Amir Hamzah: Bintang Gemerlapan Di Langit Sastera

AH 1AH 3 (2)AH 3AH 4AH 5

Prakata

Siapakah yang tidak akan tersentuh membaca puisi bertajuk Padamu Jua ini:

Habis kikis
Segala cintaku hilang terbang
Pulang kembali aku padamu
Seperti dahulu

Kaulah kandil kemerlap
Pelita jendela di malam gelap
Melambai pulang perlahan
Sabar, setia selalu

Satu kekasihku
Aku manusia
Rindu rasa
Rindu rupa

Di mana engkau
Rupa tiada
Suara sayup
Hanya kata merangkai hati

Engkau cemburu
Engkau ganas
Mangsa aku dalam cakarmu
Bertukar tangkap dengan lepas

Nanar aku, gila sasar
Sayang berulang padamu jua
Engkau pelik menarik ingin
Serupa gadis di balik tirai

Kasihmu sunyi
Menunggu seorang diri
Lalu waktu – bukan giliranku
Mati hari – bukan kawanku…….

Penyairnya dianggap oleh H. B. Jassin sebagai ‘raja penyair pujangga baru’. Dan puisi-puisinya banyak yang menyentuh kalbu kita sama ada daripada tema pilihannya mahupun teknik penulisan dan pemilihan katanya. Nama penyair ini, Amir Hamzah, sinonim dengan perkembangan puisi Melayu moden. Sesiapa yang meminati puisi seringkali mendalami puisi-puisinya kerana keindahan puisinya.Walaupun ada penyair-penyair lebih awal dari Indonesia dan Malaya pada tahun-tahun sebelum Perang Dunia Kedua, misalnya Md Yamin, Rustam Effendi, Sanusi Pane, Pungguk dan lain-lain, namun pada puisi-puisi Amir Hamzahlah lebih terasa kemelayuannya.

Sekilas Latar Hidup Amir Hamzah

Tengku Amir Hamzah dilahirkan di Tanjung Pura, Langkat, Sumatera pada 28 Februari 1911. Bapanya, Tengku Mohammad Adil merupakan Bendahara Paduka Raja Langkat dan adik kepada Sultan Langkat, sementara ibunya pula bernama Tengku Mahjiwa. Beliau mempunyai 12 adik beradik (bapanya mempunyai 3 orang isteri) dan digelar Tengku Bongsu. Dinamakan Amir Hamzah bersempena nama bapa saudara Nabi s.a.w. dalam Hikayat Amir Hamzah. Bapanya gemar mengumpul hikayat dan buku serta memiliki perpustakaannya sendiri. Salah satu kegemarannya ialah mengumpulkan anak-anak dan sanak saudaranya dan menyuruh salah seorang daripada mereka membacakan buku-buku tertentu misalnya Hikayat Amir Hamzah, Hikayat Muhammad Ali Hanafiah, Hikayat Haris Fadilah, Qisasul Anbia, Hikayat Hang Tuah, Bustanus Salatin, Syair Bidasari, Syair Ken Tambuhan dan sebagainya. Amir Hamzah membesar dalam suasana kesusasteraan tradisional begini dan juga pengasuhan dalam agama Islam.

Beliau terdidik di sekolah yang menggunakan bahasa pengantar Belanda di Medan dan Pulau Jawa. Di Solo, Pulau Jawa, Amir mendapat pelajaran posmenengahnya (SMA) dalam Jurusan Sastera Timur. Di Solo lah beliau bertemu dan jatuh cinta dengan gadis yang banyak mengilhami karyanya, Ilik Sundari (kadangkala ditulis sebagai Sendari), rakan sejurusannya. Semasa di sana, ibunya meninggal dunia. Ketika melanjutkan pelajarannya di Batavia (Jakarta) di Sekolah Tinggi Hukum, bapanya pula meninggal dunia. Amir Hamzah terpaksa menampung pelajarannya dengan bekerja sebagai guru sambilan. Akhirnya, persekolahannya dibiaya oleh Sultan Langkat, bapa saudaranya. Beliau lulus sebagai pemegang sarjana muda hukum.

Aktifnya Amir Hamzah
Amir Hamzah bukan sahaja seorang penyair dan penulis, bahkan aktif dalam kegiatan-kegiatan sekolah dan di luar sekolah. Beliau bergiat aktif dalam pergerakan kebangsaan, ‘Jong Sumatera’ dan ‘Indonesia Muda’. Malah pernah menjadi redaksi majalah Garuda Merapi yang digunakan untuk perjuangan ‘Indonesia Muda’. Amir Hamzah juga pernah menjadi ketua cawangan ‘Indo-nesia Muda’ di Solo yang inti perjuangannya selari dengan Sumpah Pemuda 1928. Kegiatan-kegiatan ini tidak digalakkan oleh Sultan Langkat kerana Amir Hamzah mula dimata-matai oleh pihak Belanda. Kerana tegahan Sultan Langkat ini, walaupun Amir Hamzah bersama-sama Sutan Takdir Alisjahbana dan Armin Pane mengusahakan majalah Pujangga Baru, beliau hanya ditulis sebagai ‘pembantu tetap’ demi mengelakkan tegahan Sultan Langkat dan pihak Belanda. Melalui majalah Pujangga Baru ini banyak karyanya disiarkan. Karya-karyanya yang dibukukan termasuklah: Nyanyi Sunyi (1937), Setanggi Timur (1939; terjemahan kesusasteraan Timur dari Arab, Parsi, India, China, Jepun dan lain-lain), Buah Rindu (1941) dan Sastera Melayu Lama dan Raja-rajanya (1942).

Tuntutan Bercanggah Dalam Hidupnya

Hidupnya banyak ditariki pelbagai tuntutan yang bercanggah. Walaupun bercinta dengan Ilik Sundari, Amir Hamzah tidak dapat mengahwininya. Dia berkahwin dengan sepupunya, anak sulung Sultan Langkat, Tengku Kamaliah, demi memenuhi permintaan Sultan yang telah membiayai pelajarannya. Memenuhi permintaan Sultan ini bukan pula dilakukan kerana ingin hidup selesa tetapi lebih berasaskan rasa tanggung jawabya. Sultan Langkat telah diberitahu pihak Belanda untuk mengekang penglibatan Amir Hamzah dalam dunia pergerakan; seandai-nya Amir Hamzah masih berdegil, Langkat yang kaya minyak itu dan orang-orang yang bergantung padanya akan menerima padahnya. Memandangkan banyak orang yang bergantung kepada Sultan Langkat (sultannya juga membiayai usaha-usaha pendidikan penduduk tempatan dan dari luar negara), Amir Hamzah terpaksa melepaskan satu-satunya kasih hatinya demi kebaikan yang terbanyak. Perkahwinan itu diandaikan akan menumpukan perhatian Amir Hamzah di Langkat dan mengendurkan penglibatannya dalam pergerakan kebangsaan Indonesia lantas menyelamatkannya dari disenarai-hitamkan oleh pihak Belanda. Dan kemelutnya dalam memenuhi kehendak Langkat dan mengurangkan penglibatan pergerakannya mungkin sama pedihnya sebagaimana dia terpaksa berpisah dengan Ilik Sundari dan menerima Tengku Kamaliah sebagai isterinya. Amir Hamzah dikurniakan seorang anak, Tengku Tahura Alautiah, dengan Tengku Kamaliah.

Amir Hamzah diberi gelaran Tengku Pangeran Indera Putera oleh Sultan Langkat setelah berkahwin dengan Tengku Kamaliah. Beliau menjadi wakil kepala Luhak Langkat Hilir di Tanjung Pura. Setelah Indonesia diisytiharkan merdeka pada 17 Ogos 1945, Amir Hamzah mendapat surat rasmi mengangkatnya sebagai Pembantu atau Wakil Residen yang kemudian disebut ‘Bupati’. Dan dalam revolusi sosial yang meletus di Sumatera, Amir Hamzah difitnah dan seperti beberapa ahli keluarga diraja, dibunuh oleh golongan kiri. Amir Hamzah yang berdarah raja tetapi berjiwa rakyat, terbunuh pada 20 Mac 1946.

Sebelum dia dipisahkan daripada anak isterinya, Amir Hamzah telah berpesan kepada mereka agar jangan membalas dendam seandainya malapetaka menimpa dirinya. Isterinya berpegang teguh kepada ini dan enggan menanda tangan agar pembunuhnya, mandur Yang Wijaya, dihukum bunuh apabila ditangkap. Pembunuhnya akhirnya dibebaskan kerana mendapat keampunan tetapi kemudiannya menjadi gila. Selepas revolusi sosial itu kerana segala harta keluarga diraja telah dirampas, Tengku Kamaliah terpaksa berdagang kecil-kecilan demi membesarkan anaknya. Menurut N.H.Dini dalam bukunya Amir Hamzah Pengeran Dari Seberang, Tengku Kamaliah beberapa kali cuba mencari Ilik Sundari kerana ingin meminta maaf, walaupun bukan beliau sebenarnya merampas kekasih Ilik Sundari, tetapi mereka tidak pernah bertemu. Tengku Kamaliah meninggal pada 1961.

Kekasih hati Amir Hamzah, Ilik Sundari, setelah berpisah dengannya pada 1936, tidak lagi bertemunya. Ilik menjadi guru dan hanya berkahwin dengan seorang duda yang mempunyai anak pada 1949. Walaupun Tengku Tahura, anak Amir Hamzah ingin bertemunya, dia enggan berbuat demikian. Tetapi melalui perantaraan seorang saudaranya, dia dapat melihat Tengku Tahura dari jauh, berkali-kali, dan memberinya pelbagai hadiah. Ilik Sundari sempat mendengar berita Amir Hamzah diangkat sebagai pahlawan nasional bersama dengan Sultan Agung dan Untung Suropati oleh pemerintah Indonesia pada 10 November 1975. Beliau meninggal dunia pada 3 Disember 1976.

Menelusuri Sejumlah Puisi Amir Hamzah

Amir Hamzah melahirkan dua antologi puisi persendiriannya dan sebuah antologi puisi terjemahan. Buah Rindu mengandungi 28 kuntum puisi dan diterbitkan pada 1941 sementara Nyanyi Sunyi pula mengandungi 24 kuntum puisi yang diterbitkan pada 1937. Walaupun diterbitkan lebih awal (1937), sajak-sajak Nyanyi Sunyi merupakan sajak-sajak yang ditulis pada usia yang lebih dewasa; Amir Hamzah memerapkan diri selama sebulan setelah dipaksa pulang ke Langkat dan disuruh berkahwin dengan sepupunya, untuk melahirkan puisi-puisi ini. Buah Rindu pula merupakan sajak-sajaknya yang ditulis lebih awal (ditulis pada 1928 sehingga 1935) daripada kelahiran antologi Nyanyi Sunyi, walaupun diterbitkan setelah terbitnya antologi Nyanyi Sunyi.

Terdapat beberapa tema utama dalam puisi-puisi Amir Hamzah; kesemuanya berpusar kepada persoalan kasih sayang dan cinta iaitu mengenai ‘Bonda’ (kedua-duanya ibu kandungnya dan ibu pertiwinya), cintanya kepada Ilik Sundari, cintanya kepada Tuhan dan perlukisan keindahan alam. Dalam kedua-dua buah antologi, Amir Hamzah banyak menggunakan bahasa yang lebih asli yang lebih mirip kepada bahasa dalam sastera Melayu tradisional. Selain lingkungan keluarganya, mungkin pendedahannya kepada karya-karya sastera Melayu tradisional banyak memperkayakan perbendaharaan katanya dan caranya melahirkan puisinya. Kita temui kata-kata dan frasa-frasa berikut misalnya dalam puisi-puisinya:

1. Bunga: cempaka, kemboja, melur, mawar, seroja, teratai, melati, kemuning, kesuma.

2. Lain-lainnya: kanda, dinda, bonda, anakanda, tajuk mahkota, kelana, musafir, bujang berbangsi, bujang Melayu, mega berarak, dewangga raya, juita, kencana, kemala hijau, teja (bukan Tun Teja tetapi bermakna sinar atau cahaya), sepantun duli, cerpu Maulana, Duli Dewata Mulia Raya, emas tempawan, panah asmara, di balik cindai awan angkasa, dagang, pualam pelangi persih, bunga percaya, genta kencana, ratna mulia, merangkai hati, gambuh asmara, kerusi kasturi dan lain-lain.

Tema Ibu Dan Sejarah Dalam Puisi-Puisi Amir Hamzah

Ibu memainkan peranan penting kepada Amir Hamzah. Baginya ‘ibu’ atau ‘bonda’ diertikan kepada kedua-dua ibunya dan juga Sumatera/Indonesia. Banyak sajak awalnya bertemakan ibu/bonda; mungkin dipacu oleh semangat anak muda yang terpaksa berpisah daripada ibunya kerana menuntut ilmu, selain melihat ibu pertiwinya dibawah jajahan Belanda, perjuangannya, sebagaimana disuarakan dalam puisi-puisinya, adalah untuk memartabatkan kedua-dua ‘ibu’nya ini. Petikan puisi Tinggallah ini dapat menjelaskan:

Tinggallah tuan, tinggallah bonda
Tanah airku Sumatera raya
Anakanda berangkat ke Pulau Jawa
Memungut bunga suntingan kepala.

………………………………………
Selamat tinggal bondaku perca
Panjang umur kita bersua
Gubahan cempaka anakanda bawa
Jadikan gelang di kaki Bonda.

Gelang cempaka pujaan dewa
Anakanda petik di tanah Jawa
Akan Bonda penambah cahaya
Akan Ibu penambah mulia.

Demikian juga dalam sajaknya yang berjudul Dagang, kita temui rasa hibanya berpisah dengan ibunya yang sedang sakit dan akhirnya meninggal dunia dalam petikan ini:

Bonda pun gering seorang diri
Hati luka tiada berjampi
Nangislah Ibu mengenangkan kami
Rasakan tiada berjumpa lagi.

Allah diseru memohonkan restu
Moga kami janganlah piatu
Aduh Ibu, kemala hulu
Bukankah langit tiada berpintu?

Sudahlah nasib tiada bertemu
Sudahlah untung hendak piatu
Bagaimana mengubah janji dahulu
Sudah diikat di rahim Ibu.

Dalam sajaknya berjudul Hang Tuah, Amir Hamzah mengingatkan kita akan ketangkasan laksamana Melayu zaman Melaka dahulu dan sekali gus perlunya ada orang-orang setangkas beliau pada zaman Amir Hamzah. Sajaknya ditulis dalam bentuk dua baris serangkap (kuplet) dan menggambarkan serangan Peringgi dan pertentangan Hang Tuah dan orang-orang Melaka. Petikannya:

Amuk mengamuk buru-memburu
Tusuk-menusuk laru-meluru.

Lala rentaka berputar-putar
Cahaya senjata bersinar-sinar.

Laksamana mengamuk di atas pusta
Yu menyambar umpamanya nyata…..

Hijau segara bertukar warna
Sinau senjata penghantar nyawa.

Hang Tuah empat berkawan
Serangnya hebat tiada tertahan.

Tema Alam Dalam Puisi-Puisi Amir Hamzah

Sajak-sajak Amir Hamzah banyak diperkayakan oleh unsur alam; sama ada alam bunga/pohon dan unggas mahupun alam semula jadi misalnya mengenai senja, malam, bulan, awan, angin, laut dan sebagainya. Di antara sajak-sajaknya yang indah dengan perlukisan alam ini termasuklah puisi berjudul Naik-naik dan Berdiri Aku. Kita perturunkan sajak Berdiri Aku ini:

Berdiri aku di senja senyap
Camar melayang menepis buih
Melayah bakau mengurai puncak
Berjulang datar ubur terkembang.

Angin pulang menyeduk bumi
Menepuk teluk mengempas emas
Lari ke gunung memuncak sunyi
Berayun-ayun di atas alas.

Benang raja mencelup hujung
Naik marak mengerak corak
Helang leka sayap tergulung
Dimabuk warna berarak-arak.

Dalam rupa maha sempurna
Rindu-sendu mengharu kalbu
Ingin datang merasa sentosa
Mengecap hidup bertentu tuju.

Tema Cinta Dalam Puisi-Puisi Amir Hamzah

Namun salah satu tema utama sajak-sajaknya ialah cintanya kepada Ilik Sundari dan rasa kecewanya yang mendalam kerana perpisahan mereka. Banyak sajaknya memperkatakan hal tersebut misalnya dalam petikan-petikan berikut:

Aduh, kasihan hatiku sayang
Alahai hatiku tiada bahagia
Jari menari doa semata
Tapi hatiku bercabang dua.

(Petikan sajak Doa Poyangku)

Atau ketika beliau menganggap nasib yang menimpa diri dan kekasihnya bagaikan dua boneka yang dipermainkan sang dalang takdir dalam petikan puisi Sebab Dikau ini:

Hidup seperti mimpi
Laku lakon di layar terkelar
Aku pemimpi lagi penari
Sedar siuman bertukar-tukar

Aku boneka engkau boneka
Penghibur dalang mengatur tembang
Di layar kembang bertukar pandang
Hanya selagu, sepanjang dendang

Begitu juga Amir Hamzah berkeyakinan bahawa walaupun mereka tidak dapat mendirikan rumah tangga, cintanya tidak putus, malah akan menemukan mereka di alam yang lain sebagaimana dijelaskan dalam petikan puisi Astana Rela ini:

Tiada bersua dalam dunia
Tiada mengapa hatiku sayang
Tiada dunia tempat selama
Layangkan angan meninggi awan

Jangan percaya hembusan cedera
Berkata tiada hanya dunia
Tilikkan tajam mata kepala
Sungkumkan sujud hati sanubari

………………………………………
Di situ baru kita berdua
Sama merasa, sama membaca
Tulisan cuaca rangkaian mutiara
Di mahkota gapura astana rela.

Tema Ketuhanan Dalam Puisi-Puisi Amir Hamzah

Tema yang banyak disentuh oleh Amir Hamzah dalam puisi-puisinya ialah tema ketuhanan ataupun cinta kepada Ilahi. Ini berkait rapat dengan kekecewaan yang dialami (bukan hanya terbatas pada soal cinta, malah perjuangan kebangsaannya) dan keinsafannya sebagai hamba yang amat daif. Sejumlah puisinya menggunakan cara percakapan, seolah-olah beliau mengadu hal kepada Allah akan segala masalah yang dihadapinya. Sajak-sajaknya tidak pernah meng-gunakan huruf besar bila ditujukan kepada Allah, misalnya ditulis ‘kau’ dan bukan ‘Kau’.

Amir Hamzah pada mulanya merupakan pengikut tarekat Naqsyabandiah murni dan kemudian beliau menjadi pengikut tarekat Qadiriyah (Shaykh Abdul Qadir al-Jilani) tarekat yang berpengaruh di Langkat ketika itu. Ilmu agamanya yang mendalam selain tugasnya sebagai bupati di Tanjung Pura serta pelbagai tuntutan hidup yang beliau hadapi menjadikan Amir Hamzah memilih Allah sebagai tempat mengadu, pelindung, dan kekasihnya yang abadi. Banyak sajaknya menggambarkan sedemikian sebagaimana petikan-petikan sajak berikut:

Bertanya aku kekasihku
Permainan engkau permainkan
Kautulis kaupaparkan
Kau sampaikan dengan lisan

Bagaimana aku menimbang
Kaulipu-lipatkan
Kaukelam-kabutkan
Kalbu ratu dalam genggammu
……………………………………
Bagaimana aku menimbang
Kekasihku istana sayang
Ratu restu telaga sempurna
Kekasihku mengunci hati
Bagai tali disimpul mati.

(Petikan sajak Permainanmu)

dan:

Kerana kasihmu
Engkau tentukan waktu
Sehari lima kali kita bertemu

Aku inginkan rupamu
Kulebihi sekali
Sebelum cuaca menali sutera

(Petikan sajak Kerana kasihmu)

juga yang harum berbau tasawuf:

Kaumasukkan aku ke dalam taman-dunia, kekasihku!
Kaupimpin jariku, kautunjukkan bunga tertawa, kuntum tersenyum.
Kautundukkan huluku tegak, mencium wangi tersembunyi sepi.
Kaugemalaikan di pipiku rindu daun baldu melunak lemah.
Tercengang aku, takjub, terdiam.
Berbisik engkau:
‘Taman swarga, taman swarga mutiara rupa’.
Engkau pun lenyap.
Termangu aku gilakan rupa.

(Petikan sajak Taman Dunia; swarga = syurga)

Dan salah sebuah sajaknya yang indah mengenai ketuhanan berjudul Doa:

Dengan apakah kubandingkan pertemuan kita, kekasihku?
Dengan senja samar sepoi, pada masa purnama meningkat naik,
setelah menghalau panas payah terik.
Angin malam menghembus lemah, menyejuk badan, melambung
rasa menayang fikir, membawa angan ke bawah kerusimu.
Hatiku terang menerima katamu, bagai bintang memasang lilinnya.
Kalbuku terbuka menunggu kasihmu, bagai sedap-malam menyerakkelopak.
Aduh kekasihku, isi hatiku dengan katamu, penuhi dadaku dengan
cahayamu, biar bersinar mataku sendu, biar berbinar gelakku rayu!

Kesimpulan

Puisi-puisi Amir Hamzah jelas menggambarkan pertautannya kepada kehidupan yang dipusarkan cinta: kepada ibu, negara, kekasih hati dan Allah. Yang merangkai segalanya ialah rasa tanggung jawabnya dan kedaifan dirinya dalam memikul segala tuntutan hidupnya yang akhirnya membuat beliau mencari ketenangan melalui cinta kepada Ilahi. Sebagaimana darah bangsawannya menghalangnya daripada terselamat semasa revolusi sosial di Sumatera, walaupun Amir Hamzah berjiwa rakyat dan pernah aktif dalam pergerakan ‘Indonesia Muda’ dan ‘Jong Sumatera’; demikian juga tuntutan dan tanggung jawab terhadap keluarga mencantas cintanya kepada kekasih hatinya. Mungkin kerana percanggahan pelbagai tuntutan dan tragedi yang dialaminya, puisi-puisinya, terutama dalam Nyanyi Sunyi, lebih menyentuh hati dan fikiran pembacanya.

Berbeza dengan Chairil Anwar yang lebih menyentuh hal-hal semasa dan diksinya dipengaruhi proses pembaratan, pada puisi-puisi Amir Hamzah, kita temui kata-kata yang lebih dibendung, tradisional dan asli, walaupun beliau terdidik dalam bahasa Belanda. Bahasanya mulus dan indah, sebagaimana sebagai seorang Melayu beliau tetap bersopan walau dalam mendepani apa pun masalah dan tuntutan-tuntutan yang mengguris dan menghancurkan jiwanya.

Ditulis: 10 – 27 April 2005
Tajuk Asal: Amir Hamzah: Bintang Gemerlapan Di Angkasa Sastera
Tersiar: Ruangan ‘Tun Fatimah’, Berita Minggu (Singapura) pada 2005 sebanyak dua keluaran dengan tajuk-tajuk yang hampir serupa seperti yang saya berikan kepada pihak Berita Minggu.
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s