Tiga Kuntum Sajak: ‘Musnah’, ‘Kisah Badut’ Dan ‘Ingatan Kepada Chairil’

Musnah

Bila kapal itu karam
& kau terdampar jauh di pulau
tersisih, keseorangan
tanpa diketahui, dipeduli
& kau mula menyoal diri
betapa gelombang ini berulang
bagai hentaman tsunami
memuingkan keyakinan
menghakis harapan.

Namun kaubelajar bangkit
walau betapa sepi, getir
& sepercik semangatmu mula menyala
menjadi jamung hidup seadanya
lalu kauredah hutan
kail rezeki laut di persisiran
bina teratak sederhana
mensyukuri pemberian-Nya
tanpa putus berdoa
agar ada kapal singgah
membawa kaupulang ke tanah besar.

Tetapi tiba-tiba teratakmu musnah
rentung, hangus, asap jelaga
meluluhlantak segala –
keyakinan diri, harapan
arahmu samar
hidup usai.

Hanya setelah segalanya musnah
kapal itu singgah
membawa kau benar-benar pulang
kepada-Nya.

Ditulis: 10 – 11 Mac 2016
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Kisah Badut

Tika badut-badut berlagak di pentas
kita semakin digeletek keadaan
asyik dengan lelucon
terpanar dek bakat berlakon
tanpa memerhati
betapa pentas itu seakan berubah
oleh mahirnya si penata cahaya
dari sorak sorai ke tempik liar
dari hiba tangis ke marah dendam
& sekali lagi kampung Pak Kaduk tergadai
pabila labu-labu terjun bersama si Luncai.

Betapa berulangnya musim-musim sarkas
pabila penganjur semakin ranggi
& badut-badut kering gusi.

Ditulis: 31 Julai – 1 Ogos 2008
Bedok, Singapura
Tulisan: Rasiah Halil.

Ingatan Kepada Chairil

Dengan tenaga jati
nafas tegar & berani
ingin kuhirup
sum sum kehidupan
mencari kerangka
& otot-otot penemuan.

Kau yang rancak berlagu
riuhnya Jakarta & penghuninya
membikin aku sepi di Iowa
& sepertimu, aku tahu,
seni itu pencarian
kehidupan pengalaman
& masa adalah jauhari
memurnikan:
makna, penglibatan.

Sedegil kau, walau terbuang,
ingin kuteguhkan jati diri
dengan cogan:
‘sekali bererti
sudah itu mati’.

Ditulis: 21 Oktober 1995
Mayflower, Iowa, Amerika Syarikat
Tulisan: Rasiah Halil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s