Percutian Dan ‘Pelaburan’ Kita

Hari ini hari terakhir anak-anak kita bercuti sekolah. Esok, mahu tak mahu, mereka terpaksalah berdedai ke sekolah, moga-moga dengan semangat baharu setelah bercuti. Memang masa cuti sekarang bukan sekadar cuti sahaja. Banyak aktiviti dijalankan di sekolah, demikian juga ada ibu bapa meluangkan masa untuk anak-anak semasa cuti sama ada pergi bercuti bersama atau adakan aktiviti istimewa di negara kita.

Kalau difikir-fikirkan banyak juga untungnya anak-anak sekarang kerana mudah ke luar negara semasa cuti. Zaman Sri lain pula halnya. Tapi bak kata pepatah, sekali air bah, sekali pantai berubah. Dahulu, kita tahu musim cuti bila kanak-kanak sekampung sibuk mengejar layang-layang hanyut, main guli, gasing, bola hentam, canang, keleret, kuti-kuti, kad, buat khemah dan sebagainya. Walaupun aktiviti sebegini dijalankan semasa sekolah, masa cutilah ia semakin dipergiatkan. Terutama main layang-layang, macam ada iklan tak rasmi, tiba-tiba satu kampung sibuk membuat layang-layang, mengeringkan benangnya yang dicampur gelas yang ditumbuk dan air kak dan lain-lain. Ada pula tunjuk terror dengan membuat lukisan yang lain sedikit pada layang-layang. Kanak-kanak zaman itu mudah berasa bahagia kerana perkara-perkara kecil seperti mendapatkan layang-layang yang hanyut. Apakah anak-anak kita kini mudah mengecap kebahagiaan tanpa berbelanja besar, sebagaimana kita dahulu?

Masa itu juga, jarang anggota masyarakat kita ke luar negara untuk bercuti atau mengerjakan umrah. Kalau adapun pada tahun-tahun 60-an dan 70-an dulu, bagi yang mampu, kita mungkin ke Malaysia. Hanya segelintir yang mampu ke negara-negara yang lebih jauh atau di luar Asia Tenggara. Sebahagian besar kita pula hanya bercuti di rumah pak cik atau mak cik, mungkin yang tinggal di Kaki Bukit, Pulau Belakang Mati (sekarang dinamakan Sentosa), Tanjung Irau, Bussorah Street, Katong, Pachitan, Padang Terbakar, Pasir Panjang dan sebagainya. Sudah dapat tidur di rumah sepupu sudah cukup bahagia dan sudah dapat berkelah dan bermandi-manda di Pantai Changi dan Katong Park, sudah terasa nikmatnya. Percutian pada masa itu benar-benar bermakna kita bercuti daripada kerja sekolah, kecuali hanya amat sedikit kerja rumah yang diberikan guru. Dan perkataan tekanan atau stres tidak wujud dalam perbendaharaan kata kanak-kanak dan remaja zaman itu.

Kini lain pula halnya. Anak-anak kita harus mengikuti banyak pembelajaran dan aktiviti luar darjah. Selain itu, pendedahan mereka kepada pelbagai gejala memudahkan sebilangan mereka kurang fokus terhadap pelajaran. Lantas, timbullah banyak pelajaran dan aktiviti tambahan untuk memantapkan pelajaran yang sedia ada dan juga untuk mengajar cara-cara membina keyakinan diri dan mempelajari sesuatu dengan berkesan. Akibatnya, masa cuti pun kita tergesa-gesa, kerana ibu bapa juga mahu selaraskan masa cuti mereka, dan ibu bapa juga stres dalam menjalani kehidupan seharian mereka. Sebab itu sebilangan kita membuat perancangan percutian lebih awal lagi kerana tidak mahu kegenjotan berlaku semasa mereka bercuti, nanti stres lagi.

Namun tidak semua perancangan percutian kita dapat dijalankan sebaiknya. Rancang punya rancang, adakalanya ada saja yang menghalang. Kadangkala tugas anda bertambah pada saat-saat akhir anda hendak pergi bercuti dan ada pula, bagi mereka yang hendak mengerjakan umrah, visa tidak diberi lantas mengacau-bilaukan segala perancangan anda. Dan ada pula mendapat visa umrah hanya sehari sebelum bertolak. Demikian juga bagi percutian lain, mungkin tidak ada masalah visa, tapi ada juga kisahnya saat-saat akhir, ada kegenjotan berlaku dan anda menjadi gelabah kerananya. Ikut hati macam hendak tunda atau tidak mahu bercuti sahaja, tapi apakan daya, cuti anda telah pun diambil, nak mansuhkan terasa tak berdaya. Sri rasa ada baiknya jika pihak berwajib, terutama masalah visa umrah yang seolah-olah masalah malar segar, dihuraikan dengan lebih cekap lagi. Takkanlah kita hanya berkata kita harus bersabar padahal ini urusan manusia biasa yang boleh dibereskan dengan cepat. Alasan kita mestilah munasabah, dan betapa cekap pun agensi-agensi yang membawa para jemaah umrah misalnya, kalau pihak yang mengu-ruskan visa tidak secekapnya, pakai nampak, walhasil balik asal. Baik-baik hendak berumrah, timbul pula rasa marah. Dan baik-baik hendak melancong, macam terlencong pula kita kerana stresnya.

Masa cuti memang masa yang baik untuk bersama-sama keluarga dalam kesibukan hidup seharian kita. Tapi pergi bercuti bukan pula satu-satu cara untuk menambat hati anak-anak kita untuk selalu ingatkan keluarga. Sri menyatakan ini kerana ada sesetengah orang berasa ‘berdosa’ kerana cuai terhadap keluarga dan cuba meluputkan kecuaian tadi dengan bercuti ke tempat-tempat yang menelan belanja besar. Kita tidak dapat ‘membeli’ keterikatan anggota keluarga kita dengan cara ini, malah kadangkala cara begini boleh menimbulkan sikap-sikap yang kurang baik di kalangan keluarga kita. Yang penting, adakah kita benar-benar meluangkan masa untuk keluarga kita, melihat dan mengasuh anak-anak kita untuk menjadi insan yang jujur dan baik, mendidik mereka ertinya adab dan kesopanan serta ikhlas pada dirinya dan hubungannya dengan orang lain dan lain-lain ciri yang baik? Kalau kita tidak secara cekap menanamkan nilai-nilai yang baik, sekadar pergi bercuti sahaja, yang tak baik nanti akan terserlah di kalangan anak kita. Apa yang ditanam, itulah yang tumbuh, kalau kita tanam peria, bak kata pantun lama, takkanlah delima yang tumbuh, ya? Jadi terpaksalah kita tanam benih delima untuk menumbuhkan delima, bukan dilema/kemelut dalam kehidupan keluarga kita. Inilah pelaburan kita terpenting, amanah yang ulung yang diberi kepada ibu bapa agar yang tumbuh bukan sekadar bunga kertas sahaja.

Ditulis: 23 Jun 2005
Tajuk Asal: Tajuk yang disiarkan pihak Berita Minggu tidak jauh berbeza daripada tajuk asal yang saya beri; rencana yang diterbitkan hilang dalam simpanan saya.
Tersiar: Ruangan ‘Sri Anggerik’, Berita Minggu (Singapura) pada 26 Jun 2005.
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s