Ulasan Buku: Adibah Amin Seroja Nan Tak Kunjung Layu

Cover Buku AdibahCover Seroja Masih Di KolamBuku Buku Adibah

Buku: Adibah Amin Seroja Nan Tak Kunjung Layu
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, 1999
Penulis: Faizah Shuib

Pengenalan

Mengkaji perkembangan kesusasteraan Melayu, nama Adibah Amin tidak dapat diketepi-
kan. Beliau menceburi bidang sastera sebagai penulis puisi, cerpen, drama, novel, esei, dan terjemahan (bahasa Melayu-Inggeris). Adibah juga menceburi bidang seni yang lain sebagai pelakon drama dan filem. Beliau juga menulis beberapa buku bahasa untuk bimbingan pelajar sekolah dan dewasa, selain menulis rencana/pojok untuk beberapa ruangan akhbar dan majalah (dalam bahasa Melayu dan Inggeris) serta membuat kerja-kerja penyuntingan.

Biografi Adibah Amin yang ditulis oleh Faizah Shuib ini setebal 184 halaman, dalam ukuran yang agak besar iaitu 19x 24 sm, dan dimuatkan dengan 15 keping gambar. Biografi ini mendapat hadiah pertama dalam peraduan menulis biografi untuk kanak-kanak anjuran DBP pada tahun 1992-93. Walaupun ditujukan kepada kanak-kanak, tulisan Faizah Shuib ini lebih sesuai bagi golongan remaja dan juga dewasa.

Mengenali Adibah

Kita dikenalkan kepada Adibah sebagai bayi yang baru lahir pada halaman-halaman permulaan biografi ini. Beliau lahir pada 19 Februari 1936 di Johor dan diberi nama Khalidah Adibah binti Amin. Bapanya diilhami nama Khalid Adib Hanim, seorang pejuang kemerdekaan Turki, sebagai namanya. Adibah merupakan anak kedua, tetapi abang sulungnya, Ismail Shafiq, hanya hidup 2 jam setelah kelahiran, lantas Adibah menjadi anak sulung dalam keluarganya. Ibunya, Puan Zainun Sulaiman, lebih dikenali sebagai Ibu Zain, merupakan seorang guru dan Penyelia Sekolah-sekolah Perempuan Johor. Beliau berkahwin dalam usia yang relatif lewat pada zamannya, iaitu pada usia 30-an. Ibu Zain meminati bidang penulisan, sebagaimana datuk Adibah, Sulaiman Abdul Hadi, atau lebih dikenali sebagai Munsyi Sulaiman. Bapa Adibah, Amin bin Ahmad Aljafri adalah seorang kacukan Arab-Jawa yang lahir di Makkah tetapi berhijrah dan bersekolah di Singapura ketika berusia 15 tahun. Beliau kemudian bekerja sebagai Penolong Bendahari Kerajaan Johor dan menetap di sana. Bapa Adibah mahir soal-soal agama dan bahasa Arab dan sering membantu rombongan jemaah haji dalam pelayaran mereka ke Makkah. Di kapal hajilah ibu bapanya bertemu sebagai murid dan guru, tetapi berkahwin selepas musim haji. Ibu Zain merupakan isteri kedua Encik Amin.

Biografi ini menggambarkan betapa akrab Adibah dengan ibu bapanya, kedua-duanya meminati ilmu dan sastera dan suka bercerita kepada anak-anak mereka—Adibah, Khalilah Fadzilah dan Sulaiman Shakib. Adibahlah paling meresapi cerita-cerita itu kerana dia pandai bercerita pula kepada kawan-kawannya. Minat bercerita ini kemudian bercambah kepada minat membaca; dan kerana terdapat banyak buku di rumahnya, banyaklah buku yang dibacanya. Inilah kemudiannya mendorongnya untuk cuba menulis.

Zaman Jepun Dan Sesudahnya

Semasa pendudukan Jepun, Adibah dan keluarganya pada mulanya bersembunyi di hutan tetapi apabila keadaan reda, mereka pulang ke rumah. Keadaannya tidaklah aman, tetapi Adibah dapat juga meneruskan pelajarannya. Semasa peranglah ayahnya diserang batuk kering dan kembali ke rahmatullah. Akibat kehilangan ayah amat perit bagi Adibah; dari seorang yang periang, suka menyanyi, bercerita, berkelakar, dia menjadi pendiam dan murung. Hanya setelah beberapa ketika, barulah dia dapat keluar daripada kemurungannya.

Adibah dan adiknya Fadzilah dimasukkan ke sekolah Inggeris lelaki, dipotong rambut dan dipakaikan baju lelaki berseluar panjang, agar dapat meneruskan pelajaran selepas Perang, kerana sekolah-sekolah perempuan belum dibuka. Ibu Zain tidak mahu anak-anaknya ketinggalan dalam pelajaran, lantas terpaksa mengambil langkah begini. Adibah kemudian meneruskan pelajaran di Sultan Ibrahim Girls’ School pada tahun 1946. Beliau juga meneruskan sekolah agamanya di sebelah tengah hari dan belajar bahasa Arab di sebelah malam. Masalah kegagapannya yang tiba-tiba muncul kerana gangguan perasaan oleh pemergian ayahnya hilang setelah dibantu oleh guru-gurunya.

Adibah ternyata seolah pelajar yang pintar dan berbakat seni. Dalam usia muda itu beliau bergiat dalam bersyair, berlakon drama sekolah dan radio, malah menulis drama kanak-kanak dalam bahasa Inggeris, dan bersyarah. Ibunya pula menjadi salah seorang pengasas Wanita Umno dan sibuk dengan pelbagai tugas. Dalam kesibukan itu Ibu Zain sempat mengajar anak-anaknya tafsir Quran dan sempat juga menjaga beberapa orang anak yatim sebagai anak angkat.

Cita-Cita Adibah Dalam Dunia Penulisan Dan Seni

Cita-cita Adibah untuk menjadi penulis disumbui oleh kepahitan hidup yang dialami ibunya setelah kematian bapa Adibah. Beliau menulis cerpen bertajuk “Ibu Tirikah yang Kejam ?” menyangkal pandangan umum bahawa semua ibu tiri itu kejam, kerana ibu tirinya, Puan Aishah, dan beberapa orang yang lain, tidak pula kejam. Karyanya ini, setelah ditunggu agak lama, akhirnya tersiar dalam majalah Hiburan pada 22 Januari 1949. Usia Adibah ketika itu hampir mencecah 13 tahun. Terbitnya karya pertama ini memberi beliau keyakinan untuk menulis lantas menyusul cerpen-cerpennya yang lain misalnya “Sebab Kau Kukawal”, “Nasib Ibu Kecil”, “Pelatih Kecil”, “Ubat Ayah Mabuk” dan lain-lain. Wang sagu hati yang diterima daripada penyiaran cerpen-cerpen ini digunakan untuk membantu ibunya dan juga untuk tabungan pelajarannya.

Kegiatan politik ibunya menyebabkan khidmat ibunya sebagai Penyelia Sekolah-sekolah Perempuan Johor dipendekkan oleh pihak British dan mereka sekeluarga dihalau dari Rumah Guru tempat mereka menginap. Mereka menginap di Kelab Guru dengan bantuan guru-guru lain dan akhirnya dapat menginap di sebuah rumah kayu yang comel, hasil duit peninggalan arwah ayah Adibah. Tetapi keadaan ekonomi mereka tidaklah sebaiknya. Dan Adibah mula menulis novel saduran Puteri Asli Penggal Pertama, yang dipadankan daripada novel kanak-kanak The Little Princess, terbit pada hari lahirnya, 19 Februari 1949. Kerana mendapat sambutan ramai, Adibah menulis pula Puteri Asli Penggal Kedua. Ini diikuti pula dengan novel Gadis Sipu Membuat Nama, dipadankan daripada novel kanak-kanak A House at the Corner. Dan novel sulung aslinya menyusul pada 1950, dengan tajuk Bangsawan Tulen.

Pembelajaran Selanjutnya Dan Kerjayanya

Adibah dapat meneruskan pelajarannya ke Universiti Singapura pada usianya 18 tahun. Mula-mulanya beliau ke jurusan perubatan, sebagaimana yang dicita-citakan ibunya. Tetapi kerana Adibah mabuk darah dan lebih meminati bidang sastera, beliau bertukar ke jurusan kesusasteraan, mendalami bidang pengajian Melayu dan bahasa serta sastera Inggeris. Di universitilah banyak perubahan berlaku pada dirinya dari segi sosial dan peribadi. Misalnya, beliau tidak lagi bertudung, sebagaimana biasanya dan lebih mudah meramahi orang lain, walaupun berlainan jantina, tidak seperti di sekolah perempuan dahulu. Perubahan ini tidak disukai ibunya, tetapi akhirnya Ibu Zain maklum anaknya telah memilih jurusan yang mungkin lebih sesuai dan perubahan fizikal anaknya tidak menjejas ketertiban, adab dan sopan yang tetap dipegang anaknya.

Adibah banyak terlibat dalam kegiatan seni dan sastera semasa di universiti, malah pernah mengelolakan ruangan Taman Sastera di Radio Malaya di Singapura, membaca dan mengulas sajak, bersama seorang kaki tangan radio tersebut iaitu Hashim Amir Hamzah. Dan di universitilah beliau berkenalan dengan penyair Usman Awang. Walaupun aktif, Adibah juga cemerlang dalam pelajaran, dan menjadi pelajar keempat terbaik bagi jurusan sastera pada tahun akhirnya. Latihan ilmiahnya, yang tidak disebut oleh Faizah Shuib ialah mengenai penulis Singapura, Ahmad Lutfi/A.H.Edrus. Dan salah seorang guru Adibah semasa menuntut di Jabatan Pengajian Melayu ialah Za’aba. Semasa di universiti juga beliau menyertai kumpulan pancaragam dan diundang membuat persembahan di Radio Malaya di Singapura serta ada juga mencipta lagu dan lirik untuk nyanyian sendiri iaitu Genggam Tanganku di Subuh Sunyi dan Usah Dipaksa Bibir Beku.

Tetapi tidak semuanya indah bagi Adibah. Dia gagal mendapatkan diploma pendidikan setelah tamat pengajian di universiti kerana terganggu oleh masalah kekurangan wang yang dihadapi ibunya. Demikian juga kegagalan kedua kalinya untuk mendapatkan diploma ini, setelah mengalami keruntuhan rumah tangga. Diploma pendidikan itu akhirnya diperolehi setelah waktu-waktu itu.

Adibah meneruskan kerjayanya sebagai guru di Malay Girls’ College, kemudian ke Maktab Perguruan Bahasa, Sekolah Menengah Alam Shah dan akhirnya menjadi guru besar di Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan, Jalan Kolam Air (sekarang Sekolah Menengah Seri Puteri). Dalam sibuknya menjalankan tugas, membesarkan satu-satu anaknya, Raja Aina, menghadapi keruntuhan rumah tangga, Adibah melahirkan sebuah novel Seroja Masih Di Kolam pada 1968.. Novel ini berpusar kepada watak Nur Diana seorang berpendidikan Inggeris yang kurang mengenali budayanya sendiri tetapi akhirnya menemui jati dirinya setelah dikenalkan oleh Ridhwan sepupunya dari kampus. Jalan ceritanya segar dan mencuit hati terutama bagi mereka yang sama mengalami suka-duka kehidupan di kampus Universiti Singapura dahulu. Adibah mungkin bahagia meneruskan kerjaya sebagai guru dan bergiat terus dalam bidang seni dan sastera tetapi ini tidak berlaku. Kerjaya guru itu terpaksa beliau dihentikan kerana berasa tidak sesuai membuat kerja-kerja pentadbiran sebagai guru besar, sedangkan yang beliau meminati ialah mengajar. Lantas Adibah “melarikan diri” ke bidang kewartawanan.

Bidang Kewartawanan

Bidang kewartawanan beliau terjuni pada awal tahun 70-an. Seperti biasanya, pengalaman pertamanya dengan editornya, A. Samad Ismail, menyeramkan, sehingga menitiskan air matanya kerana rencananya dicincang lumat. Tapi itulah pembelajaran yang perit tetapi bererti sebagai wartawan biasa. Dan keyakinannya semakin tumbuh setelah menekuni bidang ini sehingga diberi kepercayaan menulis ruangan “As I Was Passing” pada Oktober 1972. Beliau menggunakan nama “Sri Delima” untuk ruangan ini dan mendapat sambutan ramai sehingga dua jilid “As I Was Passing” ini diterbitkan. Dan pada 1976 beliau dilantik sebagai pengarang majalah Jelita dan menulis sekurang-kurangnya 10 rencana bagi majalah ini, selain tugas-tugasnya yang lain sebagai wartawan. Beliau turut terlibat dan drama dan filem dan sempat berlakon dalam tiga filem iaitu Adik Manja, Hati Bukan Kristal dan Mat Som. Beliau turut aktif dalam kegiatan-kegiatan pembangunan wanita. Penglibatannya dalam bidang kewartawanan membuahkan anugerah Asian Journalist of the Year Award, diberi oleh Press Foundation of Asia dan Syarikat Matsui pada 1979. Dan sebuah lagi novelnya, yang berbentuk separuh autobiografi berjudul Tempat Jatuh lagi Dikenang terbit pada 1983.

Adibah melangkah lagi dalam kerjayanya dengan memasuki Kumpulan Fleet, anak syarikat Kumpulan The New Straits Times, pada 1984, memegang jawatan pengarah berita dan drama, iaitu menapis skrip-skrip drama yang diterbitkan di TV3. Beliau juga memilih drama dan filem luar negara untuk siaran TV3. Ketika usianya 50 tahun, Adibah mengundurkan diri dari Kumpulan NST dan memulakan usaha lain. Bersama Baha Zain, beliau memulakan majalah Era. Majalah ini mendapat sambutan, tetapi dilanda masalah kegawatan ekonomi Malaysia, majalah ini berundur setelah beberapa tahun.

Adibah kemudian diundang menjadi Penulis Tamu di Dewan Bahasa dan Pustaka. Di sinilah beliau menterjemahkan empat karya sastera Melayu ke bahasa Inggeris iaitu Rimba Harapan tulisan Keris Mas, Tunggul-tunggul Gerigis karya Shahnon Ahmad, Sangkar oleh Anwar Ridhwan dan Kumpulan Puisi Malaysia hasil puisi beberapa penyair Malaysia. Sebelum ini, Adibah telah pun menerbitkan novel Shahnon, Ranjau Sepanjang Jalan, dengan tajuk No Harvest But A Thorn pada tahun 70-an. Beliau sempat membuka Syarikat East-West Editors untuk mendisiplinkan diri membuat kerja-kerja terjemahan dan suntingan sebagai langkah selanjutnya dalam kerjaya. Setelah usaha ini, Adibah menjadi penulis bebas, menulis untuk beberapa ruangan akhbar di Malaysia, untuk mengisi masa lapangnya.

Satu peristiwa yang menjejasnya ialah pemergian ibunya pada 2 Mac 1989. Bagi Adibah, ibunyalah yang banyak menaikkan semangat dan kesungguhannya untuk memajukan diri walaupun dihadapkan pelbagai dugaan. Dan ibunya juga adalah sumber contoh yang baik sebagai ibu, wanita, pejuang dan penulis. Ibunya, Ibu Zain, banyak menulis syair dan rencana, sayangnya karya-karya ini tidak pula disimpan. Salah satu syair ibunya (yang juga pernah dirakamkan oleh Pendeta Za’ba) yang diingati Adibah dan menjadi pegangannya ialah:

Buat baik ayuhai rakan
ke dalam laut terus campakkan
jikalau tidak dikenal ikan
Allah mengetahui iakah bukan.

Buatlah jasamu teruna dan siti
hidupmu biar membawa erti
kamu mati semut pun mati
jasa itulah bezanya pasti.
Kesimpulan

Buku ini banyak menggambarkan kisah hidup Adibah semasa zaman kanak-kanak dan muda, sesuai dengan tujuannya bagi tatapan pembaca yang lebih muda. Walaupun diterbitkan pada 1999, fakta-fakta mengenai Adibah terhenti pada awal 1990-an itu. Lantas ada karya-karya Adibah yang terbaru, misalnya beberapa karya terjemahannya mengenai buku-buku pengurusan karya Stephen Covey, John Naisbitt dan lain-lain, tidak dimuatkan. Demikian juga beberapa terjemahan buku-buku kanak-kanaknya daripada karya asal Khadijah Hashim dan lain-lain tidak disenaraikan. Buku-buku bimbingan bahasanya misalnya Sharpen Up Bahasa Malaysia (1973), Silap tu Sayang(1983) dan Come to Class with Adibah SPM Bahasa (1997), juga tidak sempat dicatatkan oleh penulis biografi ini.

Terdapat satu dua kesilapan fakta, misalnya Adibah dicatatkan mengambil jurusan Inggeris di universiti; sebenarnya beliau mengambil jurusan kesusasteraan (Arts). Banyak fakta peribadi Adibah, misalnya keruntuhan rumah tangganya atau orang-orang yang mendekati hatinya tidak pula dicatatkan atau dicatatkan dengan mendalam. Pandangan-pandangan Adibah mengenai satu-satu isu, misalnya nukilan daripada tulisan-tulisannya tidak pula diketengahkan, lantas walaupun kita mengenali Adibah, kita tidak mengenalinya dengan mendalam, melainkan kita mengenalinya secara peribadi atau pernah membaca karya-karyanya. Gambar-gambar yang dipilih dalam buku ini tidak pula memuatkan gambar-gambar orang-orang yang dekat dengan hidupnya misalnya ibu bapa dan kedua orang adiknya serta satu-satu anaknya, Raja Aina.

Namun demikian, sebagai usaha pertama, tulisan genre biografi Faizah Shuib harus dialu-alukan untuk mengenalkan seorang penulis dan perterjemah yang berwibawa dalam kesusasteraan Melayu. Semoga ada usaha lanjutan untuk lebih mendalami insan bernama Adibah Amin dan karya-karyanya bagi tatapan semua.

Ditulis: 18-19 Ogos 2003
Tersiar: Berita Minggu (Singapura) pada 2003
Tulisan: Rasiah Halil.
NB: Adibah Amin menulis beberapa buah lagi buku dan terjemahan karya setelah rencana ini disiarkan.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s