Ulasan Lagu: ‘Ghazal Untuk Rabiah’ – Ditulis Pada Februari 1996

JN 1Basrah 1Basrah 2JN 2

Prakata

Sebuah lagu menyentuh kita dengan berbagai cara. Satu, melalui muziknya yang indah. Kedua, melalui suara penyanyi yang menambat hati dan ketiga, kerana senikatanya yang menawan dan memikat kita. Sebuah lagu yang baik mungkin adalah cantumman ketiga-ketiga unsur ini dan mungkin juga ditambahi oleh beberapa unsur yang lain.

Penilaian Ringkas Lagu Ini

Antara beberapa buah lagu yang terbaru yang amat menyentuh perasaan saya ialah lagu Ghazal Untuk Rabiah nyanyian Jamal Abdillah dan M. Nasir, dipetik daripada album terbaru Jamal berjudul Suratan Kasih. Lagu ini dicipta oleh M.Nasir dan Jamal Abdillah, sedangkan liriknya pula ditulis oleh Cenderawasih.

Apakah keistimewaan lagu ini? Sebelum saya lanjutkan perbincangan, biarlah saya perturunkan lirik lagu ini:

Ya Rabiah…….
Kilauan bintang-bintang berkelip-kelip di langit tinggi
Dan cahaya menari-nari di langit biru
Tidaklah dapat mengenangkan perasaanku
Yang merindukan kehadiranmu kasih

Gemersik irama merdu buluh perindu
Dan nyanyian pari-pari dari kayangan
Tidaklah dapat tenteramkan sanubari
Yang mendambakan kepastian kasihmu

Rela lepaskan
Segala-gala
Yang kuhajatkan itu adakah
Yang kau hajatkan
Rela terima
Apa pun syaratnya
Dan dugaaan
Untuk kubuktikan cintaku

Asalkan dapat ku mengubati
Hatiku yang cedera ditumpaskan cinta (kekasih)
Asalkan dapat ku menundukkan
Amukan gelora di jiwa yang menagih kasih
Ah……. ya kasih……………..

Yang halus, yang tulus
Yang mulus, yang kudus

Majnun………….

Semoga malamku tidak lagi
Menjadi medan air mata
Menusuk segenap kalbuku


Lagu ini ditujukan atau mengenai seorang wanita bernama Rabiah. Kenapakah Rabiah demikian istimewa, sehingga dilagukan dalam rentak Timur Tengah dan diselangi dengan larutan bunyi yang banyak mengingatkan kita kepada keindahan nasyid serta pembacaan ayat-ayat suci yang mententeramkan jiwa?

Saya yakin Rabiah yang menjadi pilihan ini bukanlah wanita sembarangan, tetapi seorang wanita yang terkenal kerana perhambaannya kepada Khaliknya. Dan melalui lagu ini, kita seolah-olah diperkenalkan kepada falsafah dan gelora hidup Rabiah kerana memilih jalan ‘Kekasih’nya dan tentunya jalan yang dipilih bukanlah jalan yang mudah.

Siapakah Rabiah Dalam Lagu Ini?

Siapakah Rabiah ini? Setelah berulang kali mendengar lagu ini, saya semakin pasti Rabiah yang dimaksudkan di sini ialah seorang ahli sufi dari Kota Basrah, Rabiah al-Adawiyyah. Beliau lahir pada 713/717 Masihi dan meninggal pada 800 Masihi. Lahir dalam keluarga yang miskin, Rabiah dicuri semasa kecil dan dijual sebagai hamba. Tetapi perhambaannya yang mutlak kepada Allah, menyebabkan beliau dibebaskan oleh tuannya. Rabiah menjadi ahli sufi yang terkenal di Kota Basrah dan ramai orang yang berilmu mendatangi beliau untuk mendapatkan penjelasan agama.

Lirik lagu ini menjelaskan: ‘Rela lepaskan/Segala-segala/Yang ku adakah itu/Yang kauhajatkan’…. Demikianlah hidup Rabiah. Dia sanggup berkorban segala-segalanya untuk ‘Kekasih’nya – menolak kesenangan, hidup berkeluarga, kemasyhuran, kerana yang diutamakan ialah keredaan Allah. Dalam hidupnya, Rabiah terkenal kerana kata-kata: bahawa dia tidak hajatkan syurga atau takutkan neraka kerana dia beramal tanpa mengharapkan/menjauhkan kedua-duanya; yang terpenting, amalannya ikhlas kerana Allah. Allah adalah segala-galanya bagi Rabiah; dan seluruh hidupnya berpaksikan cintanya kepada Penciptanya sehinggakan hatinya sirna untuk yang lain-lain.

Terdapat perkataan ‘majnun’ dalam lagu ini; ‘majnun’ bererti ‘gila’ dalam bahasa Arab. Dan orang yang terlalu asyik kepada Tuhannya kadangkala dituduh ‘majnun’ oleh khalayak ramai kerana kurang pengertian. Konsep cinta kepada Ilahi sedemikian tentunya amat tinggi bagi kita Muslim biasa, tetapi bagi Rabiah yang telah melalui disiplin, takah demi takah ahli sufi, ia bukanlah sesuatu yang mustahil. Perkara yang sama boleh kita temui dalam tulisan-tulisan mengenai Ibrahim Ibn Adham, Hasan Basri, Fariduddin Attar, Al-Hallaj dan lain-lain. Rabiah semasa hidupnya, bukan hanya terkenal dengan ilmu agama yang mendalam, bahkan juga kerana tulisan berkuntum-kuntum puisinya yang berunsurkan tasawuf, berpusarkan perhubungannya dengan Khaliknya. Puisi-puisi ini amat indah dan menawan. Dan kajian mengenai Rabiah al-Adawiyyah banyak terdapat sehingga kini, di antaranya dalam tulisan-tulisan Fariduddin Attar, Al-Ghazali, Nicholson, Annemarie Schimmel dan lain-lain.

Kesimpulan
Nyatanya lagu Ghazal Untuk Rabiah bukanlah lagu sembarangan. Ia mengandungi unsur falsafah dan inti kasih dan pengorbanan seorang sufi yang tinggi martabatnya. Dan bukanlah mudah memilih jalan hidup seperti yang dilalui Rabiah al-Adawiyyah, terutama dalam kehidupan kini yang sering dihiruk-pikukkan pelbagai keadaan. Namun, mendengar lagu ini, sesekali mengingatkan kita kepada suatu keindahan, ketenteraman dan ketidak-mustahilan hidayah Allah. Dan Ghazal Untuk Rabiah adalah lagu hayat yang boleh dicontohi sepanjang zaman, insya-Allah.

Ditulis : 10 Februari 1996
Bedok, Singapura
Tajuk Asal: Ulasan Lagu ‘Ghazal Untuk Rabiah’
Tersiar: Berita Harian (Singapura) pada 1996 dengan tajuk yang hampir serupa tetapi berlainan sedikit daripada tajuk yang saya beri kepada pihak Berita Harian.
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

2 thoughts on “Ulasan Lagu: ‘Ghazal Untuk Rabiah’ – Ditulis Pada Februari 1996

  1. Assalamualaikum Puan Hjh Rasiah Halil yang budiman,yang saya hormati dan saya sayangi.Semoga puan sentiasa di dalam kesejahteraan. Terdahulu saya ingin mengucapkan syukur ke hadrat Allah swt kerana telah menemukan saya dengan blog Taman Ilham Rasiah Halil ini.Setelah ‘jatuh cinta’ dengan karya-karya dan artikel-artikel tulisan puan ,saya terus ke halaman carian google.Alhamdulillah saya bertemu jodoh. Saya amat suka membaca karya dari genre sajak puan dan apa juga artikel yang puan tulis,saya amat menggemarinya.Bahasanya yang indah dan mudah difahami amat saya senangi.Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada puan di atas kesudian mengirimkan artikel dan karya-karya puan.Semoga Allah swt membalas segala kebaikan dan diberikan puan kesihatan untuk terus berkarya.Insya-Allah.Aamiin…

    Salam Ukhuwa dari saya. Nordita Taib.

    Sent from Samsung Mobile

    • Waalaikum salam Nordita,

      Terima kasih kerana sudi membaca blog saya. Maaf, lambat menjawab emel kerana saya sedikit sibuk dan kurang sihat.

      Saya gembira tulisan saya meninggalkan sedikit kesan kepada Nordita – semoga Nordita akan membaca banyak lagi karya Nusantara dan di luar Nusantara untuk memupuk rasa cinta Nordita kepada sastera dan bahasa.

      Sekali lagi, terima kasih.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s