian, saya masih tetap membantu PBMUS sebagai Penasihat Jawatankuasa Penerbitan dan juga Jawatankuasa Kebajikan. Dalam konteks inilah Adibah Amin semakin ‘memainkan peranan’ dalam penulisan saya.

Setiausaha Penerbitan pada tahun akademik 1978/79, Fauziah Ibrahim, meminta saya agar terus menulis untuk Majalah Gempur. Saya memang terus menulis untuk majalah tersebut dan beberapa media massa di luar kampus ketika itu. Tetapi dek pengaruh Adibah Amin, saya memberitahu Fauziah Ibrahim saya akan memulakan suatu ruangan pojok, yang menggetis-getis soal mahasiswa dan kampus, yang akan dipanggil ‘Sri Anggerik’ dalam majalah Gempur. Ruangan ‘Sri Anggerik’ berlangsung selama 3 tahun akademik iaitu dari 1978/79, 1979/80 dan 1980/81. Sebanyak 10 rencana ‘Sri Anggerik’ dimuatkan dalam majalah berkala itu.

Saya tidak fikir akan wujud ruangan ‘Sri Anggerik’ di kampus tanpa ada seorang penulis yang mencuit dan menyentuh hati saya seperti Adibah Amin dalam ruangan ‘As I Was Passing’ nya, walaupun tulisan kami berbeza.

Semasa di kampus, ada orang tidak tahu siapa ‘Sri Anggerik’ dan mengapa saya memilih nama ini. Dalam tulisan ruangan ‘Sri Anggerik IV’, saya menjelaskan hal tersebut (ini termuat dalam buku saya, Hikayat Sri Anggerik):

‘Ada orang bertanya mengapa Sri pilih nama ‘Sri Anggerik’? Sebenarnya ceritanya panjang tapi kalau dipendekkan, beginilah ceritanya …

Pada suatu hari Sri terbaca (dan terpaksa beli) buku ruangan pojok “As I was Passing …” tulisan ‘Sri Delima’ (alias Adibah Amin) yang sangat diheboh-hebohkan itu (lebih kurang sama hangat macam Lat, tapi tentulah Lat lebih bulat). Sri pun ‘terpikat’ dengan cara pengolahan Sri Delima, lagi pun Adibah sebagai penterjemah dan penulis amat Sri minati (bacalah novelnya ‘Seroja Masih Di Kolam’ — menawan!). Jadi bila diminta menulis, nama Sri Delima bermain-main di hati tapi takkanlah Sri nak pakai nama ini. Nak pilih Sri Durian atau Sri Duku (maklumlah sama abjad S.D.) terasa tak sedap (namanya, bukan buahnya).

Pilih punya pilih, Sri pilihlah nama ‘Sri Anggerik’ — kerana anggerik adalah bunga kebangsaan Singapura, dan, yang penting, anggerik adalah sekuntum bunga – peringkat awal sebelum menjadi tunas baharu (mudah-mudahan) dalam dunia penulisan sedangkan Sri Delima adalah buah yang ranum (penulis veteran) dalam dunia yang sama. Cita-cita Sri, kalau boleh, biarlah jadi seperti ranumnya delima ini…

Dan ada orang bertanya lagi (tak habis-habis) apa nama Sri yang sebenar… Sri boleh bagi tahu, nama Sri ialah …rahsia…

Petikan tulisan ‘Sri Anggerik IV’, ditulis pada Jun 1979, tersiar dalam majalah ‘Gempur’, Persatuan Bahasa Melayu Universiti Singapura, pada Julai 1979.’

4. Anda juga mungkin pernah menonton lakonan Adibah Amin dalam filem ‘Adik Manja’ dan anda tidak akan kering gusi melihat gelagat Adibah Amin sebagai ‘Cikgu Bedah’ dalam filem itu. Malah, Adibah Amin juga terlibat dalam drama pentas, yang hanya mampu saya ikuti melalui pembacaan majalah Dewan Sastera dan sebagainya.

Pada 1979, saya menulis sebuah sajak untuk Adibah Amin, dengan menggunakan nama pena ‘R.H.’ dan menghantarnya ke Majalah Jelita, kelolaan Adibah Amin dan Zaharah Nawawi. Mereka menyiarkan sajak tersebut pada bulan November 1979 dan pada bulan Disember, Adibah Amin ‘menjawab’ sajak saya dalam Majalah Jelita. Berikut adalah sajak saya dan jawapan Adibah Amin:

Engkau Juga
(Buat penulis Adibah Amin)

Engkau juga pernah berjalan di daerah ini
berkejar antara dewan kuliah & kutubkhanah
mencerna pengetahuan, meraih kehidupan
antara kegiatan mahasiswa & angan-angan.

Engkau juga pernah ditemani sebuah mimpi
percaya duniamu masih indah & perlu diteroka
mencari pendirian daripada apa yang kaunamakan warisan
bertemu watak-watak pincang, alam gersang,
tapi mimpimu tak pernah hilang.

Engkau juga pernah berdiri di persimpangan begini
berasa kehilangan dibuntukan keadaan
memilih jalan-jalan yang kaufikir paling sesuai
& mungkin juga kau tidak gusar
setelah 20 tahun, pilihanmu ternyata benar.

Engkau juga telah melihat bahteramu jauh meninggalkan perairan
perahuku masih tersadai di tepian pantai
angin musim tengkujuh & ombak ganas
hanya melambatkan pelancaran pelayaran
apakah nanti seperti bahteramu
perahuku tidak akan hanyut di tengah lautan
& selamat sampai ke pulau harapan?

Ditulis: 4 April 1979
Lorong L, Telok Kurau Road, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Jawapan Adibah Amin dalam Majalah Jelita:

Jawapan Adibah Kepada Puisi R.H. Untuknya Dalam Majalah Jelita Dis 1979

5. Saya bertemu Adibah Amin pada 1980-an dalam satu ceramah anjuran Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura di bangunan Universiti Singapura. Adibah Amin sedikit nostalgik ketika itu kerana ‘pulang’ ke tempat jatuh lagi dikenangnya.

Sekitar 1993 atau 1994, kalau tidak silap saya, melalui seorang kawan adik saya, diaturkan agar saya bertemu dengan Adibah Amin di Kuala Lumpur. Kami bertemu di sebuah restoran dan makan serta berbual di sana. Kami juga kemudiannya ditemani adik Adibah Amin. Beliau baru sahaja menjalani pemeriksaan di hospital sebelum bertemu saya. Bertemu dan bercakap-cakap dengannya menyenangkan saya kerana Adibah Amin memang seperti yang kita ketahui – peramah, sedikit ‘gila-gila’ dan ternyata seorang yang mudah didekati dan penyayang. Beliau penyantun dan tiada unsur kesombongan dalam dirinya yang dikenali ramai.

Pada bulan April 1998, Dewani Abbas (wartawan Berita Harian) menghubungi saya menyatakan Ismail Pantek (editor hujung minggu Berita Harian), mahu bertemu dengan saya mengenai mewujudkan sebuah ruangan baharu di Berita Harian/ Minggu. Editor Berita Harian/Minggu ketika itu ialah Guntor Sadali.

Saya memang sewaktu-waktu menulis untuk Berita Harian/Minggu melalui puisi, cerpen, esei dan tulisan-tulisan lain semenjak karya pertama saya disiarkan oleh Berita Minggu pada 2 Disember 1973. Dari zaman editor-editor seperti Hussein Jahidin, Yatiman Yusof, Zainul Abidin Rasheed mahupun editor terkini (pada waktu tulisan ini disiapkan) Berita Harian/Minggu, Guntor Sadali, karya-karya saya selalu juga mendapat tempat di satu-satu akhbar Melayu Singapura. Lantas, saya tidak keberatan datang ke pejabat Berita Harian untuk berbincang-bincang dengan Ismail Pantek.

Kerana saya masih menulis karya kreatif, saya mencadangkan mewujudkan sebuah ruangan pojok dan bukan ruangan kreatif, diberi nama ‘Sri Anggerik’, berpusar pada hal-hal kenangan dan santai, walaupun boleh juga ‘menyindir-menyindir sayang’ sebagaimana ruangan ‘Sri Anggerik’ di kampus dahulu. Ismail bersetuju dengan cadangan itu dan memberitahu bahawa ruangan ‘Sri Anggerik’ itu mesti ditulis sebanyak tiga halaman A4, berlangkau dua. Ruangan ini diadakan setiap dua minggu sekali, kecuali jika ada masalah kekurangan ruang dan sebagainya. Saya diminta menyiapkan empat rencana ‘Sri Anggerik’ sebagai langkah permulaan, untuk diteliti oleh pihak Berita Harian pada awal Mei 1998. Ruangan ‘Sri Anggerik’ ini mula diterbitkan di Berita Minggu pada 19 Julai 1998.

Hampir 2 tahun selepas pertemuan dengan Dewani Abbas dan Ismail Pantek itu, beliau mencadangkan agar saya lebih menyentuh hal-hal semasa dalam ruangan saya. Saya bersetuju dengan cadangannya, lantas ruangan ‘Sri Anggerik’ lebih menggetis-getis hal-hal semasa, yang berlaku di sekeliling kita, walaupun soal-soal santai dan kenangan masih tetap dimuatkan juga. Ruangan ‘Sri Anggerik’ wujud dari Julai 1998 sehingga Jun 2006 (lebih kurang 200 rencana Sri Anggerik diterbitkan oleh Berita Minggu).

Banyak perkara yang menyentuh hati saya, dan saya yakin, masyarakat juga, tergambar dalam ruangan-ruangan ‘Sri Anggerik’ ini. Saya gembira menyiapkan rencana-rencana untuk ruangan ini kerana terpaksa belajar mendisiplinkan diri dan memadatkan idea dalam ruangan yang terbatas. Secara tidak langsung, adanya ruangan ini memberi semacam nafas baharu bagi penglibatan saya dalam dunia penulisan dan saya bersyukur kerananya. Dan Adibah Aminlah sebenarnya meletakkan aspal dalam jalanan penulisan pojok saya ini.

Pada tahun 1999, saya menyampaikan kertas kerja dalam satu seminar sastera di Johor Baharu. Turut hadir dalam penyampaian kertas kerja saya ialah Adibah Amin, Anis Sabirin dan kalau tidak silap saya, Khadijah Hashim. Saya teruja mereka hadir dan secara tidak langsung, memberi sokongan kepada saya. Ketiga-ketiga mereka memang penulis asal Johor tetapi mereka tidak lagi menetap di Johor. Dan ketiga-tiganya adalah di antara penulis wanita yang menjadi bintang-gemintang dalam dunia penulisan saya sejak awal remaja.

6. Kepada Kak Adibah Amin, saya mengucapkan ‘Selamat Hari Lahir’ – semoga Allah memberkati dan mnsejahterakan kehidupan Kak Adib, dunia dan akhirat. Dan semoga keteguhan Kak Adib untuk terus menyumbang dalam bidang penulisan dan penterjemahan, dalam apa pun keadaan dan semangat saling menyayangi sesama insan, baik di kalangan masyarakat Melayu-Islam dan yang bukan Melayu-Islam, akan selalu dicontohi.

Terima kasih, Kak Adibah Amin, kerana menjadi salah seorang sumber contoh dalam perjalanan seni saya dan juga dalam mengakrabi kehidupan yang diberi-Nya.

Salam
Rasiah Halil
19 Februari 2016.

Advertisements

2 thoughts on “Catatan 19 Februari 2016: Hari Lahir Adibah Amin

  1. As Salam,
    Semoga sihat wal afiat.
    Alhamduillah dijumpakan dengan catatan puan petang ini.
    Kebetulan, saya sedang mengumpul bahan untuk novel kedua tentang kehidupan wartawan kadet sekitar pertengahan 1976, yakni zaman kemuncak Kak Adib.
    Terima kasih menyegarkan semula ingatan saya pada waktu itu.
    NB Badarudin

    • Alhamdulillah. Terima kasih kerana sudi membaca blog saya dan secara tidak langsung menyegarkan ingatan puan kepada zaman kewartawanan Kak Adib. Semoga novelnya dapat disiapkan dengan sebaiknya dan mendapat sambutan kelak. Selamat maju jaya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s