Catatan 28 Februari 2016 – Makna Tarikh 28 Februari Bagi Saya

1. 28 Februari merupakan tarikh hari lahir Amir Hamzah, penyair yang saya minati. Semasa awal remaja, ketika baru memulakan pencarian sastera saya, Amir Hamzahlah selain Chairil Anwar, Hamka, Pramoedya Ananta Toer dan sebilangan penulis Indonesia sebelum tahun-tahun 70-an, selain sejumlah penulis Malaysia, menjadi bacaan dan sumber contoh saya. Saya ‘jatuh cinta’ dengan penulisan Amir Hamzah dan Chairil Anwar dan beberapa orang penyair dan penulis Nusantara dan dari masa ke semasa, saya mengulangi membaca karya-karya mereka.

Saya mendapati karya-karya Amir Hamzah begitu menyentuh hati saya semasa remaja itu dan semakin saya meningkat dewasa, semakin saya memaklumi kemelut jiwanya. Malah, ketika ada masalah-masalah yang melanda, saya pernah menulis puisi pada 1990, yang saya tujukan kepadanya berjudul Kepada Penyair Amir Hamzah. Kehidupan dan penglibatan seninya memberi iktibar betapa seorang yang bersikap tanggung jawab rela menjalani apa sahaja dugaan demi sesuatu yang lebih murni dan besar daripada kehidupannya, walaupun jiwanya terseksa kerananya.

Semasa di Universiti Singapura/NUS, seorang profesor saya pernah mengingatkan secara berlambang – jadilah kambing yang makan rumput dan bukannya kambing yang makan kertas. Maknanya dalam penceburan seni dan juga kehidupan, kita mesti ada mercu tanda/benchmark – ada semacam taraf yang harus dituju. Kalau kita terbiasa dengan yang tohor atau yang remeh, misalnya dalam buku-buku yang dibaca, itulah mercu tanda kita. Tetapi, profesor saya mengingatkan, kalau kita terbiasa yang baik, sebagaimana kambing yang dibiasakan memakan rumput, ia tidak mahu memakan kertas yang tidak berkhasiat malah boleh memudaratkannya.

Demikian juga dengan sesiapa yang kita anggap sebagai tokoh atau kita beri jolokan-jolokan yang kurang munasabah bagi penceburan atau pencapaian mereka. Amir Hamzah merupakan penyair dan penulis yang boleh dijadikan sumber contoh kerana karya-karyanya memang mempunyai kepiawaiannya/standard. Hari lahirnya pada hari ini mudah-mudahan mengingatkan saya dan anda yang sudi membaca blog saya agar menghargai sumbangan seorang seperti beliau dan juga meletakkan kayu ukur yang tinggi apabila seseorang itu ingin dijadikan sumber contoh.

Saya memasukkan sebagai entri tulisan saya mengenai Amir Hamzah yang ditulis pada 2005. Saya juga memasukkan tulisan mengenai sebuah lagu yang indah, ‘Ghazal Untuk Rabiah’, bukan hanya ia selaras dengan tulisan mengenai Amir Hamzah, tetapi juga lagu ini bermakna bagi saya sejak mula mendengarnya dan masih bermakna bagi kehidupan saya kini.

2. Tarikh 28 Februari juga bermakna bagi saya kerana dua sebab. Yang pertama, saya meninggalkan Singapura untuk berkhidmat sebagai pensyarah sastera di Universiti Brunei Darussalam pada 28 Februari 1987. Keputusan untuk meninggalkan Singapura dan lebih-lebih lagi nenek yang membesarkan saya dan tinggal serumah dengan saya, amat sukar dibuat. Tetapi akhirnya, dengan keizinan nenek saya, saya berlepas ke Brunei pada tarikh tersebut. Saya ada menulis beberapa entri mengenai ini, yang disisipkan dalam entri catatan, cerpen dan sebagainya. Semasa di Brunei, karya pertama yang saya tulis merupakan sebuah sajak, Catatan Waktu Hujan, yang mula ditulis pada 28 Februari 1987, di Brunei.

Mengajar di Universiti Brunei Darussalam dan berada di Brunei, membuka mata saya kepada beberapa hal. Saya bukan hanya mengajar, malah turut juga terlibat dalam beberapa acara anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei dan gemar ke Perpustakaan DBP Brunei. Saya juga suka mendengar cara orang Brunei bercakap, yang bagi saya agak berlagu, sebagaimana saya suka mendengar bahasa-bahasa dialek dari Malaysia dan Indonesia.

Walaupun bukan segalanya indah semasa di Brunei – saya berdepan dengan rasa kerinduan kepada orang-orang yang saya sayang yang saya tinggalkan dan ada juga mereka yang temui di Universiti Brunei (pensyarah bukan dari Brunei) yang kurang beretika, tetapi hal-hal inilah yang akhirnya meneguhkan pendirian saya. Saya bertemu dan berkawan dengan beberapa orang yang baik hati dan peribadi mereka semasa di Brunei. Saya juga banyak menulis semasa di sana dan seperti semasa mengajar di Singapura, dengan cara saya, saya menyayangi para pelajar saya. Salah satu karya saya semasa di sana merupakan sajak ringkas yang menggambarkan beberapa hal saya semasa di sana:

Hujan Malam

Kecapi apa yang kaupetik
menggetari kesunyian suasana
indah, bagai sebuah nostalgia
lalu seorang perantau
sepi ditemani titis-titismu
terkenang kampung halamannya.

Ditulis: 12 Ogos 1988
Taman Puri, Negara Brunei Darussalam
Tulisan: Rasiah Halil.

Night Rain (Translation)

What musical instrument are you strumming
reverberating the silent surrounding
enchanting, like nostalgia
thus making a traveller
lonely, befriended by your trickles
remembering her homeland.

Written: 12 August 1988
Taman Puri, Negara Brunei Darussalam
Written and translated by: Rasiah Halil.

Saya tidak memperbaharui kontrak tiga tahun itu dengan Universiti Brunei walaupun diminta menyambung kontrak. Saya telah berjanji dengan nenek saya, yang lebih merupakan ibu saya, bahawa saya akan pergi untuk satu kontrak sahaja dan saya juga telah ditawarkan pekerjaan di Universiti Nasional Singapura. Kepulangan saya ke Singapura membawa hal-hal yang tidak disangka-sangka pula bagi kehidupan saya.

Walaupun telah meninggalkan Brunei pada bulan April 1990, saya kembali ke Brunei beberapa kali selepas tarikh tersebut. Selain bertemu keluarga adik saya, saya juga ingin mengimbau kenangan saya semasa di sana dan pernah membeli sejumlah karya Brunei untuk dibaca dan disimpan di perpustakaan rumah saya.

Pada akhir 1992 atau awal 1993, saya diminta oleh sebuah badan penerbitan, Editions Didier Millet, untuk membantu mereka menyiapkan buku yang tebal mengenai Brunei. Kerana saya terlibat dengan beberapa projek ketika itu dan yakin mereka ada orang yang lebih memaklumi keadaan Brunei dan cara memilih bahan-bahan yang sesuai, saya memberitahu mereka saya bersedia menjadi penterjemah atau editornya. Buku itu ditulis oleh bahagian Inggeris penerbitan dan saya dilantik menjadi editor terjemahan buku tersebut. Penterjemahnya orang lain, yang pernah bekerja di Brunei. Sayangnya terjemahan orang tersebut terlalu banyak kesilapan – dari ejaan lamanya kepada terjemahan yang amat dasar yang dibuat tidak sesungguhnya. Kalau buku ini ‘terlepas’ dan tidak diterjemahkan semula, akan memalukan terutama bagi pihak Brunei.

Saya berakhir dengan bukan hanya mengedit buku tersebut malah menterjemahkan semula buku itu. Saya berkali-kali menelefon adik ipar saya, orang Brunei, untuk mendapatkan pengesahan beberapa hal yang hanya orang Brunei yang lebih mengetahui. Saya tidak dibayar untuk membuat panggilan-panggilan telefon tersebut, malah sebagai editor, honorarium yang saya terima kurang 50 peratus daripada apa yang diberi kepada penterjemah buku itu. Ada kawan-kawan saya yang ‘memarahi’ saya kerana bersusah-payah menyiapkan projek buku Brunei tersebut sedangkan bayarannya tidak setimpal dengan kerja yang saya lakukan, terutama kerana saya terpaksa menterjemah semula buku tersebut. Editor yang menghubungi saya tahu masalahnya tetapi kerana dia tidak pandai berbahasa Melayu, dia tidak tahu betapa kurang piawai/standard, penterjemahan yang dibuat oleh penterjemah pilihan mereka.

Kenapa saya lakukan itu atau mengongsi ini dengan anda? Apakah saya ingin menunjukkan saya ini ‘baik’ dan hal-hal seumpama itu? Tidak. Saya kongsikan ini kerana projek buku tersebut memberi saya peluang untuk mengucapkan terima kasih saya kepada sebuah negara yang telah memberi saya peluang untuk mencapai sebahagian daripada cita-cita hidup saya dahulu iaitu menjadi pensyarah sastera. Selamanya Negara Brunei Darussalam akan menjadi negara yang istimewa di hati saya. Dan tarikh 28 Februari 1987 itulah yang merubah sebahagian hidup saya kerana saya berkhidmat dan menetap di Negara Brunei Darussalam.

3. Yang kedua, pada 28 Februari 2013, saya menjalani ujian mamogram di Poliklinik Pasir Ris – dan saya tahu ada yang tidak kena kepada kesihatan dan payudara saya. Anda mungkin sudah membaca tulisan saya mengenai hal ini, iaitu ‘Bila Barah Payudara Menjengah’. Saya sengaja memilih tarikh 28 Februari itu untuk mendapatkan kepastian mengenai kesihatan saya kerana beberapa sebab – dan bukan kerana tarikh lahir Amir Hamzah atau saya berlepas ke Brunei pada tarikh tersebut. Betapa kepastian yang saya cari itu turut merubah kehidupan saya.

Tiga peristiwa yang berbeza pada 28 Februari – lahirnya penyair yang menjadi salah seorang sumber contoh saya dalam bidang kesusasteraan, peluang menjadi pensyarah sastera yang diberi oleh Negara Brunei Darusslam dan masalah kesihatan yang masih meruangi kehidupan saya. Namun, saya amat bersyukur ketiga-tiga peristiwa ini memainkan peranannya dalam kehidupan saya.

Dalam menjalani kehidupan ini, berselang-seli kegirangan dan kedukaan kita adalah kehidupan yang Allah hamparkan. Tanpa pembauran pelbagai hal, saya tidak akan menjadi saya dan saya tidak akan tahu nikmat bersyukur di atas segala pemberian-Nya. Banyak yang mungkin kita ‘lepaskan’ atau ‘tepiskan’ semakin usia kita meningkat dan banyak lagi yang kita teramat bersyukur kepada-Nya kerana dengan pelbagai cara Dia mengajar kita untuk menertibkan makna reda yang sebenarnya. Dan betapa sesekali kita boleh berlinangan air mata, terimbau kenangan lama dan sebagainya, kita tidak lagi bertanya ‘kenapa begini atau kenapa aku’ kerana akhirnya kita memaklumi sedikit makna Maha Pengasih dan Maha Penyayang-Nya, insya-Allah.

Salam
Rasiah Halil
28 Februari 2016.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s